PMC Light Jigging 2018 – Terus Melangkah
Penganjuran cabaran jigging ringan Pasir Mas Caster (PMC) terus melangkah maju buat tahun ke-6 dengan penyertaan 37 buah bot di lokasi yang sama, Kg. Nelayan Pantai Baru, Bachok, Kelantan.
Teks : HANUMEI IKE
Fotografi : HANUMEI IKE & PMC
Sebagai pelopor pertandingan jigging ringan di Malaysia, acara tahun ke-6 PMC Light Jig 2018 ini mendapat sambutan luar jangkaan dengan penambahan peserta dari negeri jiran tetangga pantai timur, Kuala Lumpur, Selangor, negeri-negeri utara dan selatan dan amat mengharukan penganjur, kehadiran peserta dari Singapura!
Tahun lepas hanya 37 buah bot yang bertanding, tetapi tahun ini permintaan mencecah 80 buah. Sayang seribu kali sayang, kerana lengah mendaftar awal, penganjur terpaksa menolak penyertaan hampir 30 buah bot. Ia bukan kerana kekurangan bot, tetapi penyediaan baju daripada penaja hanya untuk 50 buah bot yang mendaftar awal.
Pagi Hari Pertandingan
Para peserta dari luar Kelantan datang lebih awal dan menginap di chalet-chalet berhampiran, malah ada yang membawa keluarga sambil bercuti. Kampung nelayan Pantai Baru tidak tersisih dalam pembangunan dengan memiliki pantai yang cantik untuk dijadikan aset pelancongan, malahan terdapat puluhan jajaran chalet dan resort sepanjang pantai.
Soal makan pula tidak perlu dibimbangi. Bak kata seorang peserta luar, andainya seseorang datang melancong ke Kelantan kebulur, itulah penipuan paling besar dalam hidupnya kerana Kelantan kaya dengan masakan kampung dan makanan tradisional. Malah makanannya juga pelik-pelik beserta enak. Kenyataan itu disambut dengan gelak-tawa antara kami.
Kali ini, radius pertandingan diperluaskan lagi. Tidak seperti sebelumnya hanya setakat Kuala Kemasin di sebelah barat, sebaliknya perairan Pantai Sabak kini termasuk dalam zon pertandingan dan di sebelah timur kekal di muara Tok Bali. Sekiranya melebihi Tok Bali bermakna zon pertandingan sudah memasuki perairan Terengganu.
Peringatan turut diberi kepada tekong dan peserta agar tidak mencerobohi Taman Laut Pulau Perhentian kerana penganjur tidak akan bertanggungjawab sekiranya ditangkap pihak berkuasa. Peserta mula mendapatkan bot masing-masing selepas kehadiran anggota Agensi Pertahanan Malaysia bagi memantau dan bersedia untuk keselamatan peserta sepanjang pertandingan.
Pelepasan Peserta
7 pagi, laut yang tenang mula berombak akibat belahan bot yang mula meluru ke lubuk masing-masing dan akan kembali ke darat sebelum 3.30 petang. Sebuah bot disediakan untuk pemantauan peserta dan media. Bila mana kami sampai di lokasi utama iaitu di Karang Payung, kebanyakan bot peserta berada di situ dan hanya segelintir yang berada di lokasi lain.
Cabaran kali ini agak sengit. Jika dibandingkan dengan tahun lepas, hasil tangkapan keseluruhan tahun ini agak kurang. Dominasi tenggiri agak kurang berbanding tangkapan ebek, walaupun kurang saiz bagak pada kali ini.
Juara Bersilih Ganti
Bila jarum jam 3 petang, di ufuk timur mula kelihatan berduyun-duyun pecutan bot menghala ke daratan. Di bawah khemah, urusetia akan merekod segala tangkapan sebelum peserta menjamu hidangan nasi bungkus di khemah rehat bersebelahan.
Setiap bot yang pulang akan dicatat kepulangan peserta agar tiada yang berada di lautan dalam tempoh yang ditetapkan, dan maklumat tersebut diserahkan kepada Agensi Pertahanan Awam. Seandainya ada bot yang tidak pulang dan berkemungkinan mengalami masalah di lautan, gerakan mencari akan dijalankan oleh pihak keselamatan.
Dalam masa yang sama, muncul sekumpulan belia yang membawa sumbangan hamper dari Majlis Belia Negeri Kelantan bersama YDP Hafizul Nizam Abdullah yang dijemput bagi memeriahkan acara jigging kali ini dan juga penyampaian hadiah kepada pemenang.
Acara penobatan juara dimulakan dengan cabutan bertuah sebelum pemenang setiap kategori diumumkan. Hanya segelintir peserta yang sama pada tahun lepas menaiki podium kali ini. Juara-juara setiap kategori bertukar ganti setiap tahun, tiada siapa mampu menjadi juara bertahan. Malah pada tahun ini, kategori spesies layaran direkodkan buat pertama kalinya setelah tiga tahun diperkenalkan.
Tulang Belakang
Manakan berdiri rumah tanpa tiang… begitulah acara yang sudah bertahan selama enam tahun ini terus melakar sejarahnya tersendiri dengan kekuatan ahli Pasir Mas Caster (PMC) sebagai tulang belakang yang tidak pernah mengeluh untuk bersengkang mata, lokek akan kudrat mahupun terpaksa mengeluarkan duit poket sendiri. Ia terus dibuat atas satu jalinan semangat permuafakatan demi kelestarian nama PMC yang telah tercoret dalam sejarah dunia memancing tanah air.
Sambutan di luar dugaan juga satu cabaran buat ahli yang perlu lebih bersedia pada masa hadapan. Saya percaya ia bukanlah masalah besar dengan pengalaman PMC yang kian matang. Selepas setiap kali acara, ‘post-mortem’ akan dibuat bagi menambah baik dengan penyediaan yang lebih sempurna.
Saya mewakili PMC mengucapkan jutaan terima kasih kepada penaja seperti Senses Fishing, Mitra Coffee, AB work pellet pine, Majlis Belia Kelantan dan juga penduduk Kg. Nelayan Pantai Baru yang turut bertungkus-lumus menjayakan acara kali ke-6 ini.
SENARAI PEMENANG
Kategori Individu
- Mohd Kamarul (ebek 6.83 kg)
- Mohd Hairi (tenggiri 4.94 kg)
- Irwan Marzuki (ebek 4.75 kg)
- Shahrul (bayan 4.32 kg)
- Fadhill (ebek 4.10 kg)
Kategori Kumpulan
- Strike Hunter
- Frogistan
- Perillis
- AIA 2
- Kara Angler
Kategori Aruan Tasek
- Zul Fakhri (6.12 kg)
- Ng Teck Seng (2.16 kg)
Kategori Layaran : King Fisher
Kategori Hadiah Misteri : Sharul (bayan 4.32 kg)
Kategori Tekong Terbaik
- Iran
- Hamat
- Jemi
Kategori Senses Spymission (sinking minnow) : Hamdan Shahid (barat 0.75 kg)
Kategori Produk Senses
- Marzuki (ebek 1.29 kg)
- Ayoh Li Tamil (kerapu 0.85 kg)
- Azizan (cermin 0.65 kg)
- Faid (kerapu 0.54 kg)
- Zidi (kerapu 0.37 kg)