Tiga Syarat Jigging Ketarap
Air Masin: TIGA SYARAT JIGGING KETARAP
Ikan Ketarap atau Bayan terkenal dengan kualiti isinya yang enak di samping memberikan saingan yang hebat kepada pemancing. Mereka yang hidup di terumbu karang laut cetek menjadikan krustasi sebagai diet utamanya justeru boleh dipancing dengan menggunakan ketam atau udang. Soalan yang dibentangkan dalam artikel ini ialah: bolehkah spesies ini dijerat melalui teknik jigging secara sengaja?
Teks & Fotografi: PAK WONG
Ketarap telah menjadi spesies idaman saya sejak mula berjinak-jinak dengan pancingan laut. Pada masa itu saya pernah menduga spesies comel ini melalui pancingan dasar di beberapa lokasi seperti Rompin, Merchong dan Pekan dengan tekong yang terkenal di sana.
Ketam telah dianggap umpan terbaik buat ketarap. Pada masa itu ketam hijau bersaiz kecil biasa digunakan sebagai umpan. Spesies ini dipercayai menggemari hidupan laut yang bercengkerang sinonim dengan giginya yang selang dan tumbuh di luar mulutnya. Selain ketam hijau, udang dan udang lipan juga sesuai buat umpan ketarap. Saya juga pernah menaikkan ketarap dengan ketam kecil yang hanyut di permukaan laut.
Kemunculan teknik jigging telah banyak mengubah gaya pancingan laut. Semakin banyak spesies ikan telah berjaya ditumbangkan oleh teknik ini termasuk spesies demersal seperti kerapu, ikan merah dan sebagainya. Biarpun jarang berlaku, namun ketarap juga pernah diperdaya dengan jig besi, membuktikan bahawa ikan yang berwajah comel ini juga berpotensi untuk membaham jig. Soalannya, mengapa ikan yang tidak menjadikan ikan kecil sebagai diet utamanya juga turut diperdaya jig besi?
EFEK CAT BASAH
Jig tergolong dalam kategori gewang yang menyerupai ikan kecil, makanan utama kepada kebanyakan ikan pemangsa. Pada kebanyakan masanya ikan pemangsa terperdaya dengan bentuk luaran jig yang berkilau seakan ikan kecil. Namun ada juga masanya kita telah menaikkan spesies yang bukan bergantung kepada ikan kecil sebagai makanan kebiasaannya. Kenapa?
Jawapannya ialah efek “cat basah”. Apabila kita nampak papan tanda “Cat Belum Kering” bergantung di atas sebuah dinding, kita tetap akan cuba menyentuhnya walaupun menyedari cat di atas dinding itu kemungkinan belum kering lagi. Apabila jig kita asyik naik turun di lokasi ketarap bermain, biarpun mereka tahu itu bukan makanan kebiasaan mereka, namun disebabkan mereka tiada tangan, terpaksalah mencubanya dengan mulut kerana ingin tahu apakah benda itu sebenarnya!
TIGA SYARAT PENTING
Justeru jika kita berhasrat untuk pergi jigging ketarap sahaja, apa yang harus dibuat bagi meningkatkan peluang untuk menjeratnya?
Syarat pertama ialah maklumat.
Terlebih dahulu kita harus mengesahkan port yang kita jigging mengandungi spesies ini. Baru-baru ini saya telah berjaya menaikkan seekor ketarap di Pulau Bintan, Indonesia. Kejayaan ini sebenarnya banyak bergantung kepada maklumat dari tekong yang menyatakan dua ekor ketarap telah berjaya dinaikkan di port yang sama pada hari kelmarin. Sekurang-kurangnya saya telah mengesahkan kehadiran ketarap di port tersebut. Tidak usahlah memancing secara membabi buta. Maklumat ini biasanya dapat diperolehi dari tekong-tekong yang berpengalaman.
Syarat kedua ialah jig.
Sepanjang pengetahuan saya, dalam beberapa kes terkena ketarap rata-rata kes by-catch apabila menggunakan jig ringan biasa untuk menjerat spesies-spesies seperti ebek, kerapu bara dan sebagainya. Keberatan jig-jig tersebut biasanya dalam 40 hingga 60 gram yang dilengkapkan dengan satu atau sepasang assist hook.
Ketika itu saya memang berhasrat untuk mensasarkan ketarap sahaja. Memandangkan spesies ini bermain berdekatan dasar, saya pun memutuskan untuk menggunakan slow jig kerana slow jig lebih sesuai untuk dimainkan berdekatan dasar dan dapat menayangkan aksi yang perlahan dan lembut bagi menjerat ikan demersal.
Ketiga ialah teknik.
Memandangkan slow jig biasanya dibaham ikan ketika tenggelam, saya pun memasang sebentuk assist hook di bahagian kepala jig seberat 60 gram manakala ekornya pula dipasang sepasang assist hook. Pada waktu itu arus agak kencang sehingga bot terpaksa menurunkan sauh. Arus mengalir ke sebelah kiri bot membawa jig saya ke dasar laut sedalam 40 meter lebih. Kemudian saya pun membiarkan jig berada dalam lingkungan 1.5 meter dari dasar secara mengbuat henjutan yang panjang dan membiarkan jig mempamirkan aksi tenggelamnya yang menarik. Setelah lebih kurang satu jam setengah saya pun berjaya memperolehi ikan sasaran seberat 2.1 kg.
Saya telah memperolehi satu isyarat yang disyaki ketarap sebelum menaikkan habuan ini namun tak lekat. Dua kesan gigitan di atas jig yang bertaburan agak jauh antara satu sama lain menandakan ianya mungkin ikan sasaran saya. Kejadian ini telah menaikkan lagi semangat saya sehingga berjaya menaikkan ketarap jigging pertama saya selang setengah jam kemudian.
Cara saingan ikan ini ternyata berlainan dengan ikan-ikan yang pernah saya pancing sehingga membuat saya terfikir adakah ini ikan sasaran saya yang terkena pancing? Ternyata itulah ketarap yang diidam-idamkan. Isyarat ikan membaham jig yang pertama akhirnya lucut lantaran tidak sempat membalas. Mulut ketarap agak kecil. Haruslah membuat sentakan sebanyak dua, tiga kali bagi memastikan mata menembus mulutnya.
PROJEK BERLANJUTAN
Percubaan sulung kali ini telah memberikan keyakinan untuk saya meneruskan projek jigging ketarap. Slow jig didapati lebih berpotensi jika sengaja mensasarkan ketarap kerana ianya dapat berkekalan berdekatan dasar di mana ketarap bermain. Ianya juga dapat mempamirkan berbagai aksi yang menarik ketika tenggelam. Di samping itu mata yang meliputi bahagian atas dan bawah jig juga dapat meningkatkan kadar cangkukan.
Sudah pasti saya akan lanjutkan misi jigging ketarap secara sengaja dan berharap dapat menjumpai teknik jigging yang berkesan khas untuk spesies ini. Jigging ketarap bukanlah misi yang tidak mungkin. Terpulang kepada berapa kentalkah semangat anda!