Pautan Utama

Portal Memancing Rasmi Malaysia

Program Silang Pengilat Malaysia – Korea

Sesi bergambar bersama para pemenang Mercury Cup Korea Open Tournament 2017 bersama peserta-peserta antarabangsa.Penganjuran Asean Monsoon Casting Tournament (AMCT) pada 2016 telah berjaya menarik penyertaan wakil dari Korea Sport Fishing Association (KSA) yang aktif menganjurkan International Bass Fishing di Andong Lake, Korea. Ekoran itu, tercetuslah jalinan kerjasama antara Sekretariat MCT dan KSA untuk penganjuran program silang pengilat Anglers Exchange Program (AEP), di mana seramai 8 wakil Malaysia telah terbang ke Korea pada Mei 2017 untuk bertanding dan bersaing dengan pengilat antarabangsa dalam Mercury Cup Korea Open Tournament 2017…

Oleh : AZRI NGAH (Pengerusi MCT / Monsoon Casting Tournament)

Latar Belakang MCT Tasik Kenyir

Monsoon Casting Tournament atau MCT, iaitu pertandingan mengilat yang sering diadakan setiap musim tengkujuh hujung tahun di Tasik Kenyir telah mula mendapat pengiktirafan Kerajaan Negeri Terengganu pada tahun 2015 dengan dimasukkan sebagai acara utama dalam Kalendar Acara Pelancongan (COE). Apabila acara ini diangkat ke peringkat Asia pada 2015 atas jenama Asean Monsoon Casting Tournament (AMCT), ia telah berjaya menarik peserta dari Singapura, Indonesia, Thailand dan Jepun.

Penganjuran AMCT mendapat  liputan yang baik daripada wakil-wakil media dan rancangan televisyen RTM, Majalah 3 (TV3) serta Trans7 dari Indonesia. AMCT juga mendapat sokongan daripada Persatuan Pemancing Malaysia (PeMM), Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu, Persatuan Pelancongan Tasik Kenyir, badan badan kerajaan negeri  seperti jabatan Perhilitan, ketengah, Jabatan Perikanan, Jabatan Kesihatan dan Jabatan Bomba & Penyelamat.

Cetusan Anglers Exchange Program (AEP)

Pada tahun 2016, Amct sekali lagi berjaya menarik penyertaan dari dalam dan luar negara iaitu Indonesia, Texas dan Korea. Ketika Amct 2016 ini, kami menerima wakil dari Korea Sport Fishing Association (KSA) Mr. Kim Sunkyu dan Mr. Kim Chanyong iaitu satu badan yang menganjurkan International Bass Fishing di Andong Lake, Korea yang mendapat penyertaan pemancing profesional dari pelbagai negara termasuk Jepun China, Australia, Thailand, Indonesia dan Amerika Syarikat.

Hasil persetujuan bersama dan pihak Mercury Marine, KSA berminat menaja empat penyertaan daripada program AMct Tasik Kenyir untuk menyertai kejohanan mengilat Mercury Cup Korea Open Tournament di Tasik Andong pada 27 dan 28 Mei 2017.

Barisan bass boat bersedia untuk mengaum di Tasik Andong.

Melawat Tourism Malaysia di Seoul dan berbincang mengenai Anglers Exchange Program bersama En. Syed Muhadzir Jamallulil (pengarah Tourism Malaysia di Seoul).

Untuk mencari sempat peserta yang layak, pihak Sekretariat MCT telah melancarkan satu program yang dinamakan ‘Anglers Exchange Program’ (AEP) di mana peserta perlu melalui beberapa ujian kelayakan termasuk mesti mempunyai enjin bot berjenama Mercury dan pernah menyertai program yang dianjurkan oleh Sekretariat Mct.

