Pautan Utama

Portal Memancing Rasmi Malaysia

Trio Jelajah Sabah: Dari Muara Ke Gunung

Permulaan menduga sungai muara, dari jeti ke spot pertama mengambil masa kira-kira 20 minit.

Negeri Sabah antara yang masih kaya dengan lubuk ikan serta alam semula jadinya yang masih belum diterokai. Bagi kita pemancing dari Semenanjung, pastinya menyimpan harapan yang menggunung untuk menduga lubuk-lubuk di sekitar Sabah dari sungai pergunungan, kawasan muara hinggalah ke laut dalamnya, sebagaimana impian kami bertiga…

Teks & Fotografi : ZAI MAX

Setelah hampir tiga bulan merancang trip untuk menduga lubuk di Sabah, akhirnya kami berjaya juga sampai ke sini. Perancangan asalnya kami berempat, namun cuma menjadi bertiga iaitu saya, Paeh dan Kecik. Manakala seorang lagi rakan terpaksa menarik diri pada saat akhir kerana masalah dengan tugasan kerja.

Terbang

Kami terbang ke Negeri Di Bawah Bayu dari KLIA 2 menaiki pesawat Air Asia dan tiba di lapangan terbang Sandakan seawal jam 9 pagi. Guide Roslin menjemput dan membawa kami ke homestay miliknya di Bukit Garam. Memandangkan agenda awal kami di Sabah ingin menduga spesies raja muara iaitu tembaring (black bass), maka saya memilih guide Boy Temaning untuk mengepalai trip sepanjang tiga hari di Sandakan.

Tiada apa yang boleh diungkap dengan kata-kata, hanya senyuman bergambar bersama siakap merah pengganti kata-kata Kecik.

Dari atas pesawat sewaktu sudah ingin mendarat, dapat saya lihat kebanyakan kawasan hutan di Sabah sudah digantikan dengan estet kelapa sawit yang sangatlah luas. Terfikir pula saya adakah nasib hutan-hutan di Sabah bakal menjadi gondol seperti di Semenanjung yang hampir 70 peratus digantikan dengan perladangan dan pembangunan. Amat sayang pada saya yang sangat cintakan alam semula jadi ini.

Tiada apa yang kami lakukan sepanjang hari pertama tiba di bumi Sabah, kerana semuanya masih dalam mabuk kapal terbang, maklumlah kami pertama kali menaiki pesawat ke Sabah. Kami hanya berjalan di sekitar kawasan kampung dan masih dalam tutorial berkenaan teknik mengilat tembaring yang disampaikan oleh Boy.

Selepas beberapa spot menduga, akhirnya balingan saya disambut kemas siakap merah, menjadikan lesen pertama dalam misi kali ini.

Ekspedisi Bermula

Seawal jam 5 pagi, kami semua sudah bersedia di jeti untuk bersarapan sebelum turun beraksi. Saya menaiki bot pertama bersama Paeh, manakala Kecik menaiki bot kedua bersama guide kami, Boy dan terus menuju ke spot mengilat pertama di sebuah banglo yang dikatakan sering mendapat sambaran tembaring.

Lontaran pertama Paeh sudah bersambut dengan seekor ikan tambak bersaiz sangat comel menggunakan gewang Ofmer X-Deep 75. Hati saya sudah mula berbunga apabila melihat lontaran pertama sahaja sudah bersambut oleh penghuni banglo, walaupun ia hanya seekor anak tambak yang baru putus susu. Namun setengah jam kami mengilat di situ cuma seekor tambak ini yang sudi meligan gewang kami.

Kami berpindah ke spot kedua, namun masih tiada ragutan. Hinggalah berpindah ke spot ketiga, saya menerima satu sambaran yang agak ganas dari penghuni dasar. Set heavy cover Senses Counterblow 30 paun saya berjaya juga menghela mangsa ke tepi bot, seekor siakap merah skala 1 kg berjaya dinaikkan menggunakan gewang Kanai 85. Kecik yang menaiki bot kedua bersebelahan kami juga berjaya menaikkan seekor siakap merah.

Boy menerima satu sambaran yang agak ganas semasa di spot terakhir hari itu. Ikan yang membenam ke bawah bot membuatkan Boy agak kelam-kabut untuk menghelakan ikan naik ke permukaan air. Seekor tembaring skala 3 kg timbul setelah penat berhempas-pulas, tetapi sayang larian terakhir berjaya memutuskan tali utama 30 paun.

Tuan rumah menjamu kami dengan ikan bakar, daripada hasil kami pada hari pertama menduga.

Pemburuan Diteruskan

Hari kedua saya sudah tidak tahan melihat ikan bulan (tarpon) yang boiling di merata-rata sejak semalam dan berjaya memujuk seekor dua bulan Sabah. Ternyata memang sangat banyak bulan di bumi Sabah ini, tidak seperti di Semenanjung.

