Tunda Muara Kenyalang
Kita semua telah maklum bahawa ‘trolling’ membawa maksud satu teknik memancing secara menunda gewang menggunakan bot, dan ia biasanya dilakukan di laut dan juga muara sungai. Di sini saya ingin kongsikan beberapa tips untuk trolling di muara yang biasa saya praktikkan di Bumi Kenyalang…

Trolling biar perlahan kerana sang raja muara bersifat malas mengejar.
Teks & Fotografi : PENGAIL TEGAR
Biasanya apabila memancing di muara dengan menggunakan gewang, kita perlu bergantung kepada kewujudan struktur di kawasan itu sebagai sasaran. Ini kerana ‘struktur’ seperti kayu mati atau reba sangat sinonim sebagai tempat ikan pemangsa bersembunyi dan tempat berlindungnya anak-akan ikan yang menjadi bidikan sang pemangsa muara, khususnya siakap dan siakap merah.
Namun di kawasan muara biasanya kelihatan sama sahaja, kita hanya akan nampak jajaran pokok bakau menghijau di sepanjang tebingnya. Inilah yang menjadi cabaran kepada pemancing untuk di mana hendak mempersembahkan gewangnya. Maka sebab itulah trolling lebih digalakkan di muara. Jika sepanjang anda trolling itu terserempak struktur kayu mati atau reba, bolehlah anda hentikan bot untuk mengilat atau menggempur gewang anda ke dalam struktur itu.

Jeti utama tempat bot kami berlabuh.

Salah satu trofi siakap terbesar saya dengan trolling.
Trolling disarankan di muara kerana mungkin ada struktur di dasar yang tidak kelihatan yang menjadi perumah ikan. Trolling juga lebih disarankan jika tebing sungai tersebut terdapat kawasan tanah runtuh bercenuram atau tebingan yang dipercayai menjadi laluan susur bagi ikan-ikan untuk mencari makanan, walaupun tiada kayu-kayu mati yang kelihatan, yang mana cara mengilat tidak efisien di kawasan seperti itu.
Gewang
Apabila disebut trolling, secara tidak langsung fikiran kita terus terbayangkan gewang selaman dalam (deep runner). Gewang selaman dalam diperlukan supaya ia dapat mencecah ke lantai dasar atau struktur kayu di dasar yang tidak dapat dikesan dengan mata kasar yang menjadi tempat ikan pemangsa selalunya bersemayam. Apatah lagi spesies seperti kerapu yang jarang berlegar naik ke pertengahan air untuk menyambar.
Gewang yang sesuai untuk trolling muara bagi saya ialah selaman 3 hingga 5 meter, bergantung pada kedalaman air sungai tersebut. Disebabkan kemampuannya menyodok dasar, kadar gewang tersangkut kayu atau batu di dasar memanglah amat tinggi. Jadi jangan sesekali lupa membawa alat penyelamat gewang (lure retriever).
Tidak dinafikan dengan keberadaan alat ringkas ini, gewang anda akan dapat diselamatkan sekalipun tersangkut berkali-kali, sekaligus berjimat kerana anda tidak perlu membeli gewang lagi sebagai ganti setiap kali turun memancing.
Ada bermacam jenis alat penyelamat gewang di pasaran, janganlah kedekut sangat untuk memiliki seunit sedangkan anda mampu membeli berpuluh-puluh gewang. Seketul gewang harganya RM 30, tapi kalau asyik sangkut dan putus… siapa yang tak tension?
Tidak kisahlah gewang jenis atau jenama apa yang digunakan, tetapi berdasarkan pengalaman, gewang pilihan saya semestinya Rapala X-Rap Shad, Rapala Tail Dancer Deep dan gewang wajib saya, Ofmer X-Deep 75.