Pengibar Jalur Gemilang  

Setelah saringan, empat peserta Malaysia terpilih menyertai Mercury Cup Korea Open Tournament iaitu :

  1. Hafiz Hussin (Terengganu, wakil MCT)
  2. Kay Fairuz Kamaruddin (Perak, Wakil MCT)
  3. Samsu Bahri Ismail (Terengganu, wakil MCT)
  4. Azri Ngah (Terengganu, wakil Sekretariat MCT)

Selain empat peserta ini, terdapat empat lagi peserta negara yang mendaftarkan diri iaitu :

  1. Ahmad Zulfa Shafie (wakil Tourism Terengganu)
  2. Vincent Gan (Kuala Lumpur, wakil dari Mercury / Go Pro dan Megabass Malaysia)
  3. Chung Fai Chan (Kuala Lumpur, wakil dari Mercury Malaysia)
  4. Chee Wooi Kang (Kuala Lumpur, wakil dari Mercury Malaysia)

Pada 24 Mei, kami berlepas ke Seoul dengan Air Asia. Sampai di sana dan setelah check in di hotel, kami dibawa melawat ke pejabat Tourism Malaysia di Seoul. Esoknya pula lebih kepada acara ‘free & easy’ bersiar-siar di ibu kota Korea yangcantik ini sambil mencari kelengkapan akhir untuk persiapan pertandingan.

Sebahagian peserta tempatan dan antarabangsa mendengar taklimat berkenaan pertandingan dan sesi undian guide / partner untuk peserta antarabangsa.

Pada 26 Mei, kami ke Lapangan Terbang Incheon bagi menunggu ketibaan wakil Mercury Malaysia dan Indonesia (Pancing Mania, Trans7). Kemudian kami menaiki bas carter ke Andong yang mengambil masa kira-kira 5 jam perjalanan..

Pertandingan mengilat ikan bass di Tasik Andong bermula pada 27 Mei hari Sabtu. Sesi pembahagian pasukan untuk peserta antarabangsa (Malaysia, Australia, Jepun, Amerika dan Indonesia) dibuat semasa acara berprestij ini bermula.

Peluang ini membolehkan En. Ahmad Zulfa selaku wakil dari Tourism Malaysia memberi sedikit penerangan ringkas berkenaan Malaysia dan potensi sportfishing di Malaysia untuk menarik perhatian para pemancing di sana dengan mempromosikan Tasik Kenyir dan padang pancing lain serta spesies-spesies gamefish yang ada di Malaysia contohnya toman, sebarau, kelah dan kelisa.

Pertandingan bermula jam 6 pagi lagi. Di sini, kami berpeluang menjalin hubungan silaturrahim dengan pemancing-pemancing hebat luar negara, dengan cabaran tinggi untuk bersaing dengan mereka yang lebih handal. Apatah lagi mempelajari teknik baru mengilat dengan cuba menaikkan spesies large mouth bass (LMB) yang sangat asing bagi kita. Yang paling mengujakan apabila dapat merasai sendiri pengalaman menaiki bass boat berkuasa enjin setinggi 400 kuasa kuda! Mana nak dapat rasa di negara kita.

Pengalaman berharga apabila dapat merasai sendiri pengalaman menaiki bass boat berkuasa enjin setinggi 400 kuasa kuda!

Kejohanan mengilat ini berlangsung selama 2 hari dan tamat pada jam 2 petang hari Ahad 28 Mei. Dalam pertandingan ini, salah seorang wakil Malaysia iaitu Vincent Gan berjaya menaiki podium di tempat ke-4, sekaligus dapat menaikkan martabat pemancing negara.

Persetujuan MCT – KSA

Hasil perbincangan awal, pihak KSA bersetuju untuk menghantar sekurang-kurangnya 10 peserta Korea untuk menyertai AMCT 2017 di Tasik Kenyir pada 30 November  – 3 Disember 2017 nanti dan mereka juga akan cuba membawa produk pancing dari Korea untuk dipromosikan di Tasik Kenyir.

