Pautan Utama

Portal Memancing Rasmi Malaysia

Santai Sotong Lumut

Di Perak, bila bercakap tentang sotong, pasti di minda kaki candat sudah terbayangkan Pangkor dan Pulau Sembilan yang tersohor untuk mengilat sotong, khasnya sotong mengabang. Namun saya pasti ramai lagi yang belum tahu bahawa di sekitar Jeti Feri Pangkor, Lumut juga merupakan lubuk yang cukup baik untuk mengilat sotong, tetapi dari jenis sotong katak…

Teks & Fotografi : NAZMI ANUAR

Inilah rupa sotong katak yang banyak berkeliaran di Lumut. Boleh cam apa bezanya dengan sotong mengabang?

Terkejut juga bila pertama kali saya diajak Acoy untuk mengilat sotong di Jeti Feri Lumut kerana biasanya untuk misi ini saya akan ke Pangkor atau Pulau Sembilan. Ia sesuatu yang sangat baru bagi saya, atau sebenarnya saya yang terlalu jumud dan tidak pernah mengambil tahu tentangnya.

Kunjungan pertama agak kelam kabut kerana tiada perancangan awal. Cakap-cakap sahaja petangnya, lepas maghrib terus ke Lumut. Tiba di lokasi jam 9 malam, saya mula berbelah. Kawasan jeti serta sepanjang pantai ini telah dimajukan oleh majlis daerah dan dijadikan taman riadah yang dipenuhi lampu-lampu neon dan flood light.

Sudah pastinya tempat ini menjadi tumpuan orang ramai untuk lepak-lepak dan di sini jugalah tempat tumpuan sotong katak melepak. Maka saya tebalkan sahaja muka ini untuk mengusung perkakasan memancing di tengah kemeriahan suasana di sini.

Seawal jam 7 petang kami sudah mula terpacak di tepi laut Lumut mencari sotong.

Sifu Candat & Rahsianya

Kunjungan sulung ini, saya telah berkenalan dengan Abg. Din, pengunjung tetap mencandat sotong di sini. Menurut Acoy, Abg. Din merupakan sifu candat dan telah saya akuinya di mana kumpulan saya berempat telah habis ditapau Abg. Din seorang.

Empat pengilat amatur masih belum mampu mengalahkan seorang pengilat veteran, di mana pada penghujung sesi, Abg. Din berjaya menaikkan 7 ekor sotong dan kami cuma berkongsi dua ekor. Saya sempat korek rahsia mengilat Abg. Din sebelum pulang.

Tidak banyak struktur, batu dan karang di dasar persisir Lumut seperti di kebanyakan lubuk sotong katak atau mengabang yang lain. Sotong di sini biasa akan merayap di pertengahan dan dasar serta dari tengah sampai ke gigi pantai untuk mencari makan.

Abg. Din mempraktikkan karauan yang sangat perlahan tanpa sebarang unjunan untuk memperdaya sotong katak (mirip sotong mengabang tetapi lebih kecil) yang banyak berkeliaran di muara Sg. Dinding ini. Melalui teknik ini, gewang candat akan sentiasa berada hampir dengan dasar pantai, di mana kebanyakan udang serta ikan kecil berada yang menjadi kegemaran sotong.

Secara tidak langsung, ia menjadi teknik ‘killer’ untuk mengumpan sotong di sini. Ba-tang joran perlu dihalakan ke bawah untuk memastikan gewang candat sentiasa berada di perimeter pemburuan sotong.

Saya bersama sifu candat Lumut, Abg. Din.

Lumut Dilanggar Sotong

Berbeza dengan mencandat sotong mengabang yang biasanya dilakukan pada siang hari, di sini seawal jam 7 malam hingga 1 atau 2 pagi adalah waktu terbaik untuk mencandat sotong katak. Pada waktu ini, sepanjang pantai Lumut akan terang-benderang disinari lampu flood light serta neon. Cahaya ini yang menarik perhatian sotong berkumpul, lebih-lebih lagi di sekitar jeti feri.

Kami menumpu di kawasan yang terkena cahaya lampu limpah ini sehinggakan adakalanya kita boleh melihat sotong-sotong akan merayap di permukaan air hingga ke gigi pantai untuk mencari makanan. Belum pernah saya lihat sotong berkumpul dengan banyak sekali di tepi pantai Lumut ini!

Pesta Sotong Malam Minggu

Malam minggu sudah semestinya suasana meriah dengan kehadiran pengunjung yang mencari hiburan, tidak terkecuali juga di gigi pantai yang dipenuhi pengilat sotong. Kami juga tidak ketinggalan menambah lagi kemeriahan. Pada kunjungan ketiga, lebih 20 ekor berjaya kami naikkan hasil teknik karauan perlahan yang diubah suai oleh Iqbal.

