Pautan Utama

Portal Memancing Rasmi Malaysia

Royal Belum Sport & Leisure Fishing Tournament 2018

Kegirangan para peserta RBS & LFT 2018

Taman Negeri Royal Belum di utara Tasik Temengor (Gerik, Perak), walau dikawal oleh pelbagai agensi, namun kegiatan manusia yang tidak bermoral terhadap hutan tebal yang dilindungi yang bersempadankan Thailand, Kelantan dan juga Kedah ini agak sukar dibendung sepenuhnya. Bagaimana pula dengan pemancing, yang turut dikatakan penyumbang kepada tekanan kehidupan air di sini? Inilah matlamat dan hala tuju penganjuran Royal Belum Sport & Leisure Fishing Tournament (RBS & LFT) 2018 pada 27 – 29 Mac 2018 yang bukan sekadar memancing, tetapi lebih kepada kesedaran terhadap permuliharaan dan menyayangi alam ini yang berkait rapat dengan kehidupan kita…

Teks HANUMEI IKE

Fotografi : HANUMEI IKE & URUSETIA RBS

Idea penganjuran RBS & LFT 2018 ini datang daripada seorang aktivis alam sekitar iaitu saudara Mohseng, dibantu oleh Hisyam dari BOA (Belum Outdoor & Adventure) dengan sokongan kuat En. Mohd. Hizaz selaku Pengarah Kem. Pelancongan & Kebudayaan Malaysia Perak (MOTAC), En. Muhammad Zaki, Pengarah Bhg. Pembangunan Industri (NCIA) Koridor Utara Malaysia serta melibatkan pelbagai agensi lain yang dipertanggungjawabkan menjaga Royal Belum seperti Jabatan Perhutanan, Jabatan Perhilitan, Jabatan Perikanan, Polis Marin dan Taman Negeri Royal Belum.

Sesi taklimat daripada En. Mohd. Hizaz, pengarah MOTAC Perak.

Usaha murni ini dibuat bagi memberi kesedaran kepada pemancing dan pihak-pihak yang terlibat berteraskan apa yang telah, sedang dan bakal berlaku terhadap Royal Belum yang semakin terancam dengan mengambil inisiatif mengawal dan keperluan penting untuk memuliharanya. Ia turut mendapat perhatian daripada Universiti Malaysia Terengganu, dengan mewakilkan pensyarah perikanan rekreasi iaitu En. Masduki Mohammad Morni.

Dua Dalam Satu

“Ada udang di sebalik batu,” memang tepat pepatah ini. Andainya dibuat satu seminar konservasi, belum tentu kerusi dewan mampu dipenuhi pemancing untuk menyedarkan bahawa pancingan  air tawar negara kita semakin nazak. Kalau dilihat di media sosial, pemancing air tawar yang merangkumi tasik, sungai mahupun pergunungan semakin galak menuai tanpa batas dan melebihi keperluan. Untuk apa? Gah? Pujian? Pandai memancing? Kita ni kan bukan nelayan yang mencari sara hidup?!

Dengan adanya penganjuran memancing dan diselitkan sedikit kesedaran konservasi, mewujudkan kelas-kelas penerangan waktu malam dengan mencuri sedikit waktu rehat pemancing, sedikit- sebanyak dapat menerapkan nilai-nilai kesedaran mahupun kasih kepada alam ini sebagai motivasi buat pemancing di negara ini ke arah profesional.

Bot Polis Marin dan pihak Bomba yang turut siap siaga menjaga keselamatan para peserta.

Royal Belum Perlu Diselamatkan

Y.M. Tunku Sufrizal, seorang otai yang aktif kembara memancing ke sebanyak 32 buah negara telah dijemput menyampaikan sedikit penerangan dan perkongsian ilmu untuk dimanfaatkan bersama dalam membina generasi pemancing yang lebih peka terhadap konservasi agar lapangan pancing negara tidak ketandusan ikan pada masa hadapan.

Memang pada pengamatan penulis sendiri, jurang perbezaan amat ketara berbanding tujuh tahun lepas. Hari ini terasa perit untuk mendapatkan seekor sebarau mahupun toman yang terpaksa menghabiskan bertong minyak untuk mendapatkan satu strike! Royal Belum perlu diselamatkan, dipulihkan mahupun perlu diwujudkan lebih banyak santuari. Ia bukan sekadar difokuskan kepada kelah, tetapi untuk semua spesies dengan menutup beberapa sungai sebagai konsep asas pemuliharaan.

