Pautan Utama

Portal Memancing Rasmi Malaysia

World Predator Classic 2018

WPC yang dianjurkan setiap tahun disambut dengan sangat meriah.

Kejohanan World Predator Classic (WPC) 2018 berlangsung dalam dua kategori iaitu mengilat berbot sebanyak 52 pasukan dan 200 pengilat jalanan. Pertandingan mengilat kelas dunia ini antara dua kejohanan mengilat yang paling berprestij di Eropah. 2018 merupakan siri tahunan kelima dianjurkan apabila ia berlangsung pada 11 – 16 Jun 2018…

Teks & Fotografi : RADEK FILIP

Kejohanan WPC berpusat di dalam dan sekitar bandar Hellevoetsluis yang bersejarah di Belanda. Di bandar ini, terhampar Tasik Haringvliet seluas lebih kurang 7,000 hektar. Tasik ini terkenal dengan ‘perchzilla’ (ikan perch bersaiz bagak) dan ia mungkin destinasi memancing perch terbaik di dunia dengan spesimen melebihi 50 cm dan 2 kg kerap ditangkap setiap tahun.

Lokasi ini juga menawarkan populasi pike besar dan zander yang terbaik. Banyak pike saiz 100+ cm, perch 50+ dan zander 70+ dijangka dapat ditumbangkan semasa WPC. Dan ia benar-benar berlaku. Perch terbesar 51 cm ditumpaskan oleh Robert Pollicha. Dustin Schöne menaikkan zander 96 cm dan Tomasz Kurnik dengan pike 113 cm!

Pecut! Kejohanan Mengilat Formula 1 bermula!

Format Mengilat Berbot

Saya akan beri tumpuan terhadap acara utama – acara mengilat berbot selama 3 hari dengan 2 pemancing setiap bot, selama 8 jam sehari. Pike, zander dan perch adalah spesies sasaran utama. 1 ekor pike, 3 zander dan 3 perch yang terpanjang dinaikkan setiap hari bagi setiap bot akan dikira markahnya untuk pertandingan ini.

WPC menekankan ‘tangka & lepas’ sepenuhnya. Hadiah kejohanan bernilai sangat tinggi termasuk sebuah bot Tracker Pro Guide V-175 SC dengan enjin Mercury PRO XS115 HP tajaan Bass Boat Germany.

Pike lebih 100 cm panjang bermaharajalela di tasik ini.

Sesi Latihan

Sesi latihan dimulakan terlebih dahulu. Kami dimaklumkan sebuah pintu air Empangan Haringvliet ke laut telah dibuka. Ini bermakna lebih banyak air masin masuk ke dalam tasik berbanding biasa, dan ia akan mempengaruhi taburan dan aktiviti ikan buruan, memandangkan ikan laut tidak dikira dalam pertandingan ini.

Sebelum kejohanan WPC, ada peserta yang sanggup menjalani ujian lapangan selama 21 hari berturut-turut! Tetapi majoritinya tiba sekitar satu minggu lebih awal. Tidak hairanlah sesi latihan awal WPC akan dipenuhi dengan pemancing yang berkelakuan seperti pemain poker dan ini menambahkan lagi debaran.

Tetapi banyak juga pasukan yang datang terus pada hari pendaftaran dan tidak sempat jalani ujian lapangan sama sekali. Yang menghairankan, sebahagian daripada peserta ini sangat sukses pada akhir pertandingan.

Banyak perch besar menguasai Tasik Haringvliet.

Hari 1 – Ikan Sangat Galak!

Sesi mula dengan besitan puluhan bot berkuasa tinggi amatlah menakjubkan. Anda boleh saksikan bot berenjin setinggi 300 kuasa kuda, enjin 115 atau 150 kuasa kuda adalah standard. ‘The need for speed’ di Belanda 2018 baru sahaja bermula.

Bot-bot berkuasa tinggi ini mula memecut ke serata tasik. Tetapi juara bertahan, Dustin Schöne dan Johannes Dietel telah melabuhkan botnya dekat dengan garis permulaan. Mereka dengan pantas berjaya menjebak beberapa ekor ikan, termasuk pike 112 cm! Begitu juga pasangan Mika Vornanen dan Timo Narinen yang juga pantas menaikkan pike 109 cm dalam minit-minit pertama pertandingan. Pasukan lain juga tidak kurangnya. Seluruh dunia dapat menonton hasil mengilat ini secara langsung melalui aplikasi telefon pintar WPC terbaru.

Dustin Schöne dan Johannes Dietel menaikkan pike 112 cm pada hari pertama.

Jika anda berjaya naikkan semua jenis ikan (full house) sewaktu WPC yang lalu, anda lazimnya menjadi pendahulu harian. Tahun ini, anda gembira berada dalam senarai Top 10. Tetapi pada penghujung hari pertama ini, Dustin Schöne dan Johannes Dietel memotong anda diikuti Enrico Di Ventura dan Frank Bussmeyer, manaka ketiga ialah Kalle Paavola dan Pekko Kanerva. Juara WPC dua kali iaitu Luc Coppens dan Jeremy Staverman berada di tangga keempat.

