Pautan Utama

Portal Memancing Rasmi Malaysia

Terengganu Fly Fishing Fest 2018 : The Sikang Quest

Team dari USA seramai 8 orang menjadikan TFFF 2018 cukup istimewa.

Susulan sambutan yang amat menggalakkan ketika Sikang Battle Challenge tahun lepas, Terengganu Fly Fishing Club (TFFC) mengorak langkah untuk meneruskan acara yang lebih besar dikenali dengan ‘Terengganu Fly Fishing Fest’ pada 13 – 14 April di Belukar Bukit, Hulu Terengganu. Lebih prestij apabila peserta luar negara dari Amerika Syarikat, Finland, Australia dan Indonesia sanggup turun untuk mengenali keistimewaan melayang spesies yang bergelar Malayan trout

Teks : HISYAMUDDIN ABD. GHANI
Fotografi : TERENGGANU FLY FISHING CLUB

Kejayaan Sikang Battle Challenge 2017 tahun lepas membuktikan kesatuan jiwa pemancing layang tanah air yang begitu kuat. Sikang (Barilius guttatus) bukannya calang-calang spesies yang boleh dipandang sepi.

Team dari negara jiran kita Indonesia pun sanggup turun ke Terengganu.

Dengan kejayaan Sikang Battle Challenge 1 di Jeli yang dianjurkan oleh Kelantan Fly Fishing Club (KFFC) dan diteruskan pula oleh Terengganu Fly Fishing Club (TFFC) pada bulan berikutnya, ia cukup membuktikan bahawa ikan sikang atau Malayan trout ini begitu didambakan oleh para pelayang purist yang begitu taksub dengan ‘dry flies’ seperti di Eropah dan Amerika. Hanya jauhari sahaja yang mengenal manikam.

Acara otai bertukar umpan layang (flies) adalah tradisi para pelayang.

Jamboree Pemancing Layang

Awal Januari 2018, TFFC sudah mula mengorak langkah menjanjikan 2018 sebagai satu tahun penuh makna buat pancing layang Terengganu dan Malaysia. Idea pancing layang berkonsepkan ‘Conserve, Preserve & Release’ untuk memberi kesedaran kepada semua akan betapa pentingnya menjaga sumber ikan dan alam sekitar untuk generasi akan datang.

Keinginan untuk mengumpul pemancing layang dalam jumlah yang ramai dalam satu masa, ditambah dengan sokongan padu ahli TFFC akhirnya menjadi suatu kenyataan pada tanggal 13 April di Belukar Bukit, Hulu Terengganu. Para peserta seramai 116 orang dari dalam malah dari luar negara dijemput hadir atas usaha gigih ahli kelab TFFC sendiri iaitu Christopher John Mcvallary  dari USA.

Tekun mendengar tunjuk ajar teknikal dari Antti Vapolla akan teknik dan taktik melayang di kawasan jeram.

TFFF 2018 menjadi lebih grand apabila pelayang luar negara dari Indonesia, Finland, Australia dan USA sanggup turun ke ceruk pedalaman Terengganu ini kerana begitu teruja untuk mengenali sikang dengan lebih dekat. Pelbagai gaya tersendiri dapat dilihat, di mana pemancing lama dan baharu, tempatan dan asing, saling hormat-menghormati antara satu sama lain ketika bertemu. Sebenarnya elemen inilah yang membuat penulis begitu tersentuh jiwa. Seolah-olah keluarga yang lama ditinggalkan.

Peserta dipecahkan berkumpulan mengikut negeri masing-masing.

Penglibatan semua warga desa Kg. Betong bermula dari  pengerusi Felcra hingga ke anak- anak kecil turut menyentuh jiwa penulis. Penduduk kampung begitu teruja dengan konsep yang dibawa kali ini. Bukan sekadar memancing, pelbagai agenda diatur sebaik mungkin bersama penduduk kampung ini.

Christopher John Mcilravy juga berjaya membawa penaja-penaja untuk memeriahkan acara kali ini. Ditambah lagi dengan penajaan besar dari LOOP Tackle Asia, TackleBox Malaysia, Vision Fly Fishing (iaitu jenama dari Finland melalui pelayang terkenal, Annti Vippola), China Outfitters, Wapsi, Angler Image, KL Fly Fishing Shoppe, Awood handcraft dan banyak lagi. TFFF 2018 mendapat limpahan penaja yang memberi banyak hadiah berupa barangan terbaik bermula daripada kekili layang, joran layang sehinggalah pakaian memancing jenama Eropah.

Layangan di lapangan lubuk sikang.

Agenda Program

Pada hari pertama (Jumaat), Annti Vippola memulakan acara iaitu cara-cara berkesan memancing di sungai. Walaupun lebih kepada pancingan gaya Eropah, tetapi sedikit-sebanyak  peserta didedahkan cara-cara mengenali kedudukan ikan di sungai, warna umpan yang sesuai digunakan, kaedah mendekati ikan supaya tidak mudah terkejut dan penggunaan alatan yang sesuai untuk layangan di sungai atau jeram kecil. Para peserta dilihat tekun mendengar.

Pak Teh, pelayang otai dari Kedah pun sanggup turun ke Kuala Berang.

Pada petang Jumaat pula, para peserta diuji dengan acara kemahiran individu dalam pertandingan ‘Accurate Cast’ dan ‘Distance Cast’, dan diselang dengan acara sukaneka antara peserta luar dan penduduk setempat. Ternyata mereka begitu seronok dengan sukaneka ini. Bersebelahan acara sukaneka, Dron Lee dan Irhamy Ahmad (Tok Mie) menjadi guru kepada para peserta yang masih baru dalam pancingan layang.

