Pautan Utama

Portal Memancing Rasmi Malaysia

XPDC Meneroka Bumi Krayan

Demi mencari sebuah mahligai memancing yang masih dara, team Streik Adventure meneroka dan membongkar sebuah lokasi terpencil di pedalaman Sarawak lalu merentasi sempadan dua negara ke pedalaman Kalimantan, Indonesia dipanggil Krayan. Ikuti pengalaman ekspedisi mereka ke ‘dunia baru’ Long Bawan…

Titik sempadan Malaysia – Indonesia dalam perjalanan dari Ba’kelalan ke Long Bawan.

Teks : URSIN LEMPOYANG    

Fotografi : STREIK ADVENTURE TEAM

Long Bawan, nama yang mungkin asing bagi anda, namun ia tidak asing bagi saya setelah menjejakkan kaki buat kali kedua ke sana. Semuanya menjadi kenyataan apabila Harry menyuarakan hasrat untuk ke Long Bawan setelah ekspedisi pertama awal tahun ini sukses. Kami dari Streik Adventure terus sahaja menyusun jadual dan keperluan secepat mungkin sebaik tempahan tiket kapal terbang dibuat.

Antara cabaran permulaan pacuan 4 roda yang dilalui.

Perjalanan kali ini yang turut disertai Zuraimie dan Faiz selaku jurufoto dijangkakan lebih mudah berbanding trip sebelum ini. Bermula dari KLIA, terbang ke Miri seterusnya ke Ba’kelalan di pedalaman Sarawak.

Penerbangan dari Miri ke Ba’kelalan menggunakan pesawat kecil ‘Twin Otter’ dengan kapasiti penumpang seramai 18 orang sahaja. Memang sangat mengujakan. Dari berat badan penumpang dan barangan yang dibawa perlu ditimbang.

Seterusnya kami menaiki kenderaan pacuan empat roda merentasi sempadan Malaysia-Indonesia menuju ke Long Bawan. Kami sempat menikmati kemeriahan di Long Bawan memandangkan mereka sedang merayakan Pesta Augustus sempena kemerdekaan Indonesia.

Rentas Sempadan Dua Negara

Bergambar bersama Kepala Desa Long Padi.

Sebaik sahaja kami berehat menikmati makan tengah hari bersama beberapa kepala desa dan juga Ketua Adat iaitu Pak Daniel, kami meneruskan perjalanan dengan kenderaan 4×4 menuju ke Long Umung yang terletak di kawasan jajahan Krayan Timur, Kalimantan, Indonesia.

Penggunaan kerbau sinonim dengan masyarakat di sini sebagai ‘jentolak’ atau ‘lori’.

Kami bermalam di Long Umung sambil membuat persiapan terakhir, terutama keperluan yang harus dibawa dan digunakan untuk memancing di Sg. Pa’ Beruan. Dua buah bot yang telah kami tempah sejak 3 bulan sebelumnya juga telah siap sepenuhnya untuk kami gunakan, memandangkan kami telah merancang untuk menyediakan khidmat trip memancing ke sini pada masa akan datang.

Keesokan harinya, kami menyerahkan barangan pancing tajaan Pure Fishing berupa joran, kekili, tali, gewang dan keperluan memancing yang lain kepada setiap kepala desa yang berkenaan sebagai cenderahati. Kemudian kami bergerak menuju ke sungai yang menempatkan bot kami lebih kurang 10 minit dengan berjalan kaki sahaja.

Perlu menyeberangi sungai ke lubuk-lubuk berpotensi.

Setelah segala keperluan dimuatkan ke dalam bot, bot terus dipandu menghilir sungai menuju ke Pak Raya sebelum ke Sg. Pa’ Beruan. Perjalanan memakan masa hampir 2 jam.

Perjalanan menaiki bot berakhir di jeram Sg. Pa’ Beruan yang tidak dapat dilalui oleh bot. Kami berjalan kaki meneruskan perjalanan melalui denai di sepanjang sungai lebih kurang 20 minit melepasi jeram besar bersama beberapa penduduk kampung selaku penunjuk arah dan membantu kami membawa barang keperluan termasuk generator.

Tersangkut Di Jeram

Zuraimie dengan sebarau cilik.

Rancangan awal sepatutnya kami meneruskan perjalanan menggunakan bot tidak tercapai memandangkan bot tidak dapat diangkat melepasi kawasan berjeram atas faktor tertentu yang tidak dapat kami nyatakan di sini.

Kami bermalam sahaja di satu lubuk berhampiran, sebelum meneruskan perjalanan keesokan harinya dengan menyelusuri denai sepanjang sungai menuju ke lokasi yang sepatutnya yang telah ditetapkan pemandu arah kami. Sempat juga Zuraimie mendapatkan strike sebarau yang pertama di tapak perkhemahan dengan popper.

Pak Wellem bersama hasil tangkapan pelian 4 kg pada awal pagi dengan kilat sesudu!

Keesokan harinya sepanjang perjalanan, kami dihidangkan sambaran-sambaran ikan di permukaan air membuktikan sungai tersebut masih menyimpan stok ikan yang banyak. Walaupun terasa geram nak memancing, kami tetap menahan sabar untuk tidak membuang masa. Tambahan pula segala alat memancing telah disimpan rapi di dalam beg untuk memudahkan perjalanan yang mengambil masa antara 3 ke 4 jam.

Setibanya ke tapak khemah berhampiran lubuk yang berpotensi untuk mendapatkan ikan pelian bersaiz besar, penduduk kampung yang turut serta terus menyiapkan khemah dan keperluan lain, termasuk tempat memasak dan rak barangan hanya dengan sumber-sumber hutan. Ternyata mereka mempunyai kepakaran dan masih mengekalkan cara hidup di hutan.

