Pautan Utama

Portal Memancing Rasmi Malaysia

TSB Tebing Tinggi

Jika anda seorang pemancing yang cukup berani, marilah ke lubuk tebing tinggi di Sepanyol untuk mencabar tuna sirip kuning. Penulis sendiri pernah mengalami musibah di sini dan jatuh dari ketinggian 4 meter sehingga tangan kanannya patah dan tengkorak di bahagian mukanya pecah! Terpaksa baring di hospital selama 11 hari dan menjalani pembedahan sebanyak dua kali!

Lubuk tuna sirip biru di Pulau Menorca, Sepanyol. Ada berani?

Teks & Fotografi : SAM BOSCH BENEJAM (Sepanyol)

Kisah saya dengan Tuna Sirip Biru (Bluefin Tuna / Euthynnus alletteratus) Pulau Menorca bermula sejak 2015. Pada tahun itu, sahabat saya yang menggemari pancingan ekstrem telah menaikkan banyak TSB antara 10 hingga 12 kg secara kebetulan di Pulau Menorca, salah sebuah pulau di kepulauan Balearic di luar pantai timur Sepanyol.

Tidak disangka-sangka, spesies yang hanya dapat dipancing dengan berbelanja besar dan ke tempat yang jauh sahaja rupa-rupanya terdapat di belakang rumah saya dan boleh dipancing tanpa perlu naik bot! Setelah menerima berita baik ini, saya segera mengatur trip ke Pulau Menorca. Namun apabila tiba di sana, saya cukup terpegun dengan pemandangan lubuk tersebut!

Lubuk Yang Menggerunkan

Lubuk TSB terletak di sebelah timur Pulau Menorca yang menghadapi Laut Mediteranean. Sepanjang pantainya dihiasi tebing berbatu setinggi puluhan meter dan jarang terdapat pantai yang landai. Apabila kita berdiri di atas tebing tinggi dan memandang ke bawah, terasa lutut menggigil. Ia sememangnya lubuk yang amat mencabar keberanian dan fizikal pemancing!

Inilah tempatnya kami menaikkan tuna gergasi.

Kawasan lubuk kelihatan amat luas. Di manakah tempat yang paling sesuai untuk kami jalankan pancingan? Apatah lagi TSB merupakan ikan yang paling handal tentangannya!

Banyak aspek harus dipertimbangkan sebelum pancingan dimulakan. Perkara paling penting ialah tempat untuk menaikkan ikan. Lokasi ini harus mudah untuk mencapai ke pantai dan terdapat tempat untuk berdiri, melayan dan menaikkan ikan. Kami telah habiskan banyak masa dan tenaga memantau sekeliling kawasan ini dan akhirnya terjumpa sebuah tebing yang lebih rendah dan sesuai untuk membaling gewang permukaan ke spot yang berpotensi.

Dalam trip pertama, TSB telah membaham gewang salah seorang sahabat dan membuktikan ikan pelagik samudera ini juga dapat dipancing dari pantai sahaja. Sang tuna yang terkena pancing ini amat besar sehingga tali keluar tanpa henti. Setelah 30 minit bertarung, mangsa dapat diheret berdekatan tebing, namun tali akhirnya putus akibat bergeser terumbu di tebing berbatu itu!

Lubuk casting tuna sirip biru land based yang jarang dijumpai ini terletak di sebelah timur Pulau Menorca.

Kecelakaan Berlaku

Pada 2015, saya berkali-kali bertandang ke tebing berbatu tinggi itu, namun tetap gagal bertarung dengan TSB. Bagaimanapun saya berazam untuk menaikkan seekor TSB pada tahun 2016. Malangnya pada Disember 2015, saya terjatuh dari ketinggian 4 meter sehingga tangan kanan saya patah dan tengkorak di bahagian muka pun pecah. Terpaksa baring di hospital selama 11 hari dan menjalani pembedahan sebanyak dua kali!

Namun keinginan saya untuk memancing di Pulau Menorca tetap tidak digoyahkan oleh kejadian malang ini. Rancangan saya ialah sembuh pada bulan Mac 2016 kerana bulan Mac lah musim memancing TSB di Pulau tersebut!

