Pautan Utama

Portal Memancing Rasmi Malaysia

Perambut Apa dan Kenapa?

Fluorocarbon yang sukar dikesan ikan juga lebih cepat tenggelam berbanding tangsi biasa justeru sesuai untuk aplikasi jigging perlahan.

Idea untuk menyambung tali lain yang kita panggil ‘perambut’ di hujung tali pancing sering membangkitkan persoalan di kalangan pemancing novis. Apa pun, perambut (leader) adalah salah satu taktik memancing yang paling penting kerana ia mampu memberi perbezaan yang signifikan dalam menentukan kejayaan pancingan kita…

Oleh : PAK WONG

Perambut (leader) ialah seutas tali lain yang disambung di hujung tali pancing utama kita, di mana gewang atau mata kail terikat. Penyambungan tali ini umumnya dilakukan dengan mengikat kedua-duanya melalui teknik ikatan yang khusus.

Ada dua sebab utama mengapa perambut perlu digunakan. Pertama, ia memberi perlindungan tambahan terhadap objek yang tajam seperti gigi ikan, batu karang atau teritip serta menyerap tindakan sambaran ikan secara mengejut. Kedua, perambut menyukarkan ikan melihat tali yang dihubungkan kepada umpan atau gewang kita lantaran tali pancing utama begitu ketara di dalam air, justeru meningkatkan peluang kita untuk menjeratnya!

Terdapat dua jenis perambut yang digunakan pemancing iaitu tali tangsi (monofilament) dan fluorocarbon. Masing-masing ada beza dan digunakan pemancing dalam situasi yang berbeza.

Tangsi (Monofilament)

Tangsi atau monofilament mendapat namanya kerana diperbuat daripada satu jalinan tali tunggal (mono – tunggal, filament – bebenang). Perambut tangsi biasanya murah sahaja. Sifat umum untuk perambut tangsi ialah ia menyerap air, boleh meregang (stretch), kalis lelasan (abrasion) dan menyerap cahaya matahari.

Bergantung kepada situasi, perambut tangsi boleh membawa kebaikan dan kelemahan. Jika anda memancing di kawasan berterumbu yang berisiko tinggi untuk tersangkut, nilai harga perambut tangsi yang murah dan kalis lelasannya itu lebih memberi manfaat.

Jika anda mempersembahkan gewang permukaan, daya penyerapan air menjadikan tali ini berat dan tenggelam, lalu mempengaruhi aksi gewang anda. Begitu juga keterampilan tali ini yang ketara kerana ia menyerap cahaya matahari. Jika anda menunda gewang, daya regangan perambut tangsi pula akan membantu bertindak sebagai penyerap kejutan apabila gewang disambar. Jadi di manakah situasi yang seharusnya kita gunakan perambut tangsi?

Jika anda tahu lokasi memancing itu tinggi risiko sangkutnya sehingga mudah membazirkan perambut dan ikan-ikan di situ adalah agresif, maka perambut tangsi adalah pilihan terbaik. Dalam dunia popping, perambut tangsi satu-satunya pilihan utama kerana kelembutan teksturnya melenyapkan geseran dengan cincin joran semasa lontaran dan ini mampu meningkatkan jarak lontaran.

Tangsi (monofilament) atau fluorocarbon, mana satu pilihan anda?

Fluorocarbon

Perambut fluorocarbon juga sejenis tali utas tunggal, tetapi sifatnya sedikit berbeza dengan tangsi dan sifat inilah yang mempengaruhi nilai harganya yang jauh lebih tinggi. Fluorocarbon kurang poros berbanding tangsi, justeru ia kurang menyerap air. Apa pun, kelebihan utamanya ialah ia mempunyai indeks biasan (refractive index) yang hampir sama tara dengan medium air, menyebabkan sinaran matahari akan menerusi badannya seperti halimunan lalu ikan sukar mengesan kewujudannya.

Jika anda mengilat di air yang sangat jernih, perambut fluorocarbon yang halimunan di dalam air menjalankan tugasnya dengan lebih cemerlang kerana ikan tidak berasa culas terhadap gewang yang dipersembahkan. Memandangkan fluorocarbon tidak menyerap air atau cahaya matahari, perambut ini mempunyai jangka hayat lebih panjang berbanding tangsi. Daya regangan rendahnya juga membantu kita untuk mengesan tindak balas getuan ikan.

Oleh yang demikian, sama ada perambut tangsi atau fluorocarbon, masing-masing ada kebaikan dan kekurangannya dan perlu digunakan mengikut situasi mana yang lebih sesuai. Dengan mempunyai pengetahuan asas tentang ciri-ciri jenis perambut, anda boleh cuba untuk membuat perbandingan dan mencari kesesuaian perambut yang terbaik untuk jenis dan gaya pancingan anda.