Santuari Tapah Maludam
Walaupun tidak begitu terkenal di Sarawak, tetapi Taman Negara Maludam menyimpan khazanah populasi spesies tapah yang masih terpelihara dengan baik sekali sehingga anda boleh mengilatnya pada malam hari…
Teks & Fotografi : RICHARD KIIN
Semenjak jemputan daripada Pak Anjang untuk mencuba Sg. Maludam, seribu pertanyaan bermain di minda saya. Ditambah lagi dengan cerita daripada Abg. Mual yang meracun fikiran. Jiwa kacau dibuatnya.
Menurut cerita Abg. Mual, beliau pernah menumpaskan seekor ikan tapah seberat 17 kg dengan mengilat di pangkalan botnya yang cuma di belakang rumahnya. Beliau terpaksa meminta pertolongan isteri untuk bantu memegang joran, sementara Abg. Mual menangguk air untuk mengangkat ikan tapah tersebut ke atas tebing.
Dalam cerita berasingan pula, beliau pernah mendaratkan 5 ekor ikan tapah dengan mengilat dari atas jeti kampung sahaja. Fullamak! Siapa tak geram mendengarnya? Ini benar-benar mengganggu tidur saya.
Saya mula membelek kalendar untuk menentukan tarikh yang sesuai. Memandangkan masa kerja yang ketat, saya memilih hujung minggu untuk ke sana. Saya bersama Mahli bertolak dari Bintulu, sementara Pak Anjang akan menjemput kami di Sibu. Kami menggunakan kereta pacuan empat roda Pak Anjang untuk pergi ke Maludam.
Lokasi & Keunikan Maludam
Pertama kali menjejak kaki ke Maludam merupakan sebuah pengalaman baru yang semestinya antara coretan kenangan dalam diari pancingan saya.
Sg. Maludam terletak di daerah Saribas, dalam bahagian Betong, Sarawak. Kg. Maludam pula terletak di muara Sg. Maludam itu sendiri. Perjalanan dari bandar Sibu ke Kg. Maludam memakan masa lebih kurang 3 jam.
Sg. Maludam sebenarnya sebuah sungai paya bakau yang berair hitam. Selain memancing, rasa beruntung juga berkunjung ke sini apabila dapat menikmati panorama serta suasana di hutan paya bakau yang tenang dan indah. Di samping itu, kami juga berasa amat bertuah kerana dapat memahami serba sedikit budaya orang tempatan di Kg. Maludam itu sendiri.
Layanan yang cukup baik daripada keluarga Abg. Mual, terasa seolah-olah kami berada di rumah sendiri. Suatu pengalaman yang sudah semestinya kami takkan lupakan ialah apabila pertama kali merasai masakan ikan buntal masak kunyit.
Bukan calang-calang orang boleh masak ikan ini. Jika tak cukup pengetahuan tentang cara bagaimana hendak membuang racun yang terkandung di dalam badan buntal, janganlah cuba-cuba memakannya. Silap hari bulan boleh mendatangkan maut. Tetapi di daerah Maludam ini, ikan buntal merupakan menu istimewa yang ternyata menyelerakan. Mereka sangat arif mengendalikan ikan ini sebelum dimasak. Memang sedap rupanya sup ikan buntal ni!
Penjelajahan Bermula
Sg. Maludam yang mengalir terus ke laut ini bukannya besar mana pun. Namun uniknya sungai ini tersimpan khazanah yang dicari-cari oleh setiap pemancing seperti kami. Tak besar, tak juga dalam. Begitulah gambaran yang dapat kami ungkapkan.
Selesai merarau tengahari, kami pun memulakan misi mencari tapah Maludam. Nampaknya Abg. Mual telah bersedia sepenuhnya dengan dua buah bot fiber, yang masing-masing dijana oleh dua buah enjin berkapasiti 15 kuasa kuda. Sebuah bot akan dikemudikan oleh sahabatnya, manakala sebuah lagi akan dikemudikan oleh Abg. Mual sendiri.
Kami mula bertolak dari pangkalan bot Kg. Maludam dalam jam 3 petang. Saya dan Mahli menaiki bot yang dikemudikan Abg. Mual, manakala Anjang dan Azizul menaiki bot sahabat Abg. Mual.
Setelah setengah jam meninggalkan jeti Kg. Maludam, kami tiba di sebuah rumah rehat di tengah-tengah hutan. Abg. Mual memberi isyarat bahawa sesi casting dan trolling boleh dimulakan. Saya dan Mahli mengilat dari bahagian depan, manakala Abg. Mual pula menunda gewangnya di bahagian belakang bot.
Kami mula menyusuri Sg. Maludam ke bahagian hulu sambil menunda gewang serta mengilat .Sebuah lagi bot turut mengekori kira-kira dua ratus meter jaraknya di belakang. Baru beberapa kali melempar gewang janggut yang saya jatuhkan ke celah-celah pokok rasau yang begitu banyak memagari tebing sungai, terasa satu sergapan yang ganas, namun rabut.
Hati mula berbunga penuh harapan. Abg. Mual hanya tersenyum melihat reaksi kekecewaan saya kerana rabut.
Mahligai Bujuk
Setelah beberapa kali kejadian rabut, akhirnya seekor bujuk berjaya diperolehi. Bujuk di sini berwarna lebih gelap memandangkan air Sg. Maludam yang nampak agak hitam.
Ikan ini lebih suka mengendap dari bawah akar-akar pokok rasau. Oleh itu untuk memujuknya keluar dari kediamannya itu, kami harus menghantar gewang ke celah-celah pokok rasau tersebut.
