Sembilang Makan Jig!
Sejak terciptanya jig perlahan, banyak spesies lautan yang belum pernah dipancing melalui gewang telah pun berjaya ditipu dengan umpan tiruan ini. Baru-baru ini pemancing yang suka merakit pula telah mencatat spesies baru di mana sembilang yang kelihatan comel juga naik angin apabila dikacau dengan jig perlahan. Sebuah penemuan yang bakal menghantui peminat-peminat pancingan dasar!
Teks: PAK WONG Fotografi: KOK PING WONG
Sangkar pemeliharaan ikan atau rakit yang dibina di atas laut sudah lama menjadi destinasi memancing popular buat kaki pancing air masin. Saya juga kaki merakit waktu baru berjinak-jinak dengan hobi hanyir ini. Pada zaman itu di perairan Pulau Ketam, Selangor sudah terdapat banyak sangkar ikan. Kebetulan rakan memancing saya berkenalan dengan salah seorang pengusaha sangkar di sana. Hampir setiap minggu kami akan bertandang ke Pulau Ketam menggunakan perkhidmatan feri kemudian menaiki bot fiber ke sangkar untuk trip dua hari.
Pada waktu itu hanya terdapat pancingan dasar sahaja. Umpannya ialah anak ikan yang dipilih dari makanan ikan sangkar. Gelamah, senangin, pari dan belukanglah antara spesies yang biasa dinaikkan di perairan sangkar di sini.
SEMBILANG JEREJAK
Namun sejak kebangkitan teknik casting sehinggalah terciptanya teknik jigging, spesies ikan yang boleh diperolehi di perairan rakit pun menjadi lebih banyak lagi. Termasuklah ikan sembilang yang berjaya ditumbangkan baru-baru ini.
Kejayaan ini banyak bergantung kepada teknik jigging perlahan. Jig ringan biasanya harus dikarau dengan laju untuk memujuk ikan pemangsa membahamnya. Jig perlahan pula berlainan sama sekali, lagi perlahan lagi bagus. Jika kita pandai mempergunakan aksi goyang atau getaran apabila jig perlahan tenggelam ke dasar, ia akan menjadi sangat efektif untuk menjerat ikan demersal!
Lokasi yang berjaya menaikkan ikan sembilang dengan jig perlahan adalah sebuah rakit berdekatan Pulau Jerejak, Pulau Pinang. Kok Ping dan geng beliau sebenarnya berhasrat untuk jigging ikan senangin yang biasa dijumpai di sekitar rakit. Selain senangin, GT juvenil dan talang juga biasa dipancing di perairan ini.
BETUL-BETUL MAKAN JIG
Pada hari itu ikan pelagik didapati kurang aktif lantaran arus tidak bergerak. Setelah sekian lama tanpa sebarang sambaran, Kok Ping pun cuba menurunkan jig perlahannya sehingga ke dasar dengan harapan untuk menjerat ikan dasar pula. Tanpa disangka-sangka sembilang pula yang datang berpesta!
Pada mulanya perkara yang tak masuk akal ini dianggap kebetulan. Namun dalam masa tidak sampai 30 minit naiklah 2 ekor lagi sembilang. Secara tidak sengaja telah membuktikan bahawa sembilang yang biasanya hanya dapat dipancing dengan umpan perumpun juga dapat dipujuk dengan teknik jigging perlahan seperti spesies-spesies demersal yang lain.
Antara 3 ekor sembilang yang dinaikkan dengan jig perlahan 20 gram, 2 ekor didapati tercangkuk mata di bahagian badan. Hanya seekor sahaja yang terkena mulut. Menurut Kok Ping yang juga merupakan pengusaha kedai akuarium, keadaan ini mungkin bersangkutan dengan perangai tersendiri spesies ini.
BERSIKAP GELOJOH
Setiap kali beliau menghulur palet ke dalam tangki, spesies keli yang diimpot dari luar negara akan cuba memakan palet yang timbul itu secara gelojoh. Setelah mencuba beberapa kali barulah berjaya mendapatkan palet. Justeru beliau percaya kejadian faul hook sebenarnya berpunca dari perangainya. Lagipun 2 mata telah dipasang di bahagian atas dan bawah jig. Apabila sembilang cuba menangkap jig secara kelam-kabut, mata akan terkena badannya apabila mereka memusing badan untuk kembali ke dasar.
Kok Ping juga mendapati bahawa sembilang lebih aktif apabila arus yang berhenti kembali bergerak. Hulurlah jig anda sehingga ke dasar dan memainkannya berdekatan dasar jika ingin mensasarkan spesies ini.
Biarpun sembilang bukanlah spesies yang handal melawan, namun ia juga merupakan lesen baru yang harus diperolehi setiap jigger tegar. Tunggu apa lagi? Cubalah nasib anda apabila berkomplot ke sangkar nanti!