Siakap Cendol Kuala Muda!

Siakap Cendol? Sekali cast terus dapat strike, begitulah ironinya bila bertandang ke kolam siakap yang menyediakan perkhidmatan memancing ala-ala sport fishing di Kuala Muda, Kedah.
Teks & Fotografi: AIMAN JOHARI
Selepas tertutupnya Kolam Bedong yang begitu gah satu ketika dahulu untuk pemancing tangkap dan lepas, kini tertubuhnya beberapa kolam siakap baru yang turut menyediakan perkhidmatan casting untuk kaki pancing bagi melepaskan gian. Setelah setahun beroperasi dan mengharungi beberapa fasa baik pulih, kini “Kolam Siakap Cendol” telah beroperasi semula dan saya turut tidak melepaskan peluang untuk merasai tarikan siakap cendol yang menjadi viral di utara oleh kaki megilat di utara tanah air setelah disapa beberapa kali oleh Afiq Sazali.



RM18 SATU KILOGRAM
Afiq Sazali yang sudah beberapa kali menjejakkan kaki ke sini telah menetapkan satu tarikh untuk kami berkomplot ke sana dengan beberapa orang kenalan pancing disekitar utara. Perjalanan mengambil masa kira-kira 30 minit dari Sungai Petani untuk sampai ke kolam ini. Persolan saya kepada Afiq, Siakap ini makan apa? Flutterstick? SoftPlastik? Balas Afiq sambil ketawa, hook sahaja pun dia makan lah, hahahaha..
Untuk trip singkat ini, rata-rata dari kami menggunakan gewang micro dan set memancing yang ringgan. Barulah ada rasa fight sikit bila melawan siakap kolam ini. Bukan apa, kolam yang tidak berstruktur ini lebih mudah dikawal ikannya berbanding dengan kolam yang mempunyai struktur dan kita memerlukan set yang setimpal untuk berentap.


Apa kelebihan memancing disini berbanding kolam siakap yang lain? Mesti ada yang tertanya-tanya kan? Kolam-kolam yang beroperasi di sini tidak mengenakan sebarang caj kemasukan tetapi setiap ikan yang berjaya dinaikkan haruslah dibayar. Harga yang dikenakan oleh pengusaha kolam ini sebanyak RM18 untuk sekilogram ikan siakap. Nasib koranglah jika dapat banyak strike, maka banyaklah yang perlu dibayar. Jangan kuatir kerana saiz ikan-ikan di sini tidaklah seberat mana. Rata-rata saiz dan berat ikan bermula dari 300g hingga ke 1kg sahaja. Boleh dikatakan ikan di sini bersaiz “juvenil”.



TRIPLE STRIKE PUN ADA
Selain siakap putih, terdapat juga spesis ikan lain yang mendiami kolam di sini, antaranya ialah jenahak, siakap merah dan udang galah tetapi populasinya amat terhad kerana mereka datang bersama air yang dipam masuk ke dalam kolam dan bukan dilepaskan ke dalam kolam oleh taukeh kolam.
Berbalik kepada kunjungan kami ke sana, 10 minit pertama sudah pun memuaskan hati masing-masing. Mananya tidak, setiap kali gewang jatuh ke permukaan terus mendapat sambaran dari peghuni kolam. Saya yang cenderung menggunakan gewang topwater atapun gewang permukaan seperti popper turut mendapat asakan bertubi-tubi.



Dengan menggunakan set pancingan ringan, memang happening kami melayan siakap-siakap juvenil di sini. Dan ada ketikanya, 1 gewang yang kami gunakan mendapat 2 ekor ikan serentak (1 ikan di hook hadapan dan 1 ikan di hook belakang). Double, triple strike ni jangan kiralah. Tauk makan, tauk makan seloroh Afiq. Memang rakus siakap cendol ini membaham gewang apabila dihulurkan. Budak yang berusia 4 tahun pun turut berjaya mendaratkan siakap semasa kunjungan kami ke sana, bukan main seronok anak kecil tu.
Rod berkekuatan 2-10lb memang sesuai digunakan bersama saiz mesin bawah 2000 untuk kekili spinning. Tali berkekuatan tidak melebihi 10lb sudah cukup memadai. Gewang-gewang topwater, minnow dan sinking amatlah sesuai digunakan di sini. Saya berpendapat, tempat ini amat sesuai juga untuk pemancing layang kerana kawasannya yang luas dan selesa untuk memancing bersama.
HOOK SAHAJA PUN MAKAN
Saya terkenangkan ayat Afiq yang mengatakan, Hook sahaja pun dia makan. Betul ka? Atau dia main wayang sahaja abiang nih (panggilan manja Afiq). Lantas kami menukarkan gewang dan terus memasang hook sahaja dan balingan terus dilontarkan ke dalam kolam. Apabila hook sampai ke dasar dan hanya membuat 2 ke 3 kali jerk ikan terus menerkam dan spesimen 400 gram berjaya kami daratkan. Apa lagi gelak besar kami semua. Hahahaha. Memang betul-betul cendol beb!

Siakap yang diternak disini dijamu dengan anak-anak ikan dan disulami dengan pallet. Jangan risau dengan faktor culas kerana ikan di sini memang tidak takut kepada gewang dan paling penting isinya tidaklah berbau lumpur jika nak dibandingkan dengan kolam siakap yang lain. Memang sedap dimakan ikan yang dipancing di sini dan diakui oleh rata-rata pemancing yang turut berkunjung ke sini saban hari. Air kolam ternakan pula dipam dari muara bersebelahan, Sungai Terus dan memang betul-betul payau airnya.
Setelah hampir 2 jam memancing dan hasil pancingan mencapai anggaran 40 hingga 50 ekor, kami pun memutuskan untuk berhenti memancing. Ikan-ikan yang dipacing terus ditimbang oleh pengusaha kolam untuk proses pembayaran. Merujuk kepada pegusaha kolam, setiap hari akan ada kaki pancing tegar yang akan berkunjung ke sini dan mereka telahpun mempunyai pembeli ikan-ikan yang akan dipancing. Ikan yang dipancing akan dijual semula kepada peraih untuk urusan jual beli di pasar tani.
Selain itu juga, kolam-kolam sebegini amatlah sesuai untuk beriadah bersama keluarga. Terdapat kemudahan asas seperti kerusi, tempat berteduh, surau, tandas dan beberapa kemudahan lain yang sesuai untuk seisi keluarga melakukan aktiviti riadah dihujung minggu. Masa memancing selama dua jam sudah memadai bagi seorang pemancing untuk mendapatkan kepuasan.
Kepada yang ingin mencuba menduga siakap cendol di sekitar Kota Kuala Muda, bolehlah menghubungi nombor berikut. Selamat mencuba!
Kolam Siakap Cendol (Tel: 019-4187393) En Yunus