Pautan Utama

Portal Memancing Rasmi Malaysia

Tioman – Pemangkin Syurga Selatan

Bot Ubey hanya mengambil masa kurang satu jam perjalanan dari Teluk Buih ke Tioman.

Terletak hanya 8 km dari Mersing melalui jalan ke pantai Air Papan, terdapat sebuah pelabuhan kecil nelayan yang memiliki cukup fasiliti buat pemancing seperti chalet, restoran, pasar mahupun tandas biarpun pembinaan jeti masih belum siap. Di sinilah labuhnya bot terbaru tekong Ubey yang namanya kini meletup-letup di pasaran lantaran popular membawa penggila jig ke perairan sekitar Tioman dalam masa yang singkat…

Teks : HANUMEI IKE

Fotografi : HANUMEI IKE & PAK WONG

Keterujaan kami lebih kuat apabila mendapat tahu legenda Pak Wong turut serta dalam trip ini. Sedikit-sebanyak dapat menadah ilmu dan perkongsian pengalaman itu, walaupun ini bukan pertama kali saya memancing bersama beliau.

Trip 3 hari ini akan berpusat di sekitar Pulau Tioman. Bot Ubey hanya mengambil masa kurang satu jam perjalanan dari Teluk Buih sekiranya membuat perjalanan terus ke Tioman. Tetapi kami akan menyinggah beberapa lubuk sekitar Pulau Harimau, Pulau Aur, Batu Berhala serta karang-karang di laluan perjalanan kami dan akan sampai lewat petang di Pulau Tioman untuk berehat.

Talang membuka tirai dengan saiz yang mantap.

Perancangan adalah penting dalam setiap trip. Tekong akan membuat perkiraan pada lubuk-lubuk yang berhampiran laluan, dan selebihnya bergantung kepada cuaca dan arus untuk merealisasikan trip ini, di mana hari kedua ke Pulau Sibu dan hari terakhir di sekitar Pulau Tinggi.

Talang Pembuka Tirai

Mencipta rentak dalam mencari tangkapan pertama adalah penting dan tidak semestinya semua pemancing dalam satu bot hanya tertumpu pada satu teknik dan gaya yang sama. Ia perlu dipelbagai. Kombinasi tekong berpengalaman juga penting kerana dia lebih arif terhadap sesebuah lubuk dan teknik apakah yang lebih sesuai digunakan. Tetapi tidak salah mencuba teknik lain selagi tidak mengganggu rakan pancingan yang lain.

Sebagai tekong yang mesra, dia akan memberitahu serta memberi arahan. Bagi tekong yang jenis susah membuka mulut, ada baiknya kita bertanya akan kesesuaian teknik yang perlu digunakan. Seperti singgahan di lubuk pertama, apabila melihat rakan yang lain di bahagian belakang bot telah bersedia dengan set jigging ringan, tekong Ubey mengajak saya mengilat SM (sinking minnow) di bahagian depan bot yang boleh menempatkan tiga orang pengilat dalam satu masa.

Kerapu conor menguasai terumbu sekitar Tioman.

Walaupun beliau turut memancing, matanya tetap meliar memantau sonar serta GPS, dan sentiasa memberitahu pergerakan bot yang hanyut mahupun struktur di dasar untuk mengelak kes jig tersangkut. Serangan pertama mula menghangatkan suasana apabila jig-jig ringan mula mendapat tentangan.

Kerap berlaku kes perambut terputus dalam perlawanan, dan hanya rezeki mata buat kami yang sekadar mampu melihat tenggiri-tenggiri kecil melarikan jig-jig kami. Teknik mengilat Senses Spy Mission 50 g  juga mendapat beberapa strike, tetapi kerap rabut. Mungkin kerana saiz ikan di bawah skala 1 kg, hanya terdapat calar pada kepala gewang.

Dalam perjalanan ke lubuk seterusnya.

Dalam mendengar leteran rakan yang terpaksa mengikat kembali jig baru, tekong Ubey membuat satu sentapan di sebelah. Setelah digasak jatuh peluh jantan, Ubey sudah boleh mengagak spesies di hujung tali ialah talang dengan cara pusingan larian dan anggukan mangsa. Talang membuka tirai dengan saiz yang agak matang.

Rahsia Jig Kecil

Tompokan karang kecil berselerakan antara pulau adalah lubuk-lubuk yang perlu diduga, kerana kita tahu adakalanya spesies trevally akan menyinggah dalam penghijrahan mereka. Andainya tepat waktunya mahupun bertembung dengan bondongan trevally, kita tidak perlu lagi ke mana-mana. Sudah cukup di satu lubuk sahaja untuk bertarung sampai ke petang.

Pak Wong, otai masih berbisa.

Namun Tioman tetap dengan identiti pancingannya yang menjadi rahsia kejayaan dalam mencari tangkapan.Walaupun arus laju sekali pun, jig-jig kecil (ringan) seberat 28 g – 40 g menjadi kunci utama di segenap lubuk yang berada di gugusan kepulauan ini.

Dalam percubaan pertama, bot akan berhanyut terlebih dahulu di beberapa sisi struktur dengan bantuan sonar dan GPS. Seandainya berlaku strike, tekong cepat menandakan posisi (lokasi) di GPS dan bot dibiarkan berhanyut untuk memberi ruang rakan bertarung sehingga ikan didaratkan. Selepas itu bot akan kembali ke posisi yang ditandakan. Di situlah kemahiran tekong akan memain peranan, agar bot berada dalam satu posisi tetap walaupun ditolak arus laju dan labuhan jig  jatuh tepat di kawasan strike pertama tadi.

Joran PE 2 sudah dianggap maksimum. Sebaiknya PE 1.5 digunakan tetapi janganlah terlalu lembut kerana akan mengheret perlawanan lebih lama. Ini akan menganggu mood rakan yang lain untuk turut sama memancing.

Sagai sesekali menghibur.

Bagai Kota Majmuk

Kepelbagaian koloni yang mendiami terumbu karang selalunya akan mewarnai keceriaan pancingan kita. Pada paras 5 meter dari dasar, selalunya didiami spesies trevally. Lantai berbatu terumbu pula kaya dengan pelbagai spesies kerapu. Namun apa yang kami buru yang berwarna merah angpow bukan sekadar keenakan isinya, tetapi kerana tentangannya.

Keberanian dan tawakal perlu dilakukan dalam memburu spesies kerapu conor mahupun bara yang banyak bersembunyi di celahan batu terumbu. Ia paling banyak mengorbankan jig-jig kita. Labuhan pertama jig belum tentu mendapat sambaran, andainya sudah tersangkut… pelaburan kita lebur. Strike tidak ubah menghela toman di tasik menerkam ke reba.

Di sinilah peranan padanan set ringan iaitu joran dan kekili yang baik diperlukan. Joran terus dipam bersama larasan kekili yang memang telah diketatkan untuk menarik si merah angpow keluar jauh dari sarangnya terlebih dahulu sehingga separuh kedalaman air, sebelum melayan tentangan seketika. Unjunan jig pula tidak perlu terlampau tinggi. Cukup sekadar mengetuk lantai terumbu beberapa kali dan mengarau naik setinggi satu meter, lalu dilepaskan kembali dan ulangi aksi itu.

Sekiranya unjunan melepasi 1 meter ketinggian, pastikan unjunan malas satu pertiga pusingan kekili berhenti-henti bagi merasai getuan trevally seperti ebek, jemuduk, sagai mahupun cermin. Terumbu bagaikan kota majmuk. Kadangkala di atas bot bagaikan satu kuiz, saling meneka spesis apa di hujung tali.

Jeti marina Tioman.

Banyaknya keluang di Tioman.

Kedatangan kami kali ini di luar musim ebek ataupun tenggiri, namun kami masih memperolehi beberapa ekor ebek dan serangan tenggiri juvenil. Menurut Ubey, seandainya tepat pada musim, muak juga memancing kerana setiap labuhan jig hanya ebek dan tenggiri yang menerkamnya.

Memancing di mana-mana tempat sekali pun, saya tetap membuat perambut sepanjang 6 depa. Apatah lagi di tempat sebegini selalunya perambut bahagian bawah kerap tercalar akibat geseran terumbu mahupun kesan gigitan ikan. Potongan ini dapat mengurangkan masa daripada kembali membuat ikatan FG sekiranya perambut pendek digunakan. Jarak 6 depa antara jig dengan tali utama yang berwarna-warni juga dapat mengurangkan ikan culas daripada membaham jig kita.

Terpahat Di Hati

Warna-warni dasar Tioman.

Sepanjang tiga hari memancing, ia terlalu singkat masa buat kami untuk merasai lebih cabaran di kota dasaran yang kompleks ini. Penguatkuasaan Taman Laut dan rondaan dapat mengekang segala aktiviti yang merosakkan aset harta semulajadi kepada pintu masuk pengunjung ke Tioman.

Sebagai pemancing, kita turut memainkan peranan walaupun kecil, terutama sampah-sampah daripada plastik dan tin-tin minuman jangan dibuang ke laut. Kumpul dan simpan dahulu di dalam satu bekas di atas bot dan membuangnya di tempat sepatutnya di daratan.

Kemudahan di jeti Marina Tioman juga menyenangkan kami untuk memakir bot dan juga keluar masuk tanpa banyak kerenah dengan kemesraan serta bantuan penduduk di sini. Apa lagi setiap malam kami dikunjungi rakan-rakan Tioman Jiggerz untuk bertukar pengalaman dan sudi memberi tips akan rahsia memancing di sini.

Retek, sejenis jemuduk yang berkeliaran di kawasan terumbu.

Inilah Tioman yang akan terus menanti jig-jig ringan yang dilabuhkan. Anda akan pulang dengan kenangan.

*Ubey Zul : 017-713 8561

Walaupun bukan musim ebek, lumayan juga.

Jig hijau memang pantang ditemui ebek.

Aruan tasik menambah seri walaupun bukan spesies idaman jigger.