Pautan Utama

Portal Memancing Rasmi Malaysia

Senandung Seastone

Kebangkitan Hotspot Baharu Yang Menjadi Sebutan Jigger K.L!

Satu-satunya tenggiri bunga oleh Sham Mat Ayam Kampung.

Teks & Fotografi : HALIMI HANIP

Sejak setahun kebelakangan ini, muncul suatu nama hotspot jigging yang asyik meniti di bibir kaki jigger Lembah Klang. Seastone… Seastone… saya yang lambat pikap terpinga-pinga memikir apakebende tempat itu. Rupanya baru saya faham ia berasal daripada nama Batu Laut, sebuah kampung pesisir laut kecil berdekatan Morib di daerah Kuala Langat, Selangor.

Hmmm… memang bijaklah siapa yang rebranding Batu Laut kepada Seastone, sampai meletup diserbu kaki jigging dan menyaingi populariti hotspot jigger di Tg. Tuan, Port Dickson (P.D)!

Selepas 40 tahun, saya orang Selangor pun baru tahu wujudnya Batu Laut ini! Semuanya gara-gara seorang anak muda tempatan yang mula-mula sekali mengusa-hakan sebuah bot kecil untuk pemancing berjigging di perairan Selat Melaka di kam-pungnya itu tahun lepas.

Dr. Jeffri dan Dr. Salimi, doktor dan pakar perubatan yang kaki jigging tegar.

Kalau sebelum ini di daerah Kuala Langat, kaki pancing lebih mengenali Kelanang, Banting dan Jugra, kini Batu Laut yang terletak di antara Tg. Sepat dan pantai peranginan Morib menjadi pilihan ramai untuk mengambil nombor giliran tempahan bot.

Perintis

Saya akhirnya berkesempatan menaiki bot Seastone yang diusahakan Rezza baru-baru ini, atas ‘tiket’ Zahrin Mohtar, pengasas laman FB Geng Niaga Pancing 88 yang merupakan pengunjung setia Seastone.

Rezza-lah yang saya sebutkan tadi perintis bot pancing jigging di Batu Laut. Beliau yang asalnya berjawatan pegawai perhubungan awam sanggup resign untuk mencipta karier sebagai kapten bot pancing di Batu Laut setelah sekian lama memiliki bot sendiri sekadar memancing suka-suka.

Bot beliau cukup selesa untuk 5 – 6 jigger dan dilengkapi dua buah enjin 90 kuasa kuda yang berpangkalan di jeti Batu Laut, terletak hanya di tepi jalan utama antara Morib – Tg. Sepat. Trip sehari ini turut disertai geng Golians yang biasa di P.D tetapi pertama kali menduga perairan Seastone.

Sekumpulan ikan kecil yang amat banyak di pertengahan air, dan di sebaliknya berkeliaran pemangsa mencari sasaran mudah.

Tertarik saya apabila tak sampai 20 minit memecut keluar dari jeti, Rezza menghentikan botnya untuk menyuruh kami menurunkan jig. Alahai… cepatnya sampai!

Kami kini berada di tengah Selat Melaka yang mana geng Klang suka benar gelarkan kawasan laluan kapal kargo antarabangsa ini sebagai ‘Zeezone’. Bot Rezza dilengkapi GPS dan sonar dengan beberapa titik koordinat lubuk yang disimpannya di perairan Batu Laut. Menurut beliau, lubuk ikan di sini adalah lubang, beting dan karang di dasar yang purata kedalamannya sekitar 50 – 60 meter.

Seastone menjadi semakin popular semenjak permainan jigging perlahan atau slow-pitch jigging meletup tahun lepas. Spesies yang disasarkan sudah tentu ikan demersal seperti kerapu ‘tong gas’ dan ‘bantal emas’ jenahak dengan hanya ‘mengetuk-ngetuk’ dasar menggunakan slow jig sebagak 250 g. Maklumlah Selat Melaka, memang laju arusnya.

Super Fast!

Namun trip ini berlaku ketika arus menyorong mati, menyebabkan ikan dasar kurang aktif walaupun puas kami mengetuk dasar perlahan-lahan secara berhanyut. Rezza juga rajin memusing semula botnya agar beredar ke arah lubuk sekali lagi dan akan memberitahu di mana aras kedudukan ikan berada.

Seringkali kami diberitahu Rezza dan melihat sendiri di paparan sonar bahawa kumpulan ikan berlegar di aras pertengahan. Tanpa mengetahui gerangan ikan apa, Yap Kabillah dan Dr. Jeffri terus menukar gaya jigging perlahan kepada cetusan karauan laju ke atas, lalu terus bang! Rupa-rupanya ada geng talang dan gerepoh (G.T) di bawah sana yang mungkin menyelinap di sekeliling kumpulan ikan kecil yang berkerumun dan terampai-ampai di aras tengah.

