Pautan Utama

Portal Memancing Rasmi Malaysia

Permata Belukar Bukit

Rupa dan tingkah lakunya yang mirip ikan trout menyebabkan sikang menjadi pujaan pemancing layang Malaysia.

Sikang bukanlah ikan idaman pengilat, tetapi bagi kaki pancing layang, ia adalah spesies yang amat dicintai dan disanjungi lantaran ciri-cirinya yang menyerupai ikan trout di negara barat. Bahkan keunikan ikan sungai asli inilah yang berjaya mengembangkan fenomena pancing layang sehingga ke ceruk pedalaman Semenanjung Malaysia…

Teks : HISYAMUDDIN ABD. GHANI

Fotografi : TERENGGANU FLY FISHING CLUB

Sungai jernih berpasir landai merupakan kawasan rayau ikan sikang.
Kawasan tebing sungai yang lapang di habitat sikang memudahkan lagi aksi pancingan layang.
Sikang dianggap lesen besar pemancing layang.

Sukan pancing layang (fly fishing), walaupun ia suatu industri yang besar di peringkat antarabangsa, namun perkembangannya agak perlahan di Malaysia pada mula ia menjengah arena pancingan negara pada pertengahan 90-an. Ini berkait dengan amat kurangnya pendedahan, lebih dipelopori oleh golongan elit dan kesukaran mendapatkan barangan memancing layang pada masa itu. Dan satu-satunya kedai pancing layang yang ada dan aktif dari dulu sehingga sekarang ialah Tacklebox di Subang.

Terengganu Fly Fishing Club (TFFC) rajin berkumpul hampir setiap minggu untuk melayang sikang di Belukar Bukit.
Umpan layang pelbagai jenis perlu disediakan sebaik mungkin. Untuk mengikat semula flies di tepi sungai bukan pilihan terbaik.

Sekian lama juga pancing layang di Malaysia lebih popular dan berkitar di kalangan pemancing yang tinggal di sekitar Lembah Klang dan bandar besar sahaja. Tumpuan pula lebih diberikan lebih kepada kegilaan menjebak peacock bass dan ikan bulan (tarpon).

Kecil-kecil cili padi. Sikang kuat melawan walaupun sebesar 2 – 3 jari lebarnya.
Kecil-kecil cili padi. Sikang kuat melawan walaupun sebesar 2 – 3 jari lebarnya.
Ramai pelayang boleh beraksi di satu-satu kawasan permainan sikang.

Walau bagaimanapun, sejak 5 – 6 tahun kebelakangan ini, minat pancingan berseni ini kian menular sehingga ke pemancing yang tinggal di kawasan luar bandar dan pedalaman, termasuk seceruk Kuala Berang di Terengganu dan Jeli di Kelantan sehingga tertubuhnya komuniti pemancing layang mereka sendiri. Saya yang menetap di Ajil turut terpengaruh dan menjadi obses pancing layang sehingga set mengilat semuanya tak disentuh lagi sejak 4 tahun lepas!

Penularan sukan memancing layang yang unik ini dirancakkan oleh semakin mudahnya kita untuk mendapatkan produk pancing layang semenjak adanya perniagaan secara online, dan satu lagi punca disebabkan oleh kewujudan satu spesies ikan sungai asli kita yang amat efektif dipancing dengan teknik ini iaitu ikan sikang (Raiamas guttatus).

Terengganu Fly Fishing Club

Sahabat dari KL sanggup merantau sampai ke Kuala Berang semata-mata kerana sikang.

Sebelum saya teruskan dengan cerita sikang, terlebih dahulu ingin saya perkenalkan Terengganu Fly Fishing Club (TFFC). TFFCmerupakan sebuah kelab pancing layang yang aktif di negeri Terengganu Darul Iman. Sebelum ini ia dikenali sebagai ‘Ulouff’. Idea asal penubuhan kelab pancing layang ini ialah Christopher John Mcilravy pada Februari 2017, seorang warganegara Amerika Syarikat dan pemancing layang sejati yang menetap di negeri penyu ini sejak tahun lalu, setelah berhijrah dari Indonesia.

Landing net wajib ada bagi setiap pelayang agar tidak memudaratkan sikang semasa didaratkan bagi tujuan pelepasan semula.
Semua sikang wajib dilepaskan semula.
Penulis menggantung set mengilat semenjak mula jatuh cinta dengan pancing layang sikang kira-kira 4 tahun lalu.

Kelab TFFC ini diketuai oleh penulis sendiri dan kami mempunyai ahli aktif seramai 12 orang. Tujuan penubuhan kelab ini adalah untuk mengembangkan dan memperkenalkan teknik fly fishing kepada orang ramai dan sedia berkhidmat dalam apa jua perkara berkaitan fly fishing sekitar negeri Terengganu dengan mengadakan pameran, klinik pancing layang dan sebagainya.

