Rahsia Permukaan Air (Bhg Akhir)
“Jika anda melontar gewang menyeberang arus atau sedikit ke hilir, perasankah anda bahawa gewang akan bergerak mengikut jejak laluan yang berbentuk U dari titik jatuhan sehingga ke tempat anda berdiri (disebabkan faktor arus). Dalam kebanyakan kes, ikan di sungai akan membedal gewang pada kemuncak hujung U tersebut. ”
Oleh: Sen Nishimura
Sekarang kita teruskan dengan latih amal menggayakan gewang permukaan di padang pancing.
LATIHAN 1 : Sergahan Haruan Di Kolam
Gewang permukaan merupakan cara tercepat untuk memikat haruan (Channa striatus) . Seperti kata orang, “Kalau ada air, mesti ada haruan,” sememangnya ikan ini tersebar meluas di seluruh Semenanjung, dari kolam kecil hinggalah sungai besar.
Pada umumnya, ikan ini boleh dianggap ‘ikan struktur’. Ikan struktur bermaksud ikan yang sentiasa tinggal cukup rapat dengan sesuatu. Maksud ‘sesuatu’ boleh jadi semak rumpair, pohon terjuntai, tunggul kayu, struktur buatan dan lain-lain. Spesies ini hanya menunggu makanan melalui struktur itu.
Namun oleh kerana ruang jarak sambaran spesies ini tidaklah luas, iaitu hampir di sekitar struktur sahaja, maka ketepatan lontaran amat diperlukan. Jika anda dapat melontar tepat ke sasaran, biarkan gewang berdiam diri sehingga riak jatuhan tadi menghilang. Kemudian barulah ‘hidupkannya’, berhenti lagi dan ulang proses ini.
Henjutan lembut supaya gewang kerap menimbulkan riak air di posisi yang sama juga berkesan. Ini meniru serangga jatuh ke permukaan, bagaimanapun anda perlu banyak berlatih untuk menghasilkan persembahan terbaik.
Bagi teknik ini, gewang permukaan seperti popper , darter dan pencil bait yang mana aksinya seakan berdiri di air (bukan terbaring di permukaan) lebih mudah digayakan. Gewang selam cetek juga boleh dicuba. Untuk memberi kesan yang baik pada popper, cubalah buat sentapan yang halus.
Jika anda terjumpa parit, terusan mahupun perairan terbuka yang cetek di kolam, lontarkan gewang di sepanjang tebing dan karau ia selari dengan tebing. Walaupun kita tak dapat melihat ikan, tebing ini biasanya didiami banyak haruan dan akan menyergah tiba-tiba jika gewang melintasi kawasannya.
Oleh kerana jarak sambaran haruan tidak luas, jangan gerakkan gewang terlalu laju tetapi jangan pula menghentikannya. Kekalkan ritma popping yang lancar. Karauan lurus dan lancar bagi gewang permukaan jenis darter seperti model Uncle Smith (Saurus) juga berkesan.
Tetapi jika anda tidak mempunyai darter, gewang selam cetek seperti Arai-kun (Zeal) atau Griffon (Megabass) boleh digunakan sebagai ganti (maaf, kebanyakan gewang yang saya gunakan adalah buatan Jepun yang mungkin tiada di Malaysia, namun terpaksa dinyatakan mengikut pengalaman sebenar saya).
Cuba gunakan pelbagai gewang dan carilah yang terbaik dan digemari haruan. Lazimnya ikan mula mengawasi gewang permukaan sebaik sahaja ia jatuh. Tetapi apabila ia melintasi kawasan aktifnya, mereka jarang menghampiri gewang, tetapi tiba-tiba akan menyerang sebelum gewang bergerak keluar dari kawasan aktifnya. Oleh itu, walaupun gewang anda telah melepasi struktur berpotensi, perhatian hendaklah tetap ditumpukan buat beberapa saat.
LATIHAN 2 : Langkah Menjinak Cichlid Di Lombong
Genus Cichla seperti peacock bass juga boleh dijadikan sasaran terbaik dengan gewang permukaan. Namun respon ikan ini sering berubah-ubah setiap hari dan setiap masa. Justeru, sukar saya nyatakan kaedah gewang permukaan yang terbaik untuk menipu spesies ini. Saya hanya berpandukan pengalaman sahaja. Apa pun, anda perlulah bersedia dengan pelbagai strategi dan cuba cari kaedah terbaik pada hari dan masa itu.
