Pautan Utama

Portal Memancing Rasmi Malaysia

Supper Baby Kerapu

Along sifu jighead SP saya, memang pakar dalam pengubah-suaian jighead.

Along sifu jighead SP saya, memang pakar dalam pengubah-suaian jighead.Sebut sahaja kerapu, kebanyakan kita membayangkan ‘tong gas’ yang cukup popular di perairan negeri Perak, terutama di Pulau Sembilan dan Jarak. Bagi pengilat tegar pula, mengilat anak cucu tong gas di tebing berbatu juga cukup popular. Kebiasaan pengilat akan turun mengilat baby kerapu ini pada waktu siang semasa air surut. Saya cuba mengujinya pada waktu malam untuk melihat sejauh mana potensinya, adakah sama seperti atuk neneknya di tengah laut yang siang malam mahu sahaja memakan umpan…

Teks & Fotografi : NAZMI ANUAR

Kebanyakan kawasan parkir bot akan ada terbinanya benteng batu pemecah ombak yang bertindak sebagai perlindungan dari ombak besar bagi bot-bot yang berlabih di dalamnya. Benteng batu ini dibina menggunakan bongkah-bongkah batu yang besar dengan menjajal panjang ke tengah laut.

Di sebalik bongkah-bongkah batu ini terdapat lubang-lubang yang menjadi tempat persembunyian, malah rumah bagi ikan-ikan di sekitar persisiran pantai, termasuklah ikan buruan pengilat, kerapu. Secara tidak langsung, lubang-lubang ini menjadi nurseri bagi anak-anak kerapu untuk membesar.

Kalau kena dengan pasang surut airnya double strike sesaja.

Bagi pengilat landbased air masin, spot seperti ini menjadi pilihan utama untuk mensasarkan spesies pelahap seperti kerapu ini. Jika kena pada keadaan air serta pasang surutnya, kerapu di sini menjadi sangat pelahap dan paling menyeronokkan, ia sangat mesra dengan gewang yang dihulurkan.

Pengaruh Pasang Surut

Pasang surut air laut banyak mempengaruhi keaktifan ikan untuk memakan umpan dan ia juga menjadi faktor utama yang perlu diambil kira untuk memperoleh hasil di laut. Persisiran laut juga amat bergantung dengan faktor pasang surut air untuk menentukan masa yang sesuai mengilat kerapu.

Batu-batu pemecah ombak ini dibina agak tinggi dari aras dasar laut, dan ia banyak menyimpan lubang-lubang yang menjadi sarang kerapu juvenil untuk membesar. Semasa air pasang besar, batu-batu ini akan tenggelam dan lubang-lubang yang menjadi kawasan persembunyian kerapu ini menjadi terlalu banyak. Ini amat menyukarkan pengilat untuk mendapat sambaran kerapu berikutan kawasan yang terlalu luas untuk diburu.

Anak todak meligan SP sekiranya terkeluar dari sarang kerapu.

Sambaran kerapu juga sangat sukar diperolehi ketika air surut terlalu rendah sehingga mendedahkan lubang-lubang kawasan persembunyian sang kerapu. Semasa ini, benteng batu yang dibina akan kelihatan hampir keseluruhannya, maka kebanyakan kerapu ketika ini akan berpindah ke kawasan berbatu sekeliling untuk berlindung.

SP Killer Kerapu

Di benteng pemecah ombak Marina Island, Teluk Batik ini, kebanyakan pengilat menggunakan gewang keras jenis crankbait bersaiz kecil. Saya juga asyik menggunakan crankbait kecil seperti Rapala Risto 5, Rapala Ultralight Crank dan Ofmer Drunken yang dikatakan killer untuk memburu kerapu di sini.

Antara kerapu dengan crankbait kecil, tapi tetap kalah dengan SP.

Kunjungan saya pada waktu malam menunjukkan gewang jenis crankbait kecil efektif pada kawasan yang terdedah dengan lampu limpah yang banyak terdapat berhampiran kawasan parkir bot. Bila gewang ini dimainkan di kawasan yang gelap tanpa ada cahaya, ia seakan kurang mantap dan kurang mendapat sambaran kerapu.

Namun sebagai langkah privasi, kami dilarang oleh pihak pengurusan parkir bot untuk mengilat terlalu hampir dengan kawasan parkir bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini berlaku. Panjang juga tangan hendak mengilat menggunakan crankbait dalam gelap tanpa sebarang sambaran.

Fiq dan Along (Manjung Caster) perkenalkan kepada saya gewang killer kerapu mereka di sini, soft plastic Zman. SP getah lembut ini sangat killer di benteng ini walaupun dalam keadaan gelap waktu malam. Biarpun sesetengah gewang bukanlah dari jenis pendarcahaya, namun keberkesanannya terbukti di mana ia lebih banyak menaikkan kerapu di kawasan gelap berbanding crankbait.

Lubang Kerapu

Sifat kerapu yang suka mengendap di dalam sarang menunggu mangsanya lalu menjadikan SP lebih berkesan untuk menjeratnya. SP yang dimainkan secara perlahan dan sentiasa berada di dasar kawasan berbatu menjadikan ia lebih mantap untuk mengumpan kerapu keluar dari sarangnya.

SP akan dimainkan secara perlahan dengan mengheretnya di dasar dan celahan batu pada benteng. Sesekali SP akan terjatuh ke dalam lubang yang menjadi tempat persembunyian kerapu. Ketika ini, SP akan diunjun seketika sebelum menariknya kembali. Ia tidak ubah seperti mengunjun katak ke sarang haruan.

Inilah sebab kenapa SP yang dimainkan pada waktu malam tidak memerlukan jenis warna pendarcahaya. Warna apa sekali pun kalau sudah masuk ke sarang kerapu, pastinya akan dibedal. Teknik yang diperkenalkan oleh Fiq dan Along ini amat berkesan untuk mendapatkan sambaran dari kerapu, namun peratusan SP tersangkut pada celahan batu amat tinggi.

Kalau SP ngam masuk dalam lubang kerapu, kompom strike!

Tak padan dengan kecil, memang betul pelahap kerapu ni.