Selain itu objektif TFFC adalah untuk memupuk silaturrahim (persahabatan), menggalakkan dan mengamalkan ‘tangkap dan lepas’ (C&R), memperkenalkan daerah Kuala Berang yang menjadi gelanggang pancing layang utama untuk sikang di Terengganu, memupuk sikap menghargai alam sekitar dan memulihara spesies sikang yang digelar ‘Malayan trout’.

Pancing layang sememangnya satu wadah berbentuk sukan memancing di mana ahli-ahlinya diterapkan dengan budaya memancing yang positif, antaranya setiap ahli dimestikan mengamalkan konsep mengambil yang perlu sahaja, mengamalkan budaya hidup sihat, menjaga kebersihan alam sekitar, mengamalkan kitar semula dan mematuhi etika memancing.

Permata Belukar Bukit

Kawasan sungai yang cetek, berpasir halus dan berbatu kerikil menjadi kawasan utama rondaan sikang kerana ia dapat menyamarkan dirinya daripada mangsa yang diburu.

Rata-rata orang Terengganu mengetahui kawasan perkelahan Belukar Bukit di Kuala Berang yang berdekatan Tasik Kenyir merupakan kawasan perkelahan terkenal suatu masa dahulu. Selain kawasan perkelahan, sebenarnya Belukar Bukit inilah nirwana spesies ikan yang amat dicintai oleh para pengamal pancing layang iaitu ikan sikang.

Ramai yang tidak tahu akan kewujudan ikan hebat ini di kawasan itu. Namun bagi kaki pancing layang, ia sudah menjadi satu destinasi wajib dikunjungi setiap tahun. Sampaikan pemancing layang dari luar Terengganu malah pemancing layang mat saleh dari luar negara pun saban tahun mengunjung lokasi ini semata-mata kerana sikang!

Spesimen sepanjang 30 cm boleh dianggap saiz maksimum sikang.

Kenapa sikang begitu digilai pemancing layang kita? Sebabnya… Anda hanya perlu bayangkan bagaimana brook trout yang selalu ditonton di YouTube mengambil dry fly di permukaan air sungai yang jernih dan mengalir perlahan, maka begitulah cara sikang mencakup dry fly! Amat indah jika dihiasi dengan pemandangan cantik gigi sungai yang berpasir halus berlatar belakang bukit bukau menghijau… ia berada di negaraku Malaysia sahaja!

Sesekali sebarau juvenil turut menyambar umpan layang.

Hari ini, pemancing layang menganggap ikan sikang adalah spesies yang perlu berada dalam senarai tangkapan mereka. Ia dianggap ‘lesen’ penting sebelum memburu ikan lain. Habitat sikang yang mendiami kawasan yang berair bersih, jernih, berpasir halus dan berbatuan kecil, serta lapang untuk memudahkan layangan tali… semua itu lengkap di Belukar Bukit.

Pemilihan Belukar Bukit dan sepanjang sungai hingga 8 km ke hilir sebagai destinasi pemancing layang untuk sikang adalah wajar kerana geografinya yang mesra manusia, di mana semua golongan baik kanak-kanak sehingga orang berumur pun dapat merasai kepuasan sekiranya berada di sini.

Mengenali Sikang

Ikan sikang atau nama saintifiknya Raiamas guttatus ditemui biasanya di kawasan pertengahan sungai yang mengalir lesu dengan dasarnya berpasir dan berbatu halus. Ia tidak berada di kawasan lubuk dalam atau kawasan bereba kayu kerana tingkah laku spesies ini yang memerlukan dasar berpasir dan berbatu halus sebagai tempat penyamarannya daripada dikesan mangsanya. Ini satu kaedah penyamaran yang menyerupai ikan bebolos dan bonefish di tepian pantai lautan.

Antara trofi bersaiz kasar dan cantik oleh penulis.

Spesies sikang yang dikenali dengan nama Malayan trout atau Burmese trout banyak ditemui di negeri Terengganu khususnya di Dungun, Kuala Berang dan Sekayu; di Kelantan khususnya di Jeli dan Gua Musang; Kedah di sebelah Sik; Pahang seperti di Bentong, Raub, Jerantut dan Kuala Lipis; manakala Negeri Sembilan di daerah Jelebu sahaja. Di negeri lain tidak dipastikan pula tentang kewujudannya.

Oleh sebab sikang gemar hidup di sungai yang bersih dan jernih seperti kelah, maka spesies ini semakin sukar ditemui lantaran kebanyakan sungai di bahagian zon pertengahan seringkali keruh atas pelbagai faktor seperti pembangunan dan pembukaan hutan (pembalakan).

Petua Melayang Sikang

Tompok-tompok hitam yang jelas pada pipi kuningnya menunjukkan tahap kematangan dan keanggunan sikang.

Berdasarkan pengalaman kami melayang sikang, ikan ini didapati aktif dan terbaik diburu pada waktu antara jam 9 pagi hingga ke 12 tengahari. Sebelah petang juga agak aktif bermula 5 hingga 6.30 petang.

Cara terbaik untuk melayangnya ialah kita terlebih dahulu perlu mencari di mana ikan sikang ini berlegar di kawasan cetek dan mulakan dengan sight cast. Teknik ini memberikan 80% peluang untuk mendaratkan sikang.