Selalunya selepas saya pastikan terlebih dahulu saiz ikan kecil di lombong, saya akan memilih pencil bait yang sama saiz dengannya untuk dijadikan ‘umpan pengesan’. Umpan pengesan bermaksud gewang yang boleh menyiasat tingkah laku ikan pemangsa dengan cepat. Perkara paling penting ialah jangan pamerkan gewang dengan jelas kepada ikan, kalau tidak, ikan yang mengejarnya akan berpatah balik. Oleh sebab itu, saya sering mengarau pencil bait tanpa henti dengan cara ‘dog walk’ yang laju.
Popper juga sangat efektif. Tetapi dalam kebanyakan kes, berikan aksi gewang yang membuatkan ia tidak dapat dicam oleh ikan ataupun hanya jelas dalam masa yang singkat. Bunyi percikan gewang juga perlu diubah mengikat setiap kes. Kaedah henjutan intensif (jerk & jerk) yang menghasilkan percikan besar mungkin berkesan pada hari ini, tetapi pada hari lain, henjutan pendek dan
senyap lebih kerap dibaham. Jika anda mempunyai popper kecil jenis tenggelam yang diperbuat dari resin untuk memancing anak gerepoh, karauan laju secara lurus seperti memancing G.T juga sangat efektif.
Berdasarkan tontonan DVD memancing Amazon berjudul ‘The Great Amazon’ , Mr. Imae mempamerkan teknik percikan besar (jerk & jerk) yang kuat dari gewang swisher (juga dipanggil fizzer / propeller) . Teknik ini sangat memukau peacock bass gergasi (15 – 17 paun) dengan banyaknya di Rio Negro, Brazil. Beliau menyatakan inilah kekunci rahsia jika mengguna swisher . Dalam video itu, potensi swisher ke atas peacock bass dilihat begitu laku sekali. Jadi, mungkin berbaloi untuk kita cuba gunakan jenis swisher untuk memancing peacock bass di sini.
Kemahiran yang penting untuk semua jenis gewang ialah semasa membuat balas sentap. Kadar kegagalan sambaran peacock bass terhadap gewang permukaan adalah tinggi, lebih-lebih lagi jika mereka takut naik ke permukaan. Ada orang kata peacock bass tak pandai menyambar, sebab itu selalu rabut. Tetapi mungkin ia disebabkan oleh kecerdikan ikan ini, di mana ia menyedari gewang bukanlah ikan sebenar sebaik sebelum ia menyambar.
Cara terbaik untuk mengelakkan rabut ialah sentiasa kekalkan tegangan tali anda dan jangan terperanjat jika gewang tiba-tiba diserang. Sebaik sahaja berat ikan dirasai di hujung joran, barulah balas atau dengan cara mengekalkan kelajuan karauan yang sama seperti sebelumnya. Dengan ini, ikan pasti tertancap kukuh dan takkan terlepas lagi.
LATIHAN 3 : Ledakan Sebarau Di Hulu Sungai
Sebarau (Hampala macrolepidota) kerap digelar ‘kaki pecut di jeram’ dan ‘jet pejuang sungai’. Sambaran supersonik dan larian pertamanya yang padu menjadi igauan ramai pemancing. Oleh kerana saya menyedari popper tertentu sangat efektif buat sebarau di air tenang (tasik), saya telah cuba menggunakannya di hulu sungai yang deras.
Seperti yang anda sedia maklum, sebarau di air deras cenderung bersembunyi di kawasan teduh atau di belakang batu. Ini adalah salah satu ciri yang berbeza berbanding sebarau tasik yang gemar mengekori kumpulan ikan kecil dan jarang kekal di tempat sama.
Kenapa sebarau di sungai deras gemar bersembunyi dekat batu? Jawapannya : Kerana tempat itu sesuai untuk ia bersembunyi dari musuh dan juga sesuai untuk menunggu ikan kecil. Ikan kecil yang menongkah arus dari hilir selalunya akan berehat di kawasan berarus perlahan, iaitu di belakang batu.
