Tekong “Satu Port” Nibong Tebal
Baru berusia 29 tahun, namun telah menjadi tekong terkenal di Pulau Pinang. Beliau yang dihormati dan disanjungi pemancing dan tekong-tekong di Pulau Mutiara adalah antara tekong terawal mempromosi teknik jigging di sini dan telah menyimpan banyak lubuk kerapu hijau idaman jigger perlahan. Percaya atau tidak, 4 tahun dahulu, tekong muda ini mempunyai satu lubuk sahaja dalam GPS-nya!
Teks & Fotografi : PAK WONG
Tidak berapa lama dahulu, Wong Kok Ping selaku penulis undangan Majalah Kingfisher – SIRIP telah mendedahkan kesuburan lubuk kerapu hijau besar atau lebih dikenali dengan jolokan ‘boron’ di perairan Nibong Tebal, Pulau Pinang. Dengan pendedahan ini, barulah ramai pemancing menyedari bahawa Nibong Tebal yang kurang popular rupanya terdapat bot pancing yang memfokuskan teknik jigging perlahan.
Tidak berapa lama kemudian, saya telah menerima panggilan daripada tekong Khairul Nua yang ingin mengajak saya memancing di Nibong Tebal. Menjelang kemuncak teknik jigging perlahan, saya telah menjelajah beberapa lokasi di sepanjang Selat Melaka untuk mencari kerapu mega, namun hasrat tidak dikecapi.
Selama ini saya tidak menyedari tentang kewujudan ‘boron’ atau ‘tong gas’ di Nibong Tebal. Ini menunjukkan Nibong Tebal bukannya sebuah padang pancing yang dikenali ramai, justeru berbaloi untuk mencuba di sana.
Bagaimana Semuanya Bermula
Pada malam 13 Mei 2018, saya telah tiba di Nibong Tebal tetapi tersesat di sebuah kawasan sawah padi mengikut lokasi yang dihantar oleh Khairul Nua. Rupa-rupanya lokasi itu salah! Serta-merta beliau menghantar lokasi baru dan akhirnya tibalah saya di sebuah rumah banglo untuk berjumpa tekong muda yang peramah dan lucu ini.
Terdapat sebuah rumah berasingan dibina di sebelah rumahnya dan di sinilah tempat penginapan tetamu yang datang dari jauh. Selepas itu, Khairul Nua telah membawa saya dengan motosikalnya tanpa memakai topi keledar untuk menjamu selera dengan sahabatnya di sebuah warung berdekatan. Rupa-rupanya mereka adalah penonton setia ‘DVD Ikan Terhandal Malaysia’ sehiingga boleh menghafal narasi dalam filem kami!
Khairul Nua asalnya seorang kontraktor pembinaan. Empat tahun dahulu beliau beralih kerjaya menjadi tekong bot pancing atas bantuan seorang sahabatnya, setelah mengalami kegagalan dalam bisnes.
Lantaran sikapnya yang jujur, ramai tekong sudi berkongsi lubuk memancing dengannya sehingga waypoint dalam GPS-nya telah bertambah daripada hanya satu iaitu Kapal Taiping sehingga puluhan banyaknya. Proses beliau memperolehi lubuk-lubuk yang banyak ini memang epik.
Sewaktu mula-mula menjadi tekong, Khairul Nua yang meminati jigging telah berjaya menarik pemancing yang lebih suka henjut jig daripada menurunkan umpan segar. Beliau juga sentiasa mendorong dan mengajar pemancing bottom bertukar kepada teknik jigging. Satu-satunya tekong yang giat mempromosi teknik jigging di perairan ini.
Rebutan Kapal Taiping
Khairul mengakui beliau telah banyak mempelajari teknik jigging melalui DVD Ikan Terhandal Malaysia, terutama teknik jigging secara menghanyutkan bot. Pada peringkat awal, beliau telah mencuba teknik ini di Kapal Taiping dengan keputusan yang cemerlang. Perairan kapal karam sememangnya sesuai sangat untuk teknik jigging. Selain spesies demersal, terdapat juga ikan-ikan pelagik yang menggemari jig seperti gerepoh, aruan tasik, talang dan spesies trevally yang lain.