Akhirnya saya sembuh sepenuhnya pada Mac 2016 dan bersedia untuk beraksi lagi. Kali ini nasib bertambah baik. Trip pertama setelah keluar dari hospital, saya telah berjaya menaikkan TSB seberat 16 kg. Terasa amat gembira sekali. Dua bulan berturut-turut saya juga berjaya menaikkan 4 ekor TSB kecil. Dalam salah sebuah trip, popper saya dilarikan seekor ikan sehingga tali habis ditarik monster itu dalam masa singkat sahaja. Monster apakah agaknya?

Mustahil untuk mencabar raja tuna tanpa peralatan terbaik.

Kebetulannya 4 hari kemudian saya terkena lagi ikan yang amat besar, namun tali terputus lantaran menggunakan set yang lebih ringan. Selepas peristiwa ini, saya memutuskan untuk tidak menggunakan set ringan lagi. Set ringan digunakan kerana lebih seronok melayan ikan apabila terkena tuna yang lebih kecil.

Namun melainkan jika anda sudah langsung tidak berniat lagi untuk mensasarkan tuna mega, nasihat saya ialah tetap jadikan set berat sebagai set pilihan. Biarpun saya telah bertukar kepada set paling kuat dan menggunakannya dalam trip susulan, namun tiada TSB besar pula yang sudi membaham popper saya sepanjang 2016!

Pada 2017, saya bertukar balik ke set ringan kerana berfikir diri saya memang tidak bernasib untuk mendapatkan tuna mega. Namun nasib seakan ingin mempermainkan saya. Sebaik sahaja saya bertukar ke set ringan, terus dibuli seekor tuna mega sehingga habis tali!

Keberanian & Kecekapan

Pagi keesokan harinya saya kembali dengan set berat dan sebutir popper gergasi 130 gram sepanjang 20 cm untuk membalas dendam. Setelah berkali-kali gagal, saya pun kurang yakin boleh dapat sambaran sang gergasi. Cuma hati saya tidak puas kerana asyik dibuli sang mega. Mungkin ketabahan hati saya telah mendapat belas kasihan dari Tuhan, keajaiban akhirnya muncul pagi ini apabila seekor monster tampil ke permukaan laut dan melarikan popper saya!

Bunyi kuat dari popper seberat 130 gram berjaya menarik perhatian tuna mega.

Biarpun terasa cemas, saya tetap cuba menangani TSB ini dengan cukup sabar selama 30 minit. Pada mulanya saya syaki bukan tuna yang kena tetapi amberjack yang agak biasa di situ. Namun apabila ikan semakin dekat, terbuktilah TSB gergasi yang diidam-idamkan. Setelah berkali-kali kumpau, akhirnya saya berpeluang jua bertarung dengan tuna mega ini secara adil dengan menggunakan set berat!

Kali ini saya bernasib baik kerana berjaya mengelakkan ikan daripada berenang ke bawah tebing batu untuk memutuskan tali. Menaikkan ikan besar di tempat seperti ini sememangnya cabaran besar, lantaran bentuk bumi yang tidak rata telah menghadkan pergerakan pemancing.  Akhirnya sahabat saya Nando terjun ke laut yang kelihatan amat bahaya tanpa berfikir panjang, dan berjaya merangkul ikan yang sudah letih dengan bantuan Christian.

Impian saya akhirnya menjadi kenyataan setelah mengalami pelbagai dugaan. Hati cukup puas dan gembira. Tuna sirip biru merupakan ikan yang dilindungi undang-undang Sepanyol. Lalu ia segera dilepaskan setelah mengambil gambar.

Setelah menonton video yang dikeluarkan bersama SIRIP pada bulan lepas, anda pasti memahami bahawa bukannya mudah untuk menumbangkan raja tuna di lubuk yang begitu bahaya bentuk buminya. Saya sendiri telah dilanda kecelakaan kerana ingin merealisasikan matlamat gila ini. Jika anda berkeyakinan untuk menghadapi cabaran ekstrem ini, datanglah ke Sepanyol untuk mendapatkan ‘lesen’ yang dicemburui semua pemancing ini!

Pertarungan sengit antara manusia dan binatang!

Mujurlah ada sahabat karib yang sanggup menolong saya menaikkan ikan!

Berbaloilah segala sengsara setelah berjaya menaikkan binatang ini!