Trolling Raksasa Bera
Siapa yang tidak impikan trofi ikan gergasi dengan gewang, apatah lagi spesies bertaraf ‘rare’. Ikan tapah (Wallago attu) pastinya ‘ultimatum’ dalam senarai target spesies penggila gewang, kerana dialah pemangsa air tawar paling besar di tanahair kita, mengalahkan toman, kelah, sebarau, baung, kenerak mahupun begahak dengan tumbesarannya mampu mencecah 80 kg. Cuma isunya, di mana kita nak cari raksasa ini lagi? Dalam kepala saya hanya teringat satu lokasi… Tasik Bera, Pahang, dan eksplorasi kami akhirnya berjaya menumpaskan dua ekor raksasa Bera!
Teks & Fotografi : AIE NAZ
Ikan tapah nyata semakin terancam, terutama di Semenanjung akibat pelbagai faktor. Antaranya pencemaran sungai dan sangat aktif diburu nelayan ekoran isinya enak dan berharga tinggi. Justeru di zaman siber ini, agak-agak anda masih adakah lagi raksasa ini di sekitaran kita? Blank… cuma dalam kepala saya hanya teringat suatu lokasi yang boleh dicuba… Tasik Bera, Pahang.
Trolling Merdeka
Saya bukan biasa ke Tasik Bera, tetapi jika turun ke sini, saya lebih cenderung kepada misi mengilat toman. Ada la sesekali tu cuba trolling dek kerana teruja dengar cerita tapah yang merajai tasik semulajadi yang luas lagi dalam ini.
Trolling sebenarnya satu-satunya cara untuk memerangkap maharaja yang tinggal di tengah tasik. Tetapi selalunya kami tidak fokus. Sekejap casting, sekejap trolling begitulah… akhirnya tapah hanya sekadar nama tanpa pernah melihatnya secara live di sini.
Keinginan untuk menjinakkan tapah membuak-buak apabila kami dikhabarkan gergasi 39 kg tumpas dinaikkan oleh pemancing kampung dengan trolling kilat sesudu sahaja, baru-baru ini. Lalu sempena cuti Hari Merdeka, saya mengajak rakan-rakan mencuba nasib ke Tasik Bera.
Rakan dari K.L iaitu Samsul Alam, Wan Penyu dan Amie Caster ikut serta trip spontan ini bersama saya yang bertiga dari Segamat iaitu Wan Ucop dan Mat Kecik. Dari Segamat menuju ke Bera, perjalanan lebih kurang 1 jam 45 minit menggunakan jalan Segamat – Kuantan, diikuti Simpang Bahau menuju ke Bera.
Kami turut membawa sebuah bot fiber 15 kaki berenjin 5 hp. Satu lagi bot akan disewa daripada pihak pengurusan Tasik Bera. Ketika sampai, kelihatan sebuah bot tempatan sedang trolling di sepanjang tasik.
Kami bergegas menurunkan bot dan barang, lalu bergerak kepada dua kumpulan. Saya, Wan Ucop dan Samsul Alam dalam sebuah bot. Mat Kecik, Amie Caster dan Wan Penyu pula berkayuh bot kerana tidak membawa enjin. Cuma aktiviti casting yang mampu dilakukan oleh kumpulan mereka bertiga.
Trolling Buta
Saya sebagai pemandu bot memulakan tundaan perlahan dengan mengarahkan masing-masing melepaskan gewang kira-kira 30 – 40 meter di belakang bot. Lebih kurang 10 minit, kelihatan bot penduduk Bera tadi telah menaikkan seekor tapah anggaran 2 kg.
Ia menyuntik inspirasi untuk kami teruskan trolling, walaupun terasa boring dan mengantuk sekali menjalankan teknik ini. Kami cekalkan semangat untuk trolling hampir keseluruhan tasik tanpa henti sehinggalah tengahari tanpa sebarang strike.
Ia boleh dikatakan trolling buta sahaja kerana kami tiada fish finder atau sonar. Yang kami guna hanya gewang selaman dalam seperti Predatek Spoonbill, Boomerang, NilsMaster Hakka, Rapala dan Halco Sorcerer yang mempunyai selaman lebih 3 meter.
Mega Mendung
Selepas berhenti makan dan rehat di jeti, petangnya kami layan casting toman di sekitar suak ekoran cuaca panas sangat. Namun tiba-tiba langit bertukar gelap dengan deruan angin kuat. Kami segera mencari perlindungan, apabila hujan turun dengan lebat.
Sejam selepas itu, matahari memunculkan diri dan cuaca kembali elok. Semula saya memandu bot terus ke tengah tasik. Jam menunjukkan pukul 4 petang. Dengan badan basah-basah, saya berfirasat kepada rakan-rakan, biasanya kalau cuaca panas lepas tu hujan lebat, suhu air berubah dan ikan akan aktif.
Lebih kurang 5 minit tundaan bermula, tiba-tiba gewang Rapala Shad Rap RS milik Wan Ucop terasa sangkut sesuatu katanya. Kami ingatkan tersangkut kayu, rupa-rupanya sangkutan itu mula menekan jorannya dan memerah tali 30 paun keluar daripada Shimano CQ201.