Namun terdapat masalah juga apabila jigging di sana. Kapal Taiping merupakan sebuah lubuk yang amat popular. Hampir setiap hari ada sahaja bot pancing yang berlabuh di sana untuk pancing dasar.
Tekong-tekong dan pemancing atas bot pancing itu memang kurang puas hati apabila melihat bot Khairul hanyut berdekatannya, biarpun Khairul telah cuba seboleh-bolehnya untuk mengelakkan daripada mengganggu geng pemancing dasar itu. Sehinggalah ada bot yang melepaskan belon jauh ke tengah laut pura-pura memancing tenggiri supaya bot Khairul tidak dapat mendekati.
Khairul menyedari bahawa beliau kurang disukai tekong-tekong bot di sana. Namun inilah satu-satunya lubuk pancing yang diketahui beliau. Justeru beliau pun berterus terang dengan tekong-tekong tersebut dengan harapan mereka dapat berkongsi sedikit informasi lubuk-lubuk mereka.
Mengesan Sun Vista
Kita sedia maklum bahawa bot pancing di Malaysia memang tidak sepakat. Biarpun kenal antara satu sama lain dan duduk minum kopi bersama, namun jarang-jarang mereka berkongsi lubuk masing-masing. Mereka akan cepat beredar apabila menjumpai bot lain menghampiri sewaktu memancing di lubuk rahsianya.
Akhirnya Khairul Nua telah berkenalan dengan seorang tekong yang bernama Faizal melalui seorang sahabatnya. Seperti tekong yang lain, Faizal juga tidak berkongsi info lubuk bersama Khairul Nua. Tetapi beliau telah memberitahu Khairul berkenaan sebuah lubuk mengancam iaitu kapal mewah Sun Vista dari Singapura yang karam akibat kebakaran.
Faizal sendiri tidak tahu lokasi sebenar kapal karam itu. Namun menurut beliau, ada seorang tekong yang tinggal di Sitiawan yang tahu waypoint lokasinya.
Khairul Nua yang baru berjinak-jinak dengan kerjaya ini memahami bahwa jika beliau ingin bertahan dalam industri ini, beliau haruslah mempunyai port yang bagus agar pelanggan akan kembali atau menghebahkan perkhidmatannya kepada rakan-rakan mereka.
Biarpun beliau memahami bahawa tekong tersebut tidak berapa mungkin memberitahu kedudukan sebenar Sun Vista, beliau tetap pergi berjumpa dengan tekong Sitiawan tersebut dengan hati yang optimistik. Beliau sememangnya insan yang begitu positif sehingga hampir naif!
Seperti yang diduga, tekong Sitiawan itu telah menolak permintaan Khairul Nua dengan bermacam-macam alasan. Namun Khairul tetap tidak berputus asa. Beliau telah kembali ke Sitiawan dengan tujuan untuk bersahabat dengannya. Khairul Nua yang peramah dan pandai bercakap memang senang bersahabat dengan orang. Akhirnya pada kali ketiga pertemuan Khairul dengan tekong tersebut, beliau telah berjaya memperolehi maklumat Sun Vista!
Namun koordinat yang diberi tidaklah begitu tepat. Sehinggalah kali ketiga Khairul Nua pergi ke perairan itu, barulah jumpa. Namun beliau telah menjumpai banyak unjam dalam perjalanan ke lokasi kapal karam itu yang boleh dijadikan lubuk memancing. Di samping itu, beliau juga menjumpai sebuah terumbu yang telah berjaya menghasilkan banyak boron bersaiz mega ketika isi minyak di tengah laut!
