Pautan Utama

Portal Memancing Rasmi Malaysia

World Predator Classic 2016

The World Predator Classic’ merupakan kejohanan mengilat ikan pemangsa yang terbesar di Eropah. Ia merangkumi tiga kategori (51 buah bot, 34 buah kayak, 200 pemancing tebingan) dan menjadi suatu acara kelas dunia yang berprestij. Ia juga digelar ‘Formula 1 Memancing’ dan tahun ini merupakan acara tahunan kali ketiga yang berlangsung pada tanggal 30 Jun – 2 Julai 2016 di Belanda ketika angin kencang dan laut bergelora yang merupakan suatu pertandingan yang paling mencabar pernah dianjurkan…

Perarakan bendera para peserta daripada segenap negara Eropah dengan diiringi pancaragam.

Teks & Fotografi : RADEK FILIP

Terjemahan : HALIMI HANIP

World Predator Classic (WPC) berlangsung di bandar bersejarah Hellevoetsluis yang juga dikenali sebagai ‘ibu kota memancing Belanda’. Di sekitar bandar ini terbentang perairan tasik Haringvliet dan Hollands Diep seluas 11,663 hektar digunakan untuk pertandingan ini. Kedua-dua tasik ini adalah antara destinasi memancing ikan perch terbaik di dunia dengan saiz perch melebihi 50 cm dan 2 kg.

Tasik ini juga terkenal dengan ikan pike dan zander yang besar. Dalam kejohanan WPC lepas, banyak pike bersaiz lebih 100  cm, perch lebih 50 cm dan zander lebih 70 cm panjang direkodkan. Inilah salah satu sebab mengapa pemancing terkenal di Eropah seperti Luc Coppens, Willem Stolk, Johannes Dietel, Markku Tiusanen, Antti Anttila, Jeremy Steverman dan lain-lain termasuk kami menyertai kejohanan WPC ini.

Latihan Sebelum Bertanding

Anda tidak boleh memancing dalam kejohanan sebesar ini tanpa apa-apa latihan jika bercita-cita untuk meraih hasil yang bagus. Tetapi hujan lebat dan air keruh telah merumitkan latihan. Namun keadaan ini menjadikan pancingan zander sangat mudah. Spesies ini galak menyambar soft plastic (S.P), gewang, kilat sesudu dan gewang lain di segenap kedalaman dari 0.5 hingga 14 meter.

Pike tidak begitu mudah dipancing, tetapi sebaik sahaja kami meningkatkan saiz gewang sehingga lebih 20 cm, barulah serangannya menjadi-jadi. Perch lebih sukar dipancing lantaran air yang keruh. Namun kami telah berusaha berlatih memancing selama 14 jam sehari selama 5 hari.

Kami telah gunakan semua teknik tetapi hanya berjaya menaikkan 1 – 2 ekor perch dan 4 – 9 ekor zander sehari. Kami menemui rahsianya pada hari latihan terakhir dengan 8 ekor perch dalam tempoh 2 jam. Pasangan saya Martin Štepka telah mendahului dengan 50 cm perch – rekod baru peribadinya. Situasi pancingan perch di Haringvliet lebih baik, jadi kami agak yakin sebelum kejohanan.

Banyak pasukan lain telah menjalani latihan selama berminggu. Semasa tempoh latihan, saiz ikan luar biasa besar dapat direkodkan, misalnya zander 105 cm oleh Marcel Asbroek, pike 124 cm oleh Luc van Litsenborg dan Tom Dieleman, manakala saya berjaya menaikkan perch 51 cm, 2.05 kg.

Parti pra-acara ini cukup meriah termasuk makan malam, perarakan bot, kayak dan bendera. Acara perasmian berlangsung dengan dua tembakan meriam. Semua tidak sabar untuk menyaksikan kejohanan ini esok.

Acara perasmian digegarkan dengan dua kali tembakan meriam.

