Pontianak Kuala Mentiga
Sesampainya di muka kuala, Am yang sudah bersedia dengan Eupro K2 kesukaannya terus melontar ke arah batang kayu separa tenggelam di hujung sana. Karauan sederhana perlahan kerana gewang selaman dalam ini sedikit berat dikarau dengan Shimano Curado K 200 ber-‘ratio’ 8.2 : 1. Lontaran kedua dilakukan sambil mata terus melilau memerhatikan libasan demi libasan pontianak sungai membaham anak-anak ikan di permukaan air. Yeahhh… begahak kembali bergasak di Sg. Pahang!
Teks : JORAN PANJANG
Fotografi : JORAN PANJANG & CASTER BOY
Apabila gewang menghampiri bot, joran diangkat sedikit bagi mengelakkan gewang tersangkut tebing. Sewaktu inilah, tiba-tiba joran melengkung hebat diasak makhluk dari bawah air. “Yes, saya dah kena cikgu!” Perlawanan berlangsung seketika kerana ia hanya seekor begahak kecil.
Namun ikan belum mahu bergambar kerana sewaktu mahu di-grip mulutnya, ikan melakukan libasan dan terlepas dari mata kail. “Takpe cikgu, ada lagi banyak dalam air tu…” dengan yakinnya Am memberitahu saya.
Ikon Sg. Pahang
Begahak (Belodontichthys dinema) merupakan ikan ikon negeri Pahang kerana tidak keterlaluan kalau dikatakan hanya di Sg. Pahang spesies ini boleh dijumpai. Ekosistem sungai yang semakin tercemar menyebabkan ikan ini semakin menghampiri kepupusan.
Rata-rata di sepanjang sistem sungai di kebanyakan negeri kini dipenuhi mesin penyedut pasir. Apabila mesin ini beroperasi, sungai menjadi keruh di sepanjang alirannya. Lebih parah, tebing-tebing sungai akan mula runtuh sedikit demi sedikit tanpa adanya pemantauan pihak berkaitan alam sekitar. Lubuk-lubuk yang menjadi sarang sang gigi tajam ini semakin hilang apabila struktur dasar berubah akibat kerja-kerja pengambilan pasir dilakukan.
Spesies yang digelar ‘pontianak sungai’ merujuk kepada gigi tajam meruncingnya yang amat menggerunkan sesiapa sahaja. Kita disarankan untuk berhati-hati sewaktu mengendalikan ikan ini kerana sedikit kealpaan memberi kemudaratan. Keseronokan menjinakkan ikan ini akan bertukar menjadi tragedi jika tidak dikendalikan dengan lebih berhati-hati.
Begahak yang hanya boleh ditemui dengan mudah pada musim kering ini menyasarkan anak-anak ikan sebagai diet utamanya. Ikan ‘mungkus’ yang mudik ke hulu akan bertempiaran apabila ikan ini mengejarnya. Kerapkali kita akan terserempak aksi-aksi akrobatik ikan berwarna keperakan ini di permukaan air sewaktu memburu ikan mungkus.
Kumpulan begahak ini bergerak mengikut kumpulan ikan mungkus yang mudik ke hulu bermula dari akhir musim tengkujuh sehinggalah musim kemarau menjelma. Ikan mungkus atau sekumpulan anak-anak ikan mudik ke hulu sungai dalam kumpulan yang banyak. Ini memudahkan ikan-ikan pemangsa untuk menghambatnya.
Walau bagaimanapun, ketika menjumpai kawasan lubuk yang dalam, kumpulan pemangsa ini akan menetap di suatu sudut dalam jangka masa agak lama bergantung kepada banyaknya diet yang ada di sekitar. Kumpulan ini lebih mudah ditemui di lubuk dalam ini sewaktu musim kemarau. Kumpulan ini akan terus kekal di situ sehingga tibanya musim hujan yang akan meninggikan paras air sungai semula.
Peluang Tatkala Musimnya Tiba
Lama juga saya tidak berpeluang untuk merasai tarikan begahak. Keseronokan menawan ikan ini akan menjadi satu trofi yang boleh dibanggakan. Ini kerana tidak semua pemancing di Malaysia yang mampu berlawan tarik dengan spesies ‘rare’ ini.
Keupayaan untuk menemuinya amat terhad. Ikan yang banyak berada di tebing Sg.
Pahang tidak dapat diakses dengan mudah, kerana kawasan rumah atau tanah orang dan juga kegagalan untuk mengesan kelibatnya berada. Andai sewaktu memancing kita terjumpanya, itu bonus dan simpanlah spot tersebut kerana kebiasaannya kawanan ikan ini akan berada di situ saban tahun, selagi struktur dan lubuk itu tidak berubah.
Tahun ini saya berpeluang untuk menduga apabila mendapat mesej Whatsapp dari Am yang menghantar gambar kenalan sedang memegang beberapa ekor pontianak sungai ini. Ayat “cikgu kalau nak merasa lawan tarik marilah, ikan dah ada ni…” sudah cukup membuatkan saya bersegera mempersiapkan segala kelengkapan untuk menduganya keesokan hari!
Super Dalam
Set ringan sesuai digunakan untuk mengilat, memandangkan kawanan ikan yang ditemui bersaiz kecil dan bawah daripada dua kilo. Andai berjaya menjinakkan ikan yang bersaiz kasar, itu bonus. Gewang-gewang yang mampu menyelam super dalam menjadi keutamaan kerana ikan ini jarang mengejar gewang yang berada di luar kawasan kedalamannya berada.
Kekili yang mempunyai ‘gear ratio’ rendah seperti 5 : 1 – 6.5 : 1 amat sesuai untuk mengemudi gewang super dalam ini. Jika menggunakan kekili yang mempunyai gear ratio yang tinggi seperti 8.2 : 1, hanya akan menyebabkan kita cepat penat dan pergelangan tangan menjadi sakit.
Namun begitu, apa set yang kita ada boleh sahaja kerana ikan sasaran bukan mengenal set yang kita gunakan. Janji gewang yang dipersembahkan sampai ke kolum ia berada dan dapat merangsang ia menerkam gewang.
Lesen 2018
Saya berpeluang untuk menduga begahak beberapa kali memandangkan waktu cuti persekolahan masih berbaki. Mengilat dan aksi trolling amat menyeronokkan, saat ikan menyambar gewang adalah saat yang paling ditunggu-tunggu. Joran yang dikarau perlahan akan disentap secara tiba-tiba dan menimbulkan suasana terkejut. Andai ada yang mahu menukar saat indah itu dengan wang ringgit, pasti pengilat-pengilat ini menolak tawaran tersebut kerana ‘moment’ yang sengaja dicari itu akan hilang daripada memori kita.
Banyak juga ikan yang berjaya kami naikkan, termasuk beberapa ekor baung kerana penggunaan gewang super dalam menghampiri kawasan dasar yang didiami baung. Namun saiz-saiz yang melebihi dua kilo tidak berjaya kami cungkil pada musim ini.
Tips
Sedikit tips yang mungkin boleh diguna pakai ialah penyauk lebih efektif digunakan berbanding ‘lip grip’ untuk mendaratkan begahak. Kadar ikan berjaya melepaskan diri sewaktu ingin di-grip banyak kali berlaku. Andai penyauk digunakan, kita tidak perlu teragak-agak untuk menangguk ikan.
Satu amalan yang memberikan peluang sambaran yang tinggi ialah “jangan takut kehilangan gewang”. Kawasan yang didiami kawanan begahak lazimnya berdekatan struktur di dasar sungai. Kadar gewang tersangkut dan mungkin putus adalah sama banyak dengan ikan menyambar gewang. Oleh itu, fikirlah apa yang lebih baik untuk trip seperti ini. Jika anda mahukan ikan, bersedialah untuk kehilangan gewang!