Wawancara Eksklusif Bersama Selebriti Pancing Dunia : Jakub Vagner
Jika anda biasa menonton Discovery Channel atau National Geographic, tentu anda suka melekat di depan TV semata-mata ingin menyaksikan rancangan memancing yang ekstrem seperti River Monsters, Monster Fish, Wicked Tuna dan Fish Warrior. Dan kali ini, kami membawa anda kepada satu temu bual bersama seorang pemancing ikon yang pasti anda kenali dalam siri Fish Warrior – Jakub Vágner.
Mat salleh kurus keding, berambut blonde tebal tanpa pernah memakai topi dan suka menjerit apabila kena ikan ini bukanlah calang-calang pemancing kerana beliau telah memegang banyak rekod ikan terbesar di dunia, dan seumur hidupnya diabdikan dengan memburu ikan-ikan air tawar gergasi di ceruk dunia yang terpencil.
Pemancing ekstrem berasal dari Republik Czech ini sangat terbuka menjawab soalan-soalan yang kita tidak tahu mengenai dirinya, misalnya bagaimana beliau berjaya menggabungkan kehidupan peribadi dan trip memancing yang berlarutan, adakah beliau telah kehilangan sesuatu akibat memancing, adakah beliau kesal dengan kesilapan yang pernah dibuat sepanjang kerjaya memancingnya, apakah impian memancingnya dan banyak lagi…
Oleh : RADEK FILIP (dari Republik Czech)
Jakub, adakah anda masih gila untuk berekspedisi memancing, ingin mengurangkannya atau berekspedisi hanya kerana terikat dengan kontrak?
Saya rasa masih macam dulu, gila berekspedisi memancing yang ekstrem. Semasa mula memancing wels catfish (spesies keli gergasi di Eropah) beberapa tahun lalu, hanya ada beberapa pemancing catfish dan kami tidak tahu apa-apa tentangnya. Kami gunakan set pancing yang biasa-biasa kerana tiada apa yang lebih baik di pasaran ketika itu. Ikat perambut pun tak berapa betul dan tak tahu di mana nak cari catfish. Masa itu, kami ingat catfish ikan penyendiri dan apabila semakin tua, ia membesar sehingga berlumut. Terlalu banyak legenda mengenainya.
Tiada buku, tiada DVD, tiada panduan pada masa itu. Saya sebahagian daripada kumpulan pemancing catfish yang berapa kerat sahaja di Republik Czech dan Eropah. Kami menjadi perintis dan saya bangga dengannya. Kalau saya bermula hari ini, saya rasa tidak banyak dihargai kerana kini kanak-kanak pun boleh membeli buku atau DVD dan segala-galanya.
Semasa muda, saya ingin beli kekili pertama yang terbaik iaitu D.A.M sehingga terpaksa bekerja selama 2 bulan. Walaupun dah mengembara serata dunia, saya masih ada perasaan yang sama seperti muda. Saya masih dapat rasakan api di dalam saya.
Bahagian yang sukar ialah memancing di Empangan Lipno. Saya memancing di sungai yang beratus meter dalam dan sudah biasa menarik naik ikan yang bukan berpuluh tetapi beratus kilo beratnya. Bagi saya, kini agak sukar untuk mencari cabaran baru.
Sebaliknya apabila saya mula mengembara di seluruh dunia, saya temui semula cinta yang hilang dan keghairahan terhadap catfish. Jadi apabila saya pergi memancing catfish di Sg. Berounka, Czech, dan dapat mendaratkan catfish sepanjang 130 atau 140 cm pun sudah cukup menyeronokkan diri saya.
Trip memancing yang lama menyukarkan perhubungan. Bagaimana teman wanita anda boleh bertolak ansur dengan perkara sebegini?
Saya pernah ada tiga hubungan dan semuanya gagal kerana saya selalu tiada. Jelas sekali berada di luar negara selama 9 – 10 bulan adalah satu ujian yang sangat sukar bagi sepasang kekasih. Namun saya dah temui teman istimewa yang baru sekarang dan saya sangat gembira. Awal-awal lagi kami telah mengikat perjanjian untuk terus bersama dan dia pun minat memancing.