Gewang kena betul-betul rapat ke reba jika ingin menjinakkan siakap merah.
Joran & Tali
Untuk keselesaan trolling di muara, kita tidak memerlukan joran yang begitu panjang dan keras. Joran yang bersaiz medium heavy sudah cukup sesuai. Jangan pula gunakan joran terlalu ringan kerana takut nanti patah disentap ikan bersaiz kasar secara tiba-tiba ketika kita sedang trolling maju ke hadapan, yang mana kita mungkin tidak sempat berbuat apa-apa terhadap henjutan ikan ke belakang dan memasuki reba.
Antara kekuatan yang disarankan sesuai untuk trolling muara ialah seminimum 6 – 16 paun, 8 – 17 paun, 8 – 20 paun sehingga 10 – 20 paun, dengan ukuran 6 – 7 kaki panjang. Saya sendiri gemar gunakan joran 8 – 17 paun berukuran 6’3”. Bagi saya kekuatan ini memadai untuk menikmati kepuasan trolling dan sentapan raja muara, walaupun siakap bersaiz gadang.

Sang kerapu berebut-rebut untuk mendapatkan gula-gula.
Di Sarawak, tidak wujud ikan kanai / tembaring (black bass) sebagaimana di Sabah yang berdaya juang luar biasa dan kepantasannya meluru ke kayu. Jadi di bumi kenyalang ini, memadailah dengan joran berkekuatan tersebut untuk menjinakkan dua spesies utama iaitu siakap dan siakap merah.
Tali yang digunakan untuk trolling haruslah tidak terlalu halus dan tidak terlalu kasar. Jika tali terlalu halus, ia mudah putus jika tersangkut pada batu mahupun kayu berteritip atau disentap oleh ikan bersaiz agak kasar.
Sekiranya tali bersaiz terlalu kasar, masalah putus memanglah jarang berlaku, cuma ada sesetengah tali yang kita guna akan menghasilkan getaran dan bunyi yang kuat semasa ditunda. Ini akan menyebabkan bunyi bising dan peluang untuk strike ikan agak tipis. Cadangan paling sesuai adalah dalam 20 – 30 paun sahaja.

Aksi pertarungan penulis dengan si raja muara.
Jarak & Kelajuan Bot
Berkaitan jarak, terdapat dua tips yang perlu diketahui semasa trolling. Pertama ialah jarak antara bot dengan tebing. Kedua, jarak antara bot dengan gewang. Semasa trolling, jarak paling sesuai bot dengan tebing atau gigi air adalah antara 5 – 10 kaki. Pada kedudukan jarak ini, gewang selaman dalam yang kita gunakan akan sampai ke sasaran iaitu dasar sungai tersebut. Jika terlalu jauh ke tengah sungai, gewang tidak akan sampai ke dasar.
Jarak antara bot dengan gewang yang kita tunda nun di belakang sana, kebiasaannya antara 30 – 50 kaki. Amat sesuai jika anda menggunakan tali yang bewarna-warni kerana lebih senang buat ukuran. Jika terlalu dekat pula, peluang strike agak rendah kerana bunyi bising bot mengganggu keberadaan ikan-ikan di sekeliling.

Kajai strike ikan talang di lubuk wajib ketika air surut.

Gerepoh (baby GT) yang berkeliaran di muara antara koleksi trolling muara.

Trofi siakap penulis lagi menggunakan gewang Rapala X-Rap Shad 80 CLN.
Tips kelajuan bot ini antara yang terpenting jika kita ingin trolling. Semasa trolling, pastikan bot dalam kelajuan yang paling minimum kerana ini dapat memberi peluang kepada ikan untuk mengesan dan mengejar gewang kita. Jika bot kita dalam keadaan laju, kebanyakan ikan lebih-lebih lagi siakap dan siakap merah (MJ) yang pemalas dan suka berada di wilayahnya sendiri sahaja tidak mahu atau tidak dapat mengejar gewang.
Untuk pengetahuan semua jika bot dalam keadaan laju, cuma spesies gerepoh dan alu-alu sahaja yang berpotensi tinggi untuk strike. Tetapi jika kelajuan bot minimum, semua spesies ikan termasuk siakap, siakap merah, gerepoh, alu-alu, jenahak, kerapu dan talang akan berpotensi tinggi untuk menyambarnya.
Selamat trolling!

Persiapan ikatan sulaman SBJ Knot yang ampuh untuk menduga penghuni muara.

Sedutan sambaran yang sipi sehingga terpacak gewang di tengah mulut siakap.