Karauan perlahan yang diselangi mengangkat joran ke atas berjaya membuka selera sotong di sini yang adakalanya penyegan. Teknik ini membuatkan gewang candat yang biasa hanya berada di dasar akan terampai-ampai sedikit ke separuh air.

Meriahnya mengilat sotong di sini bukan setakat ramainya pengilat yang boleh kita bersuai kenal, malah kemesraan sotong di sini yang jika kena masanya, tidak henti-henti membedal candat yang dihulurkan. Ia juga meriah dengan sorakan serta gelak tawa pengunjung yang melihat telatah kaki sotong. Kalau ada pengilat bujang, bolehlah tunjuk skill, manalah tahu ada awek-awek yang tertarik dengan anda.

Ustaz Iqbal yang berjaya mengubah suai teknik candat Abg. Din sampaikan sotong kurita pun sangkut.

Setting Sotong Lumut

Penggunaan tali halus meninggikan peluang untuk mendapat strike. Saya menggunakan tali tangsi Towada 6 paun dan tali sulam Berkley Fireline 8 paun. Kedua-duanya ada kelebihan serta kekurangan.

Tali tangsi (mono) didapati meningkatkan strike berbanding tali sulam (braided). Sifat tangsi yang kurang berdengung dan hilang dari pandangan di dalam air membuatkan sotong tidak culas. Namun kelemahannya semasa hendak menyentak joran bagi memastikan mata candat menembusi sebelum sotong sempat melepaskan kembali candat. Kepekaan untuk merasa getuan sotong serta masa yang tepat untuk sentapan diperlukan untuk memastikan ia tidak terlepas.

Dalam jurus sentapan ini, tali sulam adalah senjata terbaik kerana sifatnya lebih sensitif dengan getuan sotong serta tiada daya regangan. Ia tidak memberi peluang kepada sotong untuk melepaskan diri kerana hanya dengan sentapan perlahan, mata candat sudah boleh menembusi badan sotong.

Ada masa-masa tertentu perangai sotong di sini hampir sama dengan sotong di Pangkor dan Pulau Sembilan yang agak culas membedal gewang. Inilah antara sebab tali sulam kurang mendapat sambaran, kecuali berdiameter amat halus untuk mengurangkan dengungan yang terhasil daripada tolakan arus dan semasa melakukan karauan.

Candat Pilihan

Kebanyakan sotong di sini ditumpaskan dengan candat Yamashita bersaiz kecil. Candat kecil serta bercahaya berjaya membuka selera sotong untuk tidak teragak-agak menyambar. Saya gemar gunakan candat jenis glow dari jenama Yamashita saiz 1.8 – 1.5 seberat 4 g – 7 g.

Berkenaan warna, sotong katak dilihat tidak begitu memilih, asalkan ia bercahaya serta kecil. Candat jenis rattlin serta berwarna gelap juga banyak membuahkan hasil selagi teknik mengilatnya kena dengan selera sotong.

Lan yang menjadi king kurita, tersipu-sipu malu sebab ramai awek kat belakang dok usha.

Tapak Latihan

Akses untuk mengilat sotong di sini tersangatlah mudah kerana ia betul-betul di tengah pekan Lumut, di mana tempat letak kereta serta kemudahan lain seperti restoran, hotel dan sebagainya terletak di sepanjang pantai Lumut ini sahaja.

Ditambah lagi dengan kemeriahan sotong di sini, boleh saya kelaskan sebagai tapak latihan untuk mengilat sotong sebelum kita ke Pulau Sembilan atau Pulau Pangkor yang sudah pastinya lebih banyak cabaran.

SOTONG KATAK VS SOTONG MENGABANG 

Sotong katak (cuttlefish) adalah keluarga Cephalopod yang juga termasuk sotong-sotong lain seperti sotong torak, jarum, cumit, mengabang, kurita dan nautilus. Kajian terkini menunjukkan sotong katak merupakan antara invertebrata yang paling bijak. Sotong katak juga mempunyai salah satu daripada kadar otak terbesar dalam semua invertebrata berbanding saiz badannya.

Sotong katak mempunyai cangkerang dalaman (tulangnya), pupil berbentuk ‘W’ yang besar, lapan lengan dan dua tentakel dengan penghisap bergigi kecil, digunakan untuk menangkap mangsanya.

Sotong katak di Lumut adalah begitu kecil berbanding sotong mengabang (bigfin reef squid) yang bagak yang biasanya menjadi buruan caster sotong atau dikenali ‘eging’ di Jepun. Namun sekecil-kecilnya pun, mampu memberi keceriaan dan keghairahan buat sebilangan peminatnya di Lumut sehingga sanggup bersengkang mata sampai turunnya embun.

Sotong Mengabang

Sotong Katak