World Predator Classic 2017
World Predator Classic (WPC) adalah pertandingan mengilat terbesar di Eropah. Ia terdiri daripada 3 kategori (42 bot, 20 kayak, 150 pengilat jalanan) dan menjadi suatu acara memancing berprestij kelas dunia yang hebat. 2017 sekali lagi ia berlangsung buat kali keempat pada tanggal 21 – 24 Jun 2017…
Teks & Fotografi : RADEK FILIP
Kejohanan tahunan World Predator Classic (WPC) berpusat di bandar bersejarah Hellevoetsluis, Belanda yang terbentang tasik Haringvliet seluas 7,000 hektar. Ia antara destinasi memancing terbaik di dunia dengan kerap merekodkan perch lebih 50 cm (2 kg), serta ikan pike dan zander yang bagak.
Format Acara Bot
Saya menumpukan acara utama iaitu mengilat berbot selama 3 hari dengan 2 pemancing bersaing setiap bot. Ia dijalankan setiap hari antara jam 8.15 pagi hingga 4.15 petang. Pike, zander dan perch adalah spesies sasaran utama. 1 pike, 3 zander dan 3 perch yang terpanjang dalam sehari bagi setiap bot dikira untuk pertandingan.
Acara ini amat menekankan ‘tangkap & lepas’. Hadiah bernilai amat tinggi ditawarkan termasuk sebuah bot Tracker Pro Guide V-175 SC dengan enjin Mercury PRO XS115 HP.
Latihan Mencabar
Sebelum WPC, kebanyakan pasukan menjalani latihan mengilat untuk membiasakan diri dengan tasik ini. Hari cerah tanpa angin telah meningkatkan suhu air permukaan kepada 24 °C. Air menjadi jernih dan banyak ikan kecil dapat dilihat di kedalaman 8 – 16 meter tetapi mereka tidak aktif. Ini petanda kurang baik.
Namun rata-rata pasukan yang berlatih termasuk kami berasa gembira menaikkan 1 hingga 5 ekor perch, pike atau zander setiap hari. Kami telah menaikkan 19 ekor ikan selama 6 hari latihan. Tetapi anda sebenarnya boleh menaikkan hasil sebanyak itu di Haringvliet dalam satu hari apabila aktiviti ikan adalah normal. Kami tahu ini akan menjadi kejohanan yang mencabar!
Hari 1 – Panas Melampau
Matahari menyinar terik tanpa berangin pada hari pertama kejohanan. Kebanyakan team memulakan pemburuan di kawasan berumpai cetek dengan kendalian thruster.
Pasukan saya menaruh harapan dengan mencuba di cenuram 10 – 14 meter kerana ini adalah kaedah memancing paling berkesan untuk zander semasa hari latihan terakhir kami. Hasil kami pada hari pertama ini hanya seekor zander dan belut, serta beberapa sambaran sahaja yang telah membuktikan bahawa strategi kami salah.
Pasukan yang lebih berjaya telah segera merempit selaju 90 km/j ke lubuk perch sebaik pertandingan bermula. Mereka menaikkan 3 ekor zander sebagai sampingan ketika menyasarkan zander.
Jelas bahawa menyelesaikan 3 zander setiap hari dan menambah 1 atau 2 ikan lain setiap hari akan memberi keputusan yang sangat baik dan mungkin cukup untuk meraih kemenangan pertandingan ini.
Team paling berjaya setakat ini ialah Daniela Schafer dan Pierre Johnen yang menaikkan 3 zander ukuran 66 – 73 cm, pike 75 cm dan perch 51 cm! Mika Vornanen telah menumbangkan 100 cm pike, manakala Willem Stolk dengan gergasi 120 cm. Tetapi bolehkah mereka tumpaskan pike pada hari yang lain?
Saya bertanya apa strategi mereka : “Pelan pertama kami berdasarkan pengalaman latihan dengan mencuba di kawasan secetek 2 – 5 meter yang bersamai. Tetapi kami perlu sentiasa bergerak untuk mencari ikan. Kami tidak menjumpai 2 ekor ikan di spot yang sama. Kami gunakan SP putih saiz 10 – 16 cm. Karauan perlahan memberi kami hasil terbaik, yang mana ia bertentangan dengan tahun sebelumnya.”
Hari 2 – Angin Sudah Mari!
Tiupan angin sangat sederhana pada awal hari ke-2. Kami bermula dengan berhanyut di sepanjang kawasan bersamai. Kumpau di sana, jadi kami berpindah ke kawasan cetek di tengah-tengah tasik di mana sekejap sahaja kami berjaya naikkan perch 43 cm dan dua zander 58 dan 59 cm dengan crankbait.
Kemudian angin mula bertiup kencang. Kekucahan menyebabkan ikan beredar dari beting yang kami gempur. Pasukan lain juga bergelut. Hanya 88 ekor dinaikkan oleh keseluruhan peserta dan keputusan ini cukup teruk.
Malang bagi Markku Tiusanen dan Kimmo Manttari yang telah terjatuh thruster ke dalam tasik dan masa banyak terbuang untuk mencari thruster ganti. Luc Coppens dan Jeremy Staverman pula memilih strategi yang salah dengan memancing secara mengunjun.