Kami yakin ikan besar kerana setelah 5 minit bertarung, ikan masih mendap dan enggan muncul ke permukaan, walau dipam oleh joran 10 – 20 paun. Teruja dan asyik menyaksikan perlawanan Wan Ucop sehingga kami terlupa ambil gambar kecuali merakam video dengan telefon bimbit.
Saya sentiasa mengawal bot untuk memastikan berada di tengah tasik supaya Wan Ucop dapat bertarung dengan yakin. Selepas berhempas-pulas 15 minit, seekor tapah besar timbul memeranjatkan kami semua.
Pada mulanya saya menyuruh Samsul menyauk sahaja ikan itu. Tetapi disebabkan terlalu besar, dia gunakan lip grip. Itu pun lip grip 15 kg, yang tak berdaya mengangkatnya. Samsul terpaksa gunakan dua lip grip, barulah dapat mengangkat ikan naik ke dalam bot.
Lip grip 15 kg kami sampai habis jejak tak tertampung berat gergasi ini. Dan kami anggarkan tapah Wan Ucop itu seberat hampir 20 kg! Terlampau excited kami semua, maklumlah pertama kali berjaya menumpaskan spesies elusif ini dengan trolling!
Repeat!
Kejayaan pertama ini mencetuskan ‘kegigilan’ untuk trip ulangan kali seminggu kemudiannya. Kali ini saya, Wan Ucop dan Sugil sahaja ingin mencuba nasib sama ada benarkah tapah gergasi Bera hanya boleh dicungkil keluar dengan trolling atau sekadar nasib-nasib sahaja.
Ketika sampai lebih kurang 9.30 pagi di gigi air Tasik Bera, kelihatan lagi sebuah bot caster tempatan sedang trolling di tengah tasik. Aktif juga kaki trolling di sini memburu tapah. Agaknya berapa besar rekod mereka?
Saya dimaklumkan rekod trolling di sini ialah gergasi 49 kg kira-kira tiga tahun lepas. Penduduk Asli yang menahan tajur pula pernah mendaratkan raksasa 57 kg!
Tanpa melengahkan masa, kami menurunkan segala kelengkapan perang dan me-mulakan acara tundaan dari jeti Tasik Bera sehingga ke hulu tasik.
Sambil trolling, kami berbual-bual kosong melayan joran yang tegap dalam genggaman masing-masing. Cuaca begitu panas sekali, membuatkan kami bertiga rasa tertekan juga dengan aktiviti yang membosankan ini. Tekak pun cepat haus memandangkan tasik yang luas dan lapang tanpa satu pun tempat atau pokok untuk berteduh.
Segalanya diam dan tenang di tasik wetlands ini, tanpa tiupan angin, tanpa kelihatan sebarang kocakan atau lompatan ikan bermain di permukaan air. Mungkin faktor cuaca yang terik, semua ikan pun duduk diam-diam di dasar atau berteduh di bawah pokok rasau yang terapung. Sehingga ke tengahari, zero strike!
Raksasa Kedua
Kami berehat dahulu di sebuah rumah rakit sambil makan tengahari bekalan yang dibungkus. Selesai makan, masing-masing membuat aktiviti sendiri dengan menukar perambut dan mata tiga pada gewang.
“Jom trolling balik, dah 2.45 petang ni…” jerkah saya. Bergegas kami masuk ke dalam bot, dan saya meneruskan tundaan dari hulu tasik menghala ke hilir.
Lebih kurang 2.50 petang, tiba-tiba satu ragutan kasar menghenjut joran Lamiglas Excel saya yang dipasang gewang Predatek Spoonbill. Sayangnya tak sampai 2 minit melayan benamannya, ikan tersebut berjaya meloloskan diri. Terkesima sekejap, mengenang ikan besar yang rabut. Aduih!
Saya mencadangkan Wan Ucop menukar kepada NilsMaster Hakka DD, manalah tau Dia nak bagi. Saya berpusing kembali untuk menunda di hotspot yang rabut tadi. Tidak silap firasat saya apabila tak sampai 5 minit, satu sambaran padu dan larian yang kencang menekan joran 10 – 20 paun milik Wan Ucop. NilsMaster Hakka DD beliau telah dibaham!
Setelah lebih 10 minit ditekan dan dipam, tingkah laku ikan ini seumpama balak hidup sahaja, ia hanya memberatkan diri. Apabila dipam naik ke atas, ia menekan semula ke dasar. Setelah kepenatan, kami macam tidak percaya apabila beroleh seekor lagi tapah monster!
Saya menggunakan lip grip dan dibantu oleh Wan Ucop untuk mengangkat tapah bagak itu ke dalam bot. Gewang NilsMaster Hakka DD yang kecil itu macam kacang sahaja ditelan di dalam mulutnya.
Mujurlah Wan Ucop sudah tukar perambutnya tadi kepada yang lebih kasar, fluorocarbon 40 paun. Kami berteriak kegembiraan memecahkan kesunyian Tasik Bera seolah-olah kami bertiga sahaja menakluki tasik itu, sebaik mendapati skala berat tapah itu 15.5 kg! Tapah kedua ini kecil sedikit sahaja daripada yang pertama minggu lepas.
Saya percaya masih ada lagi tapah raksasa yang mendiami Tasik Bera, dan kejayaan membongkar mitos tundaan gewang untuk maharaja Bera pastinya suatu kenangan sangat manis buat kami.