Perhatikan Lokasi Cangkukan Mata pada Mulut Ikan
Artikel ini dipetik dari laman sesawang Wired2Fish, Amerika Syarikat. Biarpun spesies ikan yang disebutkan dalam artikel ini adalah Largemouth Bass, namun teori yang diterangkan di bawah tajuk ini didapati amat sesuai dengan ikan-ikan pemangsa kita. Diharap anda semua dapat bermanfaat dari artikel ini dan jangan lupa share dengan group masing-masing!
Teks & Fotografi: Wired2Fish
Banyak informasi berguna dapat diperolehi melalui pemerhatian di bahagian manakah mata tercangkuk pada mulut ikan. Apabila terkena ikan, pemancing lazimnya terus mencabut mata dari mulut ikan dan membuat lontaran seterusnya dengan serta merta. Namun ada baiknya jika kita lihat dengan teliti ketika mencabut mata. Berikut adalah pengalaman yang saya perolehi selama ini:
![](https://www.majalahsirip.com/wp-content/uploads/2019/04/01-1024x576.jpg)
GEWANG DITELAN HABIS KE DALAM MULUT IKAN
Ini adalah kes yang paling ketara dan biarlah kita bermula dari sini. Jika anda menggunakan sejenis gewang sahaja dan ikan asyik menelannya, bermaksud anda telah melakukan apa yang sepatutnya. Biasanya dalam keadaan begini anda tidak perlu membuat terlalu banyak perubahan.
Namun jika dipandang dari aspek yang berlainan, keadaan ini akan dapat membantu anda memastikan kedudukan ikan. Jika anda kurang mendapat sambaran namun ikan yang berjaya diperolehi masing-masing menelan gewang, keadaan ini telah membuktikan gewang yang anda pilih itu tiada masalah namun anda mungkin harus pergi mencari spot yang lain. Sekadar perubahan spot casting atau perubahan penjuru casting mungkin akan menghasilkan perbezaan yang ketara.
Nota: Jika ikan menelan gewang anda, keadaan ini menunjukkan anda bernasib baik dan anda juga telah menjumpai pendekatan yang betul. Seandainya tidak banyak sambaran, janganlah risau sangat. Cuba beredar ke kawasan lain dan mencuba dengan kaedah yang sama dengan lebih rajin lagi!
CANGKUKAN PADA DAGU BERMAKNA PERLU MEMBUAT PELARASAN
Khasnya apabila anda menggunakan Crankbait atau Minnow. Kadang-kadang didapati mata terkena dagu dan bukannya mulut. Anda tetap dapat menaikkan ikan lantaran cangkukan mata pada bahagian ini biasanya amat kukuh. Namun ianya adalah isyarat yang menunjukkan bahawa anda sepatutnya boleh mencapai kejayaan yang lebih cemerlang.
![](https://www.majalahsirip.com/wp-content/uploads/2019/04/02-1024x576.jpg)
Berpandukan pengalaman saya, keadaan ini menunjukkan lokasi anda mungkin terlalu cetek untuk gewang tersebut. Saya percaya ikan Largemouth Bass gemar membuat serangan dari bawah, justeru kebiasaannya saya akan menggunakan gewang yang selamannya sedikit kurang dalam dari kedalaman ikan berada. Sudah tentu anda boleh membiarkan Crankbait dan Minnow tenggelam sehingga berada di bawah ikan, namun anda akan dapat menaikkan lebih banyak ikan jika membiarkan gewang berada di atas ikan. Hanya membuat pelarasan kedalaman memancing secara minimal sahaja.
Nota: Misalnya jika anda memancing sebuah struktur tinggi dengan Crankbait 3 meter dan mendapati bahawa mata terkena dagu ikan, cubalah dengan Crankbait 1.8 meter pula. Anda akan sentiasa memperolehi keputusan yang amat jelas dengan pelarasan ini.
![](https://www.majalahsirip.com/wp-content/uploads/2019/04/03.jpg)
JANGAN PUTUS ASA JIKA MATA HANYA TERKENA SEDIKIT MULUT IKAN
Setelah memantau dengan teliti, didapati salah satu mata terkena kulit di luar mulut ikan. Saya berjaya menaikkan ikan tersebut setelah bertukar kepada Crankbait yang lebih besar berikutan kes lucut berulang kali.
Saya amat yakin dengan teori ini. Berikut adalah penjelasannya. Mata hanya tercangkuk sedikit pada mulut ikan. Kes yang amat mencemaskan pemancing terutama apabila menggunakan mata tiga. Ikan mudah lucut dalam proses melayannya. Sudah tentu keadaan seperti ini juga merupakan petunjuk yang berguna.
Apabila cangkukan berlaku di permukaan kulit ikan, ia biasanya membayangkan bahawa ikan menyerang gewang berpandukan reaksi pertamanya. Di situ mungkin tersembunyi seekor ikan yang besar namun anda harus cuba memujuknya dengan lebih rajin supaya ia membuat serangan secara inisiatif.
Nota: Apabila anda masih seorang budak, pernahkah lihat abang atau kakak melambai-lambai tangannya di depan muka anda sambil berkata: “Saya tak sentuh adik tahu, saya tak sentuh adik tahu.” Anda pasti merasa marah dan memukul tangannya. Perbuatan yang sama juga akan menyebabkan ikan yang pasif menajdi marah.
ANDA SUDAH HAMPIR BERJAYA APABILA IKAN TERKENA MATA BELAKANG
Kira nasib baik dapat naikkan ikan ini. Di perairan yang agak keruh ini warna gewang yang saya gunakan mungkin terlalu terang. Keputusan bertambah baik apabila bertukar warna.
![](https://www.majalahsirip.com/wp-content/uploads/2019/04/04.jpg)
Ikan terkena mata di belakang gewang membayangkan anda sudah hampir berjaya. Cubalah warna yang berlainan.
Ini adalah satu-satunya situasi yang mungkin akan mengakibatkan kes lucut. Apabila anda menggunakan gewang yang bermata tiga, keadaan mata belakang terkena ikan bukannya perkara baik dan perlu membuat pelarasan yang sepatutnya. Anda mungkin memilih jenis gewang yang ikan suka berpandukan pengalaman. Namun ternyata anggaran anda kurang tepat.
Hal ini memerlukan eksperimentasi yang berlanjutan. Saya memahami bahawa agak sukar untuk menyuruh anda bertukar kepada gewang lain apabila anda kerap mandapat sambaran dengan sesebiji gewang. Namun jika anda sudi mencuba dengan gewang lain, lazimnya akan memperolehi keputusan yang menakjubkan. Ada masanya kita tidak boleh terlalu degil, hendaklah sentiasa mencuba. Pertukaran gewang tiada rumusan universal. Ada masanya pertukaran warna, ada masanya pertukaran antara jenis gemerincing dan senyap, sehinggakan menambah satu corak titik dengan pen marker pun mungkin akan menghasilkan efek yang berlainan. Ada juga orang yang beranggapan bahawa pertukaran mata hadapan ke mata yang berwarna merah lebih menjadi!
Nota: Saya sendiri pasti akan tukar warna terlebih dahulu. Selepas itu bunyi. Ada masanya menukar selaman 1.5 ke 2.5 meter yang mempunyai lidah empat segi (dan sebaliknya) pula membuahkan hasil lumayan. Janganlah terlalu kaku atau menentang terhadap perubahan. Apabila anda terkena ikan melalui cangkukan mata belakang, perubahan yang kecil selalunya akan menghasilkan perbezaan yang ketara.
Selamat mencuba!