Perihal Arus
Setiap pemancing mempunyai pengalaman menangani arus di laut, terutama bagi mereka yang suka jigging. Sebenarnya hasil pancingan cukup berkait rapat dengan keadaan arus, sama ada pancingan berumpan atau umpan tiruan. Tetapi apakah itu arus, dari mana asalnya, ke mana ia pergi dan mengapa?
Oleh : PAK WONG
Para saintis membahagikan arus kepada tiga kumpulan yang besar : Arus Pasang-Surut, Arus Janaan Angin dan Arus Dalam.
Arus Pasang-Surut

Imej yang menunjukkan fenomena julangan air atau ‘up-welling’ yang sangat penting untuk kehidupan marin kerana ia membawa nutrien yang sangat subur.
Arus pasang-surut (tidal currents) dikaitkan dengan tarikan graviti matahari dan bulan. Semua orang tahu perihal pasang surut dan arus mengikuti corak yang sama. Apabila air pasang, ia mengalir ke satu arah. Apabila air surut, ia mengalir ke arah yang bertentangan. Apabila memancing di atas bot yang berlabuh, kadang-kadang anda akan perasan bahawa bot anda telah berubah arah kerana pasang dan surutnya air.
Bulan memberi kesan terbesar terhadap arus pasang-surut. Walaupun bulan jauh lebih kecil berbanding matahari, tetapi ia lebih hampir dengan bumi. Akibatnya, ia mempunyai dua kali kekuatan tarikan terhadap lautan kita, berbanding matahari.
Apabila bulan baru (anak bulan) atau mengambang penuh, pasang-surut akan tinggi dan arus pasang-surutnya kuat – ini dikenali sebagai ‘pasang besar’ atau ‘pasang tinggi’. Apabila bulan berada di paras suku atau tiga perempat (bulan sabit), tarikannya adalah paling lemah dan arus pasang-surutnya juga paling lemah.
Kekuatan arus pasang-surut juga dipengaruhi oleh geografi daratan, yang mewujudkan arus yang lebih kuat di mana air disalurkan. Memandangkan Asia Tenggara mempunyai ribuan pulau, ia juga mempunyai banyak saluran sempit yang menyalurkan dan mempercepatkan arus pasang-surut.
Di sesetengah kawasan, arus pasang-surut boleh jadi sangat kuat sehingga kawasan tertentu hanya boleh dipancing pada pasang-surut tertentu sahaja. Arus kuat yang dihasilkan juga membawa aliran nutrien yang subur, yang merupakan salah satu sebab mengapa perairan ini kaya dengan komuniti marin dan memberi pengalaman pancingan yang mengujakan.
Arus Janaan Angin
Arus janaan angin (Wind-driven currents) mempengaruhi lautan pada skala global dan lokal. Pada skala global, laut mengikuti pergerakan angin dalam kitaran besar di segenap lautan, yang dikenali sebagai ‘Gyres’.
Arus janaan angin yang digerakkan oleh tiupan angin, atau Gyres ini wujud di Lautan Atlantik utara dan selatan, Lautan Pasifik utara dan selatan dan Lautan Hindi. Anehnya, tiupan angin di permukaan lautan boleh menyebabkan pergerakan arus pada kedalaman hingga 400 meter, kerana setiap lapisan akan ‘menyeret’ lapisan di bawah.
Pada skala tempatan, angin menghasilkan gelombang yang memecah apabila ia bertemu dengan persisiran pantai yang cetek, lalu menghasilkan arus seperti ‘hanyutan persisir’ (longshore drift) – iaitu arus yang bergerak selari dengan pantai, dan arus luru (rip current) – arus pendek tetapi kuat yang bergerak keluar dari pantai.
Angin juga bertanggungjawab terhadap julangan air (up-welling) dan junaman air (down-welling). Julangan air atau ‘up-welling’ sangat penting untuk kehidupan marin. Ia berlaku apabila angin menolak air dari satu bahagian laut. Laut bertindak balas dengan menolak air dari tempat dalam untuk menggantikan air yang ditiup angin.
