Pautan Utama

Portal Memancing Rasmi Malaysia

Perch – Serigala Eropah

Perch (nama saintifik : Perca fluviatilis) merupakan spesies pemangsa air tawar di benua Eropah yang bersaiz sederhana tetapi kelebihannya ia boleh dipancing sepanjang musim, tidak kira musim panas atau tasik keras membeku. Namun memancing perch pada musim bunga dan musim panas lebih tricky. Penulis memperkenalkan salah satu spesies pujaan utama para pengilat di Eropah…

Teks & Fotografi : RADEK FILIP

Terjemahan & Olahan : SIRIP

Perch, spesies pemangsa kecil di Eropah tetapi agresif menyambar secara berkumpulan bagaikan sebarau dan peacock bass.

Perch pemangsa yang sangat fleksibel. Ia perlu sebegitu kerana saiznya lebih kecil berbanding pike, catfish, asp atau zander. Ini memaksanya untuk sering bergerak dalam kumpulan di sepanjang tebing tasik dan sungai bagi mencari mangsa atau habitat yang sesuai.

Itulah sebabnya lokalisasi perch adalah matlamat nombor 1 kami. Namun walaupun kita berada di tempat yang tepat, kadang-kadang sukar untuk mengesan mereka di kedalaman yang betul. Tetapi berita baiknya adalah jika anda dapat mencari tempat dan kedudukan perch yang betul di dalam kolum air, biasanya tidak sukar untuk menjebak spesies ini, termasuk yang besar.

Faktor Mengawan

Faktor utama yang mempengaruhi kedudukan perch pada musim bunga (spring) dan musim panas (summer) ialah pengawanan. Perch cenderung untuk mengawan (spawning) apabila suhu air 10 °C.

Perch menyimpan telur di atas tumbuhan air atau dahan pokok dan tunggul, biasanya di kawasan teluk cetek berpasir. Inilah kawasan yang biasanya mereka mundar-mandir pada akhir bulan Mac atau awal April sehingga akhir musim panas.

Perch berburu di kawasan cetek ini pada awal pagi atau lewat petang. Pemerhatian saya dengan snorkel atau kamera di dalam air mendapati perch akan beredar ke tempat yang lebih dalam sewaktu hari panas yang cerah atau bersembunyi ke tumbuhan air, tetapi ia tetap berada dekat dengan kawasan cetek selagi boleh.

Kedapatan struktur (seperti batu, jeti, reba) adalah lebih baik. Itulah sebabnya saya tiada masalah untuk mengilat perch dengan meranduk ke dalam air sahaja atau melabuh bot pada kedalaman 0.5 – 1 meter maksimum pada masa ini. Ia satu-satunya kedalaman di mana anda boleh menjebak perch di badan-badan air yang besar.

Kawasan berteluk yang ditumbuhi tumbuhan air dan berpasir di dasar adalah hotspot ideal untuk mengesan dan memburu perch pada musim bunga dan musim panas.

Gewang  

Perch adalah ikan yang amat popular diburu secara popping (penggunaan popper), terutama ketika ia sedang galak memburu di kawasan cetek atau berada dalam mood agresif mengejar mangsa dari air yang lebih dalam.

Bulan Mei dan Jun cukup ideal di Eropah untuk cuba popping perch. Saya suka gunakan popper bersaiz 5 – 9 cm seperti Salmo Pop, Rapala Skitter Pop dan Storm Chug Bug. Popping tidak perlu begitu agresif, sebaliknya mainkan popper dengan perlahan diselang aksi henti agak panjang. Ketika itulah popper selalunya diserang. Kadangkala beberapa ekor bersaing untuk mendapatkannya. Aksi sambaran ini memang sangat menyeronokkan.

Sekiranya saya perlu memilih satu gewang untuk mengilat perch sepanjang musim yang panjang, ia pastinya gewang soft plastic (SP). Tetapi kita boleh mencuba spinnerbait kecil dan kekipas (spinner), dan ia lebih berkesan jika perch merayau di kawasan cetek.

Jika perch berada di tempat yang dalam, ia tidak begitu mudah dipancing. Gewang terbaik pada ketika ini ialah crankbait (seperti Salmo Perch, Rapala Shad Rap) dan jerkbait (seperti Salmo Slider, Strike Pro Baby Buster) bersaiz 5 hingga 11 cm.