Berapa ramai anak yang anda inginkan?
Saya sering ditanya soalan ini, terutama daripada rakan-rakan yang semuanya sudah berkeluarga. Saya sahaja masih bujang. Kadang-kadang apabila berada dalam satu acara, saya suka melihat pasangan ibu dan ayah mendukung bayinya. Siapa yang tidak teringin, dan kalaulah bayi sulung saya lelaki tentu saya teruja. Kalau boleh, saya ingin dua atau tiga cahaya mata.
Adakah anda kehilangan sesuatu akibat memancing?
Sukar nak jawab soalan ini, sebab banyak yang saya kecapi kerana kerap memancing. Mungkin tentang kesihatan saya agaknya. Walaupun baru 34 tahun, badan saya dikerah macam sudah berusia 60 tahun. Saya memancing demi kehidupan dan jika anda mahu saya tunjukkan satu perkara yang saya hilang, ia adalah – privasi.
Ini tidak berkaitan dengan memancing, tetapi dengan media yang saya kerap muncul, apatah lagi dipancar di seluruh dunia.
Ramai yang ikuti siri ekspedisi ekstrem anda di luar negara. Tetapi bagaimana anda memancing di tanahair sendiri, Republik Czech. Ada masa ke nak memancing di halaman sendiri?
Hakikatnya saya telah berada di luar negara selama 9 bulan pada tahun lepas kerana menjalani penggambaran satu siri besar untuk Discovery Channel dan untuk Czech Television. Kemudian saya kembali dan mula menjalani 3 siri penggambaran besar buat Czech Television untuk 3 spesies ikan air tawar di Eropah.
Selepas itu saya bersedia membuat 14 episod untuk kanak-kanak tentang ikan yang hidup di alam semulajadinya. Maknanya, saya memancing sepanjang tahun, tidak kira musim sejuk dan musim bunga, bagai nak gila dibuatnya. Namun lebih banyak saya memancing di luar negara, semakin saya suka memancing di tanah tumpah darah sendiri (Republik Czech).
Cukuplah 9 bulan di lokasi sedemikian. Tiada siapa yang mahu habiskan percutian di tempat seteruk itu. Memang di sana ada ikan gergasi yang menanti, tetapi kalau dah sebulan hidup dalam suasana yang perit, jenuh! Ada orang kata, “Untunglah kau, mesti rileks kat Kongo!” Tapi tahukah anda saya sangat letih sebaik pulang dan terpaksa ke hospital sekurang-kurangnya satu minggu untuk mendapatkan rawatan doktor.
Apabila bermenung di tepi tasik negara sendiri, alangkah amannya tanpa perlu bimbang ancaman manusia dan alam. Anda boleh tumpukan perhatian agar tidak jatuh ke dalam air. Sebenarnya saya lebih berminat dengan perairan tanahair sendiri. Ia satu cabaran besar buat saya, tetapi kini apabila memancing, saya hanya tumpukan kepada ikan pike dan catfish yang besar.
Saya tidak memburu spesies, tetapi ikan individu yang saya lihat sendiri atau dengar daripada rakan-rakan. Ia menyeronokkan bagi saya – menumpukan perhatian terhadap satu-satu ikan tertentu.
Adakah anda bercadang untuk berekspedisi lagi ke beberapa negara yang menarik?
Saya suka dan kerap ke Amazon. Saya telah habiskan lebih 3 tahun hidup di sana. Orang ingat saya ke sana sepanjang masa. Memanglah… tetapi kita harus ingat, Amazon tu lebih besar daripada seluruh Eropah. Jarak 1,000 km macam tiada apa-apa. Saya terpesona dengan Amazon kerana alam semulajadinya. Saya tidak pernah lihat suasana seindah itu di tempat lain di dunia.
Agak-agak berapakah jumlah hidupan di dalamnya, bagaimana dengan jumlah ikannya? Masih banyak ikan yang tidak diketahui dan tidak dinamakan. Saya terpesona dengan sungainya yang sangat jernih seperti akuarium.
