Pautan Utama

Portal Memancing Rasmi Malaysia

Tuilan vs Bintang

Sistem tegangan tuilan (lever drag) atau bintang (star drag) pada kekili menegak multiplier, agak-agak anda mana satu lebih bagus? Sebelum kita bincang dan bandingkan, ada baiknya kita fahamkan dahulu apa itu sistem tegangan tuilan dan bintang ini…

Oleh : PAK WONG

Sistem Tegangan Tuilan

Sistem tegangan tuilan atau ‘lever drag system’ berfungsi dengan mengenakan plat tegangan secara langsung terhadap sisi gelendong kekili. Plat tegangan ini biasanya mempunyai satu sesendal fabrik yang besar yang meliputi permukaannya. Saiz plat dan sesendal tegangan adalah hampir sama dengan saiz gelendong yang dapat menyerakkan tekanan merentasi permukaan yang lebih besar.

Tekanan terhadap gelendong ini mewujudkan geseran yang memberi daya tegangan (drag) yang menyekat putarannya. Apabila ikan menarik tali dengan cukup kuat mengatasi daya tegangan, barulah gelendong akan melungsur dan melepaskan tali. Lalu tindakan kita dengan menolak tuil itu ke hadapan, maka plat tegangan tersebut akan digerakkan terhadap sisi gelendong.

Lagi tuil itu ditolak ke hadapan, semakin kuat tekanan dikenakan terhadap gelendong oleh plat tegangan. Tetapi apabila menarik tuil itu ke belakang, tekanan ini akan dikurangkan. Apabila tuil ditarik habis, kekili akan mengalami situasi gelendong bebas (free spool) sepenuhnya.

Kekili sistem tegangan tuilan

Sistem Tegangan Bintang

Bagi sistem tegangan bintang (star drag system) pula, gear panduan dan sesendal tegangan dipasang pada shaf utama kekili dan shaf ini melungsur melalui kedua-dua gear dan himpunan sesendal tegangan. Gear panduan memacu dengan gear kecil yang dipasang di hujung shaf gelendong. Jadi apabila pengayuh (handle) diputar, ia mendorong gear panduan utama yang kemudiannya memutarkan gelendong.

Apabila palam sistem tegangan bintang diketatkan, ia mengenakan tekanan terhadap himpunan sesendal tegangan itu. Tekanan itu dipindahkan dari sesendal dan gear panduan ke gear yang lebih kecil yang mengawal gelendong. Apabila ikan menarik dengan cukup kuat, barulah himpunan sesendal tegangan itu akan melungsur sesamanya dan membolehkan tali diheret keluar dari gelendong kekili.

Perbandingan Tuilan & Bintang

Apabila membandingkan kekili bersistem tegangan tuilan dengan bintang, secara kasarnya kita akan fikir tegangan tuilan itu lebih baik, kan? Hanya kerana ia lebih mudah untuk dilaras pada ketika berlaku tentangan, dan pra-larasan tahap tegangan sesuai boleh dibuat dan dilakukan dengan tolakan jari sahaja. Tetapi mari kita bincang dengan lebih mendalam.

Walaupun kekili tegangan tuilan mungkin lebih mantap, tetapi ia mempunyai beberapa kekurangan yang ketara. Pertama, ia selalunya lebih mahal daripada kekili tegangan bintang. Kedua, kemungkinan berlaku tolakan atau tarikan tuil secara tidak sengaja yang mana kes sebegitu hampir mustahil bagi kekili tegangan bintang. Ketiga, tegangan tuilan memerlukan perhatian, sedangkan tegangan bintang lebih ringkas – laras dan biarkan sahaja.

Jika anda berfikir saya sedang berkira-kira untuk memberi anugerah ‘sistem tegangan terbaik’ kepada si bintang, anda perlu fikir satu lagi perkara. Perkara realiti ialah bahawa bagi pemancing yang berpengalaman dalam memburu ikan gergasi, sistem tegangan tuilan lebih memenangi hati mereka. Ia berkeupayaan untuk mengalih daripada tekanan setepat 5 paun kepada setepat 15 paun dalam masa beberapa saat ketika ikan tuna menyambar umpan dan ia meningkatkan peluang untuk mendapat tancapan yang mantap.

Ia juga berkeupayaan untuk beralih daripada 15 paun kembali ke 10 paun apabila pertarungan menghampiri saat akhir, dan tuna membesit secara mendadak di sebelah bot yang memberikan anda peluang lebih baik untuk mengekalkan ia terus tertancap. Dan keupayaan untuk peralihan secara lancar terus kepada gelendong bebas (free-spool) dan kepada paras ‘strike’ membuatkan penggunaan mata kail lingkar (circle hook) lebih berkesan bagi kekili bersistem tegangan tuilan.

Kekili sistem tegangan bintang

Untuk Slow Jigger?

Kesimpulannya? Kedua-dua sistem tegangan tuilan dan bintang memenangi ‘pertempuran’ ini.

Sistem tegangan tuilan pastinya pilihan nombor satu bagi pemancing yang berpengalaman. Tetapi apabila bercakap tentang teknik jigging perlahan di mana ramai pemancing telah bertukar daripada kekili mendatar (spinning) kepada kekili menegak multiplier yang mereka kurang biasa, maka kekili tegangan bintang masih pilihan yang lebih selamat.