Memang kita ketahui, walaupun konsep ‘tangkap & lepas’ yang ditetapkan kepada pemancing oleh pihak berkuasa Royal Belum, tetapi tekanan pemancing yang begitu tinggi kini sedikit-sebanyak mula memberi kesan kepada populasi ikan apatah lagi kepada pengilat yang semakin kurang mendapat sambaran sebarau dan toman. Beban ini pun sepatutnya turut dipikul oleh guide atau boatman agar lebih profesional dan berani menegur pemancing daripada mengambil ikan sesuka hati.

Saudara Ishak Baharom sanggup bermotor kapcai dari Petaling jaya untuk menyertai pertandingan ini. Syabas!

Penglibatan Orang Asli

Sebaik menerima tentatif penganjuran, ada satu kategori yang amat menarik minat saya iaitu kategori tradisional. Ia bukan sekadar pertandingan berakit buluh dengan joran berbatang bemban, tetapi suatu interaktif apabila adanya penglibatan ‘OA’ (Orang Asli) dalam kategori ini. Kategori ini boleh dikatakan teras penganjuran ini. Namun sayang seribu kali sayang, ramai yang memilih untuk bertanding dalam kategori mengilat yang tampak lebih moden.

Penglibatan OA dalam mana-mana pertandingan memancing jarang sekali dapat dilihat, apatah lagi hendak serakit bersama mereka mahupun merapati masyarakat OA adalah sesuatu yang sukar atas sikap pemalu dan rendah diri mereka. Namun tidak kesemuanya begitu. Penulis berkesempatan bersama seorang OA Jahai yang telah berjaya dan memiliki perusahaan eko-pelancongan sendiri dengan membawa pelancong mahupun pemancing di sekitar Royal Belum dan Temengor.

Abg. Rahim, pemandu pelancing dan pemandu pancing yang berjaya daripada masyarakat Jahai.

Abg. Rahim yang memiliki beberapa buah bot kini giat melatih anak-anak muda masyarakatnya yang berminat menyertai peluang yang terbuka luas dalam industri pelancongan dan mampu bersaing dengan pemilik bot-bot yang lain.

Kalau ditanya penulis seandainya diberi pilihan sama ada memilih guide OA atau yang lain, saya tetap memilih bot yang dipandu OA kerana mereka lebih arif dengan Royal Belum. Malah banyak perkara dan sejarah yang mampu dicungkil. Rakan-rakan yang lain juga senada dengan saya.

Para peserta pancing tradisional yang majoritinya terdiri daripada Orang Asli menyerikan lagi acara ini.

Malah pakej yang unik ditawarkan andainya bermalam di kampungnya, di mana terdapat sebuah rumah penginapan dan dapat merasai masakan di dalam buluh, sama ada nasi mahupun ikan. Dalam pada itu, terkeluar juga nada kekecewaan terhadap masyarakatnya yang masih lagi ramai memilih kehidupan secara nomad dan tidak merebut peluang yang terbuka dalam eko-pelancongan, serta sekadar menjadi tayangan visual pelancong yang bertandang.

Dalam pertandingan memancing tradisional pula, hanya seorang sahaja yang sanggup menyahut cabaran memancing bersama belasan OA. Saya sendiri tabik pada saudara Ishak Baharom yang  sanggup datang bermotosikal secara solo dari Petaling Jaya dan mampu mendapat tempat ketiga dalam acara ini.

Peserta tradisional sedang mencari habuan masing-masing dengan berakit dan berjoran batang bemban.

Acara ini pun tidaklah panjang masanya, hanya separuh hari. Umpan anak udang yang digunakan pula disauk sekitar celahan rumput di tanjung-tanjung tasik oleh OA. Sedikit-sebanyak ilmu itu ditunjukkan, malah ikan-ikan yang didaratkan seperti patong, kaloi, sebarau dan toman rempit boleh tahan juga saiznya. OA memancing hanya sekadar dijadikan lauk seharian dan ikan patong atau kepar merupakan ikan yang paling sedap buat masyarakatnya.

