Pautan Utama

Portal Memancing Rasmi Malaysia

Tenya “Hong Kong Hook” Ala Jepun?

Pernahkah anda dengar gaya ‘Hong Kong Hook’ yang sudah lama dipelopori oleh otai-otai pancingan lautan kita? Ya, walaupun ia dianggap teknik pancingan legenda di rantau ini, kini muncul suatu teknik yang lebih kurang serupa yang dipanggil ‘Tenya’. Bezanya Tenya menggunakan mata kail berpemberat yang berwarna terang dan bahagian bawahnya rata, dan konsepnya juga sedikit berlainan dengan Hong Kong Hook walaupun ia suatu ‘alat’ untuk membawa umpan segar ke dasar laut. Jom kita pelajari teknik dari Jepun yang cukup efektif ini…

Tenya yang mempunyai dua mata kail, dengan bahagian bawah pemberatnya yang rata untuk memperlahankan halaju penenggelamannya.

Oleh : DEAN QUEK (Singapura)

Tenya merupakan suatu teknik mirip dengan konsep ‘Hong Kong Hook’, iaitu gaya pancingan dasar menggunakan mata kail berpemberat yang dicangkuk umpan segar, terutama udang hidup. Walaupun begitu, Tenya mempunyai kelebihan lain iaitu boleh digabungkan dengan soft plastic (SP). Bahkan kepala berpemberat pada Tenya adalah rata (sedangkan Hong Kong Hook bulat), yang berperanan untuk membiarkan umpan tenggelam perlahan-lahan dengan pergerakan tidak menentu seakan semulajadi untuk menggoda sang ikan.

Hong Kong Hook yang digemari pemancing veteran selalunya dimainkan bersama koyan bertali tangsi sehalus 4 – 6 paun untuk meningkatkan daya sensitiviti. Kelebihannya dapat mengekalkan umpan di dasar laut sepanjang masa, dan ia diseret untuk mencari ikan, bukannya menunggu ikan datang. Walau bagaimanapun, Tenya tidak dipadankan dengan koyan, sebaliknya dengan set pancingan berjoran dan berkekili dengan pengisian tali sehalus PE 0.6 atau 0.8.

Saya beruntung kerana dapat menimba pengalaman Tenya Fishing ini di Pulau Selatan, Singapura bersama Kapten Mel Mel Lee. Justeru saya ingin berkongsi pengalaman ini semoga ia dapat menarik lebih ramai pemancing terhadap Tenya yang berkesan lagi menyeronokkan.

Tenya sangat efektif untuk menjerat ketarap.

Cara Persediaan Tenya

Lubuk memancing sekitar Pulau Selatan ini sekitar 25 hingga 38 kaki dalam, sama ada berterumbu mahupun berlumpur dasarnya. Kami menggunakan mata kail Tenya bersaiz 60, 80, 100 hingga 120 gram, bergantung kepada kedalaman, arus dan angin. Disebabkan mata kail Tenya yang agak berat, tidak semestinya kekili mendatar (spinning reel) wajar digunakan kerana kekili menegak (overhead reel) saiz kecil juga memadai.

Tetapi disebabkan kami memancing di kawasan yang berstruktur di dasar, tali tidak boleh terlalu halus. Seelok-eloknya gunakan tali sulam berkekuatan 20 – 30 paun, dengan perambut fluorocarbon 20 – 30 paun sepanjang 5 – 8 kaki.

Mata kail Tenya terdapat dalam beraneka warna. Warna dipilih berdasarkan teori yang sama seperti penggunaan gewang lain, iaitu perlu menentukan warna langit dan air. Namun warna yang paling popular ialah merah, emas, hijau dan pendarcahaya.

Reka bentuk Tenya mirip mata kail jighead untuk SP, kecuali terdapat telinga (eyelet) pada kepala Tenya yang membolehkan kita memasang mata kail tambahan untuk mencangkuk kepala udang bagi meningkatkan kadar tancapan.

Penulis dengan kerapu besar yang diperdaya dengan Tenya.

Teknikal Pancingan Tenya

Teknik pancingan Tenya perlu dilakukan semasa bot berhanyut. Anda boleh membiarkan Tenya jatuh terus ke laut dari tepi bot atau anda boleh melontar jauh, bergantung pada kedalaman air. Dengan melontar jauh, anda boleh meliputi segenap perairan, tetapi sukar untuk mencapai hasil yang diinginkan jika air terlalu dalam. Bot Dolphin Explorer yang dikendalikan  Kapten Mel Mel Lee dilengkapi sonar skrin sentuhan 3D yang canggih, kita dapat melihat dasar laut dengan jelas untuk meningkatkan keyakinan memancing.

Teknik Tenya mementingkan hubungan pemancing dengan Tenya itu sendiri. Apabila ia sampai ke dasar laut, kita perlu karau tali dengan sangat perlahan. Apabila anda merasakan struktur terumbu karang yang keras, anda perlu mengangkatnya naik dan biarkan ia tenggelam kembali ke struktur untuk mengetuk karang atau batu bagi menarik perhatian ikan di dalamnya. Risiko sangkut tidak tinggi kerana mata kail utama tersembunyi di dalam badan udang dan keseluruhan umpanan ini cukup kecil untuk melalui celah-celah terumbu karang dengan mudah.

Teknik pemasangan Tenya berumpan udang hidup. Perhatikan ekornya telah dipotong bagi memudahkan pemasangan umpan.

Beraneka spesies ikan demersal menjadi tawanan Tenya dengan mudah.

Beraneka spesies ikan demersal menjadi tawanan Tenya dengan mudah.

Rahsia Tenya adalah dengan memastikan Tenya terus menyentuh dasar laut, biarkan tali keluar apabila anda tidak merasakan dasar laut. Ini mungkin bermakna Tenya telah dihanyutkan arus dari dasar, atau Tenya telah sampai ke lubuk ikan. Berhati-hatilah, tempat yang dasar tidak sekata ini sering menjadi tempat di mana ikan suka bersembunyi, udang hidup anda pada bila-bila masa sahaja akan disambar!

Tenya yang diubah suai di Taiwan untuk memancing ikan hairtale dengan hirisan ikan sebagai umpan.

Tapi ingat… apabila anda merasa getuan, jangan sentap dulu. Jangan lupa bahawa anda menggunakan udang yang sangat besar sebagai umpan. Jadi kita mesti beri sedikit masa untuk ikan menelannya. Strike terlalu cepat mungkin berakhir dengan rabut. Bahkan anda bukan sahaja gagal menancap ikan, malah mungkin menakutkan seluruh kumpulan ikan itu!

Kerapu ini suka makan ‘tembikai’!

Setakat ini kami telah gunakan Tenya untuk memancing pelbagai spesies ikan, termasuk kerapu yang besar. Kelebihan Tenya adalah dapat meneroka lubuk persembunyian ikan, dan kesannya lebih baik berbanding pancingan dasar secara konvensional. Nah… tentu anda ingin mencubanya, bukan?

Singapore Dolphin Explorer Fishing CharterMel Mel Lee (+ 65-9638 6893)