Sagai Muduk Tanjung Nyang

lan ikan talang Pulau Sayap setelah kembali dari trip Singkep, Kepulauan Riau, Indonesia. Dua minggu kemudian sebuah lagi trip Singkep telah belangsung namun talang telah hilang entah ke mana! Terpaksalah beralaih ke Tanjung Nyang yang terkenal dengan spesies pelagiknya. Sekali lagi pesta “taruh makan” berlangsung apabila jig diserbu jemudok dan sagai tanpa henti!

Teks & Fotografi: PAK WONG
Laut mulai teduh menjelang hujung bulan September memeberikan kesempatan untuk saya bertandang ke Pulau Sayap sekali lagi. Kali ini bot fiber yang dilengkapai dua buah enjin sangkut berkuasa 250hp hanya menghabiskan masa selama satu jam lebih sahaja untuk sampai ke sarang talang idaman.



Memandangkan ada masa yang mencukupi untuk berpesta dengan talang, kapten pun mencadangkan untuk mencari gerong belang terlebih dahulu di kawasan berair tenang di sebalik pulau. Apabila menurunkan jig, didapati air laut dipenuhi makhluk telus seperti anak ubur-ubur yang merangkumi hampir segenap lapisan air laut yang mampu dilihat dengan mata kasar.


KES KEHILANGAN TALANG
Gerong belang tidak kelihatan setelah hampir 40 minit jigging. Justeru kami pun beralaih ke bahagian pulau yang menghadapi ombak untuk menduga talang pula. Hairannya setelah setengah jam jigging dan casting dengan sinking minnow, hanya todak sahaja yang sudi melayan kami. Ke mana agaknya talang yang “taruh makan” dua minggu dahulu?


Apakah talang telah menjadi pandai setelah trip C N R lalu? Kes seperti ini telah banyak kali berlaku dalam kerjaya memancing saya. Ikan laut memang pandai mengelakkan gewang. Ikan air tawar lagi cepat belajar!
Namun menurut anggaran saya kemungkinan talang menolak gewang tidaklah tinggi. Pokoknya populasi talang sangat banyak dan mereka tidak berkumpul di sebuah lokasi sahaja malah bertaburan di sekitar ketiga-tiga pulau justeru tidak mungkin dapat menyebarkan isyarat merbahaya kepada rakan-rakannya.



Lagipun menurut pembantu bot, talang pernah dinaikkan pada minggu lalu ketika sekumpulan pemancing dasar bermain di sini. Di antaranya terdapat seekor talang yang masih kelihatan dengan jelasnya luka akibat cangkukan mata di bahagian mulutnya. Sudah pasti itu ikan tangkapan kami pada trip lalu. Ini juga membuktikan bahawa spesies talang di sini memang tidak ada rasa takut terhadap pembelasahan kami yang berlangsung dua minggu lalu dan masih berani memakan umpan. Anggaran saya anak ubur-uburlah yang telah menghalau gerembolan talang dari pinggiran pulau!
Harap begitulah!

PENJELASAN TEKNIK SAGAI


Mahu tak mahu terpaksalah kami beralih ke Tanjung Nyang berhampiran Pulau Lingga. Lubuk yang berkedalaman sekitar 30 meter ini terdiri dari sebuah kawasan berbukit tinggi yang amat terkenal dengan ikan-ikan pelagiknya. Kapten telah memilih sebuah kawasan berterumbu tinggi dan memulakan kaedah jigging secara menghanyutkan bot.



Arus pada hari itu agak laju namun inilah arus yang diidamkan oleh pemancing di mana ikan akan menjadi lebih aktif dan agresif. Pelagic Hunter sepanjang 42 kaki hanyut mengikut arus dengan kelajuan yang munasabah di mana jig seberat 60 gram sudah memadai untuk berkekalan di bawah bot. Apabila jig melalui sebuah batu tinggi seperti yang ditunjukkan dalam skrin sonar, kelihatan joran melengkung satu demi satu, FISH ON!





Banyak betul ikan di lubuk ini! Lubuk pilihan kapten ini kawasannya amat luas, tetap ada pemancing yang terkena ikan setelah hanyut selama 10 minit. Kebanyakan ikan yang dinaikkan merupakan spesies jemudok dan sagai. Saiz biasa-biasa namun bilangannya yang banyak memang cukup menghiburkan!