Saya suka gunakan gewang yang lebih besar (9 – 15 cm) kerana ingin menyasarkan spesimen terbesar. Tetapi jika air tinggi dengan kedapatan banyak ikan kecil pada musim panas, gewang lebih kecil atau kekipas amat disyorkan kerana perch lebih cenderung untuk melahap ‘sup anak ikan’ ketika ini.

Persembahan Gewang

Persembahan gewang saya untuk perch ketika musim panas adalah sangat agresif. Kita boleh juga menjebak perch jika mengarau sangat perlahan dan tidak menggerakkan hujung joran, tetapi kebanyakan kalinya perch akan buat tak tahu dan tidak menunjukkan minat langsung. Kelebihan besar persembahan yang agresif juga ialah kita dapat ‘cover’ kawasan yang lebih besar.

Ketika gunakan SP, saya biasanya lempar sejauh mungkin, biarkan tenggelam ke dasar, kemudian unjun dengan sangat cepat dan berhenti secara rawak. Ingat, kita perlu cari kedudukan ikan yang betul di dalam kolum air. Itulah sebab saya biasanya mulakan pencarian perch di bahagian dasar. Apabila tiada sambutan, saya menduga lapisan berlainan pula di dalam kolum air.

Jigging SP adalah kaedah memancing utama untuk ikan zander dan juga teknik yang sangat baik untuk semua pemangsa di air sejuk. Ia juga berkesan pada musim bunga dan musim panas untuk perch, tetapi kita perlu lebih agresif dan jangan takut untuk mengangkat gewang itu lebih tinggi dari dasar.

Jigging SP juga boleh dilakukan hanya pada kedalaman 1 – 3 meter. Kita tidak akan menakutkan ikan di bawah jika bergerak berhati-hati dalam bot.

Perch menggemari semua warna SP apabila ia dipersembahkan secara unjunan jigging menegak.

Semasa cuaca lebih sejuk, perch mungkin meninggalkan kawasan cetek dan bergerak ke air yang lebih dalam. Jadi usah teragak-agak untuk jigging SP walaupun pada kedalaman 5 – 15 meter seperti yang pemancing di sini biasa lakukan pada musim sejuk (winter) atau musim luruh (fall).

Trolling

Terdapat banyak kaedah mengilat, tetapi kebenarannya ialah trolling sangat berkesan untuk perch, terutama pada musim panas dan apabila anda menyasarkan spesimen besar. Kelebihan terbesar trolling ialah anda boleh mempersembahkan gewang di kedalaman yang betul jauh lebih lama berbanding teknik lain.

Kita juga boleh ambil kesempatan untuk gunakan gewang lebih besar apabila menunda. Saya suka gunakan crankbait 9 – 15 cm apabila trolling untuk perch. Kedalaman renangan bergantung pada keadaan arus, tetapi kedalaman 1 – 3 meter adalah titik permulaan yang baik untuk perch pada musim panas.

Perch adalah spesies yang tak tahu hidup diam, ia suka merayau.

Saya gunakan gewang 9 – 15 cm apabila memancing perch sepanjang musim. Jika strategi dibuat dengan baik, tidak hairan jika mampu menaikkan beberapa ekor perch di satu-satu kawasan.

INFO RINGKAS PERCH 

Perca fluviatilis, yang juga dikenali ‘European perch’, ‘redfin perch’, ‘big-scaled redfin’, ‘Eurasian perch’, ‘Eurasian river perch’ atau ‘common perch’, merupakan spesies pemangsa yang boleh ditemui di Eropah dan Asia Utara.

Spesies ini telah diperkenalkan secara meluas di luar kawasan asalnya iaitu ke Australia, New Zealand dan Afrika Selatan. Pengenalannya telah menyebabkan kemusnahan kepada populasi ikan asli di Australia.

Perch buncit ini sedang bersedia untuk mengawan dan ini adalah penentu kritikal untuk memancingnya pada akhir musim panas dan musim luruh.

Perch berwarna kehijauan dengan sirip kemerahan, disulami lima hingga lapan belang hitam menegak. Semakin besar, benjolan akan tumbuh antara kepala dan sirip dorsalnya.

Perch dikatakan boleh hidup selama 22 tahun, dan saiz rekod rasmi IGFA terbesar ialah 2.9 kg.

Belang dan corak warna perch yang cantik menawan.