Pautan Utama

Portal Memancing Rasmi Malaysia

Sempadi Tidak Sembunyi Lagi

Tidak jauh dari Kuching, mengalir Sg. Sempadi yang jarang dikunjungi pemancing, tetapi sebenarnya sebatang sungai muara terbaik buat kaki mengilat sekitar bandaraya utama Sarawak ini dengan pelbagai spesies yang menghuni serta kisah-kisah pembuli muara yang seringkali menewaskan ramai caster kental…

Double strike dua spesies warga Sg. Sempadi.

Teks : RANDY AFANDI & KAMARUDIN

Fotografi : JAIR JOHARI (JJ) & USUP HAMDAN

Sg. Sempadi terletak di sebelah timur Sarawak iaitu di daerah Lundu, dengan  jarak 60 km dari bandar Kuching. Di muaranya terletak Kg. Sempadi, sebuah perkampungan nelayan yang menjadikan kekayaan sumber laut seperti ketam nipah, udang harimau, udang putih dan udang kara (lobster) sebagai punca rezeki yang menarik minat masyarakat luar berkunjung.

Namun, kekayaan sungainya dengan spesies siakap, siakap merah (mangrove jack) dan kerapu bagai magnet buat para pemancing ke Kg. Sempadi, termasuk kami!

Untuk sampai ke Sempadi, kami perlu melalui beberapa sungai termasuk menaiki feri di Sg. Rambungan. Feri Sg. Rambungan merupakan laluan paling singkat sekiranya hendak ke Sempadi.

Serangan 10 Caster

Kunjungan kami ke Sempadi disertai 10 caster kental sekitar Kuching, melalui perancangan Jair Johari (JJ) dan Abg. Usup yang lebih fasih selok-belok sungai dan lubuk di sini. Tiga buah bot nelayan sepanjang 21 kaki telah kami sewa dan dikemudi sendiri oleh JJ, Kama dan Abg. Usup.

Sebaik sarapan dan membeli bekalan, perjalanan dimulakan seawal 6.30 pagi. Perjalanan lebih kurang sejam sahaja dari bandar Kuching tidaklah terasa jauh dek kerana semangat yang membara. Ketibaan kami tepat 7.30 pagi telah disambut tuan punya bot dengan senyuman manisnya.

Jeti sempadi cukup selesa untuk pemancing naik turun.

Air sungai hijau tebu, seolah-olah menjanjikan sesuatu kepada kami. “Iboh didiat mena gilak air sungei ya, air kompom ya…” Abg. Mor menyindir kami yang terus meninjau keadaan air sungai sebaik sampai di jeti nelayan Sempadi. Sebelum perjalanan, kami periksa keadaan bot dan enjin, dan diberi sedikit taklimat keselamatan oleh JJ.

Strategi kami ialah casting secara beriringan antara ketiga-tiga buah bot di satu-satu kawasan. Sekiranya berlaku kecemasan seperti masalah enjin ataupun kemalangan, bantuan dapat disegerakan. Populasi sang bedal (buaya air masin) juga tinggi di sini, di samping saiznya yang besar-besar belaka!

Pembuli Sg. Sempadi

Saya beritahu Kamarudin (Kama) mungkin ada rekod baik kali ini, memandangkan  keadaan air dan pasang surut yang cantik. Apa pun, itu hanya gerak hati semata-mata.

Sedang kami berhanyut dan mengilat gewang ke celah-celah pohon nipah dan reba, gewang selaman dalam Abg. Usup direntap kasar. Henjutan demi henjutan, akhirnya perambut 30 paun putus! Bergetar tangan Abg. Usup dengan riak muka tidak percaya.

Bot berkuasa 15 hp sangat sesuai di Sempadi, cukup laju dan selesa.

Selang beberapa minit, giliran Erman Max pula yang terkena. Joran Okuma Nemesis 6 – 12 paun dan kekili Ryobi 2000 dihentam teruk, meraung nyaring tetapi sayang pertarungan hanya sekejap. Putus lagi! Pembuli dah muncul!

Kami terus susuri anak sungai dengan perlahan sambil menikmati keindahan hutan paya bakau. Terdapat juga kesan hakisan akibat arus sungai yang deras. Banyak pohon bakau tumbang dan menjadi reba. Jadi setiap kali terjumpa reba, kami akan mengilat sekerap mungkin… Always try!

Bertuah Max, entah berapa ekor dapat naik siakap.

Tidak jauh di hadapan, kelihatan bot yang dinaiki Abg. Usup, Max, Olen dan Sabri melewati satu reba yang agak besar. Kedudukan reba itu melunjur ke tengah sungai. Tidak berapa lama kemudian, joran Max dihenjut kuat!

Max tidak beri peluang pemangsa memecut jauh ke dasar sehinggalah siakap merah 1 kg berjaya didaratkan. Bermula episod ini, setiap kami mula merasai tarikan penghuni Sempadi seperti kerapu, merah tanda dan siakap merah.

