Pautan Utama

Portal Memancing Rasmi Malaysia

Pesta Kaul Mukah

Mukah terletak di tengah Sarawak merangkumi kawasan pesisir dari daerah Balingian sehinggalah ke Tanjung Manis. Sesuai dengan kedudukan geografinya yang berhadapan Laut China Selatan, perikanan adalah aktiviti utama sebilangan besar penduduknya. Bidang perikanan ini hampir 90% dikuasai oleh kaum Melanau kerana kaum ini adalah penduduk yang mendiami pesisir dan muara sungai di Sarawak. Oleh yang demikian, sudah semestinya bidang perikanan menjadi kepakaran mereka termasuk mengesan lubuk-lubuk memancing yang berpotensi tinggi untuk dijarah pemancing…

Teks & Fotografi : JOSEPH JAMES (Simanggang Anglers)

Bidang pekerjaan sebagai nelayan memang sudah sebati dengan jiwa, malah telah diwarisi daripada nenek moyang menyebabkan ramai warga Melanau menjadikan bidang perikanan sebagai profesion pilihan.

Dari segi pemakanan, ‘umai’ sudah pasti menjadi menu wajib untuk dirasai. Umai, hidangan isi ikan segar yang dihiris selepas dibuang tulangnya. Selepas dihiris, ia boleh dimakan terus setelah dicampur cencah iaitu limau nipis, bawang, cili dan garam.

Merah sulip yang dinaikkan di Pelantar D35.

Musim Ikan Laut Mukah

Setelah dengar desas-desus berkenaan musim ikan yang melanda Mukah serta Pesta Kaul (sekali setahun) yang tengah diraikan, kami Simanggang Anglers sebulat suara memilih lautan Mukah untuk trip tiga hari dengan bot tekong Ah Sui yang berpengalaman.

Kami berangkat sehari awal ke bandar Mukah untuk menikmati Pesta Kaul yang sedang diraikan. Ternyata jalan raya penuh sesak dan sebanyak 181 gerai beroperasi sepanjang pesta terdiri daripada gerai jualan, makanan serta pameran korporat.

Sepanjang pesta ini, puluhan ribu pengunjung seluruh Sarawak hadir memeriahkan hari tersebut. Pesta keramaian masyarakat Melanau sejak dahulu disambut secara tahunan menghimpunkan upacara dan adat resam menarik dan unik.

Kerapu yang menyentap apollo mata 3 penulis di perairan Oya.

Dahulu, Kaul merupakan pesta keagamaan serta upacara pemujaan yang diraikan masyarakat nelayan Melanau ‘pagan’. Mereka memohon restu penunggu laut, darat dan hutan agar mendapat ketenteraman serta keselamatan ketika melakukan aktiviti seharian.

Perancangan & Strategi

Esok paginya, kami mencari umpan segar di pasar Mukah iaitu sotong, tongkol, jamah (selar), kembong dan alu-alu. Selepas itu, rombongan menuju pula ke jeti LKIM Mukah.

Tekong Ah Sui telah menunggu di jeti dan kami mula berangkat pada pukul 10 pagi selama 3 jam untuk tiba di perairan Oya. Sepanjang perjalanan, Bent menguji nasib dengan trolling. Rapala Magnum Redhead terbukti berkesan apabila berjaya mendaratkan 4 ekor tenggiri dan 2 ekor tongkol. Tenggiri pertama itu dikorbankan untuk dibuat umai.

Roy berjaya menaikkan cupak dengan jigging.

Perairan Oya & Igan

Tanpa buang masa, kami turunkan umpan sotong dan tongkol. Sambaran demi sambaran terus dilihat kerana hampir semua joran melentur oleh asakan kerapu dan pisang bersaiz kecil.

Malam pula kami menuju ke perairan Igan yang cetek iaitu atas bukit lalu berlabuh untuk menunggu kedatangan tenggiri dan cupak. Namun hanya beberapa ekor cupak yang dapat dinaikkan dengan jigging.

Tenggiri pertama dinaikkan menjadi korban untuk menu wajib iaitu umai.

Pesta Pelantar D35

Hari kedua, rombongan kami dilanda ombak tinggi dan ini memaksa kami berhenti memancing dari pukul 3 pagi hingga 8 pagi. Namun itu tidak melunturkan semangat. Setelah ombak reda, tekong memberi isyarat untuk memulakan semula pancingan. Kali ini kami menduga perairan Pelantar D35.

D35 terbukti membuahkan hasil apabila jeritan meminta tolong dari semua para pemancing sebaik ikan merah, merah sulip dan merah kakap bersaiz mega menyentap umpan. Tambahan pula, tekong Ah Sui amat rajin berpindah lubuk apabila tiada sambutan di lokasi yang dilawatinya.

Matahari mula terbenam dan kami mula turun berpindah ke lubuk untuk berlabuh malam. Setibanya di destinasi pukul 9 malam, tekong Ah Sui tiba-tiba mencuba nasib perambut dasar apollo mata 3 beliau, ternyata ikan cupak terus menyambar umpan tersebut sebelum sampai ke dasar.

Terus terpancar senyuman kami serta kegopohan memasang umpan tiruan untuk jigging, popping dan casting. Jelas riak ketawa dan keriangan apabila kami semua berpesta menjerat ikan cupak tanpa henti dan sotong pula mengerumuni sekeliling kapal.

Leka dengan kehadiran cupak dan sotong tanpa henti, kami pula dikejutkan oleh tekong dengan bunyi enjin kapal dipasang menandakan masa tidak mengizinkan oleh kerana muara sungai Mukah yang cetek adalah penyebab kapal tak dapat melaluinya jika air surut.

Kesibukan semua pemancing apabila diundang ke lubuk ikan kerapu.

Ikan merah yang berjaya dinaikkan Stevenson di perairan Igan.

Oleh itu, kami harus kembali berangkat balik ke Mukah pada jam 2 pagi yang mengambil masa selama 5 jam. Trip kali ini amat berjaya dan nantikan aksi Simanggang Anglers lagi pada masa akan datang.

Tekong Ah Sui Mukah : 011-1506 2710

(Pakej memancing RM 3,000 untuk 3 hari 2 malam tidak termasuk umpan, makan dan minum)

Ikan merah dasar lautan saiz mega dinaikkan oleh Kubing dan Forest.