Suhu air juga tidak boleh terlalu sejuk ataupun panas, air yang berada pada paras neutral adalah yang terbaik untuk menjebak sikang. Namun kami dapati sikang juga aktif selepas hujan. Mungkin banyak makanan yang hanyut dibawa arus mengaktifkan sikang untuk mendapatkan fly yang dilayangkan. 

Apa pun, cuaca yang baik juga belum menjamin peratusan yang tinggi untuk mendaratkan sikang. Hal ini disebabkan beberapa faktor, antaranya ialah :

  1. Pemilihan corak umpan layang (fly pattern) yang tidak sesuai.
  2. Terdapat gangguan daripada manusia atau semulajadi.
  3. Ikan menjadi culas dan terlalu berhati-hati (spook).
  4. Tali layang jatuh dalam keadaan yang mengejut atau kuat pada permukaan air.
  5. Penggunaan saiz tippet yang sedikit besar.
  6. Teknik layangan yang tidak betul.

Sikang Battle

Keterujaan melayang sikang membawa kepada kehadiran sekumpulan pemancing layang otai dari ibu kota ke mana sahaja. Kumpulan ini sanggup mengharungi perjalanan sejauh 500 km  untuk kepuasan peribadi yang sukar dimengerti. Hanya yang empunya diri dan pernah menaikkan sikang sahaja yang dapat merasakan keunikan permainannya.

Lantaran itu, komuniti pemancing layang telah menganjurkan Sikang Battle Challenge (SBC) sesama peminat pancing layang di Malaysia. SBC yang pertama telah diadakan di Jeli, Kelantan oleh Kelantan Fly Fishing Community. SBC yang kedua anjuran TFFC diadakan pula di Belukar Bukit dalam daerah Kuala Berang, Terengganu pada April yang lalu. Di sinilah semua para pemancing layang menunjukkan bakat masing-masing sambil merapatkan lagi perhubungan sesama mereka.

Pantai Timur Semenanjung ternyata masih menyimpan khazanah berharga ini. Kawasan pedalaman Kelantan, Terengganu dan Pahang adalah kawasan rayau spesies peronda dasar berpasir halus dan berbatuan licin ini, dan semestinya suci daripada pencemaran.

Segala ego anda pasti akan terhakis di sini… justeru sikang permata timur wajarlah kita jaga dan pulihara demi generasi kita akan datang. Saya juga percaya sikang ‘the Malayan hill trout’ mampu membawa nama negara kita di persada pancingan layang antarabangsa. – SIRIP –

___________________________________________________________________________

BIODATA SIKANG

Nama Saintifik          : Raiamas guttatus (Day, 1869)

Nama Tempatan       : Sikang

Nama Inggeris           : Malayan hiil trout, Burmese trout

Morfologi                   : Badan berwarna perak dan kekuningan dengan tompok hitam pelbagai saiz di sepanjang badan. Sisik nipis dan halus. Mempunyai sepasang sesungut maksila. Terdapat jalur hitam pada cuping bawah sirip kaudal (ekor). Bukaan mulut sangat luas.

Saiz Maksimum        : 30 cm panjang

Diet                             : Serangga dan ikan kecil

Taburan & Habitat  : India, Lembangan Salween dan Irrawady di Myanmar, Lembangan Mekong di Thailand, Sumatera, dan di utara dan pantai timur Semenanjung Malaysia. Suka mendiami kawasan anak sungai yang teduh, berarus dan berkerikil.

___________________________________________________________________________

FLY KEGEMARAN SIKANG

Sikang yang tinggal di kawasan berpasir landai di sungai yang bersih dan jernih mempunyai diet semulajadi seperti ikan seluang, udang, belalang, semut, kutu air, serangga mayfly dan kelkatu. Justeru, umpan layang (fly) hendaklah meniru bentuk-bentuk diet utama sikang tersebut.

Umpan layang pelbagai jenis perlu disediakan sebaik mungkin. Untuk mengikat semula flies di tepi sungai bukan pilihan terbaik. Sebab itulah persiapan awal perlu.

Sikang amat sensitif dengan persekitaran walaupun ia amat mesra pemancing. Sebab itu penggunaan duri pandan pada mata kail amat tidak digalakkan, dan mendaratkannya mesti menggunakan landing net dan joran yang digunakan mesti dilayan perlahan sebaik mungkin agar tidak mencederakan bibir halus mungil sikang ini.

Berikut ialah jenis dan corak umpan layang (fly pattern) yang amat diminati sikang :

  1. Dry flies (Mayfly) : Caddis fly / sedge, Adams family, Royal wolf
  2. Nymphs (Swimming nymphs) : Stonefly, Pheasant tail, Dragon fly
  3. Wet fly (Soft hackle pattern) : Haze pattern, March brown, Snail pattern
  4. Terresterial : Hopper, Bug, Ant

Corak fly pilihan kedua yang digunakan ialah Minnow seperti Clouser dan Crazy charlie, dan termasuk Popper fly, Baitfish dan Shrimp.