Rahsia Anti Dakwat Mengabang
Angin Tenggara yang berlanjutan dari bulan Julai sehingga September tahun 2018 cukup ganas sehingga trip jigging di Indonesia saya yang ditetapkan pada pertengahan Ogos terpaksa dibatalkan. Akhirnya Pekan menjadi port gantian untuk melepaskan gian. Biarpun laut Pekan juga bergelora, namun sotong mengabang yang bermastautin di unjam tetap aktif membaham candat. Di samping itu, kami juga sempat mempelajari banyak ilmu mencandat sotong dari Kapten Ricky.
Teks & Fotografi: Pak Wong
Biarpun ia bukanlah sejenis ikan, namun ia tetap memainkan peranan penting dalam sejarah memancing Malaysia. Populasinya cukup banyak dengan daya pembiakan yang mengagumkan. Di samping itu ia juga merupakan makanan laut kegemaran semua bangsa. Inilah sotong mengabang (Big Fin Reef Squid) yang comel lagi rakus!
Orang Jepun merupakan bangsa yang paling awal mencipta kaedah memancing sotong. Mereka telah menghasilkan candat menyerupai udang yang dipanggil “egi”. Aktiviti memancing sotong menggunakan candat pula dipanggil “eging”. Di Jepun, aktiviti mencandat sotong biasanya dijalankan di atas daratan manakala di Malaysia pula lebih kepada aktiviti berpandukan bot.
Kampung Sotong Di Luar Pantai
Sotong mengabang gemar hidup di persisiran pantai. Andainya perairan di sekeliling pulau atau struktur di tepi pantai seperti pelabuhan, pemecah ombak dan sebagainya. Tempat-tempat seperti ini di negara kita juga terdapat sotong mengabang namun populasi dan penumpuannya memang tidak setanding tukun tiruan yang berada jauh dari pantai. Khasnya tukun tiruan pengumpulan ikan pelagik bersaiz kecil seperti selar dan kembung. Faktor ini telah membuktikan bahawa sotong mengabang juga boleh hidup di perairan lebih dalam yang agak jauh dari pantai.
Tukun tiruan terutamanya unjam atau tuas mempunyai struktur yang sesuai untuk sotong mengabang bertelur justeru ia telah menjadi kampung mereka sejak dulu lagi. Selain makanan yang mencukupi, di sini juga terdapat tali dan daun pokok nipah yang membolehkan telur sotong melekat di atas.
Menurut Ricky, pemandu pancing veteran Pekan, sotong mengabang berada di tukun tiruan sepanjang tahun. Namun populasinya akan berlipat ganda menjelang Julai dan Ogos. Fenomena ini dipercayai berkait rapat dengan musim bertelur.
Kami menggunakan candat replika udang yang biasa untuk memancing sotong mengabang di perairan sedalam hampir 20 meter ini. Namun candat biasanya amat ringan seperti gewang, biarpun candat terbesar pun akan mengambil masa yang panjang untuk tenggelam ke kedalaman seperti ini. Justeru kita harus menggunakan rangkaian memancing yang berasal dari pancingan dasar di mana sebiji pemberat telah ditambah di penghujung tali utama kemudian disambung cili dan perambut sepanjang 2 kaki. Dengan cara ini candat akan dapat dilempar dan mampu tenggelam dengan cepat.
Persembahan Laju
Bot pancing akan diikat ke atas pelampung unjam dan berada di tengah-tengah unjam supaya pemancing dapat melempar candat ke semua pelusuk bagi mencari kedudukan sotong. Candat harus ditenggelamkan sehingga atau berhampiran dasar, diikuti dengan henjutan joran dan karauan kekili sebanyak beberapa pusingan dengan tujuan untuk menarik perhatian sotong melalui aksi yang agresif. Kemudian tariklah secara perlahan-lahan dan pada masa inilah sotong akan menangkap candat dengan jejanggutnya.
Selain rangkaian candat tersebut di atas, ada juga pemancing yang menggunakan rangkaian Paternoster iaitu sejenis rangkaian pancingan dasar di mana pemberat berada di bawah manakala candat pula berada di atas. Namun rangkaian ini kerap berlaku kes perambut menggulung tali utama justeru kurang mendapat sambutan di kalangan pemburu sotong mengabang.