Pertandingan Mengilat

Acara mengilat ini yang paling meriah, malah diserikan lagi dengan kehadiran para pemancing wanita! Hampir 100 peserta dengan 27 buah bot mula meninggalkan kem Sg. Tiang seawal 7.30 pagi. Sebanyak lima buah houseboat digunakan sebagai penginapan peserta dan kem Sg. Tiang hanya digunakan sebagai sesi taklimat dan penerangan hal-hal konservasi.

Ishak berjaya menaikkan ikan patong secara pancingan tradisional.

Pertandingan berlangsung sehari sahaja pada hari kedua. Walaupun 3 hari di sini, banyak masa diisi dengan penerangan kepentingan pemuliharaan. Di kem Sg. Tiang di mana sungainya telah ditutup sejak 2 tahun lepas sebagai santuari kelah, peserta ditegah sama sekali memancing di sini dan kami hanya dihidangkan visual toman, sebarau dan anak-anak ikan yang lain galak bermain air pada waktu senja sebelum hari pertandingan.

Ikan bagaikan nafas sesebatang sungai. Tanpa ikan, ia umpama kontang pada mata pemancing. Di sebaliknya, pemancing pula perlu bijak untuk melestarikan agar sungai terus bernafas sepanjang masa. Memang agak jerih juga, maklumlah pertandingan diadakan pada musim kemarau dengan panas yang agak melampau. Untuk mendapatkan sambaran agak susah juga, tetapi ia bukanlah sesuatu yang mustahil kerana dahulu tanpa mengira musim, kita boleh mendapatkan sambaran di Royal Belum.

Bakar, menyatakan ikan patong atau kepar amat disukai Orang Asli di sini.

Apabila banyak agensi dan jabatan Kerajaan yang dipertanggungjawabkan menjaga Royal Belum terlibat dalam program ini, keluhan pemancing akan disaksikan sendiri. Ini akan membuka mata yang terlibat agar membuat sesuatu yang proaktif sebelum terlambat dan tidak timbul cerita-cerita yang kurang enak didengar daripada mulut pemancing yang mula menjadi kudis bagi Royal Belum.

Voluntourism?

Bot-bot peserta mula pulang ke kem apabila waktu pertandingan berakhir jam 7 petang. Apabila ditanya peserta akan hasilnya, jawapannya agak kurang menggalakkan. Bagi kategori mengilat, hanya kategori individu yang dipertandingkan. Tiada kategori kumpulan bagi merebut trofi King Toman, King Sebarau dan King Special.

Loh Sodok dengan hasil mengilat sebarau setelah seharian ‘mengorek’ dengan gewang.

Apa yang menarik, satu kategori Voluntourism juga diadakan bagi perserta yang membawa pulang sampah yang dikutip sekitar tasik. Juara yang telah dinobatkan berjaya membawa pulang sampah seberat 16 kg!

Bagi ukuran ikan yang layak dipertandingkan, sebarau perlu melebihi ukuran minimum 35 cm dan toman 40 cm. Bagi kategori Special, tiada ukuran yang ditetapkan, sebaliknya mengikut spesies yang telah ditetapkan oleh pihak penganjur. Bagi pengurusan makan minum peserta, ia boleh diberi pujian kerana semuanya agak terurus, begitu juga guide-guide yang sudah berpengalaman sering terlibat dalam mana-mana anjuran pertandingan.

Lady Angler menyerikan pertandingan ini.

Penentu Juara

Pengiraan markah diadakan pada waktu malam oleh penganjur. Sedang peserta lena diulit mimpi, pihak urusetia pula bersengkang mata sampai ke pagi meneliti setiap ukuran pada foto yang diserahkan oleh peserta sebagai bukti ukuran dan tangkapan.

Dalam pada masa itu juga pelbagai pihak jabatan dan agensi mendengar taklimat ‘Kepentingan Konservasi & Perikanan Rekreasi’ oleh pensyarah UMT iaitu saudara Masduki Mohammad Morni agar lebih mengenali apa itu pancingan rekreasi dan pulangan kepada ekonomi negara, dan bukannya mereka terus dicop sebagai memancing sara hidup.