Hari Pertama – Cuaca Buruk

Cuaca cukup mencabar pada hari pertama. Kebiasaannya anda pasti tidak mahu keluar rumah dalam cuaca sebegini. Hujan lebat hampir sepanjang hari, ombak besar dan agak berbahaya. Salah satu ombak telah menghumbankan kira-kira 200 liter air ke dalam bot Marine.cz yang saya pandu.

Pasukan paling digemari, Luc Coppens dan Jeremy Staverman telah disirami lebih 400 liter air. Lantaran situasi getir ini, zon memancing telah dihadkan kepada Haringvliet sahaja atas dasar keselamatan.

Setiap bot memecut meredah dan dilambung ombak dengan kelajuan sehingga 100 km/j ke lokasi kegemaran dan berjaya menaikkan ikan masing-masing. Majoriti bot berjaya mendaratkan zander, dan kurang ikan perch mahupun pike.

Kami bermula dengan cukup baik apabila 3 ekor zander lebih 60 cm, 2 ekor perch 42 cm dan 45 cm, dan pike 70 cm dalam 2 jam pertama memancing. Zander itu menyambar S.P 15 cm + 50 g jighead yang diunjun menegak dan yang lain membedal S.P, gewang jerkbait dan spinnerbait (janggut).

Kami telah mendahului persaingan pada sesi pagi dan ada 5 jam setengah lagi untuk memburu perch terakhir. Namun hanya berjaya mendaratkan beberapa ekor zander yang cukup untuk melayakkan kami di tempat ke-7 pada penamat hari pertama.

Ada pasukan yang berjaya memenuhi kelayakan, termasuk pemancing dari Belgium, Luc Van Litsenborg dan Tom Dieleman (zander panjang 73, 70 dan 65 cm; perch 50, 43 dan 43 cm; pike 62 cm). Juara bertahan Luc Coppens dan Jeremy Staverman yang hampir tiada tandingan (juara 2 kali dalam dua WPC sebelum ini) mendapat tempat ke-14.

Lebih 200 ekor ikan berjaya dipancing. Ikan terbesar ialah pike 125 cm, zander 83 cm dan perch 51 cm.

Walaupun acara kayak turut bermula, pemancing kayak yang berani ini telah berjaya menaikkan banyak ikan bersaiz mantap. Tetapi salah seorang daripada mereka telah kehilangan kamera dan set memancing akibat terbalik dipukul ombak. Mujurlah beliau segera diselamatkan pasukan penyelamat.

Para peserta mengilat jalanan yang bersedia untuk bertarung. Menariknya acara mengilat dari tebingan telah berjaya merekodkan seekor pike besar sepanjang 113 cm.

Hari 2 – Cuaca Makin Buruk

Pancingan hari kedua telah dipendekkan kepada 5 jam lantaran angin kencang. Hanya Tasik Haringvliet yang boleh diakses kerana semua bot gentar untuk pergi lebih jauh. Gelombang semakin besar di pintu masuk pelabuhan dan jika semua 51 bot meredah-nya, dikhuatiri bencana buruk boleh berlaku.

Strategi pertahanan ialah mengekalkan bot di kawasan terlindung daripada angin. Jika bernasib baik, anda dapat memancing beberapa ekor ikan dari semua spesies, tetapi mungkin sukar melengkapkan ikan yang layak. Inilah sebab kenapa kami dan beberapa bot lain mengambil risiko dengan meredah gelora ke kawasan bertentangan.

Thruster 24V di haluan sibuk mengunci kedudukan bot dalam alunan ombak besar. Hempasan ombak kerap membasahi kami. Pam air sentiasa dihidupkan, namun usaha kami berbaloi apabila zander menyapa S.P 15 g yang diunjun di aras 8 meter.

Selepas menaikkan dua lagi zander, kami beralih untuk memburu perch dan pike di cenuram berbatu yang dipenuhi kupang. Seekor perch berjaya dipancing dalam masa 30 minit, tetapi angin bertambah kencang. lalu terpaksa kami melarikan diri ke tempat teduh di seberang.

