Pautan Utama

Portal Memancing Rasmi Malaysia

Rafia Keramat Tioman

‘Tak kenal maka tak cinta’…memang tepat definasi pada sebuah pulau lagenda yang sebelum ini hanya tempat singgahan bermalam bagi saya dan rakan-rakan sekiranya memancing di Pulau Tioman. Namun segalanya berubah selepas bertandang dan mengenali dengan lebih rapat masyarakat di sini setelah dijemput memancing bersama geng Tioman Jigger selama 4 hari 3 malam…

TEKS & FOTOGRAFI: HANUMEI IKE

Pulau Tioman yang terletak di perairan Johor boleh diakses dengan menaiki feri dari jeti Mersing ataupun Tanjung Gemok. Sampai sahaja di jeti Tanjong Gemok kami telahpun disambut mesra oleh rakan-rakan Tioman Jigger yang telah menanti kami dengan troli bagi mengisi barang pancing dan apabila tiba di jeti Kg. Tekek sekali lagi kami menempuh kemeriahan sambutan rakan di sana. Jangan bimbang tentang urusan pengangkutan semuanya akan disediakan Tioman Jigger tanpa dikenakan bayaran.

Gerong belang yang “chubby” ini menunjukkan perairan Tioman tidak kekurangan makanan kot!
“Bulu keramat” dari negara jiran. Percaya atau tidak!
Jig menjadi “killer” apabila dipasang rafia hijau dan putih?

KOLAM AIR MASIN

Rupanya banyak lagi lubuk yang belum diterokai di Pulau ini malah boleh saya katakan berbagai teknik pancingan boleh dilakukan di sini. Pada hakikatnya pulau Tioman yang bersaiz besar juga terdapat beberapa batang sungai berair masin yang dihuni siakap merah, baby GT, kerapu dan pelbagai spesies lain yang boleh diterokai pengilat gewang mahupun para penggiat teknik UL dan peminat pancing layang kerana terdapat satu kolam air masin semulajadi di sini. Menurut penduduk tempatan belum ada lagi pemancing yang datang bertandang ke kolam semulajadi ini. Tunggu apa lagi…

Tioman Jigger telah menyediakan bot fiber dengan injin berkuasa 175hp untuk kami meneroka perairan Tioman. Bot kami turut iiringi beberapa bot “Mat Rempit” berukuran 20 kaki dengan injin 15hp. Biasa bagi anak jati Tioman mengharungi lautan dengan bot yang agak kecil ini. Apabila sampai ke spot semuanya pun mancing bersama. Pada waktu inilah barulah kami sedar bahawa terdapat rahsia di sebalik geng Tioman ini sehingga mereka sahaja yang asyik menaikkan ikan dengan jig. Rupanya mereka sengaja sembunyikan rahsia dari kami bagi membuktikan keberkesanan dan perbezaan dengan cara kami.

Perkhidmatan bagasi disediakan oleh “ground staff ” Tioman Jigger apabila feri tiba di jeti.
Jangan terkejut, Tioman pun ada puak Tong Gas!

BULU KERAMAT

Selama ini teknik jigging memang terdapat sedikit perubahan di mana jig yang dahulunya diguna tanpa sebarang tambahan aksesori kini telah berkembang dengan gaya baru iaitu menambahkan bulu dan sebagainya. Begitu juga di Tioman dengan bulu keramatnya yang agak susah diperolehi kerana datangnya dari Negara jiran. Gabungan tali rafia berwarna hijau dan putih hasilnya terbukti lumayan dan kami hanya sekadar penonton berputih mata melihat strike demi strike yang diperolehi anak jati Tioman pada hari pertama.

Gambar yang membuktikan ikan Tioman memang bercita-cita besar!

Penggunaan ikatan bulu pada mata kail bukanlah satu revolusi yang datang dari teknik jigging moden buat anak jati Tioman malah sudah berkurun lamanya digunakan. Di sini telah lama wujud sejenis teknik jigging tradisional unik yang dimainkan dengan tangan dengan menggunakan batu sebesar bola tennis yang diikat pada jalinan daun kelapa sebagai pemberat untuk melabuhkan ikatan bulu pada matakail yang dicucuk pada jalinan ikatan daun kelapa. Bila sahaja batu yang dilabuhkan merapati dasar, tali pun disentap bagi melepaskan mata kail dari daun kelapa. Lalu mata kail dihenjut seperti teknik henjutan jigging moden dan turut ditarik ke permukaan.

Ebek bulat boleh dijumpai di berbagai kedalaman di Tioman.

Harus diingati bahawa tempo kelajuan jig perlu menyamai tempo kelajuan henjutan jigging tradisional apabila dipraktikkan dengan joran dan kekili. Selalunya dalam teknik memancing ebek, dalam setiap satu kayuhan pusingan kekili kita akan berhenti dalam satu pertiga kayuhan dan berhenti bagi merasai getuan ebek. Namun di sini agak laju kayuhan kekili di mana tiga pusingan kayuhan kekili dilakukan lalu dihentikan untuk beberapa saat dan menyambung kembali kayuhan bagi menaikkan jig beberapa meter dari dasar laut. Percaya atau tidak, teknik yang agak laju ini mampu menarik perhatian pelbagai spesies trevally seperti ebek, jemuduk, gerong belang, sagai mahupun Gt.

Begitu juga  jig ringan seberat 28g-60g yang digunakan turut diubah suai sedikit dengan beberapa warna yang dianggap ‘killer’ di Tioman seperti hijau, oren dan clown selain warna asas yang perlu ada pada jig iaitu warna silver. Pada bahagian ekor jig pula tidak boleh ditambah sebarang mata kail supaya pergerakan jig tidak terejejas. Wow…agak kreatif sifu-sifu Tioman ini namun keberkesanan tidak diragui lagi kerana hasil tangkapan mereka jauh melebihi kami.

Spot GT yang tiada GT tetapi sentiasa ada penunggunya.
Demudok kertas. Cuba perhatikan apakah perbezaannya dengan demudok biasa?

JATUH CINTA

Pada hakikat awalnya kedatangan kami ke sana untuk memburu pelbagai spesis trevally yang berlindung di sekitar pulau tetapi lain jadinya bila trip ini menjadi trip pembelajaran. Malahan timbul pula dendam pada teknik mengilat sinking minnow bila seekor GT kami tidak mampu tewaskan bila set yang dibawa tidak mampu menahan asakannya.

Ebek salah satu spesies pencinta bulu keramat.
Munculnya spesies kerisi bali bermaksud airnya mencecah 80 meter.

Empat hari di sini terasa terlalu singkat kerana banyak lagi yang perlu di terokai dan pelajari. Di hati masing-masing mula berteriakan ketidakpuasan yang pasti kaki yang bakal melangkah meninggalkan jeti akan kembali memijak tanah Tioman pada masa akan datang.

Urusan sewa bot/chalet hubungi:

Wan Azizi (Skipper Tioman Jigger) -013 9447490

Along (Skipper Tioman Jigger) -011 2766 2330

Trip yang meninggalkan kenangan manis kepada jiggers dari utara dan selatan.