Hari 2 – Zander Bagak

Saya tertanya-tanya sama ada berlangsungnya WPC di tasik ini tanpa ribut kencang. Tahun ini penganjur membuat pilihan bijak dan telah menukar hari rehat untuk pemancing berbot ketika hari yang berangin kencang. Sekurang-kurangnya mereka dapat menikmati parti mengilat jalanan pada petang Khamis. Esoknya Jumaat 14 Jun, permukaan tasik kembali tenang.

Semua bot dapat memecut maksimum dan pancingan lebih baik berbanding hari pertama. Pasukan Finland, Kalle Paavola dan Pekko Kanerva menguasai hari ini dengan satu lagi ‘full house’ tangkapan yang besar. Sebilangan pike lebih 1 meter panjang berjaya ditewaskan, manakala Dustin Schöne berjaya mendaratkan zander 96 cm panjang.

Perarakan bot bermula dengan deruman dan percikan air.

Hari 3 – Pertandingan Sengit

WPC tidak pernah begitu sengit seperti kali ini. Nampaknya jika anda ingin menjadi juara, anda bukan sahaja perlu menangkap semua ikan sasaran, tetapi mesti bersaiz sangat besar.

Pasukan Poland, Tomasz Kurnik dan Piotr Wojnowski telah memenangi pertandingan hari ke-3 ini dengan pike 113 cm dan perch 51 cm. Juara bertahan gagal memancing pike, termasuk pasukan Finland, Kalle Paavola dan Pekko Kanerva. Tetapi Enrico Di Ventura dan Frank Bussmeyer telah menaikkan semua jenis ikan. Beerti mereka layak menjuarai World Predator Classic 2018!

Frank Bussmeyer dan spesimen perch yang besar.

Apa Perasaan & Strategi Juara?  

“Kami masih tidak percaya bahawa kami memenangi WPC. Strategi kami ialah sentiasa menggempur 3 – 5 lokasi dalam jarak yang singkat antara satu sama lain, sekitar 5 minit dengan pecutan maksimum. Jadi kami boleh mengulang setiap spot tanpa kehilangan terlalu banyak masa akibat perjalanan.”

Hari ke-2, Dustin Schöne lagi. Dia menewaskan zander 96 cm!

Timo Ruff dan Eckehard Gotze mendapat tempat ke-6.

Tekun mengilat.

“Kebanyakan masa, kami cuba untuk memancing secara berbeza antara satu sama lain, sama ada karauan cepat atau perlahan, gewang besar atau kecil, gewang warna terang atau semula jadi. Kebanyakan kes, Frank menggunakan gewang kecil, manakala saya menggunakan pakai gewang bersaiz 14 cm atau 16 cm. Maka seseorang boleh menumpukan perhatian pada pike dan zander yang besar, dan seorang lagi menyasarkan zander dan perch yang lebih besar.”

“Sudah tentu kita harus mengetahui apa yang ikan berselera pada jam pertama hari tersebut. Tetapi ‘rahsia’ utama adalah bekerja sebagai satu pasukan dan percaya apa yang anda lakukan. Kemudian banyak perkara akan dapat dilakukan dengan mudah.”

Pasukan media yang begitu sibuk juga membuat liputan.

Acara mengilat jalanan telah dimenangi oleh Vincent Payro dari Perancis. Penyampaian hadiah di pentas Hellevoetsluis berlangsung dalam suasana yang unik. Segalanya hampir sempurna dengan kenangan manis yang menyeronokkan.

Bot berkuasa tinggi bersedia untuk berlepas lagi pada hari seterusnya.

Pasukan Finland, Kalle Paavola dan Pekko Kanerva jatuh ke tempat kelima.

Kami sudah tidak sabar menanti acara seterusnya tahun depan…

SENARAI TOP 10

  1. Enrico Di Ventura-Frank Bussmeyer (Jerman)
  2. Ugis Gross-Guntis Riekstins (Latvia)                                       
  3. Dustin Schone-Johannes Dietel (Jerman)                                              \
  4. Kevin Hernandez-Jordan Hernandez (Jerman)                                  
  5. Kalle Paavola-Pekko Kanerva (Finland)
  6. Timo Ruff-Eckehard Gotze (Jerman)                           
  7. Jan Boomsma-Mirabel Roobol Nuis (Belanda)
  8. Willem Stolk-Chris Bloemert (Belanda)                                              
  9. Mika Vornanen-Timo Narinen (Finland)
  10. Pierre Johnen-Daniel Kaldowski (Jerman)

Westin memenangi acara berpasukan.

Juara WPC 2018 – Enrico Di Ventura dan Frank Bussmeyer.