Tenggiri Manis September
Apa yang bakal saya kongsikan di sini bukanlah sebagai menggalakan pemancing melanggar akta dan hukum yang ditetapkan pihak kerajaan namun sebaliknya sebagai satu perkongsian ilmu yang boleh mendidik kita semua untuk menjadi pemancing yang lebih efisyen. Berdekad lamanya saya menyimpan rahsia yang pernah diberitahu arwah pakcik saya, seorang nelayan yang menetap puluhan tahun di Pulau Redang. Memang saya akui ilmu yang diturunkan arwah pakcik saya banyak membantu saya menewaskan pelbagai spesies idaman khasnya spesies Trevally.
Teks & Fotografi: Hanumei Ike
Rahsia September
Kenapa Trevally? Kita sedia maklum bahawa pelbagai spesies Trevally seperti GT, ebek, jemuduk, gerong belang, cermin, sagai dan lain-lain akan berhijrah secara berkumpulan pada masa-masa tertentu. Saya pernah menjelaskan dalam artikel yang lalu bahawa selepas tengkujuh lubuk terbaik untuk memburu ebek adalah di sekitar perairan berhampiran pulau. Migrasi tersebut mungkin berlaku atas faktor makanan, perubahan cuaca atau mencari tempat berlindung.
Dalam musim tengkujuh laut bergelora menyebabkan air laut cetek menjadi keruh justeru mengganggu penglihatan ikan dalam pemburuan diet. Migrasi selalunya tertumpu pada struktur-struktur besar di dasar laut seperti kapal karam, terumbu di laut lepas mahupun karang-karang sekitar pulau. Pulau merupakan tempat paling sesuai lantaran airnya kekal jernih. Namun sebelum terjadinya migrasi Trevally menuju ke pulau, tenggiri terlebih dahulu yang menjadi pembuka tirai migrasi ini seawal September.
Tenggiri September
September merupakan bulan migrasi penghujung tahun tenggiri dan secara umumnya kita menganggap ianya bermusim. Seawal Mac dikatakan pembuka tirai dan Jun pada pertengahan musim. Kesalnya sehingga kini tiada pihak yang berminat untuk mengkaji migrasi ini menuju ke arah mana. Saiz tenggiri migrasi selalunya menentukan ianya dalam kelompok besar atau sebaliknya. Skala saiz dibawah 3 kg selalunya berada dalam kelompok yang besar. Saiz sebegini yang sering membuat pemancing berpesta tanpa berpindah lubuk lagi.
Sebaliknya migrasi tenggiri dalam skala saiz 5 kg ke atas selalunya berada dalam kelompok kecil dan menurut pengalaman saya hanya belasan ekor sahaja yang mampu didaratkan di satu lubuk. Spesies pertengahan air ini tidak disangkal lagi kelajuan pecutannya menegangkan tali membelah permukaan air sehingga mampu menjana bunyi yang mengasyikkan.
Teknik jigging laju bagi menjerat tenggiri adalah satu kemestian namun beberapa faktor perlu dipelajari terlebih dahulu. Set yang digunakan perlulah betul bagi mengimbangi tenaga yang bakal digunakan begitu juga untuk teknik mengilat SM (Sinking Minnow). Memang betul kalau rezeki yang tertulis tidak ke mana tetapi berapa peratusan tenggiri mampu dijerat tanpa Kevlar berdawai?
Kejernihan air juga satu faktor yang perlu diambil kira. Air yang sedikit keruh dan berarus laju paling sesuai untuk memburu tenggiri. Bagi teknik jigging mahupun mengilat SM harus menggunakan perambut dan tali utama yang halus begitu juga terminal tackle. Ada kelebihannya menggunakan perkakasan yang halus dalam kedua-dua teknik ini. Tali yang halus dapat memotong halangan air dengan mudahnya. Beban kepada kekili juga tidak berat dan komunikasi aksi jig mahupun gewang lebih mudah dirasai.
Tali utama 10 hingga 20lb berpadankan perambut 15 hingga 20lb kini telah menjadi popular di kalangan pemancing spesies bergigi tajam. Manakala perambut pula menjadi semakin panjang dari 4 hingga 6 depa seakan tidak kelihatan dalam air yang sedikit keruh. Asasnya setiap jig dan gewang SM yang digunakan bagi menjerat tenggiri perlu ada kilatan perak dan warna-warna lain hanya sebagai warna pendua bergantung kepada kualiti air.
Bentuk jig sebaiknya sedikit panjang dan berat yang sering digunakan antara 40 hingga 80g bergantung kepada kelajuan arus. Sejak kebelakangan ini penggiat jig mula bertukar arah set kekili dari kekili mendatar ke kekili menegak kerana kelebihan nisbahnya yang lebih laju. Kelajuan dipentingkan dalam teknik jigging tenggiri lantaran pergerakkan jig yang laju dapat mengurangkan risiko jig dari kerap terputus digigit tenggiri yang bergerak terlalu pantas.
Manakala joran kekal berkekuatan PE3 kerana joran perlu keras sedikit untuk menyokong lantunan gewang 40g ke atas. Semenjak keluarnya kekili BC serbaguna seperti Shimano Tranz, Tailwalk Elan mahupun Abu Revo, dapat dilihat transformasi berlaku. Maklumlah kedua-dua teknik jigging dan mengilat mampu dilakukan dalam satu kekili.
Teknik di unjam
Unjam dibuat sebagai rumah untuk ikan pelagik berkumpul dengan guni-guni pasir mahupun bongkah konkrit sebagai struktur tetap di dasar laut yang disambung tali kepada jalinan daun kelapa di pertengahan air. Ianya lalu dihubungkan kepada buluh dan tong-tong plastik di permukaan laut bagi menegakkan jalinan daun kelapa di pertengahan air.
Unjam senang dikesan di laut lepas, sejauah 3 km ianya sudah kelihatan. Unjam adalah struktur tiruan dan ianya tidaklah sebesar terumbu mahupun kapal karam namun potensi sebagai lubuk tenggiri tetap terbaik. Ikan pelagik kecil hanya bermain berhampiran unjam selalunya tidak jauh dari jalinan daun kelapa manakala kebanyakan pemangsa seperti tenggiri yang ditewaskan hanya berlegar dalam radius 50 meter dari unjam.
Bulan September memang ditunggu kami sebagai medan terakhir tahunan. Lebih menyeronokkan trip ini adalah trip pertama menaiki bot baru uncle Efan yang besar dan selesa. Bot panjangnya hampir 40 kaki dengan lebar hampir 10 kaki boleh dinaiki 10 pemancing dan hanya mengambil masa kurang satu jam ke Pulau Redang selepas meninggalkan Kuala Besut.
Teknik berhanyut selalunya lebih efektif dalam memburu tenggiri namun ianya tetap bergantung kepada pergerakan angin dan arus. Sekiranya arus mengizinkan dan cuaca tidak berangin, hanyutan bot boleh dilakukan pada kedua-dua sisi unjam. Sekiranya bot hanyut berhampiran unjam, balingan jig ataupun gewang SM perlu dilontar keluar dari arah unjam. Sebaliknya jika bot hanyut jauh dari unjam maka lontaran perlu dibuat ke arah unjam.
Manis September
Seperti yang saya kongsikan pada permulaan artikel ini, pada penghujung tahun apabila berlakunya migrasi besar-besaran, pulau dan unjam-unjam sekitar pulau akan turut menjadi transit migrasi kepada pelbagai sepsies trevally. Bagi spesies demersal pula kadang-kala turut bertandang ke unjam. Bongkah konkrit mahupun timbunan guni-guni pasir yang menjadi tapak ataupun sauh bagi unjam amat sesuai untuk habitat demersal. Adakalanya jig yang tenggelam ke dasar sering menjadi mangsa kerapu, jenahak, merah tanda mahupun merah.
Trip ini kami banyak berlegar di sekitar unjam yang berhampiran pulau walaupun tidak bertemu bondongan tenggiri mahupun trevally, namun dengan tangkapan beberapa ekor ikan cermin cukup untuk menandakan permulaan migrasi hampir berlaku. Kita ketahui kebanyakan pulau dilindungi mahupun digezetkan sebagai Taman Laut dan ianya ditegah sama sekali untuk sebarang aktiviti menangkap ikan. Apa yang saya kongsikan di sini bukan untuk menggalakkan pemancing menceroboh tetapi masih ada ruang buat kita memintas migrasi ini sewaktu ianya dalam perjalanan menuju ke terumbu.
Dalam memintas migrasi sebaiknya tuju ke unjam-unjam berhampiran pulau ataupun ke terumbu yang berhampiran pulau yang tidak digezetkan sebagai Taman Laut. Namun janganlah dijatuhkan sauh kerana ini mengundang kerosakan pada karang. Dalam waktu sukar untuk mendapatkan tenggiri sekurang-kurangnya 13 unjam telah diduga dari pagi sampai ke petang dan dalam trip ini beberapa unjam yang diduga sudah cukup untuk menewaskan tenggiri.
Rahsia telah dikongsikan untuk manfaat bersama. Sebelum monsun menjengah, jadikanlah September mahupun Oktober sebagai bulan yang ada kemanisan bakal tercoret dalam diari pancingan kita!