Malam tersebut, rombongan Kepala Desa dan Ketua Adat tiba ke tapak perkhemahan kami untuk turut serta memancing. Mereka sangat teruja dan memberi sokongan serta kerjasama penuh kepada kami untuk memancing di sini, memandangkan penempatan mereka yang terpencil dan jauh dari pembangunan.

Sungai ini belum pernah dikunjungi pemancing dari luar, apatah lagi keperluan memancing yang semakin maju tidak dapat diperolehi dengan mudah melainkan dengan menaiki kapal terbang menuju ke bandar besar seperti Nunukan dan lainnya.

Pelian Monster

Seawal pagi hari berikutnya, Pak Wellem selaku salah seorang kepala desa mendapat sambaran pertama ketika sedang mencuba dan belajar membuat balingan sesudu menggunakan kekili Penn Fierce 3000 dipadan dengan joran Ugly Stik 10 – 20 paun.

Faiz dan pelian saiz purata dengan kilat sesudu.

Keadaan menjadi sedikit huru-hara memandangkan saiz ikan dalam skala 4 kg memberikan tentangan yang luar biasa di sebabkan habitat ikan liar tersebut yang menghuni kawasan berjeram.

Setelah pelian tersebut berjaya didaratkan dengan bantuan teknikal dan tunjuk ajar dari Harry, kami segera bersarapan untuk meneruskan aktiviti memancing dengan menyelusuri tebing-tebing sungai, dan kembali ke tapak perkhemahan lewat petang.

Pelian, Pelian, Pelian…

Kami makan tengah hari dengan bekal nasi yang dibawa berlaukkan daging kancil hasil berburu malam sebelumnya. Sepanjang aktiviti memancing hari tersebut, ikan pelian sememangnya mendominasi sungai ini.

Hampir setiap kali kami memperolehi sambaran gewang atau sesudu, tidak lain tidak bukan hanya pelian semata dalam skala 2 kg ke 3 kg, walaupun dalam keadaan air sungai yang agak keruh disebabkan hujan beberapa hari sebelumnya.

Menurut warga setempat, sungai tersebut masih menyimpan pelian bersaiz sehingga belasan kilo. Kami tidak menyangkal dakwaan tersebut memandangkan sungai ini mempunyai banyak lubuk yang besar dan dalam mencecah 15 meter (diukur dari ‘fish finder’ yang kami bawa).

Keesokan harinya, kami berjalan kaki keluar dari tapak perkhemahan menuju ke Long Umung dengan merentasi bukit dan hutan tebal lebih kurang 3 jam. Perancangan kami seterusnya adalah untuk mencuba nasib di sungai berlainan. Dari Long Umung kami pulang ke Long Bawan dan terus menuju ke Krayan Tengah dan Long Padi.

Ketika di Long Padi, kami ibarat sekadar membasahkan tali pancing sahaja kerana hutan sepanjang tebing sungai tersebut telah dibersihkan untuk membuat jalan raya. Atas nasihat jurupandu Pak Philippus dan Henzky, kami berpindah ke Long Rungan.

Sungai Tanpa Nama

Memasak di sini hanya menggunakan kayu api sepenuhnya akibat gas yang dibawa telah ditahan dan tidak dibenarkan dibawa menaiki kapal terbang.

Kami disambut mesra oleh kepala desa Long Rungan yang terletak di Krayan Selatan. Beliau menawarkan rumahnya untuk kami bermalam sebelum menuju ke sungai berhampiran keesokan harinya.

Awal pagi esoknya, dua buat bot penduduk kampung sedia menunggu untuk menghantar kami ke sungai yang berpotensi untuk dipancing. Perjalanan berbot melalui Sg. Krayan berakhir di sebatang anak sungai yang masih tidak bernama. Menurut pemandu bot, anak sungai tersebut mengalir dari hutan gunung di sebalik kampung mereka.

Kami berjalan kaki lebih kurang 45 minit dari lokasi bot berhenti dan terus mengilat. Kami dapati penghuni sungai ini agak pemalu berbanding sungai-sungai lain yang pernah kami kunjungi di sekitar Long Bawan.

Sememangnya setiap lubuk menjanjikan hasil setiap balingan sesudu, tetapi selepas 2 – 3 ekor didaratkan atau ada antara kami melalui tebing sungai melepasi lubuk-lubuk, terus sahaja lubuk menjadi sunyi. Langsung tiada kelibat ikan, apatah lagi sambaran.

Namun sungai berjeram itu masih kaya dengan lubuk ikan berpenghuni. Jarak antara lubuk pula sekadar sepelaung, di mana kami masih dapat melihat rakan-rakan.

Kami menghabiskan masa lebih kurang 4 jam memancing di sini dan memperoleh hasil berpuluh ekor pelian, tidak termasuk beberapa ekor yang tidak dapat dikawal sehingga akhirnya berjaya melepaskan diri sama ada terputus tali dan tersangkut di reba.

Salah seekor pelian yang menyambar kilat sesudu saya.

Penduduk di sini memanggil kelah sebagai pelian, sama seperti panggilan di Sabah. Mereka tidak memanggilnya empurau atau semah se-perti Sarawak, atau sapan seperti penduduk di Berau, Kalimantan Timur.

Ahli ekspedisi melakar kenangan di Sg. Pa’ Beruan.

Jam 2 petang, kami berpatah balik ke bot dan pulang ke Long Rungan. Selepas minum petang dan bersalaman, kami pulang ke Long Bawan. Keesokan harinya kami keluar ke Ba’kelalan untuk terus terbang ke KL diiringi Ketua Adat dan kepala desa yang berkaitan sehingga ke sempadan.

Nantikan kedatangan kami semula!

*Sila layari pengembaraan kami di https://facebook.com/streikfishing/