Selepas sarapan pagi, peserta mula berkumpul di pondok Kem Sg. Tiang menanti ketibaan YB. Dato’ Aznel Hj. Ibrahim, ADUN Pengkalan Hulu, untuk acara penutup dan pembahagian hadiah. Satu persatu nama pemenang dipanggil untuk menerima hadiah sehinggalah selesai juara-juara utama dinobatkan, dan peserta mula turun ke rumah bot masing-masing yang mana telah bersiap sedia untuk pulang ke pengkalan Pulau Banding.

Sebarau juara oleh kartunis Bacang.

Selepas ikatan tali utama houseboat dibuka, mereka terus bergerak ke pangkalan. Manakala saya menaiki bot bersama pihak penganjur bersama ketua-ketua Jabatan yang terlibat ke Sg. Papan untuk tujuan program pelepasan anak ikan. Sebanyak 20,000 anak ikan baung dan jelawat disediakan oleh Jabatan Perikanan Negeri Perak untuk tujuan pelepasan bagi terus melestarikan tasik Royal Belum.

Basuh Minda

Kalau dilihat lapangan pancing air tawar kini memang agak kritikal. Tasik Temengor yang meliputi Royal Belum boleh dikatakan benteng terakhir padang mengilat yang memang dikenali ramai, tetapi kini kian terancam.

Tunku Sufrizal memberi sesi penerangan berkaitan konservasi.

Aktiviti menjaring oleh pihak luar, kes kecurian kelah dan juga lebih tuai daripada pemancing dan pengilat semakin menjadi-jadi. Andainya tasik ini kontang akan sambaran, ke mana lagi kita hendak memancing? Keluar negara… berapa ramai yang mampu? Andainya mampu ke luar negara memancing di tempat-tempat tersohor, adakah ikan boleh dibawa pulang? Perlu dilepaskan, bukan?

Jikalau kita perlu melepaskan ikan kerana hormat akan undang-undang di tempat orang… kenapa di tempat sendiri kita pula yang merosakkan? Atau memang orang kita suka bercerita pasal sejarah lampau tentang lubuk ini dulu tersohor, ikan besar-besar kepada generasi akan datang, walhal kita yang membuka pekung di dada pada waktu itu!

Acara pelepasan sebanyak 20,000 anak ikan baung dan jelawat yang disediakan oleh Jabatan Perikanan Negeri Perak di Sg. Papan.

Saya sendiri amat teruja dengan program ini, dan ia amat jarang dilakukan dalam mana-mana pertandingan. ‘Serampang dua mata’ dengan adanya penerapan, penerangan dan juga konsep konservasi. Ia bukan sahaja kepada peserta pertandingan bahkan agensi dan jabatan terlibat turut diheret agar membuka minda akan kepentingannya. Beban ini perlu dipikul bersama, bukannya menuding jari menyalahkan sesiapa.

Penglibatan OA dalam program ini turut membuka minda kami semua bahawa OA mampu memiliki dan menguruskan pelancongan. Mereka adalah aset permata yang amat bernilai dalam keunikan Royal Belum.

Pemenang King of Toman dengan spesimen sepanjang 79 cm disampaikan oleh YB. Dato’ Aznel Hj. Ibrahim, ADUN Pengkalan Hulu.

King of Sebarau, abang Bacang kita!

Pemenang King of Special, iaitu ikan kerandang sepanjang 54 cm.

King of Voluntarism. Tahniah kerana sanggup mengumpul dan membawa pulang sampah seberat 16 kg!

Saya amat berterima kasih kepada saudara Mohseng, seorang aktivis alam sekitar yang tidak kenal erti penat dalam mendidik dan memupuk pemancing di negara kita agar terus merealisasikan kelestarian lapangan pancing. Kalau dibandingkan pembangunan infrastruktur dengan penduduk Borneo, mereka agak ketinggalan tetapi mengapakah mereka lebih ke hadapan dengan konsep TAGAL, sedang kita terus hanyut dalam kehancuran…

SENARAI JUARA RBS & LFT 2018

KING OF TOMAN : Toman 79 cm

KING OF SEBARAU : Sebarau 49 cm

KING OF SPECIAL : Kerandang 54 cm

KING OF VOLUNTOURISM : Bot no. 11

GUIDE TERBAIK : Saiful, Razif, Abg. Ali

KING OF TRADITIONAL : Ralak, Nonam, Ishak Baharom