Storm Koika 60 g ini sangat laku dibaham talang lewat petang. Asalkan karau super fast!

Unjunan laju terutama dengan jig 60 gram berupa ikan bilis dan tamban seperti Storm Koika dan Gomoku Super begitu menjadi sekali. Beberapa ekor talang, G.T termasuk sagai berjaya dinaikkan sehinggalah ia hilang apabila arus langsung tak bergerak.

Jom Candat Sotong!

Terkejut saya apabila Rezza mencadangkan kami ke kandang sotong. “Jom kita gi candat pulak!” Terpinga saya adakah aku berada di Terengganu? Tetapi itulah realiti apabila Rezza membawa kami ke sebuah beting cetek sedalam 20 meter di tengah Selat Melaka yang menurutnya adalah lubuk sotong. Tak sangka saya ada lubuk candat sotong rupanya di negeri Selangorku ini!

Dah lama beliau rahsiakan lubuk ini kerana takut diketahui bot-bot pukat tunda. Mencandat sotong ini dijadikan alternatif utama sewaktu arus tak bergerak yang mana ketika ikan kurang berminat dengan jig.

Tak sangka ada kandang sotong di laut Selangor!

Maknanya Rezza menawarkan tiga plan apabila membawa jigger di sini. Kalau ikan dasar tak aktif, dibawanya ke lubuk ikan pelagik. Kalau semua ikan pasif terutama ketika air tak berarus, kandang sotong ini pasti membuatkan anda memancing sambil ketawa terbahak-bahak. Sebab jika silap gaya, habis badan disembur dakwatnya!

Candat hanya perlu dihulur ke dasar dan biar sahaja. Apabila seekor sudah mencekup, anda akan lihat kawanannya turut mengekori sampai ke permukaan. Pada masa itu, biarkan sotong yang terlekat dalam air dan rakan di sebelah boleh pilih sotong mana nak dicandat! Sejam kami di situ, berpuluh ekor sotong dinaikkan!

Karan Talang

Sebaik arus kembali bergerak, Rezza membawa kami ke lubuk demersal. Entah macam mana, timbul idea Dr. Salimi untuk mencangkuk kepala sotong pada jig perlahan lalu ia dibiarkan sahaja terseret di dasar. Idea bijaknya menjadi apabila satu getuan kasar berlaku, lalu disentap sebaik jig mula dibawa lari (macam main bottom pulak eih!). Ikan terus memecut laju tapi sayang perambutnya putus separuh perlawanan. Haiyaaa!

Seronok sakan kami apabila dapat mencandat berpuluh ekor sotong di sebuah beting kedalaman 20 meter. Tak payah gi candat di Terengganu. Siang-siang pun mencakup!

Super fast jigging, itu ‘makan dia’ kalau nak ambik talang dan sagai. Satu ilmu baru saya pelajari dari Dr. Jeffri dan Dr. Salimi.

Kami kemudian berpindah ke lubuk ikan pelagik tadi dan sekali lagi diserang talang bertubi-tubi. Paparan sonar kelihatan penuh imej kumpulan ikan dari dasar yang berkarang sampai hampir ke permukaan air.

Dr. Jeffri yang pandai ‘ambik’ spesies pertengahan air ini memberi tunjuk ajar kepada saya supaya karau jig 60 g warna keperakan selaju super fast. Terbukti! Dua kali strike tetapi jig lesap kerana saya gunakan set jigging mikro bertali 6 paun.

Geram punya pasal, joran Major Craft Slow Draw bergabung dengan kekili Accurate Valiant 300 disarung, jig dikarau laju giler dari bawah berselang stop dua saat dan mencanak kilat semula, lantas satu renjatan karan merenggut ke bawah hampir meluruhkan jantung dirasakan!

Aksi talang yang menyambar jig karauan laju saya dan cuba menghamburkan jig sehingga termuntah ikan-ikan bilis yang dibahamnya sebelum itu.

Cukuplah… janji dapat karan talang, karan sotong, karan Seastone!

SEASTONE RM REZZA 

Kapten / Tekong : REZZA
Pangkalan : BATU LAUT, KUALA LANGAT, SELANGOR
Ukuran Bot : 28 x 7 KAKI
Enjin : DUA BUAH ENJIN 90 KUASA KUDA
Muatan : 6 ORANG MAKSIMUM
Pakej :  RM 1,100 SEHARI (PAGI – PETANG) + AIS + AIR MINUMAN DISEDIAKAN.
Telefon : 011-1890 0855
Facebook : RM REZZA