Acara ditamatkan pada jam 7 petang untuk makan malam. Peserta dijamu dengan tiga ekor kambing golek untuk bekalan tenaga keesokannya. Para penduduk kampung turut dijemput hadir sama memeriahkan acara tersebut.

Para peserta yang jujur membuat ukuran, foto dan video. Salah satu objektif melahirkan pelayang berjiwa murni.

Kemeriahan Malam

Jam 9 malam, program diteruskan dengan persembahan slaid oleh Cikgu Nadwan Ibrahim dalam slot River Tagal, dengan mengambil ilham pengalaman beliau semasa bertugas sebagai guru di pedalaman Sabah. Persembahan selama sejam itu memberi peluang kepada penduduk kampung dan peserta mengenai kepentingan menjaga sumber ikan, habitat ikan, pemuliharaan sungai dan kepentingan melepaskan semula ikan yang hampir pupus.

Jam 10.30 malam, adalah sesi yang ditunggu oleh peserta iaitu ‘fly tying’. Rahsia-rahsia ikatan umpan layang dibawakan oleh Dron Lee, pengikat umpan layang tersohor Malaysia dan bertaraf dunia. Dron Lee terkenal dengan ikatan realistiknya.

Semua sikang wajib lepas.

Material percuma diberi hasil tajaan Samperfli dan Ahrex, membuatkan peserta teruja untuk bersengkang mata mempelajari teknik-teknik ikatan umpan layang. Dan semestinya hasil buah tangan Dron Lee boleh diambil percuma oleh peserta. Sesi berlangsung sampai ke larut malam begitu meriah dengan gelak ketawa dan soal jawab peserta dan jurulatih. Terima kasih Dron Lee!

Pertandingan Di Lapangan

Sabtu, hari pertandingan, peserta seramai 81 orang dibahagikan mengikut kumpulan negeri masing masing dalam pemburuan sikang di sepanjang sungai yang mengalir indah di Belukar Bukit ini.

Peserta mestilah mengukur ikan menggunakan pita ukur rasmi. Setiap peserta perlu mempamerkan tag peserta sebagai bukti tangkapan dan juga perlu disertai dengan video bukti ikan dilepaskan, sinonim dengan konsep ‘conserve, preserve and release’. Ikan yang dilepaskan mestilah hidup untuk mendapatkan markah tambahan.

Spesies yang dipanggil ikan batu oleh penduduk tempatan. Kalau di Sabah, ia dikenali sebagai ikan serai.

Melentur Buluh Dari Rebung

Sambil itu acara mewarna turut diadakan untuk memberi peluang kepada anak-anak kampung yang berusia 7 – 12 tahun mengenali ikan sikang dengan lebih dekat. Acara ini diselia oleh penulis dan dibantu oleh Cikgu Saiful.

Kanak-kanak diberi penerangan tentang pentingnya menjaga sungai dan ikan-ikannya untuk masa depan. Dan acara mewarna adalah kemuncak kepada aktiviti ini. Ibu-bapa begitu seronok kerana sebahagian besarnya tidak mengenali apa itu ikan sikang. Ini pasti memberi manfaat kepada generasi muda ini sebagai pelapis dan penjaga alam sekitar kita pada masa hadapan.

Acara melayang di sungai ditamatkan pada jam 4 petang. Alhamdulillah bukti menunjukkan tangkapan tidak banyak beza berbanding tahun lepas. King of Sikang sekali lagi menjadi milik pemancing layang dari Kelantan Fly Fishing Club. Naib Johan juga direbut oleh peserta dari Kelantan.

Antti Vapolla dengan sikang saiz 12 inci.

Ternyata pertandingan kali ini lebih berbentuk semangat setia kawan yang tinggi, ini yang patut dibanggakan bersama. Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat bermula daripada penduduk Kg. Betong / Belukar Bukit, J3K, wakil-wakil sekolah Guru Besar Sekolah Kebangsaan Betong, para penaja dan semua peserta termasuk Jabatan Perikanan Negeri Terengganu yang menyokong usaha kami dan semestinya ahli kelab TFFC sendiri.

Juara King of Sikang TFFF 2018, saudara Murshidi Zack dari Kelantan.

Pendedahan catch & release dan kepentingannya pada masa depan terhadap murid SK Betong oleh penulis dan Cikgu Saiful.

Gotong royong penduduk Kg. Betong menyediakan makan malam dan lemang untuk peserta yang ditaja oleh pengerusi JKKK Kg. Betong, Belukar Bukit.

Sukaneka pancing botol mencuit hati peserta dan orang kampung.

Syabas dan Tahniah!

SENARAI PEMENANG TFFF 2018
King of Sikang (Kategori Khas) : Murshidi Zack

Juara TFFF 2018 (Ukuran Terpanjang)
1) Syahidi Zack kelantan fly Fishing Club
2) Johar Kemaman
3) Anntii Vappola (Vision Fly Fishing) acara acuratte cast

  1. que klfs
  2. paloh.tffc
  3. man kara.kffc

International Sikang Challenge

1) Malaysia (Ketua : Tok Mie / Irhamy)
2) Indonesia (Ketua : Pak Fajar)
3) USA (Ketua : Mr Craig)

Distance Cast

1) Anntii Vappola (Vision Fly Fishing)
2) Must T (Indonesia)
3) Ali (Malaysia)

Sukaneka bersama penduduk kampung yang meriah.

Sikang berukuran 13 – 14 inci adalah igauan pelayang di sini.

Penyampaian hadiah oleh PA Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Nik Azman.

Peserta USA, Mr. Craig memberi membuat ucapan penghargaan.

Antti Vapolla, pengasas Vision Fly Fishing dari Finland diberi penghargaan.