Perlukah kita membalas apabila terkena sotong? Secara teori memang tidak perlu. Mata-mata candat yang berbentuk payung amat tajam dan jejanggut sotong pula amat lembut, pasti akan tercangkuk dengan kukuhnya apabila mereka cuba menangkap candat. Melainkan jika hanya satu jejanggut sahaja yang terkena pancing, mungkin akan rabut dalam proses melawan atau dalam proses menaikkannya ke atas bot.
Memancing sotong mengabang memang jauh lebih mudah berbanding memancing ikan. Ternyata mereka sejenis makhluk yang rakus dan agresif dan tidak akan melepaskan sebarang makanan yang sempat disambar. Apabila mereka menjadi galak, sotong yang tidak terkena pancing akan mengikut rakan yang terkena pancing timbul ke permukaan. Lemparlah candat ke dalam laut dan ianya akan disambar serta merta. Ini juga membuktikan bahawa sotong mengabang kurang berwaspada berbanding ikan.
Berpesta Arus Deras
Dalam trip ini kami juga mendapati bahawa sotong mengabang amat aktif apabila arus menjadi deras. Justeru jangan menganggapkan sotong mengabang yang berbadan gemuk itu kekok pergerakannya. Bentuk badan mereka sebenarnya amat selaras dan rendah rintangannya terhadap air, membolehkan mereka memburu mangsa yang kurang berupaya bergerak bebas dalam keadaan arus deras.
Satu lagi penemuan baru ialah apabila sotong mengabang kurang aktif mengejar candat, persembahan jig ringan akan dapat mengaktifkan semula naluri pemburuan mereka. Apabila saya mempraktikkan teknik jigging ringan sewaktu sotong berhenti menyambar candat, terasa jig saya yang dihenjut dari dasar kerap “tersangkut” namun amat mudah diloloskan. Pengalaman memberitahu saya bahawa ini adalah kerja sotong mengabang yang ingin menangkap jig saya yang kelihatan seperti ikan kecil. Justeru saya bertukar balik ke set candat dan berjaya menaikkan beberapa ekor sotong bersaiz kasar!
Taktik Anti Dakwat
Setiap pemancing sotong pasti takut dengan dakwat sotong yang boleh mengotorkan badan dan pakaian. Pada hakikatnya keadaan ini boleh dielak jika mengetahui taktiknya.
Jangan disangkakan dakwat mereka telah habis dipancut apabila sotong mengabang terkena pancing. Apabila mereka ditarik ke tepi bot dan menyedari terhapap bahaya yang bakal ditimpa, barulah mereka mempamirkan seni pertahanan diri ini. Bagi mengelakkan diri dari menjadi Negro, perbuatan kita haruslah lembut dan jangan tarik dengan kuat apabila cuba mendaratkannya.
Biar sotong berada di dalam air. Rendahkan badan dan menaikkannya secara memegang candat dari belakangnya. Kemudian hulurkan dua jari ke dalam dua lubang yang berada di bahagian bawah badannya di mana kepalanya bersambungan dengan isi perutnya. Gunakan sebelah tangan yang lain untuk mengangkat ekornya supaya kepalanya menghala ke bawah dengan tujuan untuk membuang air laut yang tersimpan dalam badannya.
Harus difahami bahawa beg dakwat di dalam badan sotong mengabang hanya boleh ditembak secara manggaulkannya dengan air. Ia tidak akan berupaya untuk menembak dakwatnya setelah air di dalam badannya telah dikeringkan!
Setelah memahami teknik mencandat sotong yang betul, kita pasti akan dapat meningkatkan habuan apahila tibanya musim sotong mengabang. Biarpun tarikan sotong kurang power, namun memandangkan pupulasinya yang cukup banyak dan keenakan isinya, tidak hairanlah semakin ramai pemancing telah menganggapkan sotong mengabang sebagai sasaran utama!
Selamat mencuba!
Kapten Ricky Pekan 019-958 6838