Sebarau Anak Kinta
Mengilat dari tebing lebih efektif untuk mendapatkan sebby yang bersaiz besar.Mengalir dari Gunung Korbu hingga bertemu Sg. Perak di Kampung Gajah, Sg. Kinta merupakan cabang Sg. Perak yang terpenting di mana ia mengalir di tengah bandar Ipoh dan beberapa buah pekan yang menjadikan sungai ini sebagai laluan utama pada zaman dahulu. Terdapat beberapa cabang sungai lagi yang menjadi punca air bagi Sg. Kinta ini, dan saya berpeluang menduga salah satu cabang untuk menyelongkatr khazanah yang ada tersimpan dalam sungai kecil ini…
Teks & Fotografi : NAZMI ANUAR
Sebarau bukanlah ikan yang cukup terkenal di Sg. Kinta jika dibandingkan dengan ikan baung dan jelawat. Namun sebarau dikatakan antara ikan yang paling banyak dipancing di cabang-cabang dan anak sungai Sg. Kinta. Cabang-cabang sungai ini tidaklah terkenal mana berbanding lubuk tersohor di merata Perak ini. Cuma segelintir orang tempatan sahaja yang banyak mengetahui akan potensi anak Sg. Kinta ini.
Mengalir dari Gunung Korbu dan melalui kawasan bandar yang sangat pesat membangun menyebabkan Sg. Kinta sedikit tercemar dan berkelodak lumpur. Namun Sg. Kinta sebenarnya sungai pilihan bagi spesies sebarau Sg. Perak untuk melepaskan telur dan ‘bertadika’. Sesetengah sebarau akan terus mendiami sungai-sungai kecil ini tanpa pergi jauh ke kawasan yang lebih luas.
Melalui Sg. Kinta, sebarau akan terus bergerak memasuki anak-anak sungai cabang yang mempunyai kondisi air yang cukup bersih dan sihat bagi membiak. Jadi tidak hairanlah pada musim-musim tertentu, anak-anak sungai yang kecil ini dipenuhi sebarau bersaiz kecil dan remaja, dan jika bernasib baik, anda berpeluang untuk bertemu sang badong yang sedang mudik ke hulu sungai.
Kejutan Anak Sungai
Kali pertama saya berkunjung ke sungai ini kebetulan pada musim sebarau sedang banyak mudik ke hulu tanpa kami sendiri sedarinya. Selepas Eddy membuat tinjauan keadaan sungai, kedalaman serta tempat untuk turun dan naik sungai, saya bersama seorang lagi pengilat tegar Heri main terjah sahaja sebelum kami sempat mempelajari taktik permainan sebarau di sungai ini.
Heri yang pertama kali turun berasa sangat teruja dengan jumlah sebarau yang kami perolehi. Manakan tidaknya, hampir setiap kawasan lubuk pasti akan ada sebarau yang berjaya dibawa keluar. Masa ini sebarau sangat frenzy dengan boiling di merata-rata tempat, sehinggakan di kawasan lapang dan highway sungai pun ada boiling sebarau.
Apa yang lebih menyeronokkan, sebarau di sini seakan sangat jakun dengan gewang, sehinggakan ada yang mengejar gewang hingga ke kaki kami! Ini menunjukkan sungai ini amat jarang dikunjungi pengilat dan mungkin juga tidak ramai yang mengetahuinya, atau juga ramai yang menyangkakan sungai sekecil ini tiada ikan.
Saya sendiri amat terkejut apabila melihat sungai yang cuma selebar dua depa orang dewasa ini menyimpan jumlah sebarau yang begitu banyak. Benar kata pepatah, jangan menilai sesuatu melalui rupanya sahaja, begitulah juga sungai sekecil ini. Nampak cetek dan tidak berpenghuni, namun ia merupakan nurseri sebarau Sg. Kinta.
Taktikal Sungai Kecil
Kami biasanya akan cuba meredah belukar dan semak di tebing sungai untuk mengilat supaya tidak mengganggu air daripada menjadi keruh. Taktik ini juga dapat mengelakkan kita membuat bising dan menghasilkan kocakan air yang pastinya akan membuat sebarau menjadi takut dan mengesan akan kehadiran kita.
