Pautan Utama

Portal Memancing Rasmi Malaysia

UV : EFEK yang bagus atau Gimik Promosi?

Ultra ungu (ultra violet) atau ringkasnya ‘UV’ adalah sinaran elektro magnetik dengan jarak gelombang 10 nm (30 PHz) hingga 380 nm (750 THz), yang lebih pendek daripada cahaya nampak (visible light), tetapi lebih panjang daripada sinar X (X-ray). Sebagai manusia, kita hanya boleh melihat ultra ungu (UV) melalui transmisi cahaya gelap sahaja. Jadi jika efek salutan UV digunakan pada gewang atau jig, adakah ikan boleh melihatnya?

Oleh : PAK WONG

Menurut kajian saintifik, terdapat ikan yang berupaya mengembangkan daya penglihatan UV-nya demi kelangsungan hidup. Salah satu sebab adalah untuk membezakan kawan daripada musuh melalui corak pantulan UV dari kulit ikan. Sebab lain ialah ketelusan plankton yang menjadi sumber makanan utama ikan akan memantulkan sinar UV. Ikan harus mempunyai daya penglihatan UV untuk memakan plankton.

Begitu juga dengan haiwan. Sinar hampir UV boleh dilihat oleh sesetengah serangga, mamalia dan burung. Burung kecil mempunyai reseptor warna keempat untuk sinar UV; ini memberikan burung dengan daya penglihatan UV ‘sebenar’. Rusa menggunakan sinar hampir UV sinaran untuk melihat beruang kutub, yang sukar dikesan dalam keadaan cahaya biasa kerana pemangsa itu menyamai salji.

UV juga membolehkan mamalia melihat denai air kencing, yang berguna untuk haiwan itu mencari makanan di hutan. Beberapa spesies rama-rama betina dan jantan kelihatan serupa bagi mata manusia, tetapi sangat berbeza bagi mata yang sensitif terhadap UV – sang jantan menampilkan corak terang untuk memikat sang betina.

Gewang UV

Jig perlahan (slow jig) dengan efek UV kini menjadi trend. Para pengeluar jig mendakwa ia boleh meningkatkan peluang untuk dikesan oleh ikan.

Daripada teori-teori ini, kesimpulan boleh dibuat. Gewang bersalut efek UV pasti akan menarik perhatian ikan yang mempunyai daya penglihatan UV. Namun persoalannya, adakah gewang ini lebih diberi perhatian ikan sepanjang masa dan dalam apa jua keadaan air, berbanding gewang biasa?

Pertama sekali, kita perlu tahu bahawa lapisan efek UV pada gewang akan dapat memantulkan sinar ultra ungu. Secara umumnya pula, cahaya matahari boleh menembusi jauh sehingga ke dasar sungai dan tasik yang tidak berapa dalam.

Kesan gewang UV di perairan air tawar yang agak cetek ini, secara teorinya sudah tentu menjadi lebih menonjol berbanding gewang biasa. Cuma kekhuatirannya, jika pada siang hari dan semasa kualiti air sangat jernih, efek gewang UV mungkin menjadi terlalu ekstrem! Oleh yang demikian, gewang UV perlu digunakan hanya pada ketika cuaca suram dan dalam keadaan air yang keruh.

Jig UV

Adakah salutan efek UV boleh menggantikan efek pendarcahaya (luminous) konvensional pada jig perlahan?

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, jig perlahan (slow jig) juga telah ‘dikosmetikkan’ dengan gilapan efek UV melalui pelbagai corak penyalutannya. Jika ia dilihat dari sudut pandangan “untuk meningkatkan peluang ikan mengesan jig”, salutan efek UV yang diguna pakai pada jig perlahan adalah lebih relevan berbanding gewang atau umpan tiruan lain.

Lagipun jig perlahan dimainkan di lautan yang dalamnya berpuluh atau beratus meter yang tentu sekali gelap gelita. Justeru keperluan efek UV pada jig adalah lebih besar bagi menduga ikan yang bermata sensitif UV agar mereka mudah mengesannya.

Oleh yang demikian, terpacul lagi beberapa persoalan sama ada efek UV pada jig hanya berkesan di laut dalam yang tidak boleh ditembusi cahaya? Adakah efek UV lebih baik berbanding lapisan efek pendarcahaya (luminous) yang sekian lama wujud pada produk jig?

Nampaknya kita pemancing memerlukan lebih banyak eksperimen dan pengalaman untuk menentukan sejauh mana benarnya matlamat dan fungsi UV pada jig perlahan masa kini!

Gewang dengan salutan UV perlu digunakan hanya pada ketika cuaca suram dan dalam keadaan air yang keruh.