Di kawasan agak lenang ini kami berhanyut sambil mengilat dan mengunjun gewang. Strategi ini biasanya berkesan untuk perch, tetapi kami hanya berjaya menaikkan zander dan bream.

Ketua-ketua kumpulan berkumpul untuk mendengar taklimat penting sebelum acara bermula agar dapat disampaikan kepada ahli kumpulan.

Pasukan lain ada yang tidak dapat menaikkan seekor pun zander dan pike. Hasil tangkapan nyata semakin merosot berbanding semalam. Tetapi Markku Tiusanen dan Antti Anttila daripada Team Rapala Finland (semalam mendapat tempat ke-2) berjaya melengkapkan hasil tangkapan dan menjuarai keputusan hari ini. Tangkapan pike mereka sepanjang 99 cm.

Pasukan kami meningkat ke kedudukan ke-4 pada hari kedua ini. Rekod ikan terbesar hari kedua ini ialah pike 120 cm oleh Johannes ‘Barsch Alarm’ Dietel dan perch 52 cm oleh Volkmar Strikkers.

Hari 3 – Cuaca Paling Buruk

Angin bertiup lebih kencang dari barat, iaitu arah paling teruk melanda tasik. Banyak kejadian bot terbalik akibat angin barat ini pada masa lalu. Penganjur hampir ingin membatalkan acara hari terakhir ini. Namun mujurlah ditangguhkan masa bermula dan akibatnya tempoh memancing dipendekkan.

Kami semua telah bersedia untuk berjuang demi podium. Perancangan adalah jelas – dapat ikan atau tidak. Gelombang ombak benar-benar menakutkan, tetapi ia tidak menghentikan perlumbaan ini ke hot spot masing-masing.

Sewaktu memancing di kawasan berdekatan, kami menyedari papan pengukur telah hilang. Tangkapan tidak layak dipertandingkan tanpanya. Mungkin ia telah diterbangkan angin kencang. Kami berusaha mencari di tebing tasik dan menghubungi urusetia jika dapat membekalkan papan pengukur gantian. Selepas 20 minit mencari, kami menemuinya terdampar di tebing berbatu.

Peta kejohanan WPC di tasik Haringvliet dan Hollands Diep, Belanda.

Masa kami telah terbuang selama 1 jam setengah, tetapi kami masih ada kesempatan lagi untuk berjuang. Melayari ombak di kawasan cetek adalah sangat berisiko tetapi kami berjaya mengharunginya.

Pesaing kami nampaknya telah menaikkan banyak ikan. Walaupun masih kosong, kami terus berusaha dengan mengunjun S.P di aras 6 – 10 meter untuk memikat zander. Beberapa strike diterima dan asyik rabut, cuma seekor zander dapat didaratkan.

Kuasa angin masih meningkat. Ramai peserta masih berdegil dan terus memancing. Pada ketika hanya topi kami dapat dilihat di atas gelombang, kami berjaya memancing seekor pike sepanjang 103 cm yang menyemarakkan semangat juang.

Kami hanya perlu memancing 2 ekor lagi zander bagi melayakkan kami naik ke podium. Tetapi thruster 70 paun kami tidak cukup kuat untuk melawan ombak. Terpaksalah kami berpindah ke tebing seberang. Hanya 50 minit sebelum pertandingan berakhir, barulah gewang kami disambut oleh zander.

Beberapa minit kemudian, bot marshal datang dengan mesej “Keselamatan diutamakan, pertandingan ditamatkan lebih awal.” Kami pun pulang dan mengharungi situasi mencemaskan apabila terpaksa menunggang ombak gergasi dan akhirnya berbasah kuyup sebaik sampai ke jeti.

Perarakan keluar 34 pemancing berkayak yang berani menempuh gelora.

Keputusan & Parti

Acara penyampaian hadiah untuk bot, kayak dan memancing tebingan di Droogdok sangat meriah dan digegarkan dengan pesta mercun.

