Teknik Sinking Minnow Tebing Berbatu
Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada geng-geng menebing semua. Saya nak kongsi sedikit tentang teknik dan cara yang sesuai untuk menggunakan gewang selaman cetek jenis tenggelam(sinking minnow) di kawasan tebing berbatu. Saya yakin ramai yang mempunyai gewang jenis ini dan hanya tahu kegunaan gewang ini hanyalah untuk melontar jauh sahaja. Sebenarnya banyak teknik2 yang boleh digayakan bila menggunakan gewang jenis ini. Dan kali ini saya ingin kongsikan serba sedikit tentang teknik dan pelbagai cara yang saya dan team KAKI TEBING gunakan. Terbukti berkesan dan harap bermanfaat!
Teks & Fotografi: Shahzairi Shahrom
#KakiTebing #RockFishing #SinkingMinnow
BERAT GEWANG DAN KEDALAMAN AIR
Faktor kedalaman air dan berat gewang adalah penting. Untuk menebing di kawasan berbatu, berat gewang yang sesuai adalah antara 12gram hingga 40gram. Berat gewang 20gram kebawah sesuai untuk kedalaman air sekitar 6 meter kebawah. Untuk kedalaman air 6meter keatas berat gewang 20gram hingga 40gram. Pemilihan warna gewang juga amat penting. Saya gemar menggunakan gewang yang mempunyai warna asas berkilat(silver) bila cuaca panas dan keadaan air yang jernih. Pemilihan warna terang pula sesuai digunakan bila cuaca mendung, air sedikit keruh dan lewat petang.
TEKNIK DAN RISIKO
Setiap teknik yang kita gunakan ada risikonya sendiri. Begitu juga dengan penggunaan gewang jenis tenggelam. Risiko sangkut dan putus amatlah tinggi. Bak kata pepatah team Kaki Tebing, “Kalau takut dengan risiko, jangan bermain dengan sinking minnow, haha. ”
Gewang perlulah dilontar sejauh mungkin dan dibiarkan tenggelam merapati dasar. Untuk mengetahui kedalaman air di sesuatu tempat, balingan pertama haruslah dihitung berdasarkan berapa saatkah gewang yang jatuh di permukaan air itu mencecah dasar. Seeloknya lontar dahulu gewang yang tidak mempunyai treble hook untuk mengetahui kedalaman air.
HITUNG MASA TENGGELAM
Kaedah perhitungan masa juga bergantung kepada berat gewang yang digunakan. Contoh jikalau seekor gewang tanpa treble hook seberat 30gram digunakan dan masa yang diambil untuk mencecah dasar 30saat, balingan gewang yang telah dipasang treble hook di kawasan itu sesuai dibiarkan tenggelam sekitar 25saat sebelum dikarau.
Gewang yang mempunyai keberatan yang tidak bersamaan kelajuan tenggelamnya juga akan menjadi berbeza. Cara ini memang agak leceh tapi berbaloi untuk menduga penghuni yang berada di dasar. Perlu ditekankan bahawa semakin rapat gewang ke dasar semakin tinggilah peluang untuk menggoda ikan besar.
KELAJUAN KARAUAN
Manakala kalajuan karauan pula bergantung kepada spesies sasaran yang ingin diduga. Untuk spesies pelagik, karauan laju amat sesuai. Manakala untuk spesies dasar seperti kerapu karauan perlahan sudah memadai. Setiap karauan perlulah digayakan seperti ikan yang sedang sakit(Jerk). Selalunya spesies seperti Gt akan membaham gewang ketika dikarau laju dan ketika gewang sudah hampir di tebing. Spesies dasar seperti kerapu pula akan menyambar gewang ketika gewang sedang tenggelam. Jadi bersedialah untuk sebarang kejutan.
Apa yang penting jangan cepat putus asa dan jangan takut dengan risiko gewang kena cukai akibat sangkut di dasar. Insyaallah ada rezeki tak ke mana. Semoga bermanfaat untuk semua.Yang baik kita ambil yang buruk kita buang, sekian!