Ikan kecil yang hanyut dari hulu juga cenderung mendekati arus perlahan ini di sekitar kawasan berbatu. Kedua-duanya merupakan sasaran terbaik buat pemangsa di sungai. Justeru, batu sebegini seharusnya menjadi titik fokus anda yang ingin memburu sebarau di air deras. Anda perlu rancangkan aliran arus mana yang sesuai supaya gewang dapat melepasi batu itu.
Sesetengah pengilat mengatakan karauan gewang menentang arus (up cross) efektif jika mengilat di sungai. Tetapi berdasarkan pengalaman saya, karauan mengikut arus (down cross) kadangkala lebih efektif.
Jika anda melontar gewang menyeberang arus atau sedikit ke hilir, perasankah anda bahawa gewang akan bergerak mengikut jejak laluan yang berbentuk U dari titik jatuhan sehingga ke tempat anda berdiri (disebabkan faktor arus). Dalam kebanyakan kes, ikan di sungai akan membedal gewang pada kemuncak hujung U tersebut.
Kenapa? Sebab gewang yang menerima kuasa tolakan arus akan mengubah aksinya secara tiba-tiba pada kemuncak bentuk U tersebut. Perubahan mendadak pada renangannya ini mencetuskan minat sang ikan. Kaedah ini cukup dipercayai secara umumnya dan diamalkan oleh pemancing ikan trout sungai dan pemancing ikan sea bass sungai. Jejak laluan gewang perlu hampir dengan batu, lebih berkesan jika terdapat posisi batu yang bertindihan dengan kemuncak laluan U itu.
Jadi, apakah jenis gewang permukaan yang efektif buat sebarau di hulu sungai? Kuncinya adalah keterampilan gewang. Oleh kerana permukaan air di jeram tidaklah stabil dan tidak senyap, aksi gewang yang menjolok mata amat berkesan. Popper disyorkan jika aliran sungai agak berombak. Setelah anda tentukan jejak laluan gewang, lontarkan supaya gewang beraksi mengikut imej popping yang biasa.
Lazimnya ikan yang gemar meninjau mangsanya di sungai deras dan bergelora adalah sangat aktif. Kenapa? Dua sebab dipertimbangkan. Satu mungkin disebabkan perlindungan oleh permukaan yang berombak. Ikan merasa selamat berada di bawah permukaan air yang berkocak dan berkilauan kerana haiwan di luar sukar mengesan posisinya. Justeru, mereka lebih aktif berbanding ikan di air tenang. Alasan kedua, hanya ikan yang cukup cergas sahaja yang mampu bertahan dalam deruan arus deras. Jika anda berjaya memikatnya, anda akan dapat saksikan ledakan sebarau yang sangat agresif.
Jangan lontar gewang terus ke batu. Kadangkala sebarau yang agresif menyambar terus gewang yang baru jatuh. Lontarkan gewang jauh sedikit dari batu sasaran. Jika ada sebarau yang aktif di batu itu, permukaan air akan meletup dan popper anda tiba-tiba lesap sebaik sahaja melepasinya. Ritma popping yang lancar memadai walaupun kelajuan dan saiz percikan ada mempengaruhi keberkesanannya. Gewang jenis swisher dan buzzbait mungkin berkesan walaupun saya tak sempat mencuba.
Jika gewang disambar, tak perlu respon terlalu cepat. Sentap hanya bila terasa berat pada hujung joran. Jika anda terkejut sehingga cepat sangat membalas, hanya gewang yang akan kembali. Jikalau gagal pada sambaran pertama, baling lagi dan kekalkan pada halaju karauan yang sama, kadangkala sebarau itu akan datang menyambar buat kali kedua dan ketiga. Jangan putus asa.
Walaupun popper tidak disambut sebarau pada balingan pertama di batu yang berpotensi, anda masih mempunyai dua pilihan. Cuba pula gewang selaman ke batu yang sama atau bergerak mencari batu berpotensi yang lain. Kebanyakan ikan sungai jarang berhijrah jauh dalam sehari, justeru, anda perlu bergerak aktif. Stail ini dipanggil ‘run & gun’ atau ‘run & shoot’ (tembak sambil berlari).