Selain meredah belukar, kita juga boleh meranduk sungai. Namun bukanlah berjalan mengikut arus. Randuklah melawan arus supaya kelodak akan dibawa arus ke belakang. Kita juga mampu mendapat peratusan sambaran yang tinggi kerana bunyi bising dan kocakan air juga akan dibawa arus ke belakang. Namun untuk meranduk melawan arus sungai yang berjeram ini bukanlah satu perkara yang mudah, ketahanan dan kekuatan kaki penting dalam menongkah arus yang agak deras ini.
Untuk meningkatkan lagi peratusan sambaran sebarau, set mengilat yang ringan amat diperlukan di sungai yang kecil ini. Saya suka gunakan joran ultra ringan berkekuatan 2 – 6 paun dan 4 – 8 paun dengan panjang joran cuma 5 hingga 6 kaki. Sungai yang kurang lebar dan taktik meredah belukar sememangnya memerlukan joran yang agak pendek untuk mengelakkan kita terpaksa memakan ‘bihun goreng’ di tepi sungai.
Penggunaan tali utama 6 – 10 paun juga lebih berkesan kerana sebarau tidak dapat mengesan tali halus ini dalam sungai yang jernih dan cetek. Saya juga gemar gunakan gewang mikro seperti Rapala Countdown 5 dan 3, Senses Savior dan Yo-Zuri Heavy Weight Minnow 3. Ia menyerupai ikan seluang dan ikan pelampung jaring yang banyak berkeliaran di anak sungai ini.
Penggunaan warna natural dan tidak terlalu striking juga amat penting kerana kondisi air yang agak jernih dan ia paling hampir dengan warna anak-anak ikan di sungai ini. Ini mampu membuatkan sebarau tidak teragak-agak untuk menghentam gewang yang dihulurkan.
Sebby Bermusim
Anak sungai ini bertindak sebagai kawasan perlindungan bagi anak sebarau untuk membesar dengan selamat. Pada musim-musim tertentu anak sungai ini akan dipenuhi sebarau kecil dan remaja yang terlalu mesra dengan gewang dan ini menunjukkan sebarau ini belum pernah kenal dengan gewang atau lebih tepat lagi belum pernah lekat.
Pada musim tertentu pula jika bernasib baik, kita boleh mendapat sambaran di luar jangkaan di mana sebarau bersaiz besar yang memasuki anak sungai ini apabila tiba musim bertelur. Biasanya kehadiran sebarau bersaiz besar ini akan tertakluk pada bulan-bulan tertentu setiap tahun, namun ia sedikit berbeza pada setiap sungai dan saiz besar yang bakal diperolehi adakalanya tidak setimpal dengan saiz sungai yang kita terokai.
Kita sendiri perlu buat kiraan kitaran dan sedikit kajian untuk mendapatkan masa dan musim sebarau mudik ke hulu dengan tepat. Namun untuk mendapatkan ramalan yang tepat, sedikit pelaburan dari segi masa dan perbelanjaan perlu dikeluarkan untuk mengujinya selama beberapa tahun dan ia satu perkara yang paling malas untuk sesetengah pemancing melakukannya.
Teroka
Masih terdapat banyak lagi anak sungai yang boleh dikategorikan masih cantik dan menyimpan khazanahnya yang tersendiri. Sungai-sungai ini pula adakalanya tidak perlu untuk kita meredah hutan belantara untuk menerokainya, sesetengahnya cuma berada di depan mata kita sahaja.
Melihat tanpa mencuba akan potensinya adalah satu kerugian besar pada kita yang sering menyangkakan lubuk di tepi jalan sudah barai. Sebagai pemancing kita perlu berani mencuba dan menerokai sesuatu sungai biarpun cuma di tepi jalan dan ia merupakan salah satu pembelajaran dan pengalaman dalam memancing.
Keluarlah dan terokailah biarpun kita bakal kumpau berdarah dalam sesi suai kenal kita dengan lubuk yang baru, namun pasti akan ada pembelajaran yang baru bakal kita perolehi. Yang paling penting kita akan perolehi pengalaman dalam penerokaan kita di lubuk baru yang tidak semua pemancing perolehinya.