Sudah lama saya belum berpeluang untuk jigging spesies sagai di perairan Malaysia sehingga lupa dengan perangai ikan yang unik ini. Setelah menaikkan beberapa ekor, barulah saya teringat teknik jigging khas untuk spesies ini. Rahsianya ialah jangan henjut jig dengan terlampau laju. Sebaliknya mainkan jig seperti menjerat ebek kapak iaitu berhenti buat seketika sepanjang persembahan jig. Ini disebabkan mulut sagai yang kecil. Mereka akan sentiasa MISS jika henjutan jig laju tanpa henti.

Sambaran sagai pun agak bersamaan dengan ebek kapak. Apabila mulutnya yang keras terkena jig, pemancing akan terasa jig seakan dilanggar sesuatu yang keras. Jangan membuat sentapan melainkan joran melengkung. Sentapan akan menjadi sia-sia kerana mata masih berada di luar mulut ikan.

Sebaliknya berhenti jigging jika terasa sambaran sagai. Tunggu sebentar dan sagai biasanya akan cuba baham jig lagi. Sentak beberapa kali apabila terasa tali menjadi tegang, barulah dapat menghasilkan cangkukan yang kukuh. Seperkara yang harus dingati ialah janganlah mengepam sagai secara kasar kerana bibirnya yang nipis akan mudah pecah.
BOILING SAGAI


Tiba-tiba keadaan menjadi senyap. Ikan yang asyik membaham jig hilang entah ke mana. Pada masa yang sama permukaan laut yang tenang tiba-tiba kelihatan boiling. Saya dengan cepatnya membaling jig ke tempat boiling. Tanpa disangka-sangka ikan yang membaham jig bukannya tenggiri atau tongkol, sebaliknya sagai yang sangat agresif. Saya berjaya menaikkan dua ekor sagai berturut-turut!

Agaknya gerombolan ikan kecil telah menarik sagai ke permukaan laut. Kelihatan juga ikan telinga gajah yang berkumpulan berlega di tepi bot. Namun tidak lama kemudian mungkin kerana ikan kecil telah kembali ke dasar, jig yang dihulur ke dasar kembali dihentam sagai dan jemudok pula.

Lubuk di Tanjung Nyang ini memang sukar ditemui di Malaysia. Setiap kali bot hanyut melalui spot, sekurang-kurangnya ada dua pemancing terkena ikan. Paling ramai 4 pemancing digasak sagai atau jemudok dengan serentak!

Selain sagai dan jemudok yang bersaiz sederhana, sekalai-sekala terdapat juga sagai mulut itik bersaiz besar. Saya juga kehilangan seekor monster yang disyaki sagai mulut itik akibat putus tali.
Jig banyak korban sewaktu memancing di sini. Bukan kerana sangkut tetapi dipotong alu-alu atau tenggiri. Ini adalah perkara biasa di sebuah lubuk dara. Kaedah untuk manjamin keseimbangan eko sistem oleh alam sekitar kot?
Pada hari seterusnya kami kembali lagi ke Pualau Sayap untuk mencari talang namun hanya berjaya menaikkan 4 ekor sahaja pada waktu petang hari ketiga. Jika diandaikan talang meninggalkan kampung halamannya lantaran kewujudan ubur-ubbur yang banyak, mengapa pula ada talang yang berjaya dinaikkan di sini?
Terpaksalah kami pulang dengan sebuah misteri yang membingungkan dalam hati masing-masing!
RINDU BERTERUSAN
Berita terikini: Memandangkan enjin bot sentiasa rosak disebabkan petrol yang kurang bersih, pengusaha telah memutuskan untuk memberhentikan perkhidmatan bot pancingnya di Pulau Singkep sehingga syarikat petrol membuka stesen minyak di sana dan minyaknya didapati berkualiti tinggi.

Ini juga menandakan bahawa trip kami kali ini merupakan trip terakhir buat tahun 2019 di Singkep. Sehingga bot beroperasi semula, rindu saya terhadap talang di Pulau Sayap akan berterusan!