Pautan Utama

Portal Memancing Rasmi Malaysia

Taktikal S.P Buat Tirusan

Spesies tirusan panjang dipanggil ‘ikan panjang’ ini jarang-jarang ada, tetapi lebih ganas menyambar gewang.

Gelama makan gewang ke? Ya ada… datanglah ke Miri untuk bersemuka dengan keluarga gelama terbesar selepas ibu gelama (eron) iaitu tirusan yang merajai benteng pemecah ombaknya. Tetapi jangan pakai gewang berbadan keras, pastikan anda membawa soft plastics (S.P)!

Teks & Fotografi : ATONG

Benteng pemecah ombak yang dibina di kuala Sg. Miri dalam bandaraya Miri sudah sinonim dengan kaki-kaki casting yang gemar memburu siakap dan siakap merah. Musim terbaik jika ingin merasa gewang anda dihenjut penghulu benteng Miri ini bermula bulan Januari hingga Mei, kerana itulah musim bubok (udang geragau) merapati pantai dan masuk ke sungai-sungai.

Spesies tirusan berbadan bulat ini paling banyak di Miri.

Ketika musim bubok, laut juga selalunya menjadi tenang. Kehadiran bubok mengundang ikan pusu, ikan kelapa serta ikan-ikan kecil lain berpusu-pusu datang untuk membaham bubok. Masa inilah juga ikan  pemangsa besar seperti ibu gelama, tirusan, siakap merah, kerapu dan siakap berkenduri.

Namun kali ini saya ingin fokuskan pemburuan spesies yang biasanya lebih popular dijerat oleh pemancing dasar iaitu ikan tirusan. Ramai kenalan yang bertanya, “Spesies gelama seperti tirusan belasah gewang ke?” “Ya!” jawab saya, “Jika kena caranya…” Jadi saya akan terangkan serba-sedikit tip-tip yang patut kita ambil kira sama ada mengilat dari tebing mahupun menggunakan bot.

Mengilat Tebing

Lantaran sepanjang tembok pemecah ombak muara Miri menuju ke Marina Bay berkedalaman 3 – 5 meter, kebanyakan gewang selaman tidak mampu menerjah sesetengah lubuk yang dalam.

Tirusan, ahli gelama (croaker / drum) yang kedua terbesar selepas ibu gelama (eron).

Mengilat tebingan agak sukar untuk menghantar gewang selaman dalam di depan batang hidung tirusan yang suka berada di dasar. Lainlah anda trolling. Ia boleh dilakukan dengan hanya meletakkan gewang seberapa jauh di belakang bot.

Oleh itu, kaedah terbaik untuk menduga lubuk tersebut secara tebingan ialah menggunakan soft plastic (S.P). Ini sahaja cara terbaik untuk menghidangkan umpan tiruan di tempat persembunyian pemangsa yang menunggu mangsanya di celah-celah bongkah batu yang berkedalaman sedemikian.

Koleksi tirusan yang berjaya kami jinakkan dengan S.P di Miri. Spesies ini jarang sekali membaham gewang berbadan keras. Mungkin ada ‘x-factor’ pada S.P yang menyebabkan tirusan tak boleh tahan geram untuk menjamah S.P.

Anda hendaklah melontar S.P beberapa kali di spot-spot berpotensi yang sama atau selari dengan tembok pemecah ombak. Sekiranya tiada sambutan, cuba beralih tempat dan ulang perkara yang sama. Oleh itu, kita dapat meliputi kawasan yang luas berbanding hanya terpacak di suatu spot menunggu pemangsa lalu.

Mengilat Berbot

Bagi menerjah di kawasan yang agak sukar untuk casting dari tebing, menggunakan bot adalah jalan terbaik. Kami telah banyak kali menerjah lubuk yang berbatu di Miri mahupun di luar Miri yang ternyata keputusannya amat produktif.

Bagi saya, menggunakan S.P kadang-kadang lebih seronok berbanding gewang berbadan keras kerana kadar strike lebih tinggi. Namun kerapkali S.P walaupun ia bermata kail tunggal, tersangkut di celah-celah batu di dasar. Tetapi dengan bot, kerja-kerja menyelamatkan S.P yang tersangkut lebih senang berbanding mengilat tebingan.

Dengan bot, kami berhanyut di sepanjang tebing sungai atau tembok pemecah ombak mengikut arus pasang-surut. Tetapi dengan berhanyut, apa yang saya perhatikan hanya di spot yang cetek sahaja agak produktif.

Bagi lubuk-lubuk yang dalam pula, saya lebih gemar melabuhkan sauh bagi membiarkan S.P sempat jatuh ke dasar untuk dipersembahkan dengan lebih lama serta dengan pelbagai taktik persembahan.

TAKTIKAL S.P 

Tirusan sememangnya spesies pemangsa yang unik di benteng pemecah ombak Miri. Jarang sekali di tempat lain kita dengar tentang kewujudan spesies ini membaham gewang.

Jenis & Saiz S.P

Terdapat pelbagai model S.P yang saya selalu gunakan seperti jenama Storm dan Trigger-X. Saya lebih gemar menggunakan model Slop Hopper, Minnow dan Worm. Kesemuanya amat berkesan bagi menjerat tirusan.

Dari segi saiz, saya lebih gemar gunakan S.P saiz 3 – 5 inci. Apa yang penting apabila menggunakan S.P ialah bagaimana persembahan S.P itu sendiri dilakukan supaya pemangsa tidak teragak-agak untuk membahamnya.

Teknik Persembahan

Daripada pemerhatian saya, pemangsa lebih gemar menyambar apabila S.P dikarau dengan perlahan. Dan saya memastikan S.P yang dihantar ke suatu spot sampai ke dasar terlebih dahulu sebelum mengaraunya.

Karauan perlahan serta sedikit jerking di hujung joran akan menambahkan aksi S.P seakan-akan mangsa yang hidup dan membuatkan pemangsa tidak teragak-agak menerkam.

Warna S.P

Dari segi warna, selalunya S.P berwarna terang seperti chartreuse atau oren paling berkesan dan gemar diterkam pemangsa seperti tirusan, termasuklah siakap dan siakap merah.

Terdapat banyak lagi warna menarik yang terdapat di pasaran sekarang bagi S.P keluaran Storm dan Trigger-X. Terpulanglah kepada anda untuk mencubanya.

S.P bukan sahaja untuk tirusan, siakap kalau jumpa pun gerenti hantam!

Joran

Pemilihan joran juga amat penting apabila casting menggunakan S.P, lebih-lebih lagi apabila menggunakan S.P yang besar dan berat. Set mengilat ultra light kurang sesuai digunakan kerana joran akan menerima lebih beban, terutama ketika membuat balingan. Hujung joran boleh tercedera atau kalau silap langkah, boleh patah hujung joran dibuatnya.

Saya sarankan anda gunakan joran berkekuatan 10 – 17 atau 10 – 20 paun bagi memainkan S.P bersaiz 5 inci. Manakala joran berkekuatan 8 – 16 paun apabila menggunakan S.P bersaiz 3 – 4 inci.

Ini bukan bermaksud set ultra light tak boleh digunakan. Tetapi memandangkan keadaan dasar yang berselirat dengan bongkah batu, sekiranya berlaku strike ganas, set mengilat sebegini tidak dapat menahan asakan ikan yang adakalanya cuba menyelinap ke celah-celah batu. Set medium-heavy atau heavy adalah jalan terbaik.

Tali & Perambut

Saya menggunakan perambut berkekuatan 20 atau 30 paun sepanjang  satu setengah atau dua depa. Sebaik-baik-nya gunakanlah perambut 100% fluorocarbon kerana ia bersifat halimunan dan lebih tahan geseran. Tali utama pula, 15 – 20 paun sudah memadai.

Arus

Saya mendapati pemangsa di sini lebih aktif menyambar S.P ketika arus bergerak perlahan, sama ada mula surut atau mula pasang.

Apa yang penting, sifat ingin mencuba merupakan kunci kejayaan seseorang kaki mengilat untuk mensasarkan spesies gelama mega seperti tirusan. Walaupun ikan ini lebih gemarkan umpan pancing dasar yang berbau seperti udang atau isi ikan, namun ia merupakan ‘game’ yang mencabar buat caster tegar seperti anda.