Bahkan ada ikan yang kita gemar pelihara, tetapi kuantiti dan saiznya di Amazon cukup luar biasa. Misalnya ikan ancistrus. Di Republik Czech, kalau ikan ini membesar sehingga 10 cm pun kita dah kecoh, tetapi di Amazon saiznya mencecah 0.5 meter! Segalanya lebih besar dan berwarna-warni di Amazon.
Terdapat lebih banyak destinasi yang saya minat mengembara seperti Kongo dan Papua New Guinea. Ramai orang masih takut mengembara ke sana. Sebab itulah masih ada peluang untuk kita menyaksikan keajaiban alam semulajadi.
Syarikat anda, Jakub Vágner Electronics telah melancarkan reka bentuk alat penggera getuan Alfa yang menarik. Apakah peranan anda di sana?
Saya telah dihubungi kenalan yang mengajak untuk menceburi bidang elektronik memancing. Saya ambil idea itu, kerana saya fikir pemancing inginkan kualiti yang sebenar. Kami tidak abaikan produk China sepenuhnya, tetapi kami tidak mahu nanti selepas satu minggu menggunakan produk itu, ia tidak berbunyi lagi.
Jadi saya setuju, tetapi saya mahu mencipta produk Eropah yang kita tidak perlu berasa malu dan berdaya saing di pasaran dunia. Tugas saya adalah mudah – ia perlu berbunyi tanpa masalah, 100% kalis air, tahan lasak dan ia perlu memenuhi semua parameter yang saya inginkan.
Walaupun saya bukan seorang pemancing ikan kap, adakala saya menggunakan juga alat penggera getuan dan pernah hadapi masalah yang sama seperti orang lain. Itulah peranan saya yang benar-benar kecil berbanding insan yang telah membangunkan penggera getuan.
Maklum balas sangat positif. Sebagai contoh, bateri dalam Alfa tahan 2 bulan tanpa henti dan bersepadu. Ia juga benar-benar kalis air dan mempunyai bingkai logam yang menjadikan ia tidak mudah pecah. Tapi kalau anda lenyek dengan kereta kebal, ia memanglah hancur.
Bagaimana anda bayangkan percutian yang sempurna?
Nah, itu soalan yang sama sekali tidak perlu, kerana percutian yang ideal diluangkan dengan memancing.
Anda mencipta banyak rekod tangkapan yang menakjubkan dan selebriti besar buat pemancing muda. Adakah perkara berbeza yang anda lakukan dalam kerjaya memancing dan hari ini anda kesal mengenangkannya?
Saya telah menulis artikel pertama ketika berumur 15 tahun dan muncul dalam program memancing televisyen sejak umur 18 tahun. Apabila saya tonton semula, saya ketawa. Rasa nak sorok kepala di bawah bantal kerana kadang-kadang saya berkelakuan seperti orang bodoh.
Namun sebaliknya saya kaget bagaimana diri boleh terjebak seawal belasan tahun. Tidak ada orang yang dilahirkan profesional. Saya rasa selepas 20 tahun apabila melihat kerja saya sekarang, saya akan alami perasaan yang sama, atau mungkin berbeza.
Semua orang membuat kesilapan dan ia lebih baik untuk belajar daripada kesilapan sendiri.
Daripada semua hasil tangkapan anda, yang mana satu paling anda hargai?
Pertama sekali saya perlu ceritakan bagaimana akhirnya saya dapat memancing ikan yang besar. Saya telah memancing catfish sejak sekian lama dan sampai ke tahap di mana saya pernah memburu mereka selama 300 hari setahun.
Sebagai pemandu pancing, saya telah jinakkan lebih 1,000 ekor catfish dengan pelanggan saya. Saya juga pernah memancing bersendirian di beberapa lokasi di Itali, Sepanyol dan Perancis. Lokasi-lokasi yang popular pada masa kini pernah saya lihat masih dara ketika itu. Jumlah ikan tangkapan kini benar-benar berbeza.
Saya rasa ada yang tak kena. Saya bertekad untuk mengubahnya jika mahu mengekalkan cinta saya terhadap catfish. Ketika itu, hati saya nekad untuk memetakan semua ikan air tawar terbesar di dunia.