Casting dalam keadaan bot terus bergerak sememangnya agak mencabar. Banyak ceruk serta bangkar berpotensi tak sempat kami explore disebabkan bot terus bergerak. Meskipun demikian, beberapa ekor bujuk berjaya juga kami naikkan.
Bayangkan seandainya kami betul-betul mengilat sambil berhanyut. Saya optimis pastinya banyak lagi sambaran yang akan kita perolehi. Menurut Abg. Mual, bujuk di sini mampu mencecah sehingga 5 kg. Perhh!! Dah macam saiz toman, kan?
Lepak Homestay
Sejam mengilat sambil trolling, kami pun tiba di sebuah lagi rumah rehat. Rumah rehat ini akan menjadi persinggahan kami untuk berehat malam nanti. Kami memunggah barang-barang ke atas rumah rehat ini.
Selepas beberapa minit berehat, kamip meneruskan sesi trolling sambil casting ke bahagian hulu lagi. Semakin ke hulu, semakin galak sambaran daripada sang bujuk. Walaupun tak terkira jumlah sambarannya, namun yang pasti banyak juga kes rabut berlaku.
“Nampak gayanya kali ini bujuk belum cukup frenzy” kata bang Mual. “Jika betul-betul time frenzy-nya, hampir setiap lemparan di sergap oleh sang bujuk,” katanya lagi.
Rantau Tapah
Setibanya kami di satu rantau yang agak panjang, umpan tundaan Abg. Mual disergap sesuatu tetapi rabut. Berdasarkan pengalamannya, beliau membayangkan sergapan tersebut kemungkinan daripada ikan tapah.
Mahli mula mengambil tempat untuk menunda gewang bersama Abg. Mual di belakang bot. Beberapa minit menunda Storm Thunderstick-nya, sekali lagi satu sentapan pada joran Abg. Mual. Beliau lantas memberikan jorannya kepada Mahli seraya mengundurkan bot ke belakang untuk mengepam joran lebih dekat kepada ikan tersebut.
Malangnya ikan tersebut sempat membelit ke ranting kayu yang terbenam di dasar. Nasib baiklah ranting kayu tersebut dapat dicapai Abg. Mual. Akhirnya kami berjaya mendapatkan tapah anggaran 1.5 kg.
Seolah-olah petanda baik, kami mula trolling ke hilir pula untuk repeat di lubuk yang sama. Jam menunjukkan 6 petang. Me-nurut Abg. Mual, ini merupakan masa ikan tapah mula keluar mencari makanan. Beliau yang cukup arif dengan selok-belok sungai ini sememangnya telah mengenal pasti lubuk-lubuk sasaran yang akan kami duga.
Beberapa kali berulang alik di kawasan yang disyorkan, kami telah berjaya memperolehi 9 ekor ikan tapah. Kesemuanya bersaiz dalam lingkungan 1 kg ke 2 kg sahaja.
Ternyata Sg. Maludam ini merupakan santuari ikan tapah. Jika diperhatikan dalam air, terdapat banyak anak ikan tapah bersaiz bilis. Sekiranya ekosistem ini tidak diganggu secara ekstrem, saya percaya sungai ini akan terus mengekalkan kelestarian habitat ikan tapah di daerah Maludam ini.
Walaupun tidak berjaya menjerat tapah bersaiz gergasi, kami tetap berpuas hati dengan hasil yang diperolehi. Yang pasti kami akan kembali lagi menyambung episod pencarian tapah gergasi Sg. Maludam suatu hari nanti.
*Untuk khidmat guide Maludam, boleh hubungi Abg. Mual @ Mual Osman : 013-5715213.
TROLLING TAPAH MALAM
Pernah anda dengar menggewang tapah waktu malam? Kalau anda berani, baik pilih waktu gelap ini kerana rupa-rupanya tapah lebih aktif malam hari!
Tahukah anda, ikan tapah sebenarnya aktif pada waktu malam. Malah anda boleh memperdayanya dengan gewang pada waktu gelap pekat ini. Nampaknya dapat saya menimba suatu ilmu dan pengalaman baru di Maludam setelah diberitahu oleh Abg. Mual.
Setelah puas mengilat dan trolling pada siang hari, kami balik ke rumah rehat tadi menjelang malam. Dan selesai makan malam, kami dibawa mencuba trolling malam pula!
Menurut bang Mual, ikan tapah lebih aktif mengejar gewang pada waktu malam, lebih-lebih lagi pada sebelah tengah malam sehingga ke awal pagi. Sebab itu beliau mengesyorkan kami mengilat bujuk saja pada waktu siang.
Menyiasat Bunyi Bising
Sebenarnya ikan tapah akan keluar dari persembunyiannya apabila mendengar bunyi bising daripada enjin sangkut. Buih dan gelembung air daripada kipas enjin akan menarik perhatian ikan tapah untuk keluar dari persembunyiannya bagi memastikan apa yang sedang berlaku. Ikan tapah akan membaham gewang tundaan yang sedang terkedek-kedek di hadapan mukanya.
Ikan tapah berkebolehan menggunakan deria yang terdapat di kedua-dua sisi badannya untuk mengesan getaran daripada ikan mangsaan. Kelebihan itu juga digunanya untuk memburu mangsanya pada waktu malam.
Lebih Seram
Kami menunda sehingga jam 11 malam. Terasa lebih seram menyusur bot di tengah Sg. Maludam yang sunyi dan gelap gelita itu pada waktu malam. Tetapi memang luar biasa kerana hasilnya kami berjaya memikat 3 ekor tapah!
Sementara rakan lain berehat, saya juga ada cuba mengilat dari jeti rumah rehat tersebut. Selang lima minit melempar gewang, terdapat satu sergapan pada gewang minnow saya. Seekor tapah anggaran 2 kg berjaya saya perolehi hasil casting malam!