Sebagai peraturan umum, air sejuk dari dasar laut membawa lebih banyak nutrien, berbanding air permukaan yang hangat. Ini bermakna apabila ada julangan air, ia membawa banyak makanan dan nutrien dan menarik banyak hidupan marin, yang bermaksud pancingan kita menjadi sangat baik. Inilah sebab mengapa kawasan memancing yang berhampiran air dalam, seperti atoll (pulau cincin) dan pulau-pulau lautan sangat kaya dengan hidupan marin.
Junaman air (down-welling) pula bertentangan sifatnya dengan julangan air (up-welling), di mana angin memaksa air ke satu kawasan dan memaksa ia turun. Tempat-tempat yang berlaku arus sedemikian biasanya kekurangan hidupan marin.

Peredaran arus dalam atau ‘Sabuk Pengangkut Global’ (Global Conveyor Belt) yang merentasi rantau nusantara kita.
Arus Dalam : Sabuk Pengangkut Global
Jenis arus terakhir ialah arus dalam (deep currents). Arus ini tidak didorong oleh angin atau pasang-surut, tetapi disebabkan oleh suhu dan saliniti air (kemasinan / kandungan garam) yang mempengaruhi ketumpatannya.
Air yang sejuk dan masin adalah tumpat, berat dan tenggelam, lalu akan digantikan dengan air yang lebih panas. Maka ia memulakan kitaran arus yang dikenali sebagai ‘Sabuk Pengangkut Global’ (Global Conveyor Belt).
‘Sabuk Pengangkut Global’ ialah peredaran air yang besar yang membentang ke seluruh dunia – bermula berhampiran Artik di Lautan Atlantik dan mengalir ke selatan ke Antartika, kemudian ke utara ke Lautan India dan Pasifik, sebelum kembali ke Atlantik. Ia boleh mendorong air untuk 10,000 tahun yang menakjubkan bagi melengkapkan seluruh kitaran ini.
Yang mengejutkan, paras laut di seluruh dunia tidaklah seragam. Lautan Pasifik mempunyai paras laut tertinggi, diikuti oleh Lautan Hindi, kemudian Atlantik. Apabila paras air cuba menyeberangi lautan, air mengalir dari Pasifik ke Lautan Hindi, kemudian kembali ke Atlantik. Untuk bergerak dari Pasifik ke Lautan Hindi, air yang kaya dengan nutrien perlu mengalir melalui Filipina dan Indonesia, dan proses ini dikenali sebagai ‘Aliran Rentas Indonesia’ (Indonesian Throughflow).
Fenomena ini menyumbang makanan dan menarik banyak hidupan marin, yang seterusnya menarik ramai pemancing. Rentasan arus ini menerusi selatan Filipina, sebelum menuju ke selatan melalui Selat Makassar antara Borneo dan Sulawesi, kemudian melalui Selat Lombok yang dalam dan sempit antara Bali dan Lombok, sebelum menemui jalannya ke Lautan Hindi – ini memberi pengalaman pancingan yang hebat, walaupun sering kali arusnya deras di sepanjang laluannya.
Sistem arus pelbagai lapisan yang menarik ini menggerakkan air di sekitar lautan setiap jam setiap hari, memastikan lautan berada dalam gerakan yang berterusan. Ia juga membawa makanan dan nutrien yang menyokong kehidupan marin yang luar biasa, dari sekecil plankton sehingga makhluk gergasi.
Jadi selepas ini apabila anda memancing dan mengalami arus ini, berfikirlah tentang dari mana ia mungkin datang dan mengapa… Dan mungkin patut anda ucapkan terima kasih apabila ia berlalu kerana tanpa semua arus itu, dunia bawah air kita tidak akan subur…