Mengadap Raja Port
Selain kapal karam Sun Vista, Khairul Nua juga mendapat berita daripada Faizal bahawa di Pulau Pinang terdapat seorang tekong yang dipanggil ‘Raja Port’ yang mempunyai banyak lubuk di sekitar perairan Pulau Pinang. Khairul Nua yang tidak pernah berputus asa tetap ingin berjumpa dengan tekong itu.
Seperti kejayaan mengorek koordinat Sun Vista dari Sitiawan, akhirnya keikhlasan Khairul telah berjaya meyakinkan tekong tersebut untuk memberi banyak waypoint yang cantik-cantuk kepadanya tanpa sebarang syarat!
Setelah memperolehi banyak spot yang bagus-bagus, Khairul Nua sudah tidak perlu bertandang ke Kapal Taiping lagi. Sehingga tekong-tekong yang sentiasa menyusahkannya di sana bertanya kenapa tidak pergi pancing di Kapal Taiping lagi apabila bersua di warung. Khairul Nua yang ikhlas pun terus-terang memberitahu tentang port-port yang diperolehinya atas bantuan Faizal.
Percaya atau tidak? Khairul Nua sudi berkongsi port-port yang diperolehinya setelah menghadapi bermacam-macam rintangan ini dengan tekong-tekong yang menyusahkan beliau di Kapal Taiping tanpa sebarang syarat! Tekong-tekong yang merasa terhutang budi dengan Khairul akhirnya telah menjadi sahabat karibnya.
Ikhlas Kongsi Lubuk
Pada suatu hari, datang tiga pengusaha bot pancing berbangsa Cina mencari Khairul atas tujuan ingin memohon koordinat lubuk daripadanya. Mereka mungkin terdengar cerita tekong Khairul Nua yang tidak kedekut berkongsi port dengan tekong lain. Namun mereka terasa segan untuk menagih kemurahan hati Khairul tanpa sebarang bayaran.
Justeru mereka ingin menyewa bot Khairul dan merekodkan lubuk yang dibawa Khairul. Kata Khairul, “Bagi GPS kamu sahaja. Saya akan masukkan koordinat dari GPS saya. Tak usahlah sewa bot saya!” Namun mereka tetap ingin menyewa bot Khairul sebagai tanda membalas jasa baik beliau. Inilah pertama kalinya Khairul memberikan koordinatnya dengan sedikit syarat.
Biarpun kemurahan hati Khairul Nua telah diketahui ramai, namun ada juga tekong yang mungkin terasa segan untuk meminta koordinat daripada beliau dan pura-pura menyewa botnya untuk mencuri koordinat lubuknya. Namun perbuatan yang kurang bermoral mereka ini dengan mudahnya telah dihidu oleh Khairul Nua.
Beliau bukan sahaja tidak marah, malah menegur secara bergurau, “Kalau kamu inginkan koordinat lubuk, bolehlah terus-terang cakap dengan saya. Pasti saya akan bagi.” Namun mereka sendiri yang terasa malu, dan sejak kes itu mereka tidak pernah datang menyewa bot beliau lagi!
Begitulah murahnya hati Khairul Nua sehingga sukar dipercayai oleh orang yang belum berkenalan dengan beliau. Namun inilah prinsip hidup dan kepercayaan beliau. Mungkin jasa baik beliau telah diberkati Tuhan sehingga bisnes perkhidmatan memancingnya telah menjadi semakin maju dengan trip yang berturut-turut ‘fully booked’ dan pelanggan tetapnya pun menjadi semakin ramai.
Begitulah sketsa kisah seorang tekong muda lagi luar biasa yang dihormati dan disukai tekong dan pemancing kawasan Pulau Pinang. Anda pasti akan merasa kagum apabila berpeluang memancing bersama beliau!
*Berminat memancing dengan Bot Pancing MK MALIN Nibong Tebal, Khairul Nua? Hubungi : 019-446 5528 / 017-366 6061