Jika anda terjumpa arus yang agak perlahan, cuba gunakan pencil bait . Olak yang terhasil dari pencil bait mampu memikat ikan yang berdiam di permukaan yang agak tenang ini. Jika lontaran anda mampu sampai ke tebing seberang dan kawasan itu tampak cetek, cuba lontarkan gewang naik ke atas tebing. Heret dan gelonsorkan pencil bait itu dari atas tebing masuk ke dalam air, kemudian lakukan teknik ‘dog walk’ . Jaga-jaga, anda akan dikejutkan dengan sambaran yang sangat agresif.
Pada pendapat saya, mengilat sebarau sungai dengan gewang permukaan didapati jauh lebih nikmat berbanding melayan peacock bass atau largemouth bass yang pernah saya nikmati sebelum ini.
Sasaran Tidak Sengaja
Kelisa, ikan hiasan yang terkenal dan mahal pun boleh dijinakkan dengan gewang permukaan. Saya tidak mensasarkan ikan ini secara spesifik, tetapi pernah menangkapnya dengan popper secara kebetulan semasa cuba mengilat haruan di tasik. Biarpun sudah memperolehi pengalaman manis ini, tetapi sukar untuk saya berikan teori mengilat kelisa.
Namun apa yang boleh saya sampaikan di sini ialah kita boleh memancingnya jika kita memahami bahawa kelisa adalah ‘ikan struktur padat’. Bagi saya, sifat ini merupakan kekunci paling penting untuk mendefinisikan kelisa. Bahkan anda harus ingat, kawasan produktif ikan ini sangat kecil (ia tinggal rapat dengan struktur). Justeru, jika lontaran anda tidak tepat, kebarangkalian untuk menggodanya sangat tipis.
Jadi, bagaimana kita ingin memanipulasi wilayah kelisa yang sempit ini dengan lebih efektif? Caranya : Aksi gewang anda haruslah lebih perlahan berbanding biasa, dan pikatlah ikan selama mungkin dalam zon sempitnya itu. Kadangkala anda perlu sentiasa menggayakan gewang di titik lokasi yang sama, ataupun jangan lakukan apa-apa, biarkan sahaja gewang diam di permukaan lebih dari seminit (namun karauan normal atau laju kadangkala efektif juga).
Apabila gewang berada di zon produktif kelisa atau cuba bergerak keluar darinya, besarlah peluang gewang itu dicekup kelisa. Satu lagi peluang yang tinggi ialah sebaik sahaja gewang jatuh ke dalam air. Jikalau tiada sebarang sambaran walaupun lontaran cantik dilakukan, anggaplah tiada ikan di struktur itu. Luangkan masa anda untuk mencari struktur lain yang lebih berpotensi.
Jadi apakah struktur yang saya maksudkan di atas? Cuba perhatikan kelisa dalam akuarium. Kenapa ikan ini sentiasa berenang di permukaan dan memandang ke atas? Salah satu sebab datangnya dari diet utamanya (makanan). Oleh kerana kelisa gemarkan serangga, maka sebab itulah ia sentiasa memfokus permukaan.
Struktur berumpair, beranting, atau tunggul pokok biasanya dihuni serangga kegemaran kelisa. Disebabkan sasarannya adalah serangga yang jatuh, maka persembahan gewang anda ke titik sasaran mestilah selembut mungkin dan aksi gewang perlu meniru serangga yang jatuh ke permukaan air. Strategi kelisa ini juga berguna untuk mengilat kalui. Memang aksi ini agak cerewet sikit, tetapi lebih berkesan buat ikan-ikan ini.
Akhir sekali, ingin saya nyatakan bahawa permainan gewang permukaan bukanlah sukar. Semua orang boleh mencubanya dengan rasa seronok. Malaysia masih memiliki banyak spesies yang boleh diperdaya dengan gewang permukaan, tetapi belum pernah ditangkap dengan kaedah ini. Anda boleh menjadi orang pertama menangkapnya.
Syarahan saya pun dah nak habis. Sekarang, inilah masanya untuk anda kejutkan gewang permukaan yang sekian lama tidur dalam kotak pancing anda. Selamat berjaya!
Anda mempunyai beraneka gewang permukaan, tetapi mengapa dilenakan sahaja di dalam kotak pancing anda. lekaslah kejutkan