Tiba di satu lubuk berbatu, JJ melontar soft plastic (SP) Z-Man Swimmer. S.P itu dibiarkan hanyut hingga mencecah ke dasar. Belum sempat mengarau kembali, joran Major Craft Skyroad 8 – 16 paun beliau disentap kasar. Bunyi drag kekili Stella C3000 yang dikunci ketat berdesit-desit mengeluarkan talinya akibat diasak pemangsa.

Walau kecil, ia tetap siakap si raja muara!

Pemangsa berjaya masuk ke  rumahnya. JJ terpaksa menanti seketika dan mengurangkan tekanan tali. Tidak lama kemudian, pemangsa keluar dan aksi tarik-menarik pun bermula. Rupanya kerapu bol bersaiz 1.7 kg punya angkara. Senyum lebar JJ dibuatnya.

Siakap merah yang rakus membaham Z-Man Swimmer.

Kemunculan Raja Muara

Tepat 11 pagi, joran Abg. Usup disentap sekali lagi tetapi tidak sekasar yang pertama tadi. Lenturan joran memperlihatkan seolah-olah menahan sesuatu yang berat. Sekelip mata, pemangsa meluru keluar dari reba dan memecut ke tengah sungai.

Kerapu panau daripada JJ.

Aksi akrobatik pemangsa yang tidak lain tidak bukan ialah siakap. Pertarungan tidak mengambil masa lama, dan sebaik sahaja spesimen 3 kg itu berjaya didaratkan, riuh- rendahnya kami dibuatnya.

Tidak berapa lama kemudian, bot yang dinaiki Kama, Midan dan Abg. Apai melalui kami dan berhadapan dengan reba. Di sana, Midan berjaya menarik keluar siakap 2 kg, manakala saya pula hanya baby siakap.

Kami berehat makan tengahari sambil berkongsi cerita dan pengalaman masing-masing. Nasib baik kami bawa banyak bekalan air, dek kerana cuaca panas jerebu yang cepat menghauskan rongga tekak.

Trofi Ibu Siakap

Jenahak juvenil yang gelojoh nak tibai gewang besar.

Petangnya kami memulakan perjalanan berhanyut ke hilir. Kami melewati banyak anak sungai dan setiap lubuk berpotensi kami akan cuba. Ketika sedang asyik melontar gewang dan bercerita dengan rakan-rakan, gewang Max disambar ikan. Dengan sekelip mata, pemangsa telah berada di tengah sungai.

Pemangsa menampakkan dirinya dengan satu lompatan tinggi ke udara. Ibu siakap putih! Beberapa lompatan susulan dan pelbagai aksi akrobatik kami saksikan. Kami semua memberi semangat kepada Max dan beberapa arahan supaya siakap tersebut mudah didaratkan. Beberapa minit kemudian, ibu siakap itu berjaya ditundukkan. Ia mencecah skala 8 kg!

Kami terus berhanyut sehingga tiba ke muara sungai. Muara Sg. Sempadi memang kaya dengan dengan pelbagai spesiesnya ikannya. Saya telah mendaratkan beberapa ikan siakap merah dan tanda bersaiz tapak tangan dengan S.P kecil.

Reba sebegini jarang mengecewakan.

Siakap Penutup

Jam 5.30 petang, air mula beransur pasang, dan arus bertambah laju. Sedang asyik melontar gewang, saya melihat Kama dengan perlahan menurunkan hujung jorannya dan melakukan satu sentapan yang kuat. Joran Major Craft Volkey 10 – 16 paun melentur hingga mencecah ke air.

Dengan pengalaman yang ada, Kama tidak menghadapi masalah menjinakkan pemangsa yang rupa-rupanya ibu siakap berskala 6 kg. Satu lagi rekod peribadi telah tercipta. “Yes! Yesss!” teriak Kama.

Kami mengambil keputusan untuk balik, dan tepat jam 6 petang, kami sampai ke jeti Kg. Sempadi. Kami sempatlah  bergambar dan berkongsi cerita kami semua dengan penduduk kampung. Kepuasan jelas terpapar di wajah masing-masing.

Sepul Wak dengan kerapu yang membaham Rapala Shad Rap-nya.

Kesimpulan

Keputusan trip kami ini bolehlah dibanggakan walaupun misteri sang pembuli belum terjawab. Kami pun tidak sangka lubuk-lubuk lama masih dihuni pemangsa yang ganas, selain banyak juga siakap si raja muara yang menyambar gewang kami kali ini.

Selain faktor rezeki, usaha yang gigih, kerjasama, dan toleransi di kalangan ahli trip-lah yang banyak membantu kami memperolehi keputusan yang baik.

Ternyata Sg. Sempadi tidak menghampakan. Ia sememangnya layak diangkat se-bagai sungai terbaik berdekatan bandaraya Kuching yang mampu menggigilkan tangan dan lutut pengilat atau caster kental!

Spesimen ibu siakap yang menjadi trofi Erman Max… tahniah!