Hasil terbaik hari ke-2 ini ialah Daniel Ressel dan Gregor Babiarz dari team Lowrance / Hybrida Lures dengan zander 70, 67 dan 66 cm serta 88 cm pike.
Hari 3 – Ribut!
Sesiapa yang ingin menyaksikan tiupan angin, ombak besar, adrenalin dan aksi, maka ia berlaku lagi sekali pada hari ke-3 ini. Banyak bot memancing di tepian tasik yang lebih selamat dan kebanyakannya telah kehabisan kuasa bateri untuk thruster awal-awal lagi sebelum tamat pertandingan.
Luc Coppens dan Jeremy Staverman membuktikan kualiti mereka dengan satu-satunya ‘full house’ (perch : 45, 41, 40 cm; zander : 58, 56, 45 cm; pike : 107 cm!). Saya bertanya strategi apa yang mereka ubah berbanding hari sebelumnya yang mereka kumpau?
Jeremy menjawab : “Pada hari ke-2, kami luangkan waktu pagi yang produktif untuk mencari perch di beting antara kawasan bersamai. Tetapi gagal. Jadi kami terpaksa tukar strategi mencari zander yang biasanya tidak begitu sukar diburu bagi kami.”
“Kami mencuba semua hot spot di antara 6 – 10 meter kedalaman secara mengunjun SP. Tetapi ia tetap kumpau, kami gagal naikkan seekor pun! Kelebihan tidak berjaya memancing ikan sepanjang hari ialah anda sekurang-kurangnya tahu apa yang tidak boleh anda lakukan. Kami tidak mahu tamat dengan kekumpauan.”
“Strategi kami untuk hari terakhir ialah memancing di kedalaman yang kami tidak duga pada hari pertama dan kedua. Antara 3 – 6 meter. Kami mengilat dengan gewang kegemaran kami, Westins Shad Teez 9 dan 12 cm.”
“Ia berkesan seperti jam. Sebelum jam 1, kami naikkan 3 perch dan 3 zander, tetapi tidak besar. Kami buat keputusan untuk memburu pike, bukannya menaik taraf saiz perch dan zander. Keadaan cukup ideal untuk sasarkan pike besar di zon cetek yang menghadap tiupan angin.”
“Dalam keadaan ini, gewang kegemaran kami ialah Westin Monster Vibe 65 gram, iaitu spinnerbait yang besar. Strategi ini berbaloi dengan ganjaran pike 107 cm.”
Terdapat 4 ekor pike lebih 1 meter panjang berjaya ditumbangkan oleh pasukan lain. Walau bagaimanapun, hero kejohanan ini jatuh kepada pasangan Dustin Schone dan Johannes Dietel yang berakhir pada kedudukan ke-8 pada hari ketiga dengan 50, 44, 44 cm dan 70 cm zander, tetapi itu lebih daripada cukup untuk mereka berdua dijulang sebagai juara WPC baru 2017!
Saya telah mengorek rahsia Johannes apakah strategi mereka. Kata mereka : “Kami mengambil keputusan untuk bekerja keras dengan membuat lebih banyak lontaran jauh – walaupun bot kami antara yang terpantas ke satu-satu spot.”
“Kami mendapat 3 sambaran yang mengancam. Saya terlepas tangkapan yang cukup bagus, mungkin zander besar. Tetapi kemudian Dustin menaikkan pike 70 cm. Tak lama selepas itu saya mengena perch 44 cm iaitu ikan pemenang bagi WPC yang mana kami tidak tahu pun ketika itu.”
“Kami cuba lagi, tetapi gagal. Memang gilalah apabila kami beroleh kejuaraan dengan jumlah 13 ekor ikan. Biarpun agak pelik, tetapu beruntung untuk kami.”
Acara mengilat jalanan telah dimenangi oleh Fabian Graefe dari Jerman. Pemancing kayak yang paling berani ialah Salah el Barbouchi dari Maghribi.
WPC sentiasa mendapat liputan hebat dari media dan terdapat peningkatan dalam organisasi WPC atas usaha ketua marshal yang baru, Gary Palmer. Semuanya hampir sempurna dengan pelbagai momen yang menyeronokkan untuk dikenang. Kami pun dah tak sabar-sabar menanti WPC tahun depan!
TOP TEN KATEGORI BOT
Tempat | Pemenang | Negara |
1 | Dustin Schone-Johannes Dietel | Jerman |
2 | Christophe Huwarts-Philippe Neuville | Perancis |
3 | Janis Skrabans-Vitalijs Karpenkovs | Latvia |
4 | Daniela Schafer-Pierre Johnen | Jerman |
5 | Marcel Asbroek-Nils Gabsa | Jerman |
6 | Daniel Ressel-Gregor Babiarz | Jerman |
7 | Tomasz Krysiak-Robert Policha | Poland |
8 | Ari Paataja-Pekka Laitinen | Finland |
9 | Helmut Schoddel-Michael Weber | Jerman |
10 | Franz Bodum-Kris Broeckx | Denmark |