Pautan Utama

Portal Memancing Rasmi Malaysia

Spesifikasi Joran Mengilat

Joran mengilat buatan grafit yang kita gunakan hari ini adalah sama dengan joran mengilat keluaran 20 tahun dahulu. Yang berbeza cuma bahan (material) dan aksesorinya ada sedikit perubahan, manakala spesifikasinya kekal sama sahaja. Biarpun begitu masih ramai pemancing yang kurang faham dengan spesifikasi joran mengilat sehinggakan ada yang tersalah faham. Justeru, saya ingin memberikan keterangan terperinci terhadap beberapa aspek yang sentiasa mendatangkan kekeliruan…

Pilihlah aksi joran yang sesuai mengikut ikan sasaran dan berat gewang yang bakal digunakan.

Joran mengilat yang terdapat di pasaran rata-rata berpandukan spesifikasi yang ditetapkan oleh Amerika, tidak kira dari mana datangnya, iaitu berpandukan kekuatan tali (line weight) bagi membezakan kekuatan keseluruhannya. Ia merujuk kepada kekuatan tali yang sesuai digunakan untuk sesebatang joran yang biasanya dibahagikan melalui nilai paun (lb).

Aksi joran yang paling biasa iaitu Extra Fast, Fast, Moderate (Medium) dan Slow yang melambangkan lengkungan joran di bawah bebanan.

Line Weight

Misalnya ‘Line Weight 8 – 16 lb’ menunjukkan joran tersebut sesuai untuk kegunaan tali berkekuatan 8 hingga 16 paun. Ini bermaksud tali mungkin akan putus jika kita menggunakan tali yang lebih kecil daripada 8 paun kerana kekuatan joran tersebut memang direka untuk tali melebihi 8 paun. Sebaliknya jika kita menggunakan tali melebihi 16 paun, joran tersebut mungkin akan patah apabila melayan ikan, kerana ia direka maksimum untuk tali berkekuatan 16 paun.

Biarpun begitu, perbezaan kelas ini hanya sebagai panduan secara kasar sahaja. Para pembuat joran biasanya akan memberi lebih toleransi kepada produknya bagi menjaga reputasi mereka. Lebih-lebih lagi tali pancing yang berlainan jenama mempunyai ‘breaking strain’ yang berbeza, biarpun mempunyai nilai paun yang sama. Justeru pemancing tidak harus terlalu bergantung kepada kekuatan tali apabila membeli joran mengilat. Asalkan tidak menggunakan tali yang melebihi kekuatan tali yang dibenarkan oleh joran tersebut.

Action (Aksi)

Satu lagi perbezaan kelas antara joran mengilat ialah aksinya. Aksi yang paling biasa dijumpai ialah Extra Slow, Slow, Medium (Moderate), Medium Fast, Fast dan Extra Fast yang melambangkan lengkungan joran di bawah bebanan. Mengapa menggunakan perkataan ‘cepat’ (fast) dan ‘perlahan’ (slow) untuk membezakan tahap lengkungannya?

Terlebih dahulu kita harus memahami bahawa perkataan ‘slow’ dan ‘fast’ dalam Bahasa Inggeris di sini sebenarnya merujuk kepada kelajuan tindak balas sesebatang joran ataupun kekerasannya.

Joran yang beraksi perlahan bermaksud joran yang lebih lembut. Ia akan melengkung dengan kadar yang lebih besar di bawah bebanan. Aksi yang semakin cepat bermaksud joran akan menjadi semakin keras di bawah bebanan, dengan lengkungan yang lebih kecil.

Joran mengilat yang lebih cepat aksinya, selain sesuai untuk menduga ikan besar di kawasan berrintangan, ia juga mempunyai sensitiviti yang lebih tinggi supaya pemancing dapat mengesan kehadiran rintangan di struktur dan isyarat ikan menjamah gewang dengan serta-merta.

Jika gewang tersangkut rumpair, pemancing juga dapat mengesan dengan cepat menerusi perubahan getaran gewang yang menjadi lebih lembut. Namun joran yang lebih keras ini juga akan bergetar dengan kuat dan meletihkan tangan pemancing apabila mengarau gewang yang kuat bergetar dengan laju. Justeru joran yang beraksi medium fast (sederhana cepat) adalah lebih memadai.

Mengikut spesifikasi, joran casting ini sepanjang 6 kaki 6 inci, beraksi Fast, berkekuatan medium heavy, sesuai untuk tali 10 hingga 17 paun dan mampu melempar gewang 7 hingga 21 gram.

Ikut Jenis Gewang, Lokasi & Buruan

Jika anda peminat tegar gewang soft plastic (S.P), maka joran yang aksinya semakin cepat akan semakin memadai bagi permintaan teknik ini. Apabila memancing dengan S.P, isyarat ikan membaham umpan yang dapat dihantar kepada pemancing melalui joran akan menjadi lembut sehingga sering terjadi kes ikan menelan umpan. Dengan joran beraksi cepat yang jauh lebih sensitif, pemancing akan mengesan isyarat ikan yang lembut dengan serta-merta.

Satu lagi kelebihan joran keras ialah ia dapat menghantar daya sentapan joran dengan lebih cepat dan kecekapan yang diperlukan apabika menangani ikan-ikan yang bermulut keras. Jika anda sentiasa mengalami kes missed atau rabut apabila memancing toman, kemungkinan besar joran anda tidak cukup keras.

Satu lagi panduan untuk memilih aksi joran ialah tempat memancing dan ikan sasaran. Andainya anda ingin memancing toman di tasik empangan, maka haruslah memilih joran yang beraksi lebih cepat supaya dapat menarik mangsa keluar dari kawasan berbahaya.

Manakala apabila mensasarkan siakap atau spesies yang pandai melompat, joran beraksi sederhana atau perlahan lebih memadai. Joran beraksi perlahan dengan kekerasan yang lebih lembut akan dapat melengkung dengan lebih banyak bagi mengekalkan ketegangan tali apabila ikan melompat. Ini akan dapat mengelakkan ikan daripada membuang gewang, lantaran tali menjadi longgar apabila joran keras digunakan.