Terlalu ramai orang melakukan perkara yang sama di laut, di mana jika ada wang, anda boleh pancing ikan yang besar dengan bantuan pemandu pancing berpengalaman.
Tetapi air tawar adalah misteri. Sebahagian ikan air tawar terbesar sudah diketahui, dan ada yang tidak diketahui langsung. Kita buntu bagaimana nak menangkapnya, di mana nak memburunya, apa yang perlu digunakan untuk memancingnya, musim bilakah yang terbaik atau apakah suhu air adalah ideal. Saya kemudiannya telah menyenaraikan 24 spesies ikan air tawar terbesar.
Setiap satu mungkin lebih 100 kg dan 2 meter panjang. Saya mengesan jejak mereka dan menaikkan 20 daripada ikan-ikan itu. 4 spesies yang lain hampir mustahil kerana salah satunya ialah paddlefish China yang kali terakhir dikesan pada tahun 2006 dengan saiz yang kecil. 3 spesies lagi masih belum mempunyai nama latin. Memang banyak rahsia yang perlu diselongkar di air tawar.
Apa pun, ikan pertama pujaan saya tetap catfish kerana saya membesar dengannya. Ikan yang saya tidak pernah letih memburu ialah arapaima kerana ia sekuat catfish, melompat seperti trout dan sepantas ikan asp. Ia bagaikan menawan Everest.
Ikan seterusnya ialah tiger fish lebih 50 kg yang menyebabkan saya menghabiskan masa setahun di Kongo. Itulah ikan yang paling saya hargai kerana beberapa kali saya hampir mati demi trofinya.
Apa yang akan anda lakukan jika tidak memancing?
Sekiranya saya tidak menamatkan pengajian di Konservatori Prague, saya mungkin bermain muzik untuk hidup, atau bersukan.
Adakah impian memancing yang anda tidak kesampaian?
Saya telah memancing semua ikan yang amat saya dambakan. 300 – 320 kg arapaima atau 50 – 55 kg tigerfish. Saya harap semua orang dapat melalui pengalaman sebegitu. Tetapi saya telah dicipta oleh masyarakat dan misi saya sekarang ialah untuk kembalikan ia semula kepada mereka. Saya ingin bawa keseronokan memancing itu semula.
Pemancing muda adalah alfa dan omega buat saya. Mereka adalah masa depan. Saya ada pengalaman di pameran memancing di mana saya telah menurunkan autograf pertama ketika berumur 17 – 18 tahun. Kanak-kanak berusia 6 – 7 tahun telah datang untuk mendapatkan autograf. Dan mereka adalah kanak-kanak yang sama hari ini.
Tetapi hari ini mereka telah dewasa dan saya dapat lihat mentaliti ini telah berubah. Secara tak langsung, tangkap dan lepas diamalkan. Jika tidak mempunyai kamera pun, mereka tidak pernah bawa pulang tangkapan untuk ditunjukkan. Mereka sudah memiliki tabiat sebenar pemancing sejati.
Ini kerja-kerja kecil yang anda tidak boleh capai semalaman dan syukurlah semakin ramai orang sebegini. Saya cukup respek mereka!
SERBA SEDIKIT TENTANG ‘THE FISH WARRIOR’
Jakub Vágner yang dilahirkan pada 24 Disember 1981 di Prague, Czechoslovakia (hari ini dikenali sebagai Republik Czech) merupakan seorang pemuzik, pengacara televisyen dan pemancing ekstrem yang pakar dalam kembaraan dan sejarah alam semulajadi.
Beliau mula dikenali di negara kita semenjak muncul dalam siri televisyen berjudul Fish Warrior dalam National Geographic Channel. Tetapi sebelum itu, sejak berumur belasan tahun lagi, beliau adalah seorang ikon memancing yang amat dikenali di arena pancingan di benua Eropah, khususnya di negara kelahirannya.
Ketaksubannya terhadap gergasi air tawar, menyemarakkan semangatnya untuk mengembara sekeliling dunia bagi menjalankan ekspedisi memancing yang ekstrem di wilayah terpencil demi memburu spesies terbesar dan amat sukar ditemui di muka bumi ini.