Pautan Utama

Portal Memancing Rasmi Malaysia

Rahsia Lontaran Jauh

Apabila gewang tidak cukup jauh dilontar, ia barangkali disebabkan oleh gewang terlalu ringan dan anda perlu menukar kepada joran yang lebih ringan, atau baik gunakan gewang yang lebih berat. Tetapi apabila beralih kepada gewang berat, anda perlu waspada agar berat gewang tidak melebihi had berat lontaran joran yang mungkin boleh mengakibatkan hujung joran anda patah!

Oleh : PAK WONG

Walaupun baitcaster boleh melontar lebih jauh dan tepat, tetapi kekili mendatar (spinning reel) mempunyai kelebihan kerana mampu berdepan dengan situasi berangin.

Mengilat sama ada menyasarkan toman di tasik atau G.T di lautan sangat mementingkan jarak lontaran. Jika gewang dapat dilontar jauh, ia boleh meliputi ruang lebih besar untuk meningkatkan peluang ditemui oleh sang ikan. Namun dalam beberapa situasi seperti memancing dari tebingan (land-based fishing), anda tidak boleh merapati spot tertentu dan perlu melontar gewang sejauh yang mungkin.

Jadi bagaimana kita boleh mencapai jarak lontaran paling jauh? Berikut adalah beberapa aspek penting untuk memulakannya…

Baitcaster vs Spinning

Pertama, kita perlu faham bahawa kekili baitcaster mampu melontar lebih jauh berbanding kekili mendatar (spinning). Sebabnya, gelendong baitcaster turut sama memacu dan berputar semasa lontaran dibuat. Baitcaster membolehkan capaian jarak jauh dengan tenaga yang sedikit.

Namun baitcaster ada kelemahannya. Ia tidak berdaya melontar gewang berat seperti popper atau swimbait semasa memburu GT. Apabila melontar gewang dengan baitcaster, pemancing perlu menekan ibu jari pada gelendong untuk mengelakkan ia berpusing terlalu cepat. Momentum yang kuat akan terjana ketika melontar gewang berat, lalu tidak boleh dikawal oleh ibu jari dan mengakibatkan tali bersimpul pada gelendong.

Masalah lain ialah pengaruh angin. Angin kuat akan meniup tali yang keluar menjadi suatu keluk kekenduran lalu menghalang tali dilancar secara bebas, dan akhirnya berlakulah ‘mee goreng’. Risiko ‘mee goreng’ atau tali bersimpul dalam gelendong ini (backlash) sering berlaku di laut yang sentiasa dipengaruhi angin.

Faktor Joran

Satu lagi elemen penting dalam lontaran jauh ialah panjang dan aksi joran. Semakin panjang joran, semakin besar daya hayunan dan momentumnya untuk membolehkan gewang dilempar lebih jauh.

Joran mengilat mementingkan aksi cepat (fast action) di mana hanya seksyen hujung joran (tip) akan bengkok tatkala menghayun gewang. Dalam erti kata lain, hujung joran ini akan cepat lurus kembali semasa lontaran dan mewujudkan daya yang mencukupi untuk melontar gewang dengan ketepatan yang lebih tinggi.

Terdapat juga spesifikasi joran mengilat yang selalu diabaikan oleh pemancing, iaitu berat gewang (lure weight). Joran yang diberi kadaran berat gewang 10 – 20 gram bermakna hendaklah digunakan bagi tujuan mengilat gewang dalam julat berat itu, agar daya lontaran lebih efisien. Katakan anda mencapai semua syarat untuk lontaran jauh tetapi masih juga gagal, ini bermakna anda perlu pastikan sama ada berat gewang yang digunakan sepadan dengan spesifikasi yang dicadangkan pada joran itu.

Kita perlu fahami prinsip lontaran joran. Apabila kita mula menghayun joran ke belakang untuk membuat aksi lontaran, berat gewang akan menyebabkan joran membengkok lalu menuruti aksi hayunan joran ke depan bagi melancarkan gewang itu. Justeru, gewang mesti mempunyai berat yang cukup untuk menepati prinsip lontaran ini. Jika terlalu ringan, joran tidak menerima berat asas yang perlu untuk ia berdaya lontar jauh.

Walau bagaimanapun, spesifikasi joran mengilat di pasaran tidak semestinya tepat, dan kita sendiri perlu membuat pertimbangan. Pendek kata, apabila anda fikir jarak lontaran tidak seperti jangkaan, kebarangkalian besar ia disebabkan oleh gewang yang anda gunakan itu tidak cukup berat. Anda perlu tukar kepada joran yang lebih ringan atau guna gewang yang lebih berat.

Namun penggunaan gewang yang lebih berat janganlah sampai di luar keupayaan joran. Silap-silap nanti, hujung joran anda mungkin patah ketika cuba membuat lontaran jauh.

Tali

Tali juga kunci kejayaan lontaran jauh. Tali halus pasti dapat menerbangkan gewang lebih jauh berbanding tali kasar. Permukaan tali yang licin juga menjamin lontaran lebih jauh berbanding tali yang permukaannya kasar. Di samping itu, tali sulam berciri kalis air juga pakar lontaran jauh. Jika air diserap, tali menjadi berat dan menjejaskan lontaran jauh walaupun dimuatkan pada kekili yang terbaik.

Ingat… joran panjang, berat gewang sepadan dengan spesifikasi joran, serta tali sulam yang halus, licin dan bukan penyerap air adalah syarat-syarat wajib untuk memastikan anda pakar dalam lontaran jauh!