Pautan Utama

Portal Memancing Rasmi Malaysia

Tinjau Empayar Sagai Dagu

Selain tenggiri batang, perairan Batu Putih juga menjadi lokasi kegemaran Tenggiri Tondan yang jarang terdapat di lain-lain tempat.
Pulau berbatu yang kecil ini telah menjadi hotspot pemancing dan nelayan sejak dulu lagi.

Dalam anggaran pemancing semakin jauh tempat itu semakin banyaklah ikannya. Namun di sesetengah perairan yang berdekatan dengan bandaraya juga tidak kurang ikannya. Lokasi seperti ini terbentuk berasaskan beberapa fakta seperti perairan yang dilindungi undang-undang secara ketat atau terpelihara secara tidak sengaja seperti di peairan pelabuhan yang menjadi laluan kepada kapal dagang. Pulau Batu Putih pula sebuah perairan yang sanggup bertahan sehingga hari ini lantaran lokasinya yang sensitif!

Jemudok merupakan spesies paling biasa di perairan Batu Putih.

Teks & Fotografi:Pak Wong

Pulau Batu Putih merupakan terumbu kecil yang berjaya dituntut oleh Singapura. Kedudukannya yang berada di sempadan 3 negara iaitu Singapura, Malaysia dan Indonesia menyebabkannya menjadi rebutan kerajaan Malaysia dan Singapura. Padahal Pulau Bintan, Indonesia merupakan daratan yang paling berdekatan.

Sasaran utama kebanyakan pemancing yang bertandang ke Batu Putih.
Inilah Batuan Tengah kepunyaan Malaysia. Banyak terumbu karang bersembunyi di bawah kedua-dua pulau ini.

Di seberang Batu Putih terdapat Batuan Tengah kepunyaan Malaysia. Perairan ini terutamanya terdiri dari terumbu dan batu-batu besar. Kedua-dua pulau ini masing-masing terdapat rumah api untuk membimbing kapal-kapal dari memasuki kawasan yang merbahaya ini.

Sagai Dagu yang tidak peduli dengan jig hanya menaruh minat terhadap Sinking Minnow sahaja.

#KehilanganBurung

Nasib tidak menyebelahi Kelvin. Ikan besar akhirnya putus tali di tepi bot.

Secara tidak sengaja saya telah berpeluang bertandang ke Pulau Batu Putih buat pertama kalinya bersama Kelvin yang aktif di arena jigging Johor. Kami telah menaiki bot Mamat yang bertolak dari Kong Kong, sebuah padang pancing tersohor di Johor.

Kerapu Bara juga boleh didapati dengan Sinking Minnow di kawasan batu tinggi.

Menurut laporan terdapat banyak burung laut yang hidup di perairan Batu Putih namun terasa amat kecewa apabila hanya menjumpai beberapa ekor helang sahaja sewaktu saya berada di sana. Kapal maritim Singapura didapati meronda dan mengawal perairan ini sepanjang masa. Pernah juga bot memancing dihalau dengan alasan terlalu mendekati pulau tersebut.

Terdapat kawasan berterumbu yang amat luas di sekitar kedua-dua pulau berbatu itu. Kedudukan ikan sukar dikenal-pasti tanpa panduan burung laut. Biarpun begitu tekong tetap ada spot sendiri dan berjaya memperolehi beberapa strike.

Pemancing yang baru terkena racun jigging amat gembira dengan tangkapannya walaupun bersaiz biasa.

Kita hanya memerlukan set separa ringan untuk beraksi di Batu Putih. Light Tackle tidak digalakkan kerana terpaksa menaikkan ikan dengan secepat mungkin jika terkena Kerapu Bara di dasar yang berterumbu. Set spinning disarankan kerana lontaran diperlukan untuk menghantar jig ke zon boiling atau zon berbatu tinggi di mana bot terpaksa berada lebih jauh dari sasaran. Jig di bawah 80g cocok untuk kedalaman sekitar 50, 60 meter berdasarkan kelajuan arus pada masa tertentu.

#JigKurangLaku

Kehilangan jig merupakan perkara biasa akibat dasar laut yang dipenuhi terumbu karang dan juga alu-alu yang rakus serta todak yang kecoh. Setelah beberapa jam beraksi, didapati spesies yang paling banyak terdapat di kawasan ini adalah Kerapu Bara dan Jemudok. Sasaran utama saya dalam trip ini sebenarnya Sagai Dagu namun tidak berkesempatan. Majalah Sirip pernah membuat rakaman video di sini di mana banyak Sagai Dagu bersaiz monster telah dinaikkan pada masa itu.

Layan Bara asam pedas di restoran sebelah Kong Kong.

Pada hakikatnya Batu Putih memang masih terdapat banyak Sagai. Cuma ikan pemangsa yang rakus ini telah menjadi pandai akibat banyak kali ditipu jig besi! Mereka dan Tenggiri Papan (juga dikenali sebagai Tenggiri Tondan di sini) hanya berminat dengan gewang Sinking Minnow sahaja!

Tenggiri Papan ternyata lebih sedap isinya berbanding Tenggiri Batang.

Trip ini terpaksa ditamatkan lebih awal dari biasa lantaran cuaca tiba-tiba menjadi buruk. Biarpun tidak banyak menaikkan ikan, saya tetap berkeyakinan dengan perairan yang berpotensi ini. Lokasi strategiknya menunjukkan pulau ini sememangnya laluan penting ikan-ikan pelagik. Strukturnya yang kompleks juga sesuai untuk ikan-ikan ini berhenti mencari makan. Namun untuk mendapatkan keputusan cemerlang banyak bergantung pada musim tertentu.

Repeat itu sudah pasti!

Sewa bot: 018-663 0137 Mamat