Carta teratas dalam kategori kayak ialah legenda pemancing kayak Belanda, Daniel van der Post. Vitalijs Karpenkovs dari Latvia memenangi acara memancing tebingan. Walaupun hanya memancing dari tebingan,  saiz ikan trofi ialah pike sepanjang 113 cm!

Dan bagaimana pula dengan acara bot yang utama? Juara WPC dua kali iaitu Luc Coppens dan Jeremy Staverman jatuh ke tempat ke-21, walaupun mereka berjaya me-rekodkan zander terbesar 83 cm.

Rahsia Sang Juara

Pasangan Finland iaitu Markku Tiusanen dan Antti Anttila mendominasi acara (kedua pada hari pertama, pertama pada hari kedua dan ke-4 pada hari terakhir), maka dinobatkan sebagai juara WPC 2016. Pasangan itu menang dengan gabungan panjang ikan keseluruhan ialah 1,080 cm (zander 545 cm, perch 345 cm dan pike 190 cm).

Saya telah bertanya apakah strategi mereka? Markku menjawab, “Strategi kami selama 2 hari pertama adalah mudah. Kami sasarkan pike dahulu dan selepas mendapatkannya, kami fokuskan perch. Zander pada umumnya yang paling mudah untuk kita pancing, dan kerana itu kami biarkan ia sebagai tangkapan terakhir.”

“Untuk hari ketiga, kami mengubah strategi. Kami tak nak ambil risiko kedudukan kami yang baik. Kami anggarkan jika mendapat semua zander dan perch, kami akan menang. Oleh itu, kami bermula dengan mensasarkan zander dan perch. Ia juga kerana kami tahu cuaca akan semakin buruk dan ia adalah penting untuk memancing sebanyak mungkin ikan pada waktu pagi, ketika cuaca masih agak baik.”

Penulis (kiri) dan pasangannya, Martin Štepka begitu yakin dengan kejohanan WPC kali ini setelah berlatih memancing selama 5 hari sebelum pertandingan.

“Rahsia kejayaan kami ialah latihan. Saya rasa keputusan yang cemerlang adalah gabungan 3 perkara : kemahiran memancing, strategi yang baik dan pengalaman di lokasi memancing. Kami berlatih di lokasi pertandingan selama 9 hari sebelum kejohanan. Kami juga giat berlatih sejak tahun lepas, jadi kawasan itu dah jadi biasa bagi kita.”

Pasukan Shimano iaitu Jan Boomsma dan Chris Bloemert berada di tempat kedua. Ini komen mereka : “Strategi kami adalah untuk memancing keadaan. Bot kami kecil, jadi kami sangat terhad untuk bergerak jauh. Perch dan zander tidak ada masalah bagi kami, cuma pike yang paling sukar.”

“Hari pertama, kami ambil masa 5 jam untuk menjejak pike tetapi gagal. Sebab mengapa kami telah menunjukkan prestasi yang lebih baik berbanding pasukan lain ialah tumpuan kami yang 100% dan jumlah kesilapan yang dibuat adalah terhad.”

Pasukan Finland Kedua iaitu Ari Paataja dan Ville-Matti Blomqvist adalah pemenang ketiga. Dan apakah strategi mereka?

“Taktik kami yang berkesan dalam 5 hari latihan mujurlah berkesan juga dalam kejohanan ini. Tetapi salah satu kekuatan kami semasa pertandingan ini ialah cuaca. Kami tahu bagaimana untuk memancing dalam keadaan sedemikian rupa, kerana ia adalah cuaca yang sudah biasa bagi kami, seperti di penghujung musim luruh untuk memancing pike di Finland.”

“Dan juga pancingan hendaklah lebih tepat dan lebih cepat apabila bergerak dari suatu spot ke spot lain disebabkan oleh tempoh pertandingan yang pendek.”

