Syok Jigging Kolam KSK Doremon

Satu lagi keajaiban jigging mikro air tawar apabila tongsan di kolam KSK Tronoh ini sedut jig mikro!
Di kawasan Lembah Kinta, negeri Perak, tidak banyak kolam pancing yang membenarkan penggunaan gewang. Mungkin satu dua sahaja, dan kolam pancing KSK Doremon di Tronoh merupakan salah satu daripadanya. Kunjungan kami yang berpelurukan jig besi telah membuktikan bahawa penghuni kolam ini turut menggilai unjunan jig, dan yang paling tidak disangka apabila tongsan sisik halus pun meligannya!
Teks & Fotografi : NAZMI ANUAR

Jig mikro dan gewang belati (vibe) yang tersangkut pada mulut tongsan sisik halus. Adakah spesies kap yang selama ini kita ketahui cuma pemakan alga dan plankton rupanya sudah berevolusi sebagai pembaham anak ikan?
Kolam KSK yang terletak di Kg. Sri Kantan Tronoh telah mengamalkan teknik ‘tangkap dan lepas’. Cuma ikan di bawah 2 kg sahaja dibenarkan dibawa pulang. Manakala apa-apa sahaja jenis ikan di atas 2 kg hendaklah dilepaskan kembali ke dalam kolam dengan bayaran tertentu oleh pihak kolam.
Apa yang seronoknya selain pancingan dasar, kolam ini membenarkan aktiviti mengilat dengan syarat penggunaan mata tunggal sahaja dibenarkan. Lebih menarik lagi, kolam ini dipenuhi spesies pacu pelbagai saiz sehingga mencecah belasan kilogram!
Fasiliti Kolam

Kalau rajin memainkan jig mikro di dasar tepian kolam, boleh dapat lesen keli afrika.
Kolam KSK mempunyai dua buah kolam. Kolam utama yang dalam berkeluasan separuh padang bola, dan satu lagi kolam yang agak kecil sedikit. Kolam utama dibuka untuk pancingan dasar dan mengilat, manakala kolam satu lagi dibuka khas untuk aktiviti mengilat sahaja.
Cuma semasa kunjungan saya pada bulan Mac 2015, kolam kedua ini masih belum beroperasi dan menunggu stok ikan bertaraf monster untuk dimasukkan. Saya bernasib baik semasa beberapa kali kunjungan, saya dibenarkan mengilat di kolam kedua yang dipenuhi pacu bersaiz juvenil.
Kadar bayaran masuk sebanyak RM 20 untuk 5 jam masa mengilat pada saya sangat-sangat berbaloi dengan kawasan serta keadaan kolam yang sangat-sangat bersih. Kolam ini juga menyediakan pondok serta wakaf yang amat sesuai jika ingin membawa keluarga dan anak-anak untuk memancing.
Ia juga menyediakan tandas dan surau untuk menunaikan kewajipan sebagai seorang muslim. Minuman dan makanan ringan turut dijual dan terdapat sebuah restoran di pintu masuk utama. Jadi anda tidak perlu risau jika tidak membawa bekalan makanan dan minuman ketika berkunjung.
Pacu Sasaran Mengilat
Terdapat dua kincir air di kolam utama, satu di bahagian depan kaunter bayaran dan satu lagi di bahagian penjuru kolam berhampiran pokok buluh. Di kawasan kincir air inilah spot terbaik dan spot kegemaran saya untuk mengilat pacu.
Untuk mendapatkan strike pacu bersaiz mega, kawasan kincir air berhampiran kaunter bayaran adalah spot terbaik. Kebanyakan pacu saiz talam dinaikkan di kawasan ini, namun ia agak culas untuk dipikat melalui gewang dan jig. Gewang kecil seperti Rapala Rattlin’ 4, Rapala Ultra Light Minnow 4 dan Senses Savior 50 adalah gewang terbaik untuk memikat pacu di sini selain jig mikro.

Fly fishing pun boleh dipraktikkan di sini.
Selain mengilat gewang kecil, teknik jigging mikro juga amat efektif untuk memikat pacu. Jig kecil seperti Senses Candy Saury 10 g dan Senses Metal Jack 8 g antara killer di kolam ini.
Jig yang dilontar ke kawasan kincir air perlu dibiarkan tenggelam dan diunjun perlahan di kawasan dasar hingga separuh kolam. Pacu gemar pada gewang dan jig yang dimainkan dengan aksi perlahan.
Spot paling banyak menaikkan pacu di ialah di kawasan kincir air berhampiran pokok buluh. Biarpun kebanyakan pacu di sini tidak sebesar mana iaitu sekitar 2 – 4 kg, namun pacu di kawasan ini lebih mesra gewang berbanding di depan kaunter bayaran.

Pacu talam. Ada lagi besar yang sering memutuskan kevlar dan perambut.
Balingan tepat ke bawah rimbunan pokok buluh biasanya lebih mudah mendapat strike pacu. Namun anda perlu berhati-hati kerana kerapkali gewang atau jig yang baru sahaja jatuh ke air terus disambar pacu, dan saat tidak bersedia inilah kerap kali mengecewakan saya.
Rahsia Tongsan
Jika berkunjung ke kolam ini, saya lebih gemar gunakan teknik jigging mikro, berbanding gewang. Penggunaan gewang lebih mensasarkan spesies pacu sahaja. Manakala jigging mikro boleh memperdayakan pelbagai lagi spesies lain seperti tongsan!
Saya telah mencuba teknik unjunan slow pitch separuh air yang pernah saya praktikkan untuk menjerat spesies patin Mekong dan Chao Phraya di kolam pancing Ah Choong sebelum ini. Ternyata teknik unjunan ini juga berkesan untuk memikat spesies patin tempatan.
Apa yang lebih memeranjatkan, teknik ini juga secara tidak sengaja telah membongkar rahsia terpendam tongsan sisik halus atau kap kepala besar terhadap jig mikro!

Spesies pecut patin Chao Phraya pun ada.

Memang sukar nak percaya tongsan makan jig! Tetapi di kolam KSK ini anda boleh menduganya secara jigging separa air dengan jig mikro. Memang sukar dipercayai tetapi ia telah berjaya kami buktikan. Cubalah!
Sebelum ini saya pernah alami fenomena agak pelik, di mana kawanan tongsan sisik halus bertubi-tubi menghentam jig mikro di kawasan lombong liar. Nak dikatakan tersangkut pada jig kami ketika mengunjun, mana mungkin hampir kesemua tangkapan tongsan hook-up di kawasan mulut? Juga beberapa kali kelihatan jelas dari tebing ia mengekori jig yang kami mainkan.
Di kolam ini, saya berjaya membongkar rahsia terpendam tongsan sisik halus terhadap jig mikro. Jig yang dimainkan dengan lembut di separuh air biasanya lebih mudah mendapat strike tongsan, cuma ia agak berbeza dengan strike patin.

Keli Afrika gadang-gadang di kolam ini dan sukakan jig.
Biasanya kita tidak sedar bila tongsan menyedut jig mikro. Selalunya kita akan terasa jig seperti tersangkut sesuatu dan terasa berat. Saya seringkali terlepas tongsan kerana hanya menyangka ia tersangkut di dasar kolam. Tongsan hanya akan memecut apabila kita mengangkat joran.
Syoknya Kolam KSK
Apa yang membezakan kolam pancing KSK dengan kolam mengilat yang lain ialah ia dihuni oleh penghuni majmuk spesies air tawar dari pemangsa seperti toman dan pacu hinggalah spesies pemakan dedak seperti patin dan tongsan.
Jika anda ingin mempelajari teknik jigging mikro air tawar dengan mensasarkan spesis pemakan dedak, di sinilah tempatnya.
Kedua-dua jenis aplikasi jigging mikro air tawar, jigging dasar kolam dengan mensasarkan rohu atau pacu dan slow pitch separuh air bagi mensasar patin dan tongsan boleh digunakan di sini.

Patin tempatan bagak membaham jig yang dimainkan separuh air.
Jika slow pitch separuh air tidak memberangsangkan, beralihlah ke teknik dasar lombong, setidak-tidaknya keli afrika yang banyak berkeliaran di tepian kolam sudi menghiburkan anda.
*Jom ke Kolam KSK, Tronoh, Perak. Hubungi Lee Kambing : 017-533 5070