Pertandingan Jigging Ringan Men2tuk Jigger
Peserta tahun ini bertambah hampir dua kali ganda, dengan Senses Fishing tetap sebagai penaja utama.Pertandingan memancing yang sihat dapat mempergiatkan perkembangan sukan memancing secara positif. Ia juga memberi peluang kepada pemancing daripada pelbagai tempat untuk berkenalan dan bertukar fikiran. Menganjurkan sesebuah pertandingan memancing sememangnya bukan perkara mudah. Ia memerlukan kerjasama daripada beberapa pihak dan membabitkan kerja dan dana yang agak banyak. Justeru, pertandingan jigging ringan Men2tuk Jigger yang telah dianjurkan buat kali kedua pada tahun ini seharusnya diberi pujian dan sokongan.
Teks & Fotografi : PAK WONG
Men2tuk Jigger yang ditubuhkan pada tahun 2014 bukannya sebuah persatuan memancing, tetapi sebuah group Facebook yang mempunyai ahli seramai 1,400 orang yang mencintai teknik jigging.
Group ini telah menganjurkan pertandingan jigging ringan pada tahun 2017 dan telah mendapat sokongan padu daripada Senses Fishing. Pertandingan julung kali ini telah mendapat sokongan daripada 72 peserta dan melibatkan 15 bot pancing. Sambutan yang boleh dianggap amat memberangsangkan buat sesebuah group Facebook.
Pertandingan Men2tuk Jigger kali kedua yang dilangsungkan pada 17 Mac 2018 telah berjaya menarik seramai 135 peserta dalam jangka masa yang amat pendek apabila berita disebarkan. Hampir dua kali ganda berbanding tahun lepas!
Pihak penganjur telah menyediakan sebanyak 25 buah bot, termasuk sebuah bot khas untuk urusetia dan hadirin jemputan. Senses Fishing kekal menjadi penaja utama pertandingan kali ini.
Kehadiran Jigger Luar Negara
Keistimewaan pertandingan jigging ringan Men2tuk Jigger tahun ini ialah kehadiran 6 pemancing dari Indonesia serta Sea Angel, seorang pemancing wanita tegar dari Sarawak yang turut memeriahkan acara ini.
Pertandingan memancing ini telah mendapat sokongan dan kerjasama daripada masyarakat Penyabong, Johor. Seawal pukul 6 pagi pihak urusetia telah sampai ke jeti Penyabong untuk membuat persediaan. Peserta yang datang dari merata tempat tiba sekitar pukul 7 pagi. Pertandingan dimulakan sebaik sahaja upacara perasmian dan sesi taklimat dijalankan.
Cuaca pada hari itu cerah dengan arus laut yang agak kencang. Namun ia tidak mendatangkan impak negatif terhadap para peserta yang bersemangat tinggi. Mereka bekerja keras sepanjang hari demi mencapai kemenangan.
Tekong bot memainkan peranan penting dalam pertandingan seperti ini. Masing-masing mencari lubuk terbaik untuk mencapai keputusan sebaik mungkin.
Pertandingan berakhir pada pukul 6 petang. Berikut adalah keputusan semua kategori :
1) King of Jigger : Nachi (alu-alu 8.1 kg – bot 19)
2) Ikan Demersal
Azwan (kerapu bara 1.4 kg – bot 13)
Suhaimi (kerapu 0.75 kg – bot 17)
Faizal (tambak 0.75 kg – bot 23)
3) Ikan Pelagik
Hanmasdi (gerong belang 5.4 kg – bot 6)
Harris (gerong belang 4.4 kg – bot 11)
Muzakir (gerong belang 4.3 kg – bot 14)
4) Kategori Khas Aruan Tasik
Ocy – 7.3 kg (bot 2)
5) Ikan Rare
Aman Lancer (ikan yang tidak dapat dikenal pasti spesiesnya)