Peserta Finland ini mempunyai jumlah gabungan mata yang sama seperti kami dan dua pasukan lain. Namun mereka telah menolak kami keluar dari podium untuk ke tempat ke-6 kerana jumlah panjang gabungan yang mereka miliki lebih tinggi bagi ikan perch. Jika pike diambil kira, situasi akan berpihak kepada kami. Tetapi ia masih keputusan yang terbaik pernah dibuat bagi kami yang mewakili Republik Czech dalam acara gilang-gemilang sebegini.

WPC telah dianjurkan dengan cemerlang sekali, bukan sahaja dari segi liputan media tetapi juga dalam hal keselamatan peserta. Segala-galanya lebih hebat daripada apa yang anda harapkan – kehadiran peserta, jumlah ikan yang ditangkap dan sudah tentu ombak yang mengerikan. Apa pun, Kami sudah tidak sabar lagi untuk kembali tahun depan.

Jangan main-main, pasukan bot yang dikendalikan oleh wanita pun ada! Menariknya pasangan Debby De Kock dan Annick Rodiers dari Belanda ini telah mendapat tempat ke-10 di akhir kejohanan.

FORMAT KEJOHANAN WPC 

Saya akan beri tumpuan kepada acara utama iaitu kejohanan memancing berasaskan bot selama 3 hari dengan 2 pemancing bersaing setiap bot. Ia berlangsung setiap hari dari jam 9 pagi – 5 petang.

Ikan pike, zander dan perch adalah spesies sasaran utama. Kelayakan setiap bot setiap hari dalam kejohanan ini ialah seekor ikan pike, tiga zander dan tiga perch terpanjang untuk dipertandingkan.

Peserta memancing di suatu zon berlainan setiap hari dalam tempoh 3 hari. Terdapat dua zon iaitu Tasik Hollands Diep serta sebahagian Haringvliet, dan seluruh Haringvliet.

Pemenang keseluruhan dinobatkan berdasarkan kedudukan markah tertinggi dalam gabungan mata selama tiga hari. ‘Tangkap dan lepas’ adalah diwajibkan.

Luc Coppens berjaya merekodkan ikan zander terbesar dalam kejohanan ini iaitu sepanjang 83 cm.

Keputusan berdasarkan kepada panjang ikan yang disahkan oleh gambar. Semua peserta perlu memiliki telefon pintar berisi aplikasi untuk mendokumentasikan tangkapan. Semua gambar ikan yang ditangkap serta-merta dihantar kepada urusetia yang akan memuat naik gambar tersebut dan datanya akan dipaparkan secara ‘live’ untuk disaksikan oleh penonton di seluruh dunia. Kejohanan ini sangat menarik kerana ramai yang gemar menonton WPC melalui internet.

Hadiah kejohanan bernilai sekurang-kurangnya 72,000 Euro termasuk bot Tracker Pro Guide V-175 SC dengan enjin Mercury PRO XS 115 kuasa kuda.

Pasukan penulis (Radek Filip dan Martin Štepka) dari Republik Czech menggelarkan diri dengan nama Team Kajman.

Ikan terbesar bagi pasukan penulis semasa pertandingan – pike 103 cm.

Pasukan terbaik dalam acara bot – Markku Tiusanen dan Antti Anttila dari Finland. Kejuaraan mereka disambut dengan acara gilang-gemilang khas buat mereka di arena.

TOP TEN KATEGORI BOT

Tempat Pemenang Negara
1 Markku Tiusanen-Antti Anttila Finland
2 Jan Boomsma-Chris Bloemert Belanda
3 Ari Paataja-Ville-Matti Blomqvist Finland
4 Daniela Schafer-Pierre Johnen Jerman
5 Dustin Schoene-Johannes Dietel Jerman
6 Radek Filip-Martin Stepka Czech
7 Mathias Holgersson-Mikko Seppanen Sweden
8 Erwin Markwat-Bart van de Walle Belanda
9 Robbie Smeets-Gregor Pauly Belgium
10 Debby De Kock-Annick Rodiers Belanda