Senandung Senangin Monica Bay
Sebelum monsun tengkujuh melanda, pantai Kemaman terutama di Teluk Mak Nik akan diserbu oleh bondongan senangin. Menariknya, bondongan senangin ini dapat diperdaya dengan teknik jigging dari pantai sahaja!
Teks : HALIMI HANIP
Fotografi : HALIMI HANIP & ISYAMUDDIN SYAM
Apabila disebut nama Monica Bay, tentu seseorang akan beranggapan ia bukan suatu tempat di negara kita. Memang agak ‘kebaratan’ bunyinya, tetapi itulah jolokan kepada nama asalnya, Teluk Mak Nik yang terletak di Kemaman, Terengganu.
Monica Bay atau Teluk Mak Nik menghidangkan pantai berpasir bersih yang menganjur dari selatan Kuala Kemaman, di kawasan Geliga sehingga ke sebuah bukit yang agak sunyi yang tersergam di tepian pantai ini.
Walaupun pantainya cantik, ia tidak begitu sesuai dan berbahaya untuk orang awam mandi-manda kerana konturnya yang bercerun dalam. Namun begitu, ia terkenal sebagai kawasan sarang penyu bertelur, dan menjadi kawasan pemuliharaan untuk penetasan penyu oleh Jabatan Perikanan.
Serangan Senangin
Sebelum ini Monica Bay atau Teluk Mak Nik merupakan pantai yang biasa-biasa sahaja untuk orang ramai beriadah dan memancing pantai menggunakan joran-joran berbelas kaki panjang. Tetapi baru-baru ia meledak di dalam media sosial apabila sekumpulan pemancing Kemaman telah menaikkan banyak senangin hanya dengan menggunakan jig besi yang dimainkan dari tebingan pantai.
Bondong senangin dilaporkan mula menyerang pantai Teluk Mak Nik ini sekitar Oktober sebelum monsun bermula, apabila setiap hari sang senangin ditumpaskan oleh pemancing dengan menggunakan jig kecil. Dengan hanya membaling jauh ke luar pantai dan kemudian dimainkan jig itu secara mengunjun sehingga ke tebing pantai, teknik yang dikenali sebagai seashore jigging ini nampaknya sangat menjadi dan begitu killer sekali untuk menjebak senangin.
Saya yang kebetulan akan berada di Kemaman atas urusan kerja telah dimaklumkan perkara ini lebih awal oleh Syam, seorang pengusaha kedai pancing Ima Sport Fishing Tackle di Kemaman. Langkah kananlah nampaknya…
Sarang Penyu
Syam menggesa saya datang sebelum matahari terbit kerana pesta senangin aktif seawal pagi. Setelah memarkir kereta di hujung pantai berdekatan pusat latihan INTAN, kami berjalan kaki lebih 1 km melepasi sebuah teluk panjang, kemudian barulah sampai ke teluk kedua yang biasanya dihuni senangin.
Teluk sunyi ini kelihatan kesan rayapan penyu di pasiran pantainya, menandakan ada penyu baru mendarat. Mujur kawasan ini dipantau oleh pengutip telur penyu berlesen untuk diserahkan dan ditetaskan oleh Jabatan Perikanan di pantai berhampiran Geliga.
Tak lama kemudian, semakin ramai geng tiba untuk jigging di pantai ini, ekoran berita senangin mengamuk telah kecoh seminggu dua ini. Kami beramai mula memasang jig dan lontaran dibuat.
Pesan Syam, jig kecil berupa bilis seberat 25 – 35 gram disarankan dan mereka lebih gemar gunakan jig jenama Tajiki 35 gram yang boleh dilontar jauh, sesuai dengan set mengilat sederhana yang digunakan. Dan untuk menjadikan ia lebih memikat, jig harus ditambah bulu skirt pada mata kail.
Pesta Awal Pagi
Rembang matahari menerangi Teluk Mak Nik. Baru 5 minit memainkan jig, P-Jan berteriak katanya terasa ada patukan pada jignya, isyarat ada senangin sedang mengintai di kawasan itu. Bersedia bila-bila masa untuk kena renjatannya!
Syam beralih dari kawasan teluk lapang ke hampir kawasan tanjung berbatu dan balingan pertamanya terus dihambat. Sedang beliau melayan ikan itu, kami semua berlari anak untuk berpindah ke spot Syam pula kerana biasanya ikan ini datang berkawan. Senangin yang ditewaskan Syam boleh tahan kasarnya, dengan anggaran 2.5 hingga 3 kg. Boleh dikira saiz maksimum untuk rekod tangkapan senangin di sini.
Sebaik ikan Syam diheret ke pantai, pesta senangin benar-benar meletus selepas itu. Dapat disaksikan dua tiga joran jigger yang lain direntap sekaligus. Ada yang merasa rentapan dan lucut, tetapi jig dikejar dan digonggongnya semula.
Gaya senangin ini menyambar jig adalah seakan-akan mematuk jig yang diunjun sebelum ia mengemam dan joran seharusnya dibalas. Cuma isunya ialah jika dibalas kuat, mata kail pula dikhuatiri mudah mengoyakkan mulutnya, dan itulah sebabnya sambaran asyik ‘lokoh’ iaitu bahasa orang pantai timur bagi perkataan lucut atau rabut.
Sambaran senangin terhadap jig nyata sungguh meriah sekali. Namun tempoh ia gila makan jig ini dapat kami rasa sebentar sahaja. Lebih kurang sejam selepas itu, ia menghilang entah ke mana sebaik matahari naik segalah di langit sekitar jam 10 pagi.
Senaman Pagi
Kisah jigging pantai Kemaman untuk senangin ini dah tular di FB. Ramai yang sanggup datang dari jauh semata-mata untuk mencuba kelainannya. Yalah… lazimnya kita terpaksa gunakan bot untuk memburu senangin. Tetapi di pantai, bukankah lebih menjimatkan?
Bahkan ibarat macam pergi jogging dan bersenam awal pagi, sekadar berjalan kaki selepas subuh kemudian jigging santai-santai sahaja, jam 10 – 11 pagi dah boleh balik. Bawak ikan lagi!
Beruntunglah geng Kemaman ini dah jumpa sebuah lubuk jigging pantai yang produktif, hanya berdekatan rumah mereka jer. Hampir setiap hari, sehingga berbelas ekor senangin dapat mereka jinakkan di Monica Bay!
Tetapi saya tetap percaya di pantai-pantai lain di tempat anda pun berpotensi untuk teknik jigging pantai sebegini. Tidak semestinya senangin, mungkin spesies lain yang lebih luar biasa. Jika ada tu, share-share lah yer bro… jangan makan sorang tau!
Uniknya kedai pancing serba lengkap ini dibuka sampai jam 1.30 pagi!