Sebagai tuan rumah, pihak Sekretariat MCT amat mengalu-alukan kedatangan peserta Korea dan cuba menyediakan kemudahan terbaik buat mereka sepanjang berada di Malaysia nanti. Pihak Sekretariat dan KSA juga bersetuju jika AEP menjadi program tahunan  di mana pemancing dari Korea dan juga Malaysia dapat merasai sendiri pengalaman mengikuti pertandingan di luar negara.

En. Ahmad Zulfa merasai sendiri teknik mengilat LMB yang amat berbeza berbanding sebarau di Kenyir.

Kesimpulan

Anglers Exchange Program (AEP)  membuktikan acara ini boleh diketengahkan sebagai acara sukan memancing yang berjaya menggamit pemancing sama ada dalam atau luar negara, yang bukan sahaja datang merebut hadiah yang ditawarkan, malah untuk merasai sendiri pengalaman memancing di tempat baru dengan suasana, budaya, teknologi dan spesies tangkapan yang tidak ada di negara masing-masing.

Ini juga salah satu alternatif bagi pelancongan Malaysia dalam menarik pelancong datang melancong ke Tasik Kenyir dan secara langsung ke negeri Terengganu, juga Malaysia. AEP ini  boleh dikembangkan lagi dan tidak semestinya di Korea sahaja, mungkin bersama negara-negara lain yang mempunyai pengaruh besar dalam sukan pancing dunia contohnya Jepun, Australia, Indonesia dan Thailand.

Sekreatariat MCT juga amat memerlukan sokongan terus dari semua pihak demi menaik-tarafkan sukan memancing negara, terutama dari pihak-pihak yang terlibat dalam industri yang berkaitan dalam sukan memancing ini, juga tentunya dari kementerian dan Tourism Malaysia sendiri. Semoga dengan usaha kecil kami ini dapat membantu pelancongan negara melalui ‘Destination Based Event’ dan Sportfishing.

Terima kasih buat semua yang terlibat dalam menjayakan AEP di Tasik Andong Korea baru­-baru ini seperti Kerajaan Negeri Terengganu, Tourism Malaysia, Mercury Marine, Pure Fishing Malaysia, HookUp Apparel dan lain-lain).

Paras air Tasik Andong yang amat rendah memberi cabaran yang lebih tinggi kepada para perserta untuk menjinakkan LMB.

OBJEKTIF PROGRAM ‘AEP’ 

  1. Menjalin kerjasama antara Sekretariat MCT dan KSA (Korea Sportfishing Association) bagi mempromosi sportfishing di Malaysia dan Korea.
  2. Mempromosikan Tasik Kenyir, Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang ‘mesti dilawati’ dan salah satu pilihan padang pancing utama.
  3. Sebagai salah satu ‘destination based event’ dalam memperkenalkan destinasi pelancongan di Malaysia dengan kaedah penganjuran acara mengilat.
  4. Membina rangkaian sosial di kalangan kaki pengilat di Malaysia dan luar negara.
  5. Menonjolkan imej Kenyir dan tasik-tasik di Malaysia sebagai destinasi pilihan pemancing sukan yang sukakan cabaran, alam semulajadi, kehidupan aktif dan gaya hidup sihat.
  6. Membuka landasan ke arah kecenderungan dan minat golongan belia dan remaja berjinak-jinak mengenali sukan memancing dan melakukan aktiviti berfaedah.
  7. Menonjolkan lagi destinasi sejarah dan rekreasi pelancongan di Malaysia seperti Gua Taat dan Gua Bewah yang mempunyai sejarah warisan yang tersendiri.
  8. Mempertingkatkan kepentingan program sebegini dalam menjana pendapatan daripada peningkatan jumlah kedatangan pelancong dengan perlibatan penganjuran memancing di peringkat Asia dan juga antarabangsa.

Wakil dari Malaysia, Vincent Gan (jersi biru) berjaya menaikkan nama negara dengan mendapat tempat ke-4.

Mr. Chan (kiri) daripada Mercury Port Klang turut berbangga dengan hasil tangkapannya.