SNAKEHEAD BATTLE Kuala Lumpur
Setelah kemarau panjang, casting challenge di Lembah Klang muncul kembali…
Teks : HALIMI HANIP
Fotografi : HALIMI HANIP & TDC CASTERS
Seingat saya dah lama bona pertandingan mengilat di Lembah Klang dirundung kemarau panjang. Rasanya dah lebih 6 tahun menyepi semenjak Casting Battle Series atau CBS yang aktif suatu masa lalu menamatkan programnya pada tahun 2012.
Memang casting challenge sekitar KL ni amat dinanti-nantikan oleh ramai caster warga kota dek kelaparan lubuk. Yalah… asal nak pergi casting, terpaksa travel jauh, kadang-kadang makan hari dan merabak poket. Tetapi pada masa yang sama, naik hangin tengok toman yang riang ria tidak diusik di kebanyakan taman tasik rekreasi berdekatan yang berpacak papan tanda ‘Dilarang Memancing’, siap dengan anggota penguatkuasa yang kuat meronda!
Antara tasik rekreasi yang sering dicemburui pemuja toman warga KL semestinya Tasik Titiwangsa, Tasik Ampang Hilir, Tasik Layang-Layang, Tasik Shah Alam, Tasik Putrajaya dan Tasik Cyberjaya. Hanya melalui penganjuran ‘battle casting’ yang mendapat ‘restu’ Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), barulah mereka dapat merasa ada lesen besar untuk melanyak toman-toman yang kerek itu!
Tasik Layang-Layang cukup luas sebagai gelanggang pemancing. Kalau seribu orang peserta pun takde hal…
Team Damansara Caster
Terkejut juga apabila tiba-tiba saya dihubungi oleh Badrul Hisyam Hj. Osman melalui Facebook yang begitu optimis ingin menganjurkan casting battle seumpama CBS. Beliau bukanlah penganjur CBS yang lalu, dikira orang baru bagi saya, tetapi semangatnya waja… sanggup turun naik pejabat PBT untuk merayu permit menganjur pertandingan memancing. Wa caya lu bro!
Jemputan beliau mewakili Team Damansara Caster (TDC) amatlah saya alu-alukan kerana saya pun rindu benar nak melihat geng penggila mengilat kita berpadu tenaga dan berkumpul semula seperti dulu-dulu bersama senjata baitcasting masing-masing.
Tasik Layang-Layang
Berkat usaha gigihnya bersama orang-orang kuat TDC, akhirnya beliau berjaya mendapat tiket untuk menganjur battle casting di Taman Tasik Layang-Layang yang terletak di bahu jalan antara Batu Caves ke Kepong. Dan dalam masa sekejap sahaja, beliau berjaya mengumpul hampir 120 peserta untuk menyertai event ini!
Tasik Layang-Layang ini boleh tahan luasnya. Sebelum dibangunkan sebagai taman tasik rekreasi, saya pernah menurunkan bot untuk mengilat toman di sini. Di tengah tasik itu amat dalam, mencecah 100 kaki sewaktu saya dan Zul ZA mengimbasnya dengan sonar. Tapi semenjak dipagar dan dikawal rapi oleh pihak PBT belasan tahun yang lalu, tiada siapa berani casting di sini, dan tomannya… ehem ehem, makin samseng laaa brader.
Sekitar Pertandingan
Pemilihan tasik ini untuk TDC Snakehead Battle pada 13 Mei ternyata tidaklah menghampakan, biarpun hanya tiga ekor mama toman berjaya ditumbangkan. Spesimen terbesar skala 7.36 kg meletupkan pensil milik Aben dan menobatkan beliau sebagai juaranya.
Kawasan landai ini menjadi sarang haruan berkampung.
Sementara itu, ramai peserta ralit juga melayan haruan demi haruan yang berkampung di satu sudut tasik yang landai. Namun sakit hati juga tengok aksi-aksi toman menimbul dan belida bintik yang asyik melibas badan pipihnya, tetapi sombong betul dengan gewang.
Casting Battle tiada hadiah yang lumayan. Lazimnya pemberian joran dan gewang sudah memadai. Lagipun bukan hadiah yang dikejar oleh peminat casting battle Kuala Lumpur ini. Yang penting, dapat happy mengilat secara muhibbah di ‘gelanggang khas’ yang cuma sepelaung dari rumah.
Lepas ni mana pulak Bad? “Tasik Shah Alam pulak bang, September nanti!” balasnya. So jumpa korang lagi kat sana yooo… kita sama dia!
Pemenang TDC Snakehead Battle Tasik Layang-Layang
- Aben : Toman 7.36 kg
- Akram : Toman 6.34 kg
- Ejatt : Toman 4.31 kg
- Afiq Zaidi : Haruan 1.12 kg
- Amsin : Haruan 0.83 kg
- Amir Sunway : Haruan 0.46 kg