Kecik dengan hasil kerapu yang disangka black bass pada mulanya.

Paeh yang sejak awal masih setia mengilat tembaring di reba berdekatan menerima satu ragutan kasar, tapi rabut. Boy yang pantas membaling gewang ke kawasan Paeh rabut tadi berjaya menaikkan seekor siakap merah yang dikenal pasti menyambar gewang Paeh sebentar tadi. Ini kerana sifat siakap merah yang menjaga kawasannya dengan garang menyebabkan ia tidak serik untuk menyambar gewang kali kedua.

Awan hitam mula menyelubungi bumi Sandakan, dan saya masih menaruh harapan agar hujan tidak turun kerana masih belum mendapat sasaran utama di bumi Sabah ini. Minit-minit terakhir sebelum akhirnya hujan turun juga membasahi kami, saya berjaya menaikkan seekor alu-alu sirip kuning dan kami terpaksa menamat misi tembaring ini.

Dari Muara Ke Gunung

Hari keempat, kami menuju ke Tenom untuk mengambil pengalaman mengilat pelian pula, dari Sandakan kami menaiki bas menuju ke Tenom. Awal pagi hari kelima, kami sudah mula trekking menaiki kawasan pergunungan Sg. Monsuk. Air yang sedikit keruh agak menjejaskan hari pancingan kerana menurut guide, ikan pelian kurang aktif menyambar gewang ketika air keruh.

Saya berjaya menaikkan sebarau tunggal saya di Sabah menggunakan set ultra light Sengat 1 – 6 paun yang dibekalkan oleh Kanicen Nix untuk diuji menarik pelian. Namun air yang sangat keruh menyebabkan kami terpaksa menamatkan sesi pancingan pada hari pertama di Tenom dan merancang untuk turun ke kawasan tagal di hilir yang dikatakan agak jernih.

Tibanya di bandar Ranau. “Apa lagi… jalan-jalan cari jodoh la,” ajak Paeh yang masih teruna.

Kali ini set ultra light yang dibekalkan kepada saya betul-betul diuji dengan jayanya, beberapa pelian saiz sederhana berjaya saya naikkan menggunakan set Sengat 1 – 6 paun ini. Namun untuk memperoleh pelian bersaiz kasar di sini anda perlulah menggunakan gewang yang bersaiz besar kerana jumlah ikan yang terlalu banyak menyebabkan ikan sederhana dan kecil lebih laju membedal kilat sesudu dan kekipas (spinner) yang bersaiz kecil ini.

Alhamdulillah… duka kami untuk menduga tembaring terubat dengan pesta pelian di Tenom. Cuma nasib masih tidak menyebelahi kami apabila hujan turun dengan lebatnya pada sebelah petang dan memaksa kami menamatkan sesi pancingan di Sabah.

Pengalaman Mendewasakan

Terlalu banyak pengalaman yang kami perolehi sepanjang perjalanan dari Semenanjung ke negeri Sabah ini biarpun sasaran utama tembaring tidak kami perolehi. Namun pertama kali menjejakkan kaki ke sini telah banyak pengalaman baru yang kami perolehi. Kami juga berpeluang melihat suasana negeri Sabah dan mempelajari sedikit ilmu di sini.

. Salah satu tempat pelancongan di Ranau yang wajib kaki mancing singgah tapi bukan untuk mancing ye…

Melawat antara tempat bersejarah di Kundasang War Memorial.

Namun untuk berkunjung jauh hingga ke sini perlulah sedikit pembelajaran serta mengkaji terlebih dahulu tentang cuaca serta teknik yang akan dipraktikkan. Ini semua perlu dititik-beratkan agar trip yang telah diatur sejak sekian lama tidak menjadi sia-sia dan balik ke Semenanjung dengan hampa. Nasiblah kami berkunjung ke sini bukanlah hanya memancing semata-mata, ia lebih kepada melancong dan berjalan ke tempat orang.

Kecik memecahkan tirai kekumpauan dengan hasil pelian pertama.

Penulis dengan hasil pelian. “Boleh tidur lena la malam ni…” kias Paeh pada saya.

Untuk bercakap soal cuaca, memang perlu kita aturkan trip bukan pada waktu tengkujuh. Namun siapalah kita untuk menentukan kekuasaan Tuhan. Memandangkan cuaca sekarang yang tidak menentu dan musim hujan turun bukan pada musim sebetulnya maka jika mahu pergi, pergi sahajalah dan berdoa agar saat kita tiba, hujan tidak turun.

Apa pun saya pasti akan kembali ke sini untuk mendapatkan trofi tembaring saya dan memperoleh pelian yang lebih besar dengan senjata yang lebih ampuh dibawa nanti.

Selesai misi jelajah Sabah. Dari stesen bas Tenom ke Kota Kinabalu, kami sempat mengukir gambar kenangan bersama.