Tiga Syarat Endau-Rompin
Dalam hati setiap pemancing tersembunyi igauan sebatang sungai yang memberi kenangan manis buat diri sendiri. Ikan mega yang berjaya ditumbangkan atau monster yang berjaya melarikan diri turut menjadi memori yang tidak akan dilupai. Apabila berseorangan, sungai tersebut pasti akan timbul di benak hati, seakan memanggil kita untuk berjumpa dengannya secepat mungkin…
Teks & Fotografi : SASSEE NATHAN

Warna kelah Sg. Endau kelihatan agak pucat berbanding kelah sungai lain. Spesimen bersaiz sederhana dapat saya jinakkan dengan kilat sesudu.
Sungai yang tersembunyi dalam hati saya ialah Sg. Endau yang tersohor pada era 1990-an. Sungai pergunungan yang indah ini terletak di sebelah selatan Semenanjung, membentuk garisan sempadan kepada negeri Johor dan Pahang.

Peta Taman Negeri Endau-Rompin.
Semenjak mencintai hobi memancing yang beracun ini, saya sentiasa sakit kepala apabila ingin mencari lubuk yang baik. Ditambah pula saya hanya menaruh minat pada pancingan air tawar dan pada hari ini lubuk air tawar yang hebat memang amat sukar ditemui.
Tanpa disangka-sangka, saya memperolehi peluang keemasan untuk bertandang ke Sg. Endau. Salah seorang rakan sekolah yang bernama Kini sebenarnya Orang Asli yang berasal dari Kg. Peta yang terletak di hulu Sg. Endau. Beliau yang membesar di Taman Negeri Endau-Rompin amat arif dengan selok belok Sg. Endau dan sememangnya pilihan pemandu pancing yang terbaik jika ingin bertandang ke sana.
Namun beliau yang amat sayang dengan Sg. Endau telah meletakkan syarat untuk dipatuhi oleh pemancing yang ingin berkunjung ke sana.
Tiga Syarat Muktamad

Keperluan trip sungai pergunungan.
Syarat pertama dan juga merupakan syarat yang terpenting ialah pemancing dilarang membawa balik tangkapan mereka sama sekali, lantaran ini adalah undang-undang yang ditetapkan oleh pihak Taman Negeri. Ikan yang berjaya dipancing hanya dibenarkan makan sepanjang trip sahaja, namun terhad kepada spesies sebarau dan toman. Manakala ikan lain seperti kelah dan kelisa adalah spesies yang wajib dilepaskan.

Jalan ke Kg. Peta telah di-tar bagi memudahkan pelancing berkunjung.
Syarat kedua ialah tidak dibenarkan bercakap besar sewaktu berada di kawasan sungai. Ini merupakan sebahagian daripada pantang larang Orang Asli di sana. Mereka percaya perbuatan ini akan mendatangkan malapetaka.

Canoe buatan bahan plastik lebih mudah dikendali di kawasan jeram, berbanding perahu tradisional yang berat.
Syarat ketiga ialah semua pemancing harus mengikut arahan pemandu pancing jika berlakunya perkara yang tidak diingini.
Apabila tarikh trip Sg. Endau menjangkau tiba, hati saya terasa excited sehingga tidak dapat tidur dengan nyenyak sepanjang malam. Adakah barang yang terlupa dibawa? Gewang yang disediakan boleh pakai tak? Adakah fizikal saya sanggup bertahan dengan cabaran yang bakal dihadapi di sepanjang perjalanan?
Perjalanan dari Johor Bahru ke Kahang, sebuah pekan yang paling dekat dengan Kg. Peta memakan masa satu jam setengah. Setelah sarapan di sana, saya pun meneruskan perjalanan ke Kg. Peta. Jalan ke Kg. Peta kini telah siap dibina jalan tar, tidak memerlukan kereta 4×4 lagi untuk ke sana. Biarpun begitu, perjalanan juga mengambil masa selama dua jam untuk sampai ke Kg. Peta.

Kini, rakan sekolah yang merealisasikan impian saya untuk memancing di sungai pergunungan.

Akhirnya berjaya jua menaikkan spesies rare ini.
Orang Asli Moden
Seawal pukul 9 pagi saya pun tiba di jeti Kg. Peta. Kelihatan Kini, sahabat lama saya telah pun bersiap sedia. Kini adalah Orang Asli yang moden, beliau tidak menggunakan perahu tradisional tetapi menggunakan sebuah canoe buatan bahan plastik yang dipasang enjin sangkut 3 kuasa kuda. Canoe yang ringan ini ternyata lebih mudah dikendali berbanding perahu buatan kayu yang berat. Apabila terpaksa turun sungai untuk menolaknya pun tidak letih sangat.

Banyak juga kerandang yang mendiami sungai ini. Saiznya pun boleh tahan besar.
Paras air sungai pada waktu itu boleh dianggap agak tinggi, memudahkan canoe kami untuk merentasi beberapa jeram dengan mudah. Namun apabila sampai ke jeram atau air terjun yang tinggi, kami terpaksa menurunkan barangan supaya lebih mudah bagi canoe melepasinya.

Khemah harus didirikan di kawasan tebing yang lebih tinggi bagi mengelakkan terkena bencana air besar.
Setelah separuh hari bekerja keras, barulah tiba ke Lubuk Pacau, spot pertama kami. Kini menyarankan saya untuk menyediakan gewang janggut (spinnerbait), lantaran ikan sasaran di spot ini ialah toman dan kerandang.
Atas arahan Kini, saya telah melempar janggut ke spot-spot berpotensi, terutama balak yang terbaring di tengah-tengah lubuk. Setelah belasan kali mencuba, akhirnya saya berjaya menaikkan seekor kerandang yang cantik. Spot ini telah menyumbangkan 3 ekor toman dan 2 ekor kerandang. Kini sememangnya seorang pemandu pancing yang hebat!

Sebarau yang gelojoh membaham apa jua jenis gewang.
Setelah dua jam mengilat di Lubuk Pacau, kami meneruskan perjalanan ke lubuk kedua. Perjalanan ke lubuk ini amat mencabar dan meletihkan dengan jeram-jeram yang panjang dan berair deras. Setelah bertungkus-lumus melepasi jeram, akhirnya sampai juga ke lubuk kedua.
Kini mengarahkan saya untuk mencuba kilat sesudu atau gewang replika ikan. Baru sahaja mengilat, saya telah berjaya menaikkan dua ekor sebarau yang bersaiz sederhana. Seekor dilepaskan dan seekor lagi disimpan untuk buat lauk makan malam. Pada hari itu, saya juga berjaya mendapat lesen kelisa yang diidam-idamkan. Hati terasa amat gembira sehingga lupa kepenatan yang dialami sepanjang trip hari ini!

Kalui bersaiz mega ini memberikan tentangan yang hebat.
Penemuan Kelah Biru
Destinasi kami pada hari kedua ialah lubuk kelah yang digelar Batu Dinding. Perjalanan ke hulu sungai mengambil masa satu jam setengah. Dalam perjalanan, kami juga cuba memancing di spot-spot yang kelihatan mengancam dan berjaya menaikkan beberapa ekor toman dan sebarau.
Lubuk yang didiami kelah itu amat dalam sehingga airnya berwarna hitam. Namun kami hanya menaikkan beberapa ekor kelah kecil sahaja setelah mencuba selama beberapa jam. Masa berlalu dengan cepat dan langit mulai gelap. Terpaksalah kami berhenti memancing dan mencari kayu untuk kegunaan waktu malam.
Pancingan dimulakan sewal 8 pagi setelah sarapan pada hari ketiga. Saya yang bernasib baik, berjaya menaikkan seekor kelah seberat 2 kg dengan mengilat. Kelah yang kelihatan amat menarik ini telah membangkitkan semangat saya. Tidak berapa lama kemudian seekor kelah yang berekor biru telah membaham gewang saya. Ikan yang kelihatan amat menarik ini telah dilepaskan selepas sesi fotografi.
Spesies kelah biru menayangkan bahagian ekor yang berwarna biru.
Lesen Kelisa!
Menurut Kini, di kawasan ini juga terdapat kelisa yang gemar mendiami reba yang bersepah di tebing sungai. Kelisa merupakan spesies yang gemar mencari mangsa di permukaan air. Justeru saya menumpu kepada kawasan reba dengan bersenjatakan gewang permukaan.
Ketekunan saya akhirnya dibalas dengan seekor kelisa. Biarpun kecil, namun terasa puas hati menikmati tarian si comel ini. Kelisa sememangnya spesies air tawar yang semakin sukar dijumpai. Saya terasa syukur kerana berpeluang menaikkan dua ekor spesies rare ini dalam satu trip sahaja!
Sebahagian gewang yang telah dicuba di Sg. Endau.
Trip Taman Negeri Endau-Rompin julung kali ini akhirnya tamat pada waktu tengahari. Biarpun terdapat bermacam rintangan sepanjang perjalanan pulang ke Kg. Peta, namun kepuasan yang dihayati lantaran berjaya menaikkan beberapa spesies ikan sungai yang hampir pupus telah menyuntik semangat saya untuk tabah menghadapi cabaran alam semulajadi ini.
Saya terasa terhutang budi kepada Kini yang telah merealisasikan impian saya selama ini dan mendoakan agar khazanah yang indah ini dapat terus kekal lestari selama-lamanya!

Kerandang merupakaan spesies snakehead yang menyukai reba yang berada di kawasan berair tenang.

Pari sungai pergunungan yang betul-betul rare!

Toman sungai saiznya tidak berapa besar.

Sebarau gemar bermain di kawasan

Cara masakan sebarau yang paling simple di hutan.