Tapah Brunei Bangkit Tatkala Hujan?
Boleh terimakah anda, jika dikatakan musim terbaik untuk memburu tapah sebenarnya ketika hujan, bukan musim kering sebagaimana stigma pemancing kita selama ini? Ilmu baharu ini ditimba daripada caster tapah Brunei yang cukup logik diterima pakai kerana apabila air deras dan tinggi turun dari hulu, tapah yang bersembunyi di dasar lubuk dalam akan terangsang keluar untuk naik mengintai mangsa di tebing-tebing sungai…

Haji Hazaman, antara penduduk Kg. Mau yang aktif mengilat tapah di Sg. Mau.
Teks : HALIMI HANIP
Fotografi : MYZAN CYMZ & SPIKE FARIQ
Amat jarang cerita memancing air tawar atau sungai didedahkan di negara jiran kita yang kecil tetapi amat kaya dengan telaga minyaknya ini. Brunei Darussalam lebih gah dengan lubuk-lubuk laut dalamnya, apatah lagi majoriti pemancing Brunei memang lebih gemar melepaskan gian di laut kerana hasilnya yang lebih lumayan, terutama jigging.

Antara hasil mengilat tapah Sg. Mau oleh Myzan.

Peta Brunei dan lokasi pemburuan tapah di sistem Sg. Belait.
Tetapi tahukah anda, Brunei juga memiliki kekayaan sumber perikanan di sungai-sungainya yang tidak tercemar. Semuanya kerana hutannya masih tebal terpelihara tanpa pernah dibalak, lantaran hasil petroleumnya sudah jauh lebih mencukupi. Spesies barob (sebarau) dan pelian atau semah (kelah), bahkan ikan kelisa liar turut berkeliaran di sebilangan hulunya. Namun hutannya yang amat tebal itu menyukarkan kita untuk akses ke sana.
Bagi saya, tak payah pergi jauhlah ke hulu kalau nak rasa kelainan pancingan air tawar di Brunei, kerana seksyen pertengahan sungainya yang berpenduduk dan senang diakses terdapat spesies rare bertaraf monster yang mampu membuat mulut sesiapa sahaja terlopong, terutama penggila casting seperti saya.

Monster 16 kg, rekod terbesar Myzan setakat ini. Sebenarnya tangkapan ini adalah tangkapan sulung pada hari pertama beliau cuba-cuba mengilat di Sg. Mau pada November 2014!
Siapa yang tak terkesima menyaksikan rakaman GoPro daripada Myzan Cymz yang mengilat sehingga direnggut monster tapah 16 kg, dilawan dengan cukup sengit sehingga kecundang di tepi perahu! Terus saya PM beliau menyatakan hasrat untuk menimba pengalaman memburu tapah di negara kelahirannya yang belum pernah saya jejaki ini.
Boatman Pancing Profesional
Bagi facebookerz, nama Myzan Cymz bukanlah asing jika anda friend dengan beliau. Seorang bekas tentera yang kini bekerjaya sepenuhnya sebagai pemandu bot pancing, khidmat beliau cukup digemari ramai jigger khasnya pemancing tempatan dan Miri. Beliau mempunyai koordinat lubuk tersendiri, termasuklah lubuk spesies paling digilai jigger atas kehandalan luar biasanya iaitu amberjack (aji-aji).
Tapi ermmm… pancingan laut saya surrender-lah bro. Saya nak freshwater jugak, demi kelainan. Lagi pun bukan senang nak cari pemangsa sungai paling besar di Asia Tenggara ini. Kalau di Semenanjung, abaikan ajelah… kecuali anda diberi kebenaran khas memancing di Sg. Tahan (Taman Negara Pahang) atau pun sanggup trolling sampai tertidur di Tasik Bera yang hari-hari orang kampung dok belasah trolling di sana.

Ikan baung dipanggil ‘sembaung’ oleh orang Brunei.
Yes! Myzan akhirnya membalas mesej pertama saya walaupun kami belum pernah bersua. Beliau terus memberi greenlight dan menyatakan lubuk tapah ini terletak di kampung mertuanya yang hanya bersebelahan cabangan Sg. Belait, bernama Sg. Mau. Sesekali apabila tidak ke laut membawa pelanggan dan tiba musim durian, beliau akan ke Kg. Mau dan menaiki bot ke hulu untuk mengutip durian di dusun.
Selesai kutip buah, beliau menghanyut ke Kg. Mau sambil mengilat. Tanpa disangka, percubaan sulungnya dikurniakan monster 16 kg itu dua tahun lepas. Sejak itu, mengilat tapah menjadi kemaruk, lebih-lebih lagi ketika musim laut bergelora yang menyebabkan beliau tidak dapat turun ke laut.
Kenapa Musim Hujan?
Walau bagaimanapun, ada suatu perkara yang pelik bagi saya tentang perangai tapah Sg. Mau ini. Myzan mengatakan tapah di sini lebih mudah diperdaya dengan gewang sewaktu musim hujan. Kenapa pulak ek?

Spesimen 6.8 kg dengan joran Storm Monsta PE 1 – 3, kekili Daiwa Zillion TWS, tali utama Sufix 832 20 paun dan perambut 40 paun.
Apabila hujan, air Sg. Mau akan naik dan arus semakin deras. Ini merangsang sang tapah yang bersembunyi di lubuk dalam untuk keluar dan merapati tebing sungai mencari mangsanya. Maka ketika inilah gewang yang dilontar ke tebing-tebing sungai senang dikesan lalu dibaham tapah.
Wah… ini fakta yang menarik dan sangat logik juga! Cuma kenapa ia agak janggal bagi kebanyakan pemancing yang sering beranggapan musim keringlah yang terbaik. Kita beranggapan apabila air sungai surut, tapah akan berkumpul di lubuk-lubuk yang dalam di mana lebih mudah untuk kita sasar kedudukannya. Apatah lagi air bertambah jernih meyakinkan kita yang tapah lebih mudah mengesan umpan atau gewang.

Tapah bersaiz kecil pun bedal gewang kalau jumpa depan matanya.
Apa yang disampaikan oleh Myzan adalah satu pelajaran baharu tentang tingkahlaku tapah yang buat saya lebih ingin tahu, lalu segera mengatur perancangan untuk menjejakkan kaki buat pertama kali di bumi Brunei Darussalam. Trip ini turut disertai Rayyza dan juga Spike Fariq, selaku jurukamera video untuk merakamkan ekspedisi mengilat tapah Brunei.

Apalah nasib saya, sepanjang tiga hari di sini, takde pulak hujan turun. Air makin menyurut dan tangan semakin panjang sebelah!
Tapah Dah Mula Mengamuk
Kami memilih tarikh penghujung Ogos 2015 kerana hujan dilapor mula turun di Brunei dalam bulan itu. Seperti yang diramal, hujan lebat mula membasahi bumi Brunei seawal Ogos. Myzan mula bermesej kembali dengan saya untuk update keadaan sungai beberapa hari sebelum kami sampai.
Beberapa kiriman gambar membuatkan saya dan Rayyza dah tak boleh duduk diam. Apa taknya… monster 10 kg telah beliau naikkan bersama beberapa ekor saiz 5 – 6 kg. Huh… bikin jiwa kacau nih!

Akibat air semakin surut, bujuk yang dipanggil ‘badus’ pun turun ke sungai besar.
Kami bertiga mendarat di Miri kerana jarak ke rumah Myzan yang terletak di Seria lebih dekat berbanding turun di Bandar Seri Begawan. Melepasi pos imigresen sempadan di Kuala Belait, kami tiba di rumah Myzan dalam 30 minit. Tengahari lepas makan, kami terus dibawa Myzan ke Kg. Mau kira-kira sejam dari rumahnya.
Kelihatan beberapa sampan kayu di jeti Kg. Mau yang digunakan oleh penduduk tempatan untuk mencari ikan dan ke dusun. Ia terikat tak bergerak ditolak arus kerana tiada hujan sejak semalam. Adehhh!
“Air kurang bagus nak cari tapah ni bang…” tegur seorang penduduk kampung. Alamak… baru sampai dari jauh bikin hati tak keruan. “Takpe bang Limi, kita cari dia… ada rezeki insyaAllah…” Myzan yang sentiasa tersenyum orangnya mengambil hati kami.
Setelah mempersiapkan semua kelengkapan, kami memulakan pengembaraan dengan dua buah bot sewa yang dipandu oleh Myzan dan Acun, seorang penduduk kampung yang hari-hari mengilat tapah. Bot memecut ke hulu sehingga ke suatu rantau panjang yang berbangkar di kiri kanan dan disuap oleh sebatang anak sungai.
Menurut Myzan, kawasan hanya 10 minit dari Kg. Mau ini paling banyak mencipta rekod tapah. Balingan gewang perlu fokus ke bangkar besar di tebing sebagaimana kita mengilat siakap merah atau kanai (black bass). Bangkar besar ini biasanya berlohong di bawahnya, dan menjadi tempat tapah mengendap mangsa yang hanyut.
Gewang Killer
Saya perhatikan hanya satu jenis gewang yang sering digunakan oleh Myzan dan caster tempatan iaitu Rapala Magnum CD 9 fire tiger yang bersudu besi. Berdasarkan gambar-gambar, majoriti tapah yang ditumpaskan mereka menggunakan gewang killer ini.
Saya bukan percaya pada hanya satu-satu gewang dalam memperdaya ikan sasaran. Cuma dalam kes ini, gewang tersebut ada ‘X-Factor’-nya sendiri. Pertama ialah warnanya yang hijau kekuningan dan berbelang hitam itu bagaikan ‘obor’ di dalam air gambut. Kedua yang jauh lebih penting ialah keupayaan aksi gewang itu sendiri.
Rapala CountDown (CD) bersifat tenggelam. Kelebihannya apabila dibaling ke tebing berbangkar, ia tenggelam terus ke bawah bangkar yang berlohong dan apabila dikarau, barulah ia mula berenang. Aksi ini diperlukan untuk memikat tapah yang gemar bernaung di bawah bangkar. Namun aksi sebegitu sukar dicapai oleh gewang jenis terapung walaupun berlidah panjang.
Pada hari pertama, kami gagal. Hanya satu strike kasar daripada Acun yang miss di bawah pohon rendang yang gelap. Membuak permukaan air ketika Rapala CD9 kepercayaan Acun dilibas tapah itu. Rayyza pula berjaya menaikkan seekor belida yang kuat menggelupur dan terbang ke udara, manakala Myzan dengan seekor bujuk. Saya? Telor!
Episod Kumpau Berdarah
Kami ada baki dua hari penuh untuk pulun. Walaupun begitu, hati saya gundah mengenangkan sepanjang hari pertama ini cuaca begitu panas tanpa tanda-tanda hujan. Benarkah hanya hujan yang merangsang tapahnya agresif? Kalau tak hujan, bukankah kita boleh cuba trolling? Saya awal-awal lagi dah terfikir plan B itu, walaupun pemancing di sini tidak pernah cuba trolling.
Esok paginya kami datang, tanda air di jeti semakin turun ke bawah! Majoi, seorang lagi caster yang handal di kampung ini turut serta. Namun walaupun dibantu oleh kemahiran beliau, dipendekkan cerita sepanjang hari itu kami kumpau berdarah!
Kami naik jauh ke atas dan turun mencuba jauh ke bawah sehingga ke kawasan Empangan Badas yang menahan Sg. Mau menjadi lenang dan lebih dalam. Puas ‘mengukur’ setiap tebing, bertukar pula trolling di tengah sungai pun tiada cuitan.
Biarpun gagal lagi, saya dapat saksikan sesekali tapah timbul mengambil udara. Ada yang saiznya agak menggerunkan sewaktu menimbul di tengah lubuk.
Tapah Melatah
Namun menurut Myzan, kalau melihat tapah menimbul tu jangan haraplah ia nak makan gewang yang disuakan. Pesan mereka, mengilat tapah memerlukan kesenyapan. Bot perlu berhanyut tanpa goyangan atau bunyian bagi mengelakkan ia terkejut dan menghambur ke permukaan.

Majoi dengan spesimen 21 kg, sehari selepas kami pulang ke KL! Aduh… sakit hati melihatnya!
Bunyi bising adalah pantang-larang mengilat tapah. Ia berlaku sendiri di suatu selekoh lubuk apabila saya telah terjatuhkan buntut joran di lantai bot. Tak semena-mena, lubuk yang tenang macam takde ikan itu berdebur dek libasan tapah hanya di sebelah bot kami! “Tengok… terperanjat tapah tu…” ujar Myzan.
“Kuat melatah rupanya tapah kat sini ek…” seloroh Spike yang dah jenuh dan pijar sejak tiga hari merakam video kosong. Boring punya pasal, sengaja beliau hentak-hentakkan lantai bot, dan berdeburlah lagi telatah tapah terperanjat di lubuk itu. Owh dia ada… tapi apasallah sombong sangat!
Dalam cuaca panas dan air semakin jauh surut, kami membuat keputusan terakhir untuk teroka lebih jauh ke hulu sehingga ke kawasan yang dipanggil Karangan. Kawasan Karangan tiada bangkar kayu, tetapi dasarnya beralun cetek dan dalam serta berarus laju. Tapah seberat lebih 30 kg pernah direkodkan caster kampung di sini.
Bukan Rezeki Kami
Namun kumpau tetap kumpau sehingga saat akhir. Hanya satu strike sebarau yang kasar oleh Acun di Karangan, sayangnya terlucut pulak ketika sampai ke birai bot.
Inilah yang tepat dikatakan episod ‘kumpau berdarah sampai bernanah’ atau ‘cast sampai panjang tangan sebelah’ dalam misi tapah Brunei Darussalam ini. Biarpun pasrah, ia tidak pernah mematikan semangat, cuma sekadar bukan rezeki kami sebenarnya.
Sekurang-kurangnya dapat menimba satu ilmu di lokasi baharu daripada Myzan dan caster berpengalaman Sg. Mau, yang mungkin boleh diaplikasi di lubuk tapah lain. Sebaik kami bergegas ke Miri untuk mengejar flight ke KL, awan hitam yang tebal kelihatan memayungi bumi Brunei.
Esoknya saya terima mesej Myzan memaparkan foto Majoi berjaya mendaratkan monster 21 kg! Tekalah emoticon apa yang saya balas?! Arghhh… – SIRIP –
*Hubungi Myzan jika ingin mengilat tapah Brunei melalui fb